Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az- Zumar: Tafsir Ayat ke-71

Tafsir Surah Az- Zumar: Tafsir Ayat ke-71

478
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat Ke-71

Takhwif Ukhrawi, tentang golongan ahli neraka. Janganlah kita jadi golongan ini. Jika anda yang baca ini rasa ada sifat mereka, maka tukarlah sifat anda.

وَسيقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها فُتِحَت أَبوٰبُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم رُسُلٌ مِّنكُم يَتلونَ عَلَيكُم ءآيٰتِ رَبِّكُم وَيُنذِرونَكُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا ۚ قالوا بَلىٰ وَلٰكِن حَقَّت كَلِمَةُ العَذابِ عَلَى الكٰفِرينَ

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Tidakkah telah datang kepada kamu Rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang!” Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir.

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا

Dan akan dihalau orang-orang yang kafir itu ke arah neraka jahanam berkumpulan-kumpulan.

Ayat ini diturunkan di Mekah. Jadi orang-orang kafir yang dimaksudkan di sini adalah kafir musyrikin. Tetapi, jangan kita ingat ia hanya ditujukan kepada mereka sahaja. Mungkin ada yang ingat ini adalah hanya ditujukan kepada musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima dakwah Nabi SAW seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya sahaja.

Al-Qur’an ini bukanlah hendak menceritakan tentang mereka sahaja. Al-Qur’an hendak memberi peringatan kepada kita supaya jangan jadi macam mereka. Kalau kita jadi seperti mereka, maka kita pun akan dimasukkan ke dalam neraka sahaja.

Adakah kita ada persamaan dengan mereka? Bagaimana pula kita disamakan dengan mereka? Ketahuilah bahawa ada banyak persamaan kita dan mereka. Mereka tahu Allah SWT itu adalah Tuhan. Mereka menganggap Kaabah itu suci dan kita juga anggap begitu. Mereka menerima Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai Nabi. Mereka juga tawaf keliling Kaabah.

Mereka juga ada yang solat (peninggalan dari syariat Nabi Ibrahim), mereka iktikaf, bernazar dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik. Mereka menyembah berhala, mereka bertawassul kepada berhala, mereka memohon doa kepada selain daripada Allah SWT dan banyak lagi perbuatan syirik yang mereka buat.

Jadi, kalau kita pun buat seperti mereka juga – bertawassul, mengamalkan pantang selepas bersalin, percaya kepada perkara khurafat, ambil berkat dengan guru dan sebagainya, kita pun jadi musyrik juga dan termasuk dalam ancaman Allah SWT dalam ayat ini. Ingatlah bahawa al-Qur’an ini adalah pedoman sepanjang zaman, ia untuk mengingatkan kita pada zaman sekarang. Ia ditujukan kepada kita.

Jangan kita sangka ayat-ayat al-Qur’an ini hanya hendak menceritakan tentang kesalahan-kesalahan orang dahulu kala sahaja. Jangan ingat kita terselamat kerana kita orang Islam. Kalau kita tidak belajar dan tersilap langkah dalam kepercayaan akidah kita, kita pun boleh masuk neraka juga tidak keluar-keluar. Walaupun kita sangka kita orang Islam, walaupun kita ingat kita sudah mengamalkan amalan-amalan dalam Islam.

Kalimah وَسِيقَ dari katadasar و س ق yang bermaksud mengumpulkan sesuatu yang bercerai berai dan membawanya.

Mereka yang engkar akan diheret seperti binatang, diheret ke padang ragut dan kembali ke kandang mereka. Bayangkan keadaan apabila petang dan pengembala lembu akan menghalau ternakan mereka untuk masuk kandang kembali. Begitulah juga nanti akan dilakukan kepada manusia yang engkar dengan perintah Tuhan.

Mereka akan dimasukkan ke Neraka dalam keadaan berpuak-puak. Ikut dosa yang mereka lakukan – mereka dibahagikan ikut dosa mereka. Kita tidak pasti bagaimana pengkhususan itu – mungkin sebagai contoh, ikut kampung dan ikut masa.

Contohnya, ini kumpulan penduduk kampung Paya Jaras, tinggal pada tahun 2000 dan sebagainya. Ini adalah sebagai contoh sahaja untuk memahamkan ayat ini. Bukanlah semestinya tepat seperti yang Allah SWT akan lakukan. Allahu a’lam.

Mereka semuanya akan dihadapkan di pintu neraka. Akan dilempar dulu yang paling jahat antara kumpulan itu. Kemudian yang kurang jahat selepas dia dan selepas dia ikut tahap kejahatan. Akan dipegang kepala dan kakinya oleh malaikat, kemudian akan dilempar ke dalam jurang neraka. Jauhnya dasar neraka itu, 70 tahun baru sampai ke dasar. Semasa jatuh itu, sudah pun terbakar.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا

sehingga ketika mereka sampai ke neraka.

Mereka akan diherat ke pintu neraka kerana mereka tidak mahu hendak pergi sendiri. Sewaktu mereka sampai ke neraka, pintu neraka masih tertutup lagi. Jadi mereka kena tunggu di situ. Tunggu itu pun sudah satu siksaan. Mereka tidak tahu bilakah mereka akan masuk. Namun sudah nampak neraka itu dan azab yang ada di dalamnya.

Bayangkan, kalau kita telah nampak penjara yang kita akan masuk pun kita sudah rasa semacam. Apatah lagi kalau hendak masuk neraka. Tentunya lagi menakutkan. Tunggu pula dalam keadaan terseksa, dalam lapar dan dahaga, dalam kepanasan. Dalam surah Yaasin, telah disebutkan tangan mereka diikat dan tangan itu diikat ke leher.

فُتِحَتْ أَبْوٰبُهَا

barulah dibuka pintu neraka

Setelah sekian lama mereka diseksa dengan perasaan takut tidak tahu bilakah mereka akan dimasukkan, barulah dibuka pintu neraka itu. Maka mereka akan dimasukkan dan cara dimasukkan itu ada disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Kemudian pintu neraka itu akan ditutup rapat tidak dibuka lagi. Pintu neraka tidak terbuka, sebab tidak mahu kepanasan di dalamnya keluar.

Macam pintu penjara, hanya dibuka apabila ada yang akan dimasukkan atau hendak keluarkan seseorang.

وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا

Maka berkatalah penjaga-penjaga neraka kepada mereka.

Sebelum mereka dicampak ke dalam neraka, malaikat penjaga neraka itu akan bertanya kepada mereka. Ada 19 malaikat sahaja yang jaga neraka. Bukannya ramai pun. Walaupun tidak ramai, tetapi semua yang masuk neraka akan taat kepada malaikat. Tidak berani hendak ambil air untuk minum walau pun air ada di kaki. Walau pun mereka amat dahaga.

Seribu tahun mereka minta hendak minum baru dapat. Itu pun akan diberikan air nanah dan air peluh yang panas sampai menyiatkan muka mereka.

Kata-kata malaikat itu adalah sebagai takzib rohani – untuk tambah menyakitkan hati mereka lagi. Mereka sudahlah takut akan masuk neraka dan tubuh mereka akan diseksa dengan teruk sekali. Namun dalam masa itu, mereka akan dihina lagi oleh para malaikat mengingatkan akan kesalahan mereka. Apakah kata-kata malaikat itu?

أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ

Tidakkah pernah datang kepada kamu rasul dari kalangan kamu juga?

Selain daripada rasul-rasul itu, termasuklah juga mereka yang mengajar tauhid, kerana zaman kita sudah tidak ada rasul. Tidakkah datang kepada mereka pendakwah-pendakwah yang datang hendak mengajar mereka?

Rasul atau pendakwah itu daripada kalangan kita juga. Masyarakat Arab dahulu diberikan dengan rasul daripada kalangan mereka. Yang memahami keadaan mereka dan bahasa mereka supaya senang sampai maklumat kepada mereka. Kerana kalau dihantar bukan daripada kalangan mereka, tentulah mereka tidak tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Rasul-rasul itu.

Begitu jugalah dengan kita, kalau pendakwah itu, mestilah daripada kalangan bangsa itu juga kerana mereka kenal dan faham dengan situasi masyarakat itu. Bahasa pun senang faham.

Dan Rasul-rasul yang dipilih itu diambil daripada orang yang paling baik daripada kalangan mereka supaya mereka patutnya senang hendak ikut.

يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ ءآيٰتِ رَبِّكُمْ

yang mereka membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu.

Bukanlah para pendakwah itu telah bacakan wahyu kepada kamu? Mereka telah membacakan wahyu tanpa tambah dan tanpa dikurangkan. Apa yang ada di dalam al-Qur’an itu telah disampaikan oleh guru dan pendakwah itu.

Maknanya hendak tabligh manusia adalah dengan menggunakan ayat al-Qur’an dulu. Kemudian apabila mereka telah terima baru dibaca hadith. Bukan terus diajar dengan kitab itu dan kitab ini. Kena dimulakan dengan mengajar mereka tafsir al-Qur’an.

Namun realitinya, pengajaran tafsir al-Qur’an amat jarang di Malaysia ini. Yang ada hanyalah pengajaran kitab yang ditulis manusia yang kebanyakannya diambil dari akal manusia. Lagi menyedihkan, guru-guru dan ustaz-ustaz yang mengajar agama kepada masyarakat itu sendiri pun tidak belajar pun lagi tafsir al-Qur’an. Ini termasuklah dengan mereka yang sepatutnya menjaga agama Islam di pejabat agama, majlis agama dan sebagainya. Termasuklah dengan mufti-mufti kita sendiri pun.

Maka, tidak hairanlah berapa ramai orang Islam yang sudah keluar dari Islam, masuk agama lain. Atau kalau mereka tidak masuk agama lain pun, mereka tidak mengendahkan agama Islam ini lagi kerana guru-guru yang mengajar pun tidak tahu apakah yang mereka ajar.

Sepatutnya mereka mengajar dari ayat-ayat al-Qur’an seperti yang disebut dalam ayat ini, tetapi kerana mereka sendiri pun tidak belajar tafsir al-Qur’an, bagaimana mereka hendak mengajar tafsirnya?

وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

dan memberi peringatan kepada kamu tentang perjumpaan kamu pada hari ini

Selalu pendakwah tauhid akan mengingatkan kita tentang hal kematian. Sama ada kita buat baik atau tidak baik, kita akan bertemu juga dengan Allah SWT akhirnya untuk menerima balasan kita. Mereka akan selalu ulang perkara itu kerana banyak sekali ayat-ayat dalam al-Qur’an mengingatkan kita tentang perkara ini.

Kenapa malaikat penjaga neraka tanya macam itu? Itu juga sebagai seksaan kepada mereka. Mereka sudah tahu pun bahawa mereka telah celaka, akan dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi bila ditanya sebegitu, akan menambahkan penyesalan kepada diri mereka. Mereka akan teringat dan menyesal – kalaulah mereka dulu mendengar kata-kata Rasul, kata-kata guru yang mengajar, tentulah mereka tidak akan jadi begini.

قَالُوا بَلَىٰ

Mereka jawap: bahkan ada.

Soalan itu ditanya kepada mereka sebelum mereka dihumban ke dalam neraka. Mereka mengaku memang ada yang datang ajar dan ajak mereka kepada tauhid dan kepada Allah SWT. Tidak boleh hendak jawap yang lain. Mereka terpaksa mengaku yang benar sahaja waktu itu. Mereka tidak boleh menipu dengan kata tidak ada pendakwah yang datang kepada mereka.

Dan memang telah disebut bagaimana ada saksi yang akan membenarkan perkara itu, lalu bagaimana lagi hendak menipu? Banyak ayat-ayat dalam al-Qur’an menceritakan bagaimana penghuni syurga mengaku bahawa mereka telah didatangi oleh pemberi peringatan.

Maknanya, mereka telah dengar tetapi kenapa tidak ikut? Kerana mereka itu degil sahaja iaitu tidak ada sifat ingin tahu. Orang bukan Islam sudah tahu tentang Islam, tetapi mereka tidak ingin tahu apakah Islam itu sebenarnya. Begitu juga, orang Islam tahu tentang al-Qur’an, tetapi tidak teringin hendak tahu apakah yang disampaikan dalam al-Qur’an itu. Jadi ada persamaan antara mereka.

Maka, Allah SWT kaitkan bahawa mereka itu masuk ke dalam neraka kerana mereka tidak ada hubungan dengan wahyu Allah SWT. Allah SWT telah beritahu untuk ikut wahyu, tetapi kalau degil, maka akan masuklah ke dalam neraka.

وَلَٰكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكٰفِرِينَ

tetapi sudah tetap keputusan azab atas orang-orang kafir.

Sama ada mereka sendiri berkata, atau malaikat yang berkata: walau pun mereka telah mengaku, telah beriman pada waktu itu dengan sebenar-benar iman, tetapi keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka telah ditetapkan dan tidak akan diubah lagi.

Walaupun telah datang para pendakwah kepada mereka, mereka telah mendustakan para pendakwah itu atau degil untuk menerima dakwah daripada mereka.

Oleh kerana itu, mereka jadi kafir oleh kerana degil atau jahil. Ada dua jenis kafir – sama ada kerana dia tahu kebenaran tetapi degil untuk ikut; atau kerana dia tidak tahu kerana tidak belajar. Kafir berlaku kerana dua perkara ini sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan