Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-70 hingga Ke-75

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-70 hingga Ke-75

280
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-70

Ini adalah Ayat Zajrun (ayat teguran). Ia adalah teguran kepada Bani Israel tentang sikap mereka terhadap kitab mereka sendiri. Mereka ini teruk kerana mereka bukan menolak Al-Qur’an sahaja, tetapi kitab-kitab mereka sendiri pun mereka tolak juga.

لَقَد أَخَذنا ميثٰقَ بَني إِسرٰءيلَ وَأَرسَلنا إِلَيهِم رُسُلًا ۖ كُلَّما جاءَهُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُهُم فَريقًا كَذَّبوا وَفَريقًا يَقتُلونَ

Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian dari Bani Israil, dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul. Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, (maka) sebahagian daripada rasul-rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka bunuh.

لَقَد أَخَذنا ميثٰقَ بَني إِسرٰءيلَ

Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian daripada Bani Israel,

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia telah diambil perjanjian dengan Bani Israel itu dan mereka telah berjanji akan taat kepada wahyu yang disampaikan kepada mereka. Banyak disebut tentang perjanjian mereka dengan Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an. Maknanya, mereka bukanlah tidak tahu tentang kebenaran, tetapi mereka sengaja tolak dan buat-buat tidak tahu.

وَأَرسَلنا إِلَيهِم رُسُلًا

dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul.

Sebagai tahkik (penekanan) kepada perjanjian itu, Allah ‎ﷻ telah pilih dalam kalangan mereka, dan melantik rasul-rasul yang ramai, untuk tujuan menyempurnakan perjanjian itu. Mereka kena juga taat kepada Rasul-rasul itu. Maka, mereka ini memang telah diberi pimpinan yang lengkap sebenarnya.

كُلَّما جاءَهُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُهُم فَريقًا كَذَّبوا

Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, (maka) sebahagian daripada rasul-rasul itu mereka dustakan

Malangnya, setiap kali Rasul mereka datang membawa wahyu yang tidak sesuai dengan nafsu mereka, sebahagian rasul mereka dustakan begitu sahaja. Mereka tolak dan melawan Rasul-rasul itu.

Malangnya, begitulah juga yang dilakukan oleh masyarakat kita. Apabila ada penyebar tauhid yang datang dengan membawa maklumat wahyu yang berlainan daripada apa yang mereka faham, ramai juga yang tolak. Mereka tidak dapat menerima kebenaran yang disampaikan walaupun ia datang daripada wahyu. Mereka menggunakan juga ajaran yang telah lama mereka amalkan dan mereka dapat daripada guru-guru mereka.

وَفَريقًا يَقتُلونَ

dan sebahagian yang lain mereka bunuh

Dan sebahagian lagi mereka bunuh. Atau mereka cuba bunuh. Kalau mereka tidak dapat bunuh pun, mereka ada juga cuba membunuh. Ini memang satu perbuatan yang amat teruk sekali. Mereka sanggup buat begitu kerana mereka amat teruk. Apabila mereka tidak dapat menahan para Rasul itu menyampaikan kebenaran, mereka buat keputusan untuk bunuh sahaja.

Sikap membunuh orang yang tidak disenangi sentiasa sahaja berlaku zaman berzaman sampailah sekarang. Ia adalah tindakan yang diambil oleh orang yang terlalu jahat yang hendak menutup suara kebenaran. Kadangkala ada ulama’ ditangkap dan dipenjarakan, dan ada juga yang dibunuh.

Tafsir Ayat Ke-71

وَحَسِبوا أَلّا تَكونَ فِتنَةٌ فَعَموا وَصَمّوا ثُمَّ تابَ اللهُ عَلَيهِم ثُمَّ عَموا وَصَمّوا كَثيرٌ مِّنهُم ۚ وَاللهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Dan mereka mengira bahawa tidak akan terjadi suatu bencana pun (terhadap mereka), maka (kerana itu) mereka menjadi buta dan pekak, kemudian Allah menerima taubat mereka, kemudian kebanyakan daripada mereka buta dan tuli (lagi). Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

وَحَسِبوا أَلّا تَكونَ فِتنَةٌ فَعَموا وَصَمّوا

Dan mereka mengira bahawa tidak akan terjadi suatu bencana pun (terhadap mereka), maka (kerana itu) mereka menjadi buta dan pekak,

Walaupun perbuatan dosa mereka itu amat berat, sehinggakan ada yang sanggup membunuh Nabi-nabi mereka, tetapi mereka sangka tidak akan berlaku apa-apa fitnah ke atas mereka. Mereka sangka tidak ditimpa kesusahan pada mereka, iaitu mereka sangka mereka tidak akan dikenakan azab. Ini kerana mereka perasan mereka itu kononnya bangsa pilihan dan kesayangan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tidak terus mengenakan azab kepada mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ menangguhkannya. Lalu mereka lebih buta daripada kebenaran dan pekak kepada kebenaran – kerana tidak ada alamat-alamat yang mereka akan dihukum. Mereka rasa senang sahaja, sudah buat salah pun masih tidak jadi apa-apa kepada mereka.

ثُمَّ تابَ اللهُ عَلَيهِم

kemudian Allah menerima taubat mereka,

Kemudian Allah ‎ﷻ masih memberikan lagi peluang kepada mereka untuk bertaubat walaupun pada akhir zaman, boleh bertaubat dengan mengikut Nabi akhir zaman, iaitu mereka kena mengikut ajaran dan syariat Nabi Muhammad ﷺ. Atas sifat rahmah Allah ‎ﷻ‎, Dia boleh ampunkan segala kesalahan mereka.

ثُمَّ عَموا وَصَمّوا كَثيرٌ مِّنهُم

kemudian kebanyakan daripada mereka buta dan tuli (lagi).

Walaupun peluang untuk bertaubat sudah dibuka kepada mereka, tetapi kebanyakan daripada mereka masih buta dan pekak kepada kebenaran – masih tidak mahu mengikut Nabi akhir zaman. Hanya ada sedikit sahaja yang mahu bertaubat dan menerima ajaran Islam. Ada itu memang ada, tetapi bukan yang majoriti.

وَاللهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan

Allah ‎ﷻ ingatkan mereka bahawa Allah ‎ﷻ nampak segala apa yang mereka lakukan. Maka janganlah mereka rasa mereka selamat. Jika mereka tidak dikenakan azab di dunia, jangan sangka mereka akan terselamat di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ menangguhkan azab di dunia sahaja, tetapi nanti akan diazab di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Ke-72

Ini pula penerangan berkenaan akidah. Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang akidah sesat golongan Kristian. Dan Allah ‎ﷻ memberitahu apakah sebenarnya akidah Nabi Isa عليه السلام.

لَقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ هُوَ المَسيحُ ابنُ مَريَمَ ۖ وَقالَ المَسيحُ يٰبَني إِسرٰءيلَ اعبُدُوا اللهَ رَبّي وَرَبَّكُم ۖ إِنَّهُ مَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد حَرَّمَ اللهُ عَلَيهِ الجَنَّةَ وَمَأوٰهُ النّارُ ۖ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam”, padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu”. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun.

لَقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ هُوَ المَسيحُ ابنُ مَريَمَ

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam

Telah jelas, kafirlah orang yang mengatakan begitu. Mereka kata Allah ‎ﷻ itu adalah dalam jelmaan Nabi Isa عليه السلام: ini adalah salah satu daripada fahaman sesat Kristian. Ini berbeza dengan konsep Triniti yang kita biasa dengar. Ini kerana mereka pun ada banyak mazhab. Mazhab yang disebut dalam ayat ini adalah mengatakan Allah‎ ﷻ menjelma menjadi Nabi Isa عليه السلام dan turun ke dunia.

Akidah sebegini bukanlah asing kerana memang sudah ada dalam sejarah agama zaman berzaman. Malah dalam kalangan umat Islam pun ada akidah sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sebenarnya adalah Allah ‎ﷻ. Memang Iblis syaitan menggunakan modal yang sama sahaja zaman berzaman. Salah satunya adalah dengan mengatakan Nabi itu adalah Tuhan. Jadi kalau jahil agama, memang senang ditipu.

وَقالَ المَسيحُ يٰبَني إِسرٰءيلَ اعبُدُوا اللهَ رَبّي وَرَبَّكُم

padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu

Mereka sembah dan iktikad mereka adalah Nabi Isa ‎عليه السلام itu adalah Allah ‎ﷻ, sedangkan ia amat berlawanan sekali dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Isa عليه السلام sendiri. Baginda sendiri berkata lain daripada apa fahaman sesat mereka.

Kalimah ‘al-Masih’ adalah gelaran untuk Nabi Isa عليه السلام.

Baginda sendiri menyuruh umatnya menyembah Allah ‎ﷻ sahaja dan memang baginda sendiri pun sembah Allah ‎ﷻ sahaja, tidak pernah suruh orang lain sembah baginda. Baginda dengan jelas mengaku yang Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan/Rabb.

إِنَّهُ مَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد حَرَّمَ اللهُ عَلَيهِ الجَنَّةَ

Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga,

Apa yang mereka lakukan itu kesyirikan yang besar kerana memberi sifat Alllah ‎ﷻ kepada makhluk. Dan Nabi Isa عليه السلام telah memberi amaran kepada umatnya, sesiapa yang syirik kepada Allah ‎ﷻ, seru baginda atau sesiapa sahaja selain Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ telah mengharamkan syurga ke atas mereka.

وَمَأوٰهُ النّارُ

dan tempatnya ialah neraka,

Dan tempat akhir mereka hanyalah neraka. Mereka tidak keluar darinya. Inilah bahaya kalau ada fahaman syirik: kekal dalam neraka dan tidak akan keluar-keluar darinya. Bukan sahaja kepada agama lain; kalau umat Islam sendiri ada fahaman syirik, mereka pun akan kekal dalam neraka.

وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun.

‘Zalim’ dalam ayat ini bermaksud zalim dalam bentuk syirik. Mereka tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka. Malah, tidak akan ada pemberi syafaat untuk mereka, kerana syafaat hanya layak bagi mereka mati tanpa melakukan syirik sahaja. Maka, ini adalah amaran kepada mereka: jangan sangka ada yang akan selamatkan kamu kalau kamu membuat syirik. Nabi Isa عليه السلام yang kamu puja itu pun tidak akan tolong kamu.

Tafsir Ayat Ke-73

Sekarang kita baca ayat berkenaan akidah sesat golongan Nasrani lagi. Ini adalah golongan yang lain pula, iaitu yang memegang akidah Triniti (tiga oknum dalam satu).

لَّقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ ثالِثُ ثَلٰثَةٍ ۘ وَما مِن إِلٰهٍ إِلّا إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۚ وَإِن لَّم يَنتَهوا عَمّا يَقولونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga”, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripada Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih.

لَّقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ ثالِثُ ثَلٰثَةٍ

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang daripada yang tiga”,

Ini adalah satu lagi fahaman Kristian. Mereka kata Allah ‎ﷻ adalah salah seorang antara tiga. Ini adalah konsep Triniti yang banyak dipakai oleh puak Kristian dan ini mungkin fahaman mereka yang kita pun lebih biasa dengar. Mereka kata Tuhan itu ada tiga oknum: Tuhan Bapa, Nabi Isa dan Jibril.

Ada juga yang menggantikan Jibril dengan Maryam (perbezaan mazhab dalam Kristianisasi). Ini susah untuk dijelaskan dan orang Kristian pun tidak dapat menjelaskannya kerana mereka juga keliru. Kalau ditanya bagaimana ada tiga dalam satu… adakah satu… atau tiga? Mereka pun tidak dapat menjelaskannya.

Di dalam Kitab Bible mereka pun tidak ada disebut tentang Triniti ini. Jadi ia adalah rekaan sahaja. Apabila tidak dapat dijelaskan, akhirnya pengikut mereka disuruh percaya sahaja. Yang penting Allah ‎ﷻ tegaskan di sini yang ini pun fahaman kufur juga. Ini pengajaran bagi kita umat Islam juga: jangan reka fahaman-fahaman baru dalam agama yang tidak ada asasnya di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi. Jangan jadi seperti agama terdahulu yang diubah oleh ‘agamawan’ mereka sendiri.

وَما مِن إِلٰهٍ إِلّا إِلٰهٌ وٰحِدٌ

padahal sekali-kali tidak ada ilah selain dari ilah Yang Esa.

Inilah fahaman tauhid. Ilah itu hanya ada satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Ramai yang menjadikan selain Allah ‎ﷻ sebagai ‘ilah’ walaupun mereka tidaklah mengatakan ilah-ilah itu sebagai tuhan. Perbincangan ilah yang panjang ada terdapat dalam usul tafsir. Antara ilah yang diadakan selain daripada Allah ‎ﷻ adalah Nabi, wali dan malaikat.

Jadi dalam kes Nasrani ini, mereka mengambil Nabi (Nabi Isa عليه السلام) dan malaikat (Jibril عليه السلام yang dipanggil Ruh Kudus atau Holy Ghost) sebagai ilah mereka selain Tuhan (God the Father).

وَإِن لَّم يَنتَهوا عَمّا يَقولونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih.

Ini adalah takhwif ukhrawi (ancaman azab di akhirat) – kalau mereka tidak berhenti daripada fahaman mereka itu, mereka akan dikenakan azab yang pedih. Maka ayat-ayat sebegini perlu dijelaskan kepada puak Kristian sekarang supaya mereka boleh memikirkan kesalahan yang mereka telah lakukan dalam iktikad mereka. Kalau mereka teruskan juga, maka mereka yang akan mendapat nasib yang malang nanti.

Tafsir Ayat Ke-74

Ini adalah nasihat kepada mereka yang tidak taat sebelum ini: Setelah dengar segala hukum tentang akidah itu dan tentang manakah amalan yang salah, maka kalau ada kesalahan yang buat sebelum ini, maka taubatlah dan berhentilah daripada melakukannya. Itu yang Allah ‎ﷻ hendak daripada kita.

أَفَلا يَتوبونَ إِلَى اللَّهِ وَيَستَغفِرونَهُ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya?. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

أَفَلا يَتوبونَ إِلَى اللَّهِ

Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah

Tidakkah mereka ada peluang lagi untuk bertaubat kepada Allah ‎ﷻ? Taubat itu adalah menyesal daripada apa yang telah dilakukan dahulu dan berazam untuk tidak buat lagi. Peluang itu masih ada selagi masih hidup, maka mengapa tidak diambil peluang itu? Kenapa hendak menegakkan fahaman yang salah lagi?

Jangan jadi orang yang degil. Ada yang telah diberitahu dengan fahaman salah dengan diberikan dalil dan hujah dari wahyu, tetapi masih hendak menegakkan fahaman salah mereka. Sepatutnya sikap hendaklah terbuka – kalau sudah diberikan dalil yang sahih, maka terimalah sahaja dan tinggalkan fahaman yang salah. Kenapa lagi hendak mempertahankannya?

وَيَستَغفِرونَهُ

dan memohon ampun kepada-Nya?

Mohonlah ampun kepada Allah ‎ﷻ supaya dihapuskan dosa itu selama-lamanya. Apabila Allah ‎ﷻ hapuskan dosa itu, dosa itu tidak ada sesiapa lagi yang tahu di akhirat kelak. Tidak kiralah sudah berapa lama amalan itu dipegang dan diamalkan, minta sahajalah ampun kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kerana sudah lama buat, rasa rugi pula untuk tinggalkan begitu sahaja. Maka, walaupun seorang penganut Kristian sudah lama berpegang dengan akidah salahnya itu, hendaklah bersedia untuk bertaubat.

Maka, kena bersedia untuk sentiasa minta ampun. Malangnya, dalam akidah penganut Kristian, mereka kata pengampunan itu hanya boleh dilakukan kalau menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan, atau salah seorang daripada tiga tuhan dalam satu. Mereka kononnya kena minta ampun melalui Nabi Isa عليه السلام juga. Ini adalah fahaman yang salah. Sepatutnya kita terus meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ sahaja, bukan melalui perantaraan pun.

Kebanyakan manusia melakukan syirik kerana mereka tidak berurusan terus dengan Allah ‎ﷻ. Mereka masih juga lagi hendak menggunakan ‘wasilah’ (perantara) dalam urusan agama. Itulah sebabnya ramai yang sedekah duit kepada makam-makam tertentu, buat kenduri di kuburan tertentu dan bermacam lagi perkara syirik.

Dan apabila mereka melakukan perkara sebegitu, mereka rasa yang mereka telah selamat kerana mereka rasa mereka telah ada orang yang akan ‘jaga’ mereka. Ini adalah syirik sama sekali.

Dan kebanyakan manusia tidak mahu bertaubat dan menerima kebenaran. Pada mereka, kalau mereka terima, mereka kena ubah cara amalan mereka dan mereka tidak mahu. Mereka sudah biasa dengan apa yang mereka telah lakukan selama hari ini dan mereka tidak bersedia untuk mengubahnya.

Selalunya mereka mendapat amalan itu daripada datuk nenek mereka dan mereka tidak sanggup mengatakan amalan datuk nenek mereka dahulu itu salah. Jadi, mereka akan terus mengamalkannya. Atau mereka telah lama mendapat sesuatu amalan itu daripada guru mereka, jadi rasa rugi pula untuk ditinggalkan. Bahaya kalau ada sifat sebegini, iaitu sifat degil tidak sedar diri.

وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ suruh ambillah kesempatan untuk bertaubat selagi boleh. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ maha mengampuni. Dan Allah ‎ﷻ suka kalau hamba yang mengaku dan minta maaf kepada-Nya. Allah ‎ﷻ bersedia untuk memaafkan sesiapa sahaja.

Allah ‎ﷻ buka pintu rahmah-Nya dan menjemput semua untuk bertaubat kepada-Nya kalau ada berbuat salah. Dan kita memang ada kemungkinan telah melakukan kesalahan di masa yang lalu kerana dahulu kita tidak belajar, tidak jumpa guru yang boleh beri ajaran yang sunnah, yang datang daripada dalil yang sahih. Begitulah di negara kita ini dahulunya ajaran yang bukan sunnah yang banyak bercambah biak. Jadi tentu ada sahaja fahaman salah dalam kalangan masyarakat kita.

Tafsir Ayat Ke-75

Kalau Nabi Isa عليه السلام itu bukan tuhan, maka siapakah baginda? Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini.

مَا المَسيحُ ابنُ مَريَمَ إِلّا رَسولٌ قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ وَأُمُّهُ صِدّيقَةٌ ۖ كانا يَأكُلانِ الطَّعامَ ۗ انظُر كَيفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الآياتِ ثُمَّ انظُر أَنّىٰ يُؤفَكونَ

Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu).

مَا المَسيحُ ابنُ مَريَمَ إِلّا رَسولٌ

Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul

Nabi Isa عليه السلام itu dia adalah seorang Rasul yang mulia. Taraf baginda bukanlah terlalu tinggi sehingga ke tahap tuhan dan bukan juga hina sebagai anak zina. Ini kerana ada juga yang merendahkan baginda dengan mengatakan baginda adalah anak zina.

قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ

sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul,

Sebelum baginda dahulu pun sudah ada rasul-rasul lain. Maka, tidaklah pelik kerana baginda adalah salah seorang daripada Rasul sahaja. Baginda juga seorang hamba Allah‎ ﷻ juga dan bukan tuhan dan bukan anak tuhan. Ahli Kitab pun terima ada rasul-rasul yang lain seperti Nabi Musa عليه السلام dan sebagainya.

Rasul-rasul dahulu datang dan pergi. Ia bukanlah perkara yang pelik. Begitu juga, dengan Nabi Muhammad ﷺ, baginda juga wafat. Janganlah kerana sayang kepada Nabi Muhammad ﷺ, sampai tidak terima yang baginda pun mati juga. Yang kekal hanya Allah ‎ﷻ sahaja kerana itu adalah sifat Tuhan.

Termasuk tidak kekal hidup adalah Nabi Muhammad ﷺ. Ini penting disebut di sini kerana ada akidah sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ tidak mati – atau ada yang kata baginda dihidupkan kembali dan fahaman ini ada dalam kalangan kita (fahaman Hayati). Begitulah yang terjadi kepada puak Kristian – mereka terlalu sayangkan Nabi Isa عليه السلام sehingga mereka menaikkan taraf kedudukan baginda sebagai tuhan dan mereka sanggup kata baginda tidak mati.

Maka kena tolak fahaman itu kerana ketahuilah yang Nabi Muhammad ﷺ telah wafat. Dalilnya adalah baginda dikuburkan oleh para sahabat. Kalau belum wafat lagi, kenapa para sahabat kuburkan? Mereka pun tahu yang baginda telah wafat dan mereka telah menerima hakikat itu walaupun perit bagi mereka. Kenapa pula ada yang keluarkan akidah baru yang baginda masih hidup?

وَأُمُّهُ صِدّيقَةٌ

dan ibunya seorang yang sangat benar,

Dan ibu baginda, Maryam رضي الله عنها pula seorang yang benar dalam taat kepada Allah ‎ﷻ. Beliau taat setia kepada Allah ‎ﷻ dalam segala hal. Beliau beriman kepada Nabi Isa عليه السلام dan membenarkan kerasulan baginda.

Kedudukan Sadiqah adalah satu kedudukan yang di bawah daripada kedudukan Nabi. Jadi ayat ini menjadi dalil bahawa Maryam رضي الله عنها bukanlah seorang Nabi. Kerana itu telah disebut kedudukannya yang tertinggi yang layak baginya iaitu ‘siddiqah’. Ini juga menjadi perbincangan dalam kalangan umat kerana ada yang berpendapat beliau juga seorang Nabi namun ditolak dengan dalil dalam ayat ini.

Jadi, tidak seperti apa yang diduga oleh Ibnu Hazm رحمه الله dan lain-lainnya yang mengatakan bahawa ibu Nabi Ishaq (Sarah), ibu Nabi Musa, dan ibu Nabi Isa semuanya adalah nabi wanita. Ibnu Hazm رحمه الله mengatakan demikian dengan berdalilkan bahawa para malaikat berbicara dengan Sarah dan Maryam, seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ}

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, “Susukanlah dia.” [ Al-Qashash: 7 ]

Kata beliau, pengertian lafaz wa auhaina ini menunjukkan darjat kenabian. Tetapi menurut pendapat jumhur ulama’, Allah ‎ﷻ belum pernah mengutus seorang nabi melainkan dalam kalangan kaum laki-laki. Allah ‎ﷻ berfirman:

{وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى}

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. [ Yusuf: 109 ]

Syeikh Abul Hasan Al-Asy’ari رحمه الله telah meriwayatkan adanya kesepakatan para ulama’ akan ketetapan ini.

كانا يَأكُلانِ الطَّعامَ

kedua-duanya biasa memakan makanan.

Mereka juga makan. Oleh itu, bagaimana mungkin menjadikan mereka sebagai tuhan, sedangkan keduanya biasa makan dulu. Disebut tentang makan, kerana kalau memerlukan makanan, itu menunjukkan mereka itu manusia. Senang sahaja dalil yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ, tidak perlu diberikan dalil yang banyak. Akal yang waras akan dapat terima perkara ini.

Kalau tidak makan pun tidaklah menjadi dalil yang entiti itu adalah Tuhan juga. Ini kerana para malaikat pun tidak makan; dan mereka bukanlah Tuhan juga. Tuhan ada Sifat-Nya dan segala makhluk tidak akan dapat mencapai sifat Tuhan.

انظُر كَيفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الآياتِ

Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda,

Dengarlah dalil-dalil ini dan fikirkanlah dengan sejelasnya kerana Allah ‎ﷻ telah jelaskan kedudukan mereka dengan menggunakan bukti yang jelas dan mudah difahami. Buka pintu hati untuk menerima kebenaran. Jangan tolak terus benda-benda yang kita tidak biasa.

ثُمَّ انظُر أَنّىٰ يُؤفَكونَ

kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling

Namun begitu dengan segala bukti yang telah diberikan, bagaimana lagi mereka boleh terpesong? Begitulah perangai kebanyakan daripada manusia. Lihatlah dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita lihat mereka. Allah ‎ﷻ memberikan contoh bagaimana mereka itu masih lagi menolak walaupun diberikan dengan dalil jelas. Ini kerana ramai yang degil tetap hendak berpegang dengan akidah yang salah.

Dan lihatlah kembali bagaimana masyarakat Islam kita sendiri pun begitulah juga. Masih juga lagi berpegang dengan fahaman bid’ah dan syirik yang diamalkan oleh datuk nenek mereka dan apa yang mereka telah dapat daripada guru mereka. Apa yang telah terjadi kepada ahli kitab dahulu, terjadi juga kepada kebanyakan dalam masyarakat kita.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan