Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Kedudukan Salat dalam Islam

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Kedudukan Salat dalam Islam

170
0
Iklan

Bahagian:
A. Keutamaan Salat dan Kedudukannya dalam Islam.

B. Hukum Meninggalkan Salat.

C. Siapakah yang Wajib Salat?
Tajuk:
1. Salat Anak Kecil

Pengenalan:

Kalimah ‘salat’ daripada sudut bahasa bermaksud ‘doa’. Penggunaannya dalam bentuk doa itu terdapat dalam [ Taubah:103 ]

وَصَلِّ عَلَيهِم ۖ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُم

“Dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.”

Namun begitu kalimah itu digunakan sebagai istilah yang lain menjadi satu amalan ibadat salat yang kita kenali sekarang. Maka, definisi salat sekarang ialah: Rangkaian ucapan dan perbuatan yang diawali dengan takbir dan diakhiri dengan salam, dengan syarat-syarat tertentu.

Hukum salat adalah wajib dan banyak kali disebut dalam al-Qur’an.

A. Keutamaan Salat dan kedudukannya dalam Islam

Sebenarnya tidaklah perlu disebut tentang kepentingan salat ini kerana kita semua sepatutnya sudah tahu. Terlalu banyak salat disentuh dalam al-Qur’an dan hadith. Maka kita sentuh sedikit sahaja di sini untuk meringkaskan perbincangan.

✍🏻Selalu sangat disentuh tentang salat dan zakat dalam Qur’an seperti [ Baqarah: 110 ]

وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ

“Dan dirikanlah salat dan tunaikanlah zakat.”

Kalau kita baca al-Qur’an, kita akan perasan yang salat dan zakat sentiasa disebut. Ini kerana, dua ibadat ini adalah ibadat yang utama dalam Islam. Salat mewakili hubungan dengan Allah ‎ﷻ dan zakat pula mewakili konsep hubungan sesama makhluk.

✍🏻Allah ‎ﷻ mengajar kita salat untuk mengingati-Nya. Lihat [ Taha: 14 ]

وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكري

“Dan dirikanlah salat untuk mengingati Aku.”

Maka dalam salat, kita mestilah khusyuk supaya sedar yang kita sedang berhadapan dengan Allah ‎ﷻ dan sedang bermunajat kepada-Nya. Sedangkan menghadap sultan pun ada tertibnya tersendiri, apatah lagi berhadapan dengan Raja (Allah ‎ﷻ) sekalian alam ini.

✍🏻Allah ‎ﷻ mengajar cara berdoa kepada-Nya iaitu dengan mendirikan salat seperti yang disebut dalam [ Baqarah: 45 ]

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلاةِ

“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan salat.”

Terdapat banyak lagi ayat tentang salat yang disebut dalam al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam mestilah sedar akan kepentingan salat ini. Rasanya semua tahu amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak adalah salat. Kalau tidak melepasi bab salat, maka yang lain pun tentu akan ada masalah. Maka kalau rajin bersedekah dan pergi haji tiga kali setahun pun, belum tentu akan selamat lagi.

✍🏻Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ الصَّلَاةُ، وَأَوَّلُ مَا يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ فِي الدِّمَاءِ

“Perkara yang pertama kali dihisab adalah salat. Sedangkan yang diputuskan pertama kali di antara manusia adalah (yang berkaitan dengan) darah.”
(HR. An-Nasa’i no. 3991. Dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani رحم الله).

B. Hukum meninggalkan salat

Terdapat satu hadith ancaman yang amat menakutkan tentang salat:

✍🏻Daripada Jabir bin ‘Abdillah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ

“(Pembatas) antara seorang muslim dan kesyirikan serta kekafiran adalah meninggalkan salat.”
(HR. Muslim no. 257).

Syarah:
Hadith ini menjadi perbincangan yang amat besar di kalangan ulama’. Kalau dibaca secara literal, sesiapa yang tidak salat telah jatuh kafir. Dan memang ada ulama’ seperti Imam Ahmad رحم الله yang mengatakan mereka yang meninggalkan salat itu memang telah jatuh kufur.

Namun begitu, ulama’ berselisih pendapat sama ada terkeluar daripada Islam ataupun tidak. Dalam erti kata lain, adakah ia kufur amali ataupun iktikadi? Panjanglah pula kalau ingin dibahaskan di sini.

Maka janganlah kita terus memanggil orang yang tidak salat “wahai Kafir” kerana ‘kufur’ itu dibahagikan kepada banyak jenis pula oleh ulama’.

Ada yang membahagikan kepada 4 jenis:

1. Kufur Ingkar: tidak kenal Allah ‎ﷻ dan tidak mengakui adanya Allah ‎ﷻ.

2. Kufur Juhd: kenal Allah ‎ﷻ dan tahu Allah ‎ﷻ itu Tuhan, tetapi tidak mengaku dengan lisannya; sebagaimana Iblis.

3. Kufur Inad: kenal Allah ‎ﷻ dengan hati dan lisan, tetapi tidak masuk Islam kerana dengki; sebagaimana Abu Jahal.

4. Kufur Niifaq: sebut mengaku Allah ‎ﷻ dengan lisan, tetapi tidak percaya dengan hati.

Jadi terdapat banyak jenis ‘kufur’ itu. Ada orang yang berkata-kata dengan kalimah kufur, tetapi tidaklah dia terus menjadi kufur. Mungkin kerana dia tidak tahu yang kalimahnya itu kalimah kufur kerana jahil.

✍🏻Kembali kepada hadith di atas (pemisah antara muslim dan kufur adalah solat), Imam an-Nawawi رحم الله mengatakan:

“Sesungguhnya pemisah seseorang antara kesyirikan atau kekafiran adalah meninggalkan salat, itu bermaksud: Adapun orang yang meninggalkan salat, jika dia mengingkari kewajipannya maka dia telah kafir menurut ijma’ kaum Muslimin”.

Terkecuali apabila orang itu baru memeluk Islam dan belum sempat sesaat pun hidup bersama kaum Muslimin, sehingga belum sampai kepadanya pengetahuan tentang wajibnya salat tersebut.

Jika dia meninggalkannya kerana malas, namun dia tetap berkeyakinan bahawa salat itu wajib sebagaimana yang menimpa sebahagian besar manusia sekarang. Maka dalam hal ini para ulama’ berbeza pendapat.

✍🏻Imam Malik رحمه الله dan Asy-Syafi’iy رحمه الله serta majoriti ulama’ Salaf dan Khalaf, berpendapat bahawasanya hal itu tidak menjadikannya kafir. Namun, dia telah berbuat kefasikan dan perlu untuk bertaubat.

Jika dia bertaubat maka dia tidak dihukum. Namun, jika dia tidak mahu bertaubat maka dia dihukum mati, sebagaimana hukuman bagi penzina yang sudah pernah menikah jika tidak mahu bertaubat. Hanya saja, dia dihukum mati dengan pedang, tidak seperti halnya penzina (yang direjam).”

Syarah:
Maka kalau dilihat daripada kata-kata Imam Nawawi رحم الله ini, tidaklah terus jatuh kufur. Kebanyakan orang kita malas sahaja untuk salat, bukan tidak tahu yang ia adalah wajib.

Namun, dalam Mazhab As-Syafi’iy, kalau ditangkap orang yang malas salat itu, mesti dibunuh juga! Mungkin ramai yang tidak tahu akan hukum ini.

✍🏻Asy-Syafi’iy رحم الله berkata,

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ مِمَّنْ دَخَلَ فِي الْإِسْلَامِ قِيلَ لَهُ: لِمَ لَا تُصَلِّي؟ فَإِنْ ذَكَرَ نِسْيَانًا، قُلْنَا: فَصَلِّ إِذَا ذَكَرْتَ، وَإِنْ ذَكَرَ مَرَضًا، قُلْنَا: فَصَلِّ كَيْفَ أَطَقْتَ ؛ قَائِمًا، أَوْ قَاعِدًا، أَوْ مُضْطَجِعًا، أَوْ مُومِيًا، فَإِنْ قَالَ: أَنَا أُطِيقُ الصَّلَاةَ وَأُحْسِنُهَا، وَلَكِنْ لَا أُصَلِّي، وَإِنْ كَانَتْ عَلَيَّ فَرْضًا قِيلَ لَهُ: الصَّلَاةُ عَلَيْكَ شَيْءٌ لَا يَعْمَلُهُ عَنْكَ غَيْرُكَ، وَلَا تَكُونُ إِلَّا بِعَمَلِكَ، فَإِنْ صَلَّيْتَ، وَإِلَّا اسْتَتَبْنَاكَ، فَإِنْ تُبْت وَإِلَّا قَتَلْنَاكَ، فَإِنَّ الصَّلَاةَ أَعْظَمُ مِنَ الزَّكَاةِ

“Barangsiapa yang meninggalkan salat wajib bagi orang yang telah masuk Islam (muslim), dikatakan kepadanya : “Mengapa engkau tidak salat ?” Jika dia berkata : “Kami lupa”, maka kita katakan : “Salatlah jika engkau mengingatinya”. Jika dia beralasan sakit, kita katakan kepadanya : “Salatlah semampumu. Sama ada berdiri, duduk, berbaring, atau sekadar isyarat saja”. Apabila dia berkata : “Aku mampu mengerjakan salat dan membaguskannya, akan tetapi aku tidak salat meskipun aku mengakui kewajipannya”. Maka dikatakan kepadanya : “Salat adalah kewajipan bagimu yang tidak dapat dikerjakan orang lain untuk dirimu. Ia mesti dikerjakan oleh dirimu sendiri. Jika tidak, kami minta engkau untuk bertaubat. Jika engkau bertaubat (dan kemudian mengerjakan salat, maka diterima). Jika tidak, engkau akan kami bunuh. Kerana salat itu lebih agung daripada zakat”.
[Al-Umm, 1/281. Disebutkan juga oleh Al-Baihaqiy dalam Ma’rifatus-Sunan wal-Aatsaar, 3/117].

Kerana itulah pemimpin mestilah bertindak sebagai ayah terhadap anak-anaknya. Kalau ada anak yang meninggalkan kewajipan atau berbuat kesalahan, maka mestilah dihukum. Kalau tidak dihukum, maka anak-anak yang lain tidak takut untuk berbuat dosa.

Begitulah juga dengan salat. Kalau orang boleh meninggalkan salat tanpa dihukum, nanti akan ada yang juga bermalasan untuk salat kerana pada mereka, tiada tindakan apa-apa pun dikenakan kepada mereka.

Seperti saya katakan, banyak sangat pendapat tentang orang yang meninggalkan salat ini dan amat panjang untuk dibahaskan di sini. Perkara yang penting kita hendak sampaikan adalah salat itu amat penting dan jangan ditinggalkan. Meninggalkan salat itu adalah dosa besar dan tiada ulama’ yang tidak bersetuju dengan perkara ini.

Cuma mereka berbeza pendapat sama ada jatuh kafir ataupun tidak; boleh bunuh mereka ataupun tidak. Kalau tidak jatuh kufur pun, sudah tentu orang yang tidak salat itu sudah jatuh fasik (sentiasa melakukan dosa).

Jangan lupa bahawa ada juga pendapat yang kuat mengatakan meninggalkan salat itu menjadikan seseorang itu kufur. Mereka berpegang dengan hujah-hujah juga.

Umar bin Khattab رضي الله عنه mengatakan,

لاَ إِسْلاَمَ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ

“Tidaklah disebut Muslim bagi orang yang meninggalkan salat.”

Ketika Umar رضي الله عنه mengatakan perkataan di atas tatkala menjelang sakratul maut, tidak ada satu orang sahabat pun yang mengingkarinya. Oleh kerana itu, ada yang mengatakan hukum meninggalkan salat adalah kafir termasuk ijma’ (kesepakatan) sahabat.

Majoriti sahabat Nabi ﷺ menganggap bahawa orang yang meninggalkan salat dengan sengaja adalah kafir sebagaimana dikatakan oleh seorang tabi’in, Abdullah bin Syaqiq رضي الله عنه.
Beliau mengatakan,

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ -صلى الله عليه وسلم- لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ

“Dulu para sahabat Muhammad ﷺ tidaklah pernah menganggap suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali salat.”

Perkataan ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi daripada Abdullah bin Syaqiq Al ‘Aqliy رضي الله عنه seorang tabi’in dan Hakim mengatakan bahawa hadith ini bersambung dengan menyebut Abu Hurairah رضي الله عنه di dalamnya.

Meninggalkan salat dan tidak menjaga waktunya amatlah bahaya dan Allah ‎ﷻ telah memberikan peringatan dalam al-Qur’an pun:

✍🏻Allah ‎ﷻ berfirman,

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا

“Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang mensia-siakan salat dan menurut hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui al-Ghoyya, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal saleh.”
[ Maryam: 59-60 ]

Tafsir:
Ibnu Mas’ud رضي الله عنه mengatakan bahawa ‘ghoyya’ dalam ayat tersebut adalah sungai di Jahannam yang makanannya sangat menjijikkan, yang tempatnya sangat dalam. (Ash Sholah, hal. 31)

C. Siapa yang wajib Salat?

Salat diwajibkan ke atas setiap Muslim yang berakal dan baligh.

✍🏻Dalilnya daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar”.
[ Riwayat Abu Daud (4403) ]

Syarah:
Dari hadith ini kita dapat tahu yang selagi belum baligh, tidak diwajibkan salat bagi kanak-kanak itu.

1. Salat anak kecil

Walaupun anak yang belum baligh tidak wajib salat, tetapi walinya boleh menyuruh anaknya mengerjakan salat apabila berumur 7 tahun, dan boleh memukul mereka apabila masih tidak salat setelah berusia 10 tahun.

✍🏻Ini jelas berdasarkan hadith:

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ. وقال النووي حديث حسن رواه أبو داود بإسناد حسن.
] سنن أبي داود , كِتَاب الصَّلاةِ, بَاب مَتَى يُؤْمَرُ الْغُلامُ بِالصَّلاةِ , حديث رقم 495[

“Daripada Amru bin Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan salat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun. Apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya serta pisahkanlah tempat tidur mereka.”
(Berkata an-Nawawi رضي الله عنه, hadith hassan sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad yang hassan. No. Hadith : 495).

Syarah:
Beginilah yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa untuk melatih anak-anaknya. Kalau semasa berumur antara 7 tahun hingga 10 tahun itu mereka masih culas dalam salat, maka itu dimaafkan kerana dalam peringkat latihan.

Namun, kalau sudah 10 tahun mereka masih culas, maka langkah keras boleh digunakan (rotan mereka) tetapi kenalah diberi latihan dulu selama 3 tahun sebelumnya.

Tujuan latihan ini adalah supaya mereka sebati dengan perlaksanaan salat. Tidaklah mereka rasa berat kerana sudah terbiasa melakukannya sejak dari kecil lagi. Bahaya kalau tidak dilakukan kerana itulah kadangkala kita jumpa “kanak-kanak” yang berumur 40 tahun pun tidak salat lagi. Ini kerana ibubapanya mungkin tidak menjalankan latihan itu.

Komen dan Soalan