Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-199 dan Ke-200

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-199 dan Ke-200

1181
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-199

Ayat tentang pembaikan akidah dan cara bagaimana untuk melakukannya. Orang Quraish waktu itu berlagak sombong. Mereka kata mereka adalah penjaga Mekah yang mulia, maka mereka tidak perlu berkumpul di Padang Arafah dengan orang luar lain yang ramai-ramai itu. Mereka kata mereka kena berkumpul tempat lain.

ثُمَّ أَفيضوا مِن حَيثُ أَفاضَ النّاسُ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Kemudian itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ

Dan bergeraklah dari tempat mana bergeraknya manusia;

Iaitu, bergerak turunlah dari Arafah. Kenapa Allah ‎ﷻ cakap begini? Sekarang kita tidak berasa apa sangat, sebab kita tidak tahu kisah yang terjadi dahulu. Kenapa Allah‎ ﷻ suruh buat macam ini?

Pada zaman dahulu, kaum Quraish yang menjaga Kaabah, mereka wukuf di Muzdalifah, bukan di Arafah. Ini kerana mereka kata wukuf di Arafah itu adalah bagi orang awam, bukan untuk orang Quraish.

Mereka rasa mereka lain sedikit dari orang lain. Mereka kata, kerana mereka penjaga Tanah Haram, maka mereka tidak patut keluar dari Tanah Haram. Ini adalah kerana Muzdalifah masih lagi dalam Tanah Haram tetapi Arafah sudah keluar dari Tanah Haram.

Mereka buat bid’ah sendiri. Mereka telah buat amalan dan syarat sendiri, padahal mereka yang menjaga Kaabah pada masa itu. Begitulah buruk mereka yang menambah-nambah perkara dalam agama.

وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ

dan hendaklah kamu beristighfar banyak-banyak kepada Allah;

Atas dosa-dosa lama yang telah diperbuat. Ini adalah masa yang amat sesuai untuk meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Kamu dahulu sangka kamu itu mulia dan kamu telah reka cara ibadah yang lain daripada yang diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka bertaubatlah di atas dosa kamu itu.

Secara umum pula, walaupun kita telah melakukan sesuatu ibadah, kita masih lagi disuruh untuk meminta ampun. Kenapa pula begitu, sedangkan kita baru sahaja melakukan ibadah? Kalau kita lihat sunnah Nabi ﷺ juga, selepas setiap kali salat, baginda akan istighfar tiga kali.

Ini mengajar kita, walaupun kita sudah buat ibadah, namun ibadah itu masih tidak cukup lagi. Apa yang kita lakukan tidak mungkin dapat membalas segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita.

Walaupun kita telah melakukan ibadah, tetapi ada kemungkinan ada kesalahan dan kekurangan dalam ibadah kita itu sampaikan ibadah itu tidak sempurna. Maka, kita istighfar atas kekurangan yang kita lakukan itu. Ini mendidik hati kita supaya tidak ada perasan ujub dalam diri kita.

Kalau orang yang buat amal ibadah pun diajar untuk istighfar, bayangkan pula kepada mereka yang tidak melakukan ibadah langsung?

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Belas Kasihan.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk menerima taubat hamba-Nya. Apabila Allah ‎ﷻ sudah terima taubat, Allah ‎ﷻ tidak akan mengazab lagi mereka yang telah diampunkan.

Tafsir Ayat Ke-200

Masih lagi tentang hukum Haji. Ini adalah teguran Allah ‎ﷻ tentang cara berdoa.
فَإِذا قَضَيتُم مَّنَـٰسِكَڪُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَذِكرِكُم ءَابَآءَڪُم أَو أَشَدَّ ذِكرًا ۗ فَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَّنَـٰسِكَڪُم
Maka apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu;

Apabila sudah melontar, sudah cukur dan sudah tawaf iaitu selesai sudah segala ibadat Haji dengan buat segala rukun-rukun Haji.

فَاذْكُرُوا اللَّهَ
maka sentiasalah ingat Allah;

Bermakna, dalam kita buat segala ibadat Haji itu, hendaklah ingat Allah ‎ﷻ sentiasa.

كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَڪُم
sepertimana kamu dahulu menyebut-nyebut tok nenek kamu;

Musyrikin Mekah apabila Haji sudah hendak habis, mereka memuji keturunan mereka. Mereka siap buat majlis besar-besaran di mana mereka akan membacakan puisi.

Mereka menceritakan tentang keturunan mereka yang pahlawan yang berani, gagah, dermawan dan sebagainya.

Ini kerana kesukaan mengisi masa lapang mereka pada waktu itu adalah bercerita tentang orang-orang yang sudah berlalu.

Ini tidak elok dilakukan kerana akan menyebabkan ada yang berasa hati sampaikan selepas mengerjakan ibadah Haji, terjadi perpecahan umat, sedangkan sepatutnya ibadah Haji itu untuk mengeratkan umat Islam sedunia.

Tambahan pula ia adalah perbuatan yang membuang masa di tempat yang mulia.

Kita pula ada juga membanggakan puak-puak kita. Selalunya berkenaan politik dan keturunan dulu-dulu. Sudah bercerita tentang politik pula di sana. Kita pun suka juga bersembang.

Tentang macam-macam hal kehidupan, tentang filem, tentang kerja, tentang anak-anak, tentang orang itu dan ini. Kalau kita pun buat begitu juga, kita tidak mengikuti ayat ini.

Allah ‎ﷻ suruh kita ingat tentang Allah ‎ﷻ macam kita ingat tentang benda-benda itu. Kena tinggalkan tentang dunia dan ingat kepada Allah ‎ﷻ.

أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا
atau lebih lagi ingat (kepada Allah);

Kenalah kita ingat kepada Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada yang lain. Salat adalah sebaik-baik cara mengingati Allah ‎ﷻ.

فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ
Maka ada di antara manusia (semasa buat haji) yang berdoa

Peluang apabila berada di Tanah Haram adalah untuk berdoa kerana ia merupakan salah satu tempat yang makbul doa.

Apatah lagi waktu itu kita sedang melakukan ibadah yang besar. Seperti yang kita selalu diingatkan, doa amat molek dilakukan selepas melakukan ibadah.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا
Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami dunia;

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa ada manusia yang pergi mengerjakan Haji adalah untuk keduniaan sahaja. Mereka hanya mahukan kesenangan dunia sahaja.

Mereka hanya minta ‘dunia’, bukan ‘kebaikan’ di dunia pun. Zaman Jahiliyyah dahulu, antaranya mereka minta tahun itu kesuburan tanah, hujan, anak dan sebagainya.

Zaman sekarang pun ramai yang macam itu juga. Mereka minta projek dari kerajaan, rezeki yang banyak, kejayaan dalam perniagaan, anak, pasangan dan macam-macam lagi.

Allah ‎ﷻ menegur ramai yang doa begini. Sampai mereka buat salat hajat di Mekah sebab hendakkan hal dunia. Ada yang pergi Umrah, sebab hendak kahwin, siap pergi dengan pasangannya yang mereka belum kahwin lagi.

Atau ramai yang berdoa di sana kerana hendakkan projek kerajaan. Tidak salah kita minta hal dunia, tetapi kita kena banyakkan lagi minta hal akhirat. Dalam ayat ini, mereka minta hal dunia sahaja.

Memang Allah ‎ﷻ suruh kita berdoa dalam semua perkara. Sampaikan kalau tali kasut terputus pun, ada hadith Nabi ﷺ kata kena doa kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi kita berdoa kena ada kepentingan akhirat lebih daripada dunia.

Kena lebihkan tentang akhirat. Jangan lebihkan tentang dunia. Kepentingan kita sepatutnya tentang akhirat.

وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ
maka tidak ada bagi orang itu, bahagian di akhirat, apa-apa balasan baik pun;

Mereka tidak diberikan dengan kelebihan di akhirat kerana mereka hanya hendakkan hal dunia sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan