Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-183

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-183

975
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Ayat Ayat Ke-183

Ini tentang hubungan dengan Allah ‎ﷻ pula. Ayat-ayat sebelum ini sentiasa menyentuh tentang taqwa. Sekarang Allah ‎ﷻ memberikan jalan-jalan bagaimana mencapai taqwa.

Ayat-ayat yang seterusnya ini adalah tentang puasa. Semua cerita tentang puasa dimasukkan di dalam kumpulan ayat yang berterusan ini. Kemudian tidak dimasukkan di mana-mana lagi. Ini adalah sesuatu yang aneh sebenarnya. Selalunya, hukum sesuatu perkara tidak dimasukkan oleh Allah ‎ﷻ sebegini.

Selalunya hukum sesuatu perkara itu ada dalam satu surah, kemudian dimasukkan dalam surah yang lain. Namun tidak dengan hukum puasa ini. Semuanya ada dalam lima ayat ini.

Amalan puasa ini adalah untuk memperbaiki hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ. Kalau hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ baik, tentu hubungan hamba dan hamba yang lain akan jadi baik juga. Kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ tidak baik, nescaya tidak akan dijaga hubungan baik dengan makhluk yang lain.

Puasa adalah satu daripada arahan jenis Umur Muslihah. Apabila kita berpuasa, kita sanggup untuk tidak makan kerana ia adalah hukum daripada Allah ‎ﷻ. Kita sabar untuk tidak makan selama sebulan pada siang harinya, dari pagi hingga ke malam.

Maka hasilnya, Allah ‎ﷻ memberi kekuatan untuk orang yang berpuasa untuk menjaga diri mereka daripada memakan dari sumber yang haram. Inilah kebaikan puasa. Sebab itu ayat puasa ini diletakkan di celah-celah ayat-ayat tentang pengurusan harta. Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang wasiat. Pengurusan harta adalah amat penting kerana dengan sebab harta, manusia boleh masuk neraka.

Selepas ayat puasa ini, ada pula ayat tentang larangan memakan harta sesama kita dengan cara bathil. Ini memberi isyarat kepada kita, bahawa harta tidak dapat dijaga dengan baik kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ dari segi puasa ini tidak betul. Ini kerana puasa mengajar kita taqwa iaitu takut dengan hukum Allah ‎ﷻ.

Doa juga makbul semasa puasa. Termasuk semasa kita melakukan puasa sunat. Maka ambillah kesempatan untuk berdoa semasa puasa. Yakinlah yang doanya akan makbul. Oleh itu, dalam ayat-ayat puasa ini nanti, kita akan bertemu dengan ayat-ayat tentang doa.

Kita semua tentunya sudah faham dan mahir tentang puasa ini sebab dari kecil sudah mengamalkannya. Walau bagaimana pun, semua orang mempunyai tafsiran mereka sendiri tentang puasa. Kepada kanak-kanak, mereka faham puasa itu tidak boleh makan dan minum sahaja. Kepada orang dewasa, mungkin lain pula pemahaman mereka.

Tentulah tidak sama pemahaman seorang yang berilmu dan seorang yang jahil – ada yang puasa hanya kerana orang lain pun puasa juga. Maka, pemahaman tidak sama tentang apakah maksud ‘puasa’ itu. Maka, sekarang kita hendak melihat apakah maksud puasa yang dimaksudkan sendiri oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat Al-Qur’an. Tentunya kita hanya akan mendapat maklumat itu dengan membaca dan memahami ayat-ayat-Nya. Mari kita teruskan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Maka, ia ditujukan kepada kita. Allah ‎ﷻ sedang bercakap terus dengan kita. Banyak ayat-ayat yang dimulai dengan kata-kata ini. Memang seeloknya, apabila kita membaca Al-Qur’an, kita qasadkan dalam hati kita yang Allah ‎ﷻ sedang bercakap-cakap dengan kita.

Allah ‎ﷻ sebut mereka yang beriman. Jadi, siapakah mereka yang beriman itu? Itulah mereka yang beriman dengan perkara-perkara yang patut diimani. Rukun iman adalah asas kepada perkara yang perlu diimani – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada malaikat, kepada Kitab dan seterusnya. Namu ada banyak lagi perkara yang perlu diimani. Itu kena belajar baru dapat tahu.

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

difardhukan ke atas kamu puasa

Perkataan كُتِبَ asalnya diambil daripada kata ‘kitab’ yang bermaksud ‘buku’. Tetapi apabila diikuti dengan perkataan عَلَيْ, hingga menjadikan perkataan sebegini: كُتِبَ عَلَيْ, maka ia bermaksud ‘difardhukan’, atau ‘diwajibkan’. Kita boleh faham sebegini: apabila undang-undang itu telah dibukukan, bermakna ia wajib diikuti.

Kalimah الصِّيَامُ asalnya bermaksud ‘menahan diri sesuatu’ yang nafsu mahu. Seperti makan, minum, bercakap, hubungan suami isteri dan banyak lagi. Kalau perkara itu bukan nafsu yang mahu – contohnya menahan diri daripada terjun bangunan contohnya, itu tidak dikira الصِّيَامُ kerana ia bukanlah sesuatu yang diingini oleh nafsu.

Dari segi hukum syarak, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: ‘menahan diri dari makan, minum dan hubungan seks untuk beberapa waktu yang tertentu’.

Dalam bulan puasa, iman dapat melawan nafsu. Nafsu hendak makan dan hendak minum tentunya, tetapi kerana iman kita, kita dapat tahan diri kita daripada makan dan minum.

Sebenarnya, keseluruhan hidup kita adalah menahan nafsu kerana kalau kita ikut sahaja kehendak nafsu, maka hidup kita akan musnah. Macam-macam nafsu kita hendak. Sentiasa sahaja kita hendak itu dan ini. Ada yang baik seperti makan dan minum, dan ada yang tidak baik seperti hendak menipu, hendak mencuri, hendak itu dan ini.

Namun kita kena tahan nafsu kita daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Bukanlah kena tahan semua nafsu itu, kerana mana-mana keinginan nafsu yang dibolehkan oleh syarak, ia dibenarkan. Sebagai contoh, melakukan persetubuhan adalah haram tetapi dibenarkan apabila sudah menikah dengan isteri kita.

Oleh itu, keseluruhan hidup kita sebenarnya adalah puasa sebenarnya. Memang jalan ke syurga itu susah. Kena berterusan istiqamah dalam peperangan dengan nafsu. Dalam bulan Ramadhan, kekuatan iman kita dilatih untuk menundukkan nafsu dengan bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita selalu berjaya menundukkan nafsu, maka iman kita semakin kuat dan nafsu kita akan berlatih menurut iman.

Dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah ‘difardhukan ke atas kamu’. Tidak disebut siapakah yang memfardhukannya. Tentunya Allah ‎ﷻ yang memfardhukan puasa kepada kita. Namun tidak disebut dalam potongan ayat ini. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepada kita, siapakah pembuat ibadah puasa itu. Itulah cara penggunaan bahasa dalam ayat ini.

Kelebihan berpuasa

Apabila Allah ‎ﷻ memfardhukan puasa kepada kita, bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ perlukan kepada ibadat puasa kita itu. Tidak berubah sifat dan kedudukan Allah ‎ﷻ kalau kita berpuasa atau tidak. Namun, puasa itu adalah satu kelebihan untuk kita.

Terdapat banyak kelebihan dalam puasa itu. Dunia perubatan pun telah membuat kajian dan sepakat mengatakan bahawa terdapat kelebihan dalam bentuk kesihatan kepada mereka yang berpuasa. Kita menghabiskan kebanyakan daripada kehidupan kita dengan makan sepanjang hari.

Proses penghadaman dalam badan kita memerlukan rehat. Kita mendapat rehat itu dalam bulan puasa atau apabila kita puasa di bulan-bulan lain (puasa sunat).

Namun begitu, janganlah pula kita niat berpuasa itu untuk kesihatan kerana kita puasa kerana ia adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan ibadat ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Cuma kita tahu, di sebalik segala suruhan Allah ‎ﷻ itu, ada kebaikannya sebagai bonus untuk kita. Sama ada kita dapat tahu kelebihan itu atau tidak sahaja.

Kadang-kadang daripada kajian, kita dapat tahu. Tidak penting sama ada kita tahu atau tidak. Yang penting, kita kena lakukan sahaja arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Apabila kita tidak makan dan minum, fikiran dan badan kita boleh fokus kepada perkara selain daripada makan. Ini kerana apabila makan, tenaga yang diperlukan untuk menghadamkan makanan akan banyak disalurkan kepada proses menghadam makanan. Apabila sudah tidak makan, maka fikiran dan badan boleh fokus tenaga kepada ibadat, kepada memikirkan perkara-perkara yang baik.

Antaranya kita akan dapat salat dengan lebih khusyuk, membaca Al-Qur’an dengan lebih tenang, dan memikirkan makna yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Kemudian, amalan ini sepatutnya diteruskan lagi dalam bulan-bulan yang lain supaya kita tetap dapat manfaat ini.

Puasa ini adalah seperti sejenis ubat untuk kita. Kalau seorang pesakit datang kepada doktor, doktor akan beri ubat kepada pesakit itu. Doktor itu akan beri ubat yang sesuai untuk pesakit itu. Kalau sakit yang dihadapi oleh pesakit itu berat, maka ubat yang diberikan adalah jenis yang kuat.

Sebagai contoh, kalau sakit itu kanser, kadang-kadang doktor akan suruh pesakit kanser itu menjalani kemoterapi – satu jenis perubatan yang amat berat sampaikan mereka yang menjalaninya akan gugur habis segala rambutnya. Itu adalah kerana doktor hendak mematikan sel-sel kanser yang ada pada pesakit itu.

Pertamanya, kita kena terima bahawa kita memerlukan ubat. Iaitu ubat untuk iman dan roh kita. Kadang-kadang ubat yang kita kena makan adalah ubat yang kuat, ubat yang drastik. Memang, puasa adalah satu langkah yang drastik kalau kita fikirkan. Bayangkan kita kena tahan makan dan minum sepanjang hari selama sebulan.

Kalau orang kafir lihat kita, mereka memang geleng kepada dan mereka kata mereka tidak sanggup lakukan sebegini. Jadi, jangan kita sangka apa yang kita lakukan ini adalah perkara senang. Mungkin kita sudah biasa kerana kita sudah biasa puasa sejak kecil lagi.

Kita dikenakan dengan ubat yang drastik ini adalah kerana iman kita mengalami gangguan yang amat teruk sampaikan kita memerlukan langkah perubatan yang ketara. Sebagai contoh, kalau seseorang itu sakit jantung, sampai jantungnya berhenti, doktor akan memberikan kejutan elektrik untuk mengejutkan dia balik.

Kadang-kadang ubat yang diberikan juga tidak sedap – amat pahit tetapi ia adalah baik untuk kita. Namun kita menelannya juga, kerana kita hendak sihat.

Persediaan Perang

Terdapat isyarat berperang juga dalam ayat ini kerana perkataan الصِّيَامُ itu membawa satu makna ‘peperangan’ juga kepada orang Arab. Apabila mereka hendak berperang, ada yang menggunakan kuda. Namun kuda tidak tahan dahaga. Kuda tidak seperti unta yang boleh tahan tidak minum air untuk waktu yang panjang.

Namun begitu, mereka tidak boleh membawa unta untuk berperang kerana unta pergerakannya perlahan. Maka, untuk mereka menggunakan kuda juga untuk peperangan, mereka kena melatih kuda itu untuk tahan lapar dan dahaga. Oleh itu mereka akan menahan kuda daripada makan dan minum untuk beberapa lama sebagai persediaan perang. Aktiviti ini dinamakan الصِّيَامُ. Oleh itu, apabila disebut الصِّيَامُ, orang-orang Arab akan terus teringat kepada peperangan.

Kenapa pembaca Al-Qur’an diingatkan kepada peperangan? Ini kerana para sahabat akan disuruh berperang nanti untuk mendapatkan kembali Tanah Haram dan Kaabah daripada orang kafir musyrik.

كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ

sepertimana yang telah difardhukan kepada orang-orang sebelum kamu

Ini adalah hukum awal berpuasa. Kita diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas ahli Kitab sebelum itu. Ahli Kitab telah diwajibkan juga berpuasa ke atas mereka. Namun mereka telah menukar syariat yang telah diberikan kepada mereka.

Orang Yahudi contohnya, telah menukar sebulan puasa kepada beberapa hari sahaja. Orang Kristian pula telah menukar puasa mereka ke bulan yang lain daripada bulan Ramadhan dan kemudiannya mereka telah menambah bilangan hari berpuasa itu. Kemudiannya, mereka pun tidak melakukan puasa juga akhirnya.

‘Orang-orang sebelum kamu’ juga termasuklah umat-umat dahulu, seperti umat Nabi Nuh عليه السلام dan umat-umat lain. Mereka juga diwajibkan puasa. Kita tidak pasti bagaimanakah cara puasa mereka – berapa lama, berapa hari, apakah mereka tidak boleh makan sahaja, tidak boleh minum sahaja – kita tidak pasti.

Namun disebutkan puasa juga telah diwajibkan kepada mereka supaya kita tahu bahawa bukan umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diwajibkan puasa tetapi umat-umat terdahulu. Supaya senang hati kita, barulah kita tahu bahawa walaupun arahan yang diberikan kepada kita ini berat, tetapi kita tenangkan diri kerana umat-umat Islam dahulu pun sudah kena arahan yang sama juga, bukan kita sahaja.

Kalau kita meneruskan analogi puasa itu sebagai ‘ubat’, kita juga dapat manfaat dengan mengetahui bahawa ia telah diberikan kepada orang-orang yang terdahulu. Bayangkan seorang doktor menyuruh kita makan sejenis ubat. Ubat itu pula adalah ubat yang kuat. Tentulah kita akan tanya kepada doktor itu sama ada ia pernah digunakan sebelum ini.

Adakah pernah diberi kepada orang lain? Adakah ia berkesan kepada orang itu? Maka, Allah ‎ﷻ telah beri kita ketenangan fikiran dengan menyatakan bahawa ibadah puasa ini juga pernah diberikan kepada orang-orang terdahulu dan mereka telah berjaya melakukannya. Mereka juga telah mendapat manfaat daripadanya iaitu sebelum mereka meninggalkan agama mereka dan tidak melakukan puasa lagi.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu mendapat taqwa

Oleh itu, kita dapat tahu daripada ayat ini bahawa tujuan puasa diwajibkan adalah untuk menjadikan kita orang yang bertaqwa.

Tetapi, lihatlah kepada perkataan لَعَلَّكُمْ (mudah-mudahan, kamu) yang digunakan dalam ayat ini. Maksud ayat ini adalah ‘mudah-mudahan’. ‘Mudah-mudahan’ bermaksud sesuatu yang tidak pasti. Ia adalah satu harapan – harap-harap dengan menjalankan ibadah puasa ini, kita boleh mendapat ketaqwaan. Belum tentu dapat taqwa lagi.

Maka ayat ini bukanlah satu janji yang kalau berpuasa, akan dapat mencapai taqwa, tetapi ia adalah sebagai satu pengharapan. Satu pemberitahuan bahawa, untuk mendapat taqwa, hendaklah berpuasa seperti yang disuruh oleh Allah ‎ﷻ. Ini memberi kita satu motivasi kepada kita untuk berpuasa.

Perkataan تَتَّقُونَ (kamu bertaqwa) juga memberi isyarat dari segi bahasa bahawa ia adalah satu kebarangkalian kerana ia dalam fiil mudhari’ (present tense). Apabila digunakan fiil mudhari’, ia menunjukkan satu isyarat kebarangkalian. Kalau Al-Qur’an hendak menyatakan kepastian, fiil mardhi (past tense) akan digunakan.

Kenapakah ia sebagai satu kebarangkalian sahaja? Ini kerana berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak menghayati kepentingan puasa itu. Berapa ramai yang puasa tetapi mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja? Berapa ramai yang berpuasa daripada makan dan minum tetapi mereka masih lagi melakukan dosa-dosa yang ditegah?

Mereka masih lagi berbalah, berbuat dosa dan sebagainya. Malah, ada yang berpuasa, tetapi mereka tidak salat pun. Adakah mereka yang sebegitu boleh mendapat taqwa? Tentulah tidak.

Namun, untuk mencapai taqwa, hendaklah menjalankan ibadah puasa itu dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kita berusaha untuk menghayatinya. Kalau tidak berpuasa, sudah tentu tidak akan mendapat tingkatan taqwa yang kita harap-harapkan.

Kalau doktor suruh kita makan ubat, dan kita tidak makan ubat itu dengan betul, tentunya kita tidak mendapat manfaat. Katakanlah doktor suruh kita makan ubat selama dua minggu, tiap-tiap hari makan tiga kali. Tetapi kita tidak makan tiap-tiap hari, kita cuma makan ikut suka kita sahaja. Kemudian apabila kita datang jumpa doktor dan mengadu kata penyakit kita tidak sembuh, agak-agak apa doktor itu akan cakap?

Tentu dia marah kita kerana tidak makan ubat mengikut sukatan dan arahan yang diberikan, bukan? Begitulah juga dengan puasa. Kita kena mengamalkannya dengan baik, dengan cara yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan kepada kita.

Ayat sebelum ini tentang harta dan selepas ayat-ayat puasa ini, akan bertemu lagi tentang sumber pendapatan. Maka, apabila disebut tentang taqwa, salah satu taqwa yang kita perlu ada adalah dalam pengurusan harta dan sumber pendapatan. Kalau kita melakukan puasa, kita akan bertaqwa, lebih-lebih lagi dalam hal pengurusan harta.

Maksud taqwa

Maksud taqwa itu adalah amat luas sekali. Ia boleh disimpulkan sebegini: kita menjaga diri kita daripada mengecewakan diri kita dan Allah ‎ﷻ. Kita menjaga hukum yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita sedar Allah ‎ﷻ sedang memandang kita dan menilai apakah yang kita lakukan.

Kita sentiasa memikirkan apakah yang Allah ‎ﷻ kehendaki dalam keadaan itu. Sebagai contoh, ada makanan yang diberikan kepada kita, maka kalau kita seorang yang bertaqwa, kita akan memikirkan apakah hukum memakan makanan itu. Tidaklah kita terus makan sahaja.

Apabila berpuasa, kita akan merasa lapar. Tentu ada peperangan yang berlaku antara nafsu dan fizikal apabila kita berpuasa. Selalunya, apabila ada pertentangan antara fizikal dan nafsu, nafsu akan menang, bukan? Namun apabila kita berpuasa, iman yang akan menang daripada nafsu itu. Walaupun kita nampak makanan yang sedap-sedap dan air yang menyegarkan, iman kita akan tahan fizikal kita dan nafsu kita daripada makan.

Iman yang menang kali ini. Setiap hari kita akan menang dalam bulan Ramadhan. Apa yang akan terjadi kalau iman selalu menang? Iman akan jadi semakin kuat. Seperti juga kalau kita selalu menang dalam pertandingan sukan contohnya – ia akan memberi kekuatan dan keteguhan kepada semangat kita. Begitu jugalah apabila kita berpuasa.

Puasa sebagai latihan

Maka, puasa itu adalah satu latihan kepada iman kita. Apabila kita berlatih, selalunya kita akan berlatih dalam suasana yang mudah. Sebagai contoh, kalau askar, mereka akan berlatih menembak di tempat menembak sahaja – tidaklah tempat tembak itu akan tembak balik.

Ini dilakukan supaya mereka akan mendapat keyakinan dalam menembak setelah berlatih sekian lama. Begitu jugalah kalau kita berlatih dalam bulan puasa – syaitan yang membisikkan perkara buruk kepada kita diikat dalam bulan puasa supaya iman kita dapat selalu menang. Itulah rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada diri kita. Bayangkan – Allah ‎ﷻ beri kita 30 hari dalam setahun untuk melatih iman kita. Itu adalah satu peluang dan satu hadiah kepada kita.

Bayangkan kalau syaitan masih berkeliaran dan tidak diikat di bulan Ramadhan. Agaknya, kita tidak tahan puasa tiga hari pun. Sebab itu, kalau kita perasan, amat susah kalau kita puasa di luar daripada bulan Ramadhan.

Peralihan dan Sambutan

Surah Al-Baqarah ini ada berkait dengan Bani Israil. Banyak yang diperkatakan tentang mereka dalam surah ini dan kita pun telah membacanya dan membincangkannya dengan panjang lebar dari ayat ke-40 sampailah ayat ke-123.

Kita disuruh untuk melihat kepada umat Islam yang terdahulu sebelum kita. Ini kerana pada zaman mereka, merekalah umat Islam waktu itu. Mereka adalah umat pilihan pada waktu itu. Namun lihatlah bagaimana mereka telah menyalahgunakan kedudukan mereka dan telah tersalah langkah dalam kehidupan mereka.

Apabila mereka telah tidak layak lagi menjadi umat pilihan, kelebihan itu telah diambil daripada mereka dan diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Ia seperti ‘peralihan kuasa’. Namun kali ini, peralihan daripada satu umat kepada umat yang lain. Umat Nabi Muhammad ﷺlah sekarang yang memegang tampuk ‘Islam’, bukan lagi umat Bani Israil.

Apabila sesuatu kerajaan itu mengambil alih kuasa, maka mereka akan mengadakan sambutan dan mereka akan ada satu hari khas untuk mengingati peralihan kuasa itu. Seperti juga di Malaysia ini, kita menyambut ‘Hari Kemerdekaan’ kita. Lalu apakah sambutan kita apabila kita mengambil alih daripada Bani Israil?

Allah ‎ﷻ telah beri kita Ramadhan sebagai bulan sambutan untuk kita meraikan peralihan tampuk umat Islam daripada Bani Israil kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, kita boleh lihat di sini, Ramadhan itu adalah bulan sambutan sebenarnya. Kalau Hari Merdeka, sehari sahaja.

Namun Allah ‎ﷻ beri kita sebulan penuh untuk meraikan peralihan ini kerana peralihan ini adalah satu perkara yang amat besar sekali. Ia layak diraikan selama sebulan.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan