Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ayat Ke-48

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ayat Ke-48

260
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-46

Allah ‎ﷻ memberitahu apakah definisi orang yang khusyuk. Begitulah al-Qur’an, mulanya akan diberitahu tentang sesuatu, kemudian pada ayat yang lain akan diterangkan dengan lebih jelas lagi.

Maka dalam ayat ini kita dapat tahu apakah maksud khusyuk. Kalau pemahaman orang kita, mungkin khusyuk dalam solat itu adalah tidak sedar langsung apa yang terjadi di luar sampai kena gigit semut pun tidak terasa. Adakah begitu? Maka mari kita lihat definisi yang Allah ‎ﷻ sendiri beri.

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

الَّذِينَ يَظُنُّونَ

Orang-orang yang percaya dengan yakin;

Lafaz ‘dzan’ dalam ayat ini bermaksud ‘assume’ (menganggap), tetapi dalam masa yang sama, ia juga bermaksud ‘convinced’ – yakin.

أَنَّهُمْ مُّلَاقُو رَبِّهِمْ

bahawa sesungguhnya mereka akan berjumpa Tuhan mereka;

Mereka yakin dan sedar bahawa hakikat kehidupan ini, akhirnya akan dikembalikan untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Kita ingat yang kita tidak kekal dalam dunia ini. Bila-bila masa sahaja kita boleh dimatikan oleh Allah ‎ﷻ.

وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رٰجِعُونَ

Dan bahawasanya kepada Allah lah kembalian mereka semua;

Kita kena sentiasa ingat yang kita semua akan kembali bertemu Tuhan. Namun ramai antara kita menjalani kehidupan di dunia ini seolah-olah melupakan hakikat itu. Bagaikan tidak ingat pula untuk mati.

Orang yang khusyuk adalah mereka yang sentiasa yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka di akhirat. Apa sahaja yang terjadi sekarang di dunia adalah bersifat sementara sahaja. Kalau kita jumpa Tuhan nanti, semuanya akan menjadi ringan dan tidak ada apa-apa. Segala masalah itu akan dihilangkan. Mungkin masalah nampak besar semasa di dunia ini, tetapi ia tiada apa-apa di akhirat kelak.

Mereka tahu yang mereka akan dikembalikan kepada Tuhan untuk menerima balasan. Mereka akan menerima balasan baik dari kesabaran dan amalan mereka yang baik.

Maka tahulah kita sekarang inilah sifat khusyuk. Bukannya tidak sedar langsung apa yang terjadi semasa kita sedang solat. Itu cerita wali-wali yang entahkan benar ataupun tidak. Maka kalau begini sifat khusyuk, maka kita semua ada peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat.

Kalau hendak dijelaskan lagi sifat khusyuk, kita semua pernah ada sifat khusyuk ini (mungkin bukan dalam solat). Bayangkan seorang anak yang sedang main game. Dia terlalu khusyuk main sampai makan pun dia tidak ingat. Dan emaknya pun memanggil-manggilnya mengajak makan. Dia dengar emaknya memanggil tetapi dia lebih khusyuk bermain maka dia jawab: “Tunggu mak, sikit lagi saya nak habis, emak makan dulu”.

Maknanya, dia bukan khusyuk tidak dengar apa yang berlaku di sekelilingnya, tetapi dia tidak endahkan kerana dia lebihkan permainan game bodoh itu. Begitu jugalah kita dengan solat. Bukannya tidak dengar langsung apa berlaku, tetapi kita lebih mementingkan solat kita.

Tafsir Ayat Ke-47

Allah ‎ﷻ memperingatkan kepada Bani Israil zaman Nabi dan juga zaman sekarang, tentang segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil,

Allah ‎ﷻ menyeru kepada semua sekali golongan Bani Israil. Sekali lagi Allah ‎ﷻ memujuk mereka dengan memanggil mereka dengan gelaran yang dihormati.

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Ingatlah tentang nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu;

Iaitu diberikan kepada bangsa mereka beribu-ribu Nabi dan Rasul yang telah diutuskan kepada mereka. Mereka juga diberikan kecerdikan yang luar biasa. Dan rupa paras yang elok. Dan juga kekayaan yang melimpah-ruah.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia lah yang memberikan segala nikmat dan kelebihan itu kepada mereka. Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana bangsa Bani Israil sangka yang mereka dapat segala kelebihan itu kerana mereka bangsa terpilih, bangsa yang lain dari bangsa lain.

Allah ‎ﷻ hendak kata yang fahaman itu tidak benar, bukan mereka ada kelebihan sendiri tetapi Allah ‎ﷻ yang pilih sendiri untuk berikan kepada mereka. Bukanlah mereka mendapat kelebihan itu kerana diri mereka tetapi kerana Allah ‎ﷻ yang pilih. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang pilih, maka Allah ‎ﷻ boleh sahaja mengambil balik kelebihan yang telah diberikan kepada mereka itu dan boleh diberikan kepada orang lain.

Allah ‎ﷻ mengulangi semula perkara pertama yang disebutkan sebelum ini dalam ayat ke-40, sebagai menambahkan galakan kepada puak Yahudi. Galakan ini diberikan supaya mereka cepat-cepat beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Jangan lengahkan masa lagi.

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعٰلَمِينَ

Dan Kami telah berikan kamu kurniaan yang lebih melebihi penduduk alam (pada zamannya);

Allah ‎ﷻ berkata: Aku telah melebihkan kamu melebihi penduduk alam zaman kamu dahulu. Kamu lebih mulia daripada semua golongan dari segi keagamaan dan kekayaan. Oleh kerana kamu pernah jadi orang yang baik-baik, orang yang hebat-hebat, maka jangan pula hari ini kamu jadi orang yang ketinggalan.

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat adalah bermaksud ‘dahulu’ (past tense). Dahulu memang mereka dilebihkan dari penduduk alam yang lain. Tetapi kerana mereka telah banyak melakukan kesalahan, sampai membunuh nabi-nabi mereka, Allah ‎ﷻ tukarkan kedudukan itu kepada orang Muslim.

Makna ayat ini memang wajib ditafsirkan berdasar pengertian tersebut, mengingat umat sekarang ini (umat Nabi Muhammad ﷺ) lebih utama daripada mereka, kerana berdasarkan firman Allah ‎ﷻ yang berkhitab kepada umat ini, iaitu:

كُنتُم خَيرَ أُمَّةٍ أُخرِجَت لِلنّاسِ تَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَتَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَتُؤمِنونَ بِاللهِ

Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [ Ali Imran: 110 ].

Maka jangan kita sangka mereka itu mulia zaman berzaman. Kalau zaman sekarang tidak lagi kerana mereka sudah menjadi hina sekarang.

Tafsir Ayat Ke-48

Ayat ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi. Ayat ini diberikan supaya mereka menjadi takut dan supaya mereka cepat-cepat beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kepada al-Qur’an. Setelah dipujuk namun masih degil lagi, maka ajakan telah menjadi sedikit keras dengan diberikan dengan ancaman. Begitulah kita dengan anak kita: kalau diajak dengan baik tidak mahu dengar, maka kita beri ancaman pula kepada mereka, bukan?

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang dunia ini sementara sahaja. Semua orang akan mati akhirnya. Akhirat lah sahaja tempat yang akan kekal selama-lamanya. Tidak ada rawatan lagi di sana, jadi kena memperbetulkan diri kita semasa di dunia.

وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها شَفٰعَةٌ وَلا يُؤخَذُ مِنها عَدلٌ وَلا هُم يُنصَرونَ

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikit pun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ

Dan takutlah kamu pada hari yang tidak ada satu jiwa membela;

Sebelum ini Allah ‎ﷻ sudah memerintahkan untuk takut kepada-Nya tetapi mereka tidak takut kepada-Nya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memerli, kalau tidak takut kepada-Nya, maka sekurang-kurangnya takutlah kepada Hari Kiamat nanti. Seumpama Allah ‎ﷻ hendak perli: kalau kau boleh, kau selamatkan dirimu dari hari itu.

Pada hari itu tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan orang lain. Jangan mereka sangka mereka itu hebat sangat sampai para Nabi mereka akan selamatkan mereka pula.

عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

jiwa yang lain;

Ingatlah, tidak ada sesiapa yang boleh menolong orang lain. Pada hari akhirat kelak, seorang emak akan meninggalkan anak, suami akan meninggalkan isteri, anak tidak teringat langsung kepada emaknya, dan semua sekali hubungan tidak akan diingati pada hari itu.

Semua akan sibuk dengan diri masing-masing sahaja pada hari itu. Sampaikan seorang emak yang menyusu anaknya pun akan membuang anaknya pada hari itu. Allah ‎ﷻ berfirman dalam [ Abasa: 37 ]

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Hendaklah berjaga-jaga pada hari di akhirat. Hari yang seorang pun tidak dapat menyelamatkan mana-mana orang lain walau sedikit pun. Walaupun seorang Nabi, ataupun wali atau apa-apa sahaja, tidak dapat menyelamatkan orang lain.

Kalau di dunia, masih boleh tolong lagi kerana ada dalam usaha kita. Di akhirat, tidak akan diterima syafaat (bantuan sokongan). Hendak tolong tidak boleh, hendak jamin orang lain pun tidak boleh.

شَفٰعَةٌ

syafaat;

Syafaat dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah ‘syafaat kasih sayang’. Atau dalam bahasa Arabnya adalah ‘Syafaat Qahriyah’. Contohnya, kita ambil perumpamaan seorang raja yang sayangkan isterinya. Jadi, ada orang yang membodek isteri yang disayangi oleh raja itu untuk mendapatkan sesuatu.

Jadi, kerana raja sayangkan isterinya itu, dan isteri itu telah meminta tolong bagi pihak orang lain, mungkin raja itu akan tolong. Maknanya, dia berikan pertolongan bukan kerana orang yang meminta itu, tetapi kerana yang meminta itu adalah orang yang disayanginya iaitu isterinya. Padahal, mungkin orang yang meminta itu tidak layak untuk diberikan pertolongan.

Itu adalah perumpamaan tentang apakah yang terjadi dalam dunia. Tetapi kerajaan Allah ‎ﷻ tidak begitu. Jangan samakan kerajaan Allah ‎ﷻ dengan kerajaan manusia.

Maka, orang yang disayangi oleh Allah ‎ﷻ seperti malaikat, Nabi dan wali-wali tidak boleh memohon kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelamatkan seseorang. Katakanlah orang-orang itu memang sudah sepatutnya masuk neraka, Allah ‎ﷻ tidak akan selamatkan dia walaupun yang memohon adalah orang kesayangan-Nya. Ini tidak akan berlaku. Jangan kita samakan kerajaan di dunia dengan kerajaan Allah ‎ﷻ.

Orang-orang kafir memang tidak akan mendapat syafaat. Perihalnya sama dengan makna yang terkandung di dalam firman Allah ‎ﷻ yang lainnya, iaitu:

فَما تَنفَعُهُم شَفاعَةُ الشّافِعينَ

Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat dari orang-orang yang memberi syafaat [ Al-Muddatsir: 48 ].

Maknanya, orang mukmin masih akan mendapat syafaat daripada mereka yang boleh memberi syafaat. Tetapi orang kafir tidak akan ada harapan itu. Begitu juga dengan firman Allah ‎ﷻ kepada penghuni neraka:

فَما لَنا مِن شافِعينَ* وَلا صَديقٍ حَميمٍ

Maka kami tidak mempunyai pemberi syafaat seorang pun, dan tidak pula mempunyai teman yang akrab. [ Asy-Syu’ara: 100- 101 ]

Bani Israil sangka mereka akan diberikan syafaat kerana mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih. Tetapi Allah ‎ﷻ berkata, tidak begitu, jangan perasan. Kita pun jangan sangka sebegitu juga hanya disebabkan kita adalah umat Nabi Muhammad ﷺ, maka kita secara automatik akan mendapat syafaat daripada Nabi ﷺ. Ingatlah bukan semua yang akan mendapat syafaat. Contohnya, kalau kita mengamalkan amalan syirik dan bid’ah, kita pun tidak mendapat syafaat dari Nabi ﷺ.

وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Kalau di dunia, banyak perkara kita boleh gunakan duit untuk bayar dan dapatkan sesuatu. Ada orang sampai menggunakan rasuah untuk mendapatkan sesuatu. Mereka mungkin rasuah di sana dan di sini. Tetapi di akhirat, tidak boleh begitu. Tidak akan diambil rasuah daripada sesiapa pun. Kalau sesiapa yang ada emas sebesar bumi atau sekali ganda lagi pun tidak akan dapat menebus dirinya.

عَدْلٌ

imbuhan;

Imbuhan seperti rasuah tidak akan diterima. Tidak boleh hendak rasuah sesiapa di Mahsyar nanti. Tidak akan boleh untuk melepaskan diri dengan cara begitu. Tidak akan diterima langsung. Tidak boleh rasuah sesiapa pun pada hari itu untuk merayu bagi pihak mereka kepada Allah .

Ia mungkin boleh terjadi di dunia tapi ia tidak akan terjadi di akhirat. Ini sama seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam [ Ali Imran: 91 ]

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima daripada seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Persoalan mungkin timbul: Apakah yang boleh diberikan sebagai rasuah pada hari itu? sedangkan semua sekali tidak ada harta lagi waktu itu, pakaian pun tidak ada. Yang mereka akan beri sebagai rasuah adalah: mereka akan menawarkan keluarga mereka nanti.

Contohnya, mereka akan menawarkan supaya emak mereka dimasukkan ke dalam neraka asalkan mereka boleh masuk syurga. Begitu sekali mereka akan buat.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak boleh ditolong oleh sesiapa pun.

Semua sekali mengharap hanya belas kasihan Allah ‎ﷻ sahaja. Dan mereka tidak akan ditolong dari mana-mana arah pun. Tidak ada cara apa pun untuk membantu mereka lagi. Tidak ada harapan langsung. Melainkan kalau mendapat bantuan dari Allah ‎ﷻ sendiri.

Mungkin mereka sangka, Tuhan kasihankan mereka – tetapi itu tidak akan berlaku kerana Allah ‎ﷻ sudah berjanji untuk memberikan balasan kepada mereka di atas kesalahan yang dilakukan.

Dari ayat ini, kita boleh faham bahawa akan ada makhluk yang mendapat bantuan. Cuma mereka sahaja yang tidak mendapat bantuan.

Semua cara-cara yang digunakan semasa di dunia ini sekarang tidak boleh digunakan di akhirat nanti untuk menyelamatkan diri. Yang kita boleh harapkan hanya amalan kita semasa di dunia dan iman kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan