Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-196

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-196

1628
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-196

Sekarang kita masuk pada ayat-ayat berkenaan Haji. Ulama’ berpendapat bahawa hukum Haji ini mula diwajibkan pada tahun ke-3 Hijrah, iaitu tahun Perang Uhud. Ia diwajibkan dalam ayat dalam Surah [ Ali Imran ].

وَأَتِمُّوا الحَجَّ وَالعُمرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِن أُحصِرتُم فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۖ وَلا تَحلِقوا رُءوسَكُم حَتّىٰ يَبلُغَ الهَديُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو بِهِ أَذًى مِّن رَّأسِهِ فَفِديَةٌ مِّن صِيامٍ أَو صَدَقَةٍ أَو نُسُكٍ ۚ فَإِذا أَمِنتُم فَمَن تَمَتَّعَ بِالعُمرَةِ إِلَى الحَجِّ فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۚ فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلَـٰثَةِ أَيّامٍ فِي الحَجِّ وَسَبعَةٍ إِذا رَجَعتُم ۗ تِلكَ عَشَرَةٌ كامِلَةٌ ۗ ذٰلِكَ لِمَن لَّم يَكُن أَهلُهُ حاضِرِي المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Dan hendaklah kamu sempurnakan haji dan umrah kerana Allah;

Apabila kita sudah keluar untuk mengerjakan Haji atau Umrah, kita kena sempurnakan. Macam kalau kita sudah salat yang empat raka’at, tidaklah boleh kita buat dua raka’at dan rasa malas hendak sambung, terus kita tinggalkan – ini adalah salah.

Begitulah juga dalam kita menuntut ilmu, kita kena habiskan. Jangan kita biasakan buat perkara separuh jalan – dalam hal ibadat dan dalam hal kehidupan kita, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan agama.

Ia juga memberitahu kita bahawa mengerjakan Haji adalah salah satu daripada Rukun Islam. Ia wajib dilakukan kepada mereka yang berkemampuan untuk sampai ke sana dari segi kewangan atau fizikal.

Ayat ini juga mengingatkan kita bahawa Haji dan Umrah itu dijalankan ‘kerana Allah ‎ﷻ’. Bukannya kerana hendak mendapat status ‘Haji’ dan bukan kerana sebab-sebab yang lain. Ada yang pergi ke sana macam pergi bercuti sahaja. Amat rugi kalau kita menghabiskan wang beribu ringgit untuk pergi mengerjakan Umrah dan Haji, tetapi sia-sia amalan itu kerana kita buat bukan kerana Allah ‎ﷻ.

Ada pula yang tidak mengambil peluang untuk melakukan ibadat, kerana malas, kerana rasa susah, sampai ada yang tidak salat berjama’ah di Masjidil Haram, tetapi salat di bilik sahaja. Ini amat rugi sekali. Sudah dapat peluang pergi ke sana, tetapi tidak diambil peluang untuk beribadat dan mengaut pahala sebanyak mungkin.

Ramai dalam kalangan kita yang pergi Haji dan Umrah, mereka akan update status dalam Facebook mereka dan ambil gambar di hadapan Kaabah dan masukkan dalam post mereka. Apa kena dengan mereka ini? Adakah mereka hendak memberitahu semua orang bahawa mereka sedang buat ibadat dan hendak berbangga-bangga?

Ditakuti kalau kita hendak menunjuk-nunjuk, akan menyebabkan pahala buat Haji dan Umrah itu akan hilang pula kerana riak. Seeloknya kita jangan lakukan. Memang masalah umat kita sekarang, semua hendak di post dan update dalam Facebook. Kenapa susah sangatkah hendak jadi orang yang simpan sahaja apa-apa yang kita buat? Kenapa hendak kena beritahu kepada semua orang?

Ayat ini adalah tentang Ibadah Haji dan ia adalah ayat Umur Muslihah. Ia adalah satu ibadah yang boleh mengeratkan hubungan dengan hamba-hamba seIslam yang lain. Ini kerana Haji itu dilakukan setahun sekali dan ia boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam yang berada di bawah satu khalifah seluruh dunia kerana umat Islam seluruh dunia sepatutnya di bawah seorang Khalifah sahaja, bukannya macam zaman sekarang, setiap negara ada Presiden.

Maka kerana itu manasik Haji adalah penting kerana ia adalah perkumpulan umat Islam sedunia. Supaya semua umat Islam dari segenap ceruk dunia akan datang ke satu tempat dan dapat duduk bersama. Dapat duduk bersama dengan Khalifah, dapat salat dengan beliau dan dapat mendengar apakah pesanan beliau kepada umat sedunia.

Jadi, haji ini bukan sahaja satu ibadat yang boleh memberikan pahala kepada kita tetapi ia juga boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim seluruh dunia. Jadi ada hubungan hamba dengan Allah ‎ﷻ dan hubungan hamba dengan hamba yang lain.

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ

Dan sekiranya kamu ditahan;

Ini adalah sekiranya orang yang hendak menunaikan Haji itu tidak boleh masuk ke Mekah. Pada waktu dahulu, pernah umat Islam dihalang oleh puak Quraish. Kalau zaman sekarang, boleh jadi macam-macam – mungkin ada gangguan ketika dalam perjalanan, atau kita ditahan oleh puak musuh dan sebagainya.

Jadi, apabila ada gangguan atau halangan untuk sampai ke Mekah, kena patah balik walaupun sudah berniat Ihram. Allah ‎ﷻ memberikan jalan keluar dalam hal-hal sebegini kerana asalnya, apabila sudah berniat Haji dan ihram, kena selesaikan.

Ibn Kathir رحمه الله mengatakan ayat ini diturunkan pada tahun ke-6 Hijrah, pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah, iaitu sewaktu Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم daripada menunaikan Umrah.

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

maka wajiblah kamu sembelih korban yang mudah didapati;

Walaupun sudah kena patah balik ke kampung asal, tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Untuk bebas daripada pantang larang ihram, kena tahallul (cukur rambut) dan sembelih binatang korban apa yang mampu bagi kamu. Sembelih binatang korban itu adalah sebagai dam (denda). Itu kena dilakukan kalau sudah berniat Haji dan sudah memakai Ihram.

Dalam ayat ini, tidak disebut dengan jelas apakah binatang yang boleh disembelih. Allah ‎ﷻ hanya kata ‘yang mudah didapati’ sahaja. Iaitu dari binatang ternak – unta, lembu, kambing atau biri-biri.

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ

Dan janganlah kamu cukur kepala kamu sehinggalah sampai binatang sembelihan itu ke tempat sembelih;

Cukur kepala atau Tahallul itu menandakan kita sudah selesai daripada pantang larang ihram. Tidak boleh cukur atau gunting rambut kalau dalam ihram. Namun oleh kerana tidak boleh meneruskan kerja Haji atau Umrah kerana terhalang, maka dibolehkan. Tetapi cukur kepala itu hanya boleh dilakukan apabila binatang sudah sampai ke tempat sembelih.

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا

Maka sesiapa di antara kamu sakit

Mungkin ada yang terpaksa mencukur rambutnya awal kerana uzur.

أَوْ بِهِ أَذًى مِّنْ رَّأْسِهِ

atau terdapat sakit di kepalanya

Contohnya, kepalanya ada kutu atau apa-apa sahaja yang menyebabkan dia kena cukur rambut (tahallul) awal dari yang sepatutnya. Sebagaimana disebut pula dalam hadith Ka’ab bin ‘Ujrah ketika Nabi ﷺ lalu berdekatan dengannya, ada kutu-kutu yang jatuh daripada kepalanya, maka Nabi ﷺ bertanya kepadanya,

“Apakah kutu-kutu itu mengganggumu?” Dia menjawab, “Iya.” Nabi ﷺ bersabda, “Cukurlah rambutmu kemudian sembelihlah seekor kambing atau berpuasalah selama tiga hari atau berilah makan seukuran satu *farq untuk enam orang miskin.” (HR. Bukhari dan Muslim).

*farq = 10 kg

Jadi, ada dua sebab yang dibenarkan cukur rambut awal dari yang sepatutnya – sakit atau gangguan pada kepala.

فَفِدْيَةٌ مِّنْ صِيَامٍ

hendaklah dia membayar fidyah dengan berpuasa,

Maka boleh cukur rambut terus dan ganti dengan bayar fidyah iaitu sama ada puasa tiga hari,

أَوْ صَدَقَةٍ

atau bersedekah;

Iaitu memberi makan enam orang fakir miskin. Ini diketahui dari hadith.

أَوْ نُسُكٍ

atau menyembelih binatang

Ataupun sembelih binatang korban – sekurang-kurangnya seekor biri-biri yang sudah cukup umur.

قَالَ قَرَأْتُ عَلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ : مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الْكَرِيمِ بْنِ مَالِكٍ الْجَزَرِيِّ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ أَنَّهُ كَانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَذَاهُ الْقَمْلُ فِي رَأْسِهِ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَحْلِقَ رَأْسَهُ وَقَالَ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ أَوْ أَطْعِمْ سِتَّةَ مَسَاكِينَ مُدَّيْنِ مُدَّيْنِ لِكُلِّ إِنْسَانٍ أَوْ انْسُكْ بِشَاةٍ أَيَّ ذَلِكَ فَعَلْتَ أَجْزَأَكَ

[Abdullah bin Ahmad berkata; Saya telah membacakan kepada [Abdurrahman]: [Malik] daripada [Abdul Karim bin Malik Al Jazari] daripada [Mujahid] daripada [Abdurrahman bin Abu Laila] daripada [Ka’ab bin Ujrah], bahawa beliau pernah bersama Rasulullah ﷺ, kemudian rambut kepalanya terserang kutu. Maka Rasulullah ﷺ menyuruhnya untuk mencukur rambutnya. Lalu baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari atau berilah makan kepada enam orang miskin; dua *mud untuk setiap orangnya. Atau, kamu berkorban dengan satu kambing. Mana dari kesemua itu yang kamu kerjakan, maka ia telah menggantikannya.”]

*mud = 675 gram

فَإِذَا أَمِنْتُمْ
Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman;

Iaitu sudah boleh meneruskan buat Haji atau apabila kita pergi mengerjakan Haji itu, tidak ada masalah apa-apa yang menghalang kita daripada mengerjakannya. Kalau tidak ada halangan, maka teruskanlah mengerjakan Haji itu.

فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ
maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan hingga masa Haji,

Makna تَمَتَّعَ adalah ‘menikmati sesuatu’. Sebelum Islam, orang Arab tidak melakukan Umrah dalam bulan Haji. Bulan Haji adalah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Manakala bulan Rejab adalah bulan untuk buat Umrah.

Orang Arab pada waktu itu tidak membenarkan buat Umrah dalam bulan Haji. Sebab pada mereka, sudah ada waktu untuk buat Umrah iaitu bulan Rejab.

Tetapi Islam datang dengan membenarkan kemudahan untuk melakukan Umrah dalam bulan Haji juga. Maknanya, ia adalah kemudahan yang Allah ‎ﷻ berikan.

Ada tiga jenis Haji:

1. Tamattu’ – buat umrah dahulu, tahallul dan tinggal di Mekah dan kemudian buat Haji. Sementara tunggu waktu Haji, boleh pakai baju biasa

2. Qiran – buat Umrah bersama dengan Haji.

3. Ifrad – buat Haji dulu, kemudian buat Umrah.

Jikalau Haji Ifrad tidak perlu bayar dam tetapi jikalau mengerjakan Haji Tamattu dan Haji Qiran perlu bayar dam.

Haji Tamattu’ bermaksud bersenang lenang ataupun berseronok semasa mengerjakan Haji iaitu dimulai dengan mengerjakan umrah dahulu dan kemudian Tahallul supaya boleh keluar dari pantang larang Ihram dan tunggu masa Haji masuk. Bolehlah dia pakai baju biasa dan sebagainya. Itulah yang mudahnya.

Bila sampai waktu Haji maka niat Haji pula dan kembali pakai Ihram untuk mengerjakan Haji pula. Jadi waktu antara Umrah dan Haji itu, seseorang itu boleh berseronok bersenang-senang sahaja. Maksud ‘berseronok’ itu adalah bebas daripada pantang larang Ihram.

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ
hendaklah menyembelih Dam yang mudah didapati.

Kena bayar dam kerana kebenaran melakukan Haji Tamattu’ ini sudah memudahkan orang yang mahu melakukan ibadat umrah.

Tidak perlu pergi dua kali – sekali pergi umrah dan sekali pergi haji – boleh buat dua-dua sekali pada sekali pergi ke Mekah. Oleh kerana kemudahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu, Allah ‎ﷻ menyaratkan untuk sembelih binatang ternak. Ia adalah sebagai tanda syukur kepada Allah ‎ﷻ.

Sembelihan itu bolehlah mengikut kadar kemampuan seseorang dan bergantung jika barang yang hendak disembelih itu ada. Iaitu kena ada kemudahan duit dan kemudian binatang.

Ini kerana kadangkala ada manusia yang mempunyai duit tetapi binatang tidak ada atau binatang ada tetapi duit pula yang tiada.

فَمَنْ لَّمْ يَجِدْ
Jika kamu tidak dapati binatang ternak;

Jikalau tiada duit untuk membeli sembelihan atau jikalau sembelihan pun tiada. Sudah dicari tetapi tidak berjumpa.

فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ
hendaklah berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji;

Iaitu berpuasa tiga hari itu di Mekah.

وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ
dan tujuh hari lagi apabila balik;

Iaitu apabila balik ke Malaysia iaitu balik ke rumah. Ini hanya kepada yang tidak tinggal di Mekah. Tidak ditetapkan bila kena buat. Ikut keselesaan kepada individu itu bila dia boleh buat puasa itu.

تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ
Itulah dia sepuluh hari yang genap;

Kena lengkapkan puasa sebanyak sepuluh hari ini. Jangan kurang daripada sepuluh hari itu.

ذَٰلِكَ لِمَنْ لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Yang demikian itu bagi mereka yang bukan ahli penduduk Mekah;

Kemudahan untuk melakukan Haji Tamattu’ itu hanya diberikan kepada orang luar dari Tanah Haram sahaja.

Penghuni Tanah Haram tidak ada pilihan untuk buat Haji Tamattu’ atau Qiran, mereka kena buat Haji Ifrad.

Ini adalah kerana mereka tinggal dekat dengan Kaabah dan boleh buat Umrah bila-bila masa. Tujuannya supaya mereka tidak menyesakkan Tanah Haram masa bulan Haji.
وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan takutlah kamu kepada Allah;

Takut kepada Allah ‎ﷻ itu adalah dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Allah ‎ﷻ sudah ajar segala serbi manasik Haji, maka kenalah kita ikut. Kenalah belajar.

Benda lain boleh belajar sampai masuk Universiti, takkan benda tentang agama tidak boleh hendak belajar dan dalami?

Dan yang mampu ikut hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja kerana ada yang sudah tahu, tetapi kerana tidak bertaqwa, mereka tidak ikut.

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
dan ketahuilah sesungguhnya azab Allah itu sangat keras;

Azab Allah ‎ﷻ sangat keras kepada mereka yang melanggar hukum-Nya. Jadi, kena jaga hukum Haji yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita kerana Allah ‎ﷻ telah tetapkan hukumnya bagaimana.

Kalau buat salah dalam Haji pun Allah ‎ﷻ sudah marah, bayangkan kalau orang meletakkan berhala di Kaabah. Tentu Allah‎ ﷻ lagi murka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan