Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-37 hingga Ke-40

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-37 hingga Ke-40

245
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-37

Takhwif Ukhrawi lagi.

يُريدونَ أَن يَخرُجوا مِنَ النّارِ وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنها ۖ وَلَهُم عَذابٌ مُّقيم

Mereka ingin keluar dari neraka, padahal mereka sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya, dan mereka beroleh azab yang kekal.

يُريدونَ أَن يَخرُجوا مِنَ النّارِ

Mereka ingin keluar dari neraka,

Mereka tidak sanggup untuk menghadapi azab api neraka itu. Tentunya mereka hendak keluar. Mereka akan cuba segala upaya untuk keluar dari neraka. Mereka akan menipu, cuba memberi rasuah, menuduh orang lain menyesatkan mereka, dan pelbagai cara lagi. Tetapi adakah mereka akan berjaya?

وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنها

padahal mereka sekali-kali tidak dapat keluar darinya,

Tetapi tentunya mereka tidak dapat keluar dari neraka itu. Neraka itu bukanlah seperti penjara dunia yang kadang-kadang ada manusia yang dapat lari keluar.

Mereka akan cuba melakukan berbagai-bagai cara. Antaranya, mereka akan meminta supaya dikeluarkan sekejap sahaja walaupun seketika (sebab mereka hendak balik ke dunia dan hendak membuat kebaikan). Tetapi mereka akan kekal di dalam neraka itu dengan tidak ada harapan langsung untuk keluar.

Semasa hidup, mereka dilalaikan dengan dunia (sampai tidak bersedia untuk akhirat), mereka kumpul dan menimbunkan harta mereka dan tidak infaqkan. Akan tetapi mereka sanggup untuk memberikan segala harta dunia itu di akhirat nanti untuk menebus diri mereka. Namun begitu sudah diberitahu yang mereka tidak akan berjaya.

Begitulah malangnya nasib mereka. Mereka sibuk sangat dengan pencarian harta dunia, padahal mereka bukan dapat menggunakan pun harta dunia itu di akhirat.

قَالَ حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ ثَابِتٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يُؤتَى بِالرَّجُلِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ، فَيَقُولُ: يَا ابْنَ آدَمَ، كَيْفَ وَجَدْتَ مَضْجَعك؟ فَيَقُولُ: شَرَّ مَضْجَعٍ، فَيَقُولُ: هَلْ تَفْتَدِي بقُراب الْأَرْضِ ذَهَبًا؟ ” قَالَ: “فَيَقُولُ: نَعَمْ، يَا رَبُّ! فَيَقُولُ: كَذَبْتَ! قَدْ سَأَلْتُكَ أَقَلَّ مِنْ ذَلِكَ فَلَمْ تَفْعَلْ: فَيُؤْمَرُ بِهِ إِلَى النَّارِ”.

Hammad ibnu Salamah telah meriwayatkan daripada Sabit, daripada Anas ibnu Malik yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Seorang lelaki dalam kalangan ahli neraka dihadapkan, lalu dikatakan kepadanya, “Hai anak Adam, bagaimanakah rasanya tempat tinggalmu?” Dia menjawab, “Sangat buruk.” Dikatakan, “Apakah kamu mahu menebus dirimu dengan emas sepenuh bumi?” Dia menjawab, “Ya, wahai Tuhanku.” Maka Allah ‎ﷻ berfirman, “Kamu dusta, sesungguhnya Aku pernah meminta kepadamu yang lebih kecil daripada itu, lalu kamu tidak melakukannya” Maka dia diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim melalui jalur Mu’az ibnu Hisyam Ad-Dustuwai, daripada ayahnya, daripada Qatadah, daripada Anas dengan lafaz yang sama.

وَلَهُم عَذابٌ مُّقيمٌ

dan mereka beroleh azab yang kekal.

Mereka akan kekal di dalam neraka itu kerana mereka telah mengamalkan amalan dan fahaman yang syirik. Allah‎ ﷻ tidak akan memaafkan mereka dan tidak akan mengeluarkan mereka dari neraka. Maka, kita kena kenangkan apakah berbaloi senang di dunia tetapi rugi di akhirat?

Tafsir Ayat Ke-38

Ini adalah hukum melibatkan perbuatan mencuri tetapi ia rendah sedikit daripada hukum samun. Mungkin curi semasa orang itu tidak ada di rumah, contohnya. Jadi dalam ayat-ayat ini, Allah ‎ﷻ sedang mengajar kepada kita tentang hukum jenayah. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ memberi isyarat yang Dia sahaja yang layak memberi hukum, bukan makhluk seperti Nabi Isa عليه السلام atau ibunya.

وَالسّارِقُ وَالسّارِقَةُ فَاقطَعوا أَيدِيَهُما جَزاءً بِما كَسَبا نَكٰلًا مِّنَ اللهِ ۗ وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

وَالسّارِقُ وَالسّارِقَةُ فَاقطَعوا أَيدِيَهُما

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya

Ini adalah salah satu daripada Hukum Hudud. Dalam ayat ini, disebut lelaki dahulu sebelum perempuan. Dalam bab balaghah (ketepatan dan keindahan bahasa), ada perbincangan tentang perkara ini. Ada ketikanya, disebut perempuan dahulu, seperti dalam bab zina Surah An-Nur. Dalam surah itu, disebut perempuan dahulu kerana kalau perempuan goda lelaki, zina akan menjadi lebih mudah dan cepat. Lihat [ Nur:2 ].

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ واحِدٍ مِنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan,

Tetapi dalam bab mencuri, disebut lelaki dahulu sebab yang mahukan kepada harta selalunya adalah lelaki kerana mereka yang menanggung kehidupan keluarga mereka. Mereka yang paling berhajat kepada harta dan ada ketikanya, kalau tidak jumpa cara halal, mereka akan menggunakan cara haram. Oleh itu, lebih ramai lelaki yang mencuri kalau dibandingkan dengan wanita.

Satu lagi sebab, lelaki itu telah diberikan dengan kudrat untuk mencari rezeki dengan cara yang halal, maka apabila dia mencuri maka itu adalah suatu perkara yang berat. Sedangkan dalam bab zina, wanita itu telah diberikan dengan sifat malu yang tinggi kalau dibandingkan dengan lelaki. Maka kalau dia berzina juga, itu adalah perkara yang berat.

Selalunya dalam bab ibadah, Allah tidak sebut pun wanita kerana kalau sudah disebut lelaki, ia termasuk juga wanita. Akan tetapi dalam bab hukum hudud, Allah ‎ﷻ hendak menjelaskan supaya tidak ada kekeliruan: jika wanita mencuri, mereka akan dikenakan hukuman potong tangan juga.

Jadi jelas dalam ayat ini, hukum mencuri adalah potong tangan. Dahulu di masa Jahiliyyah hukum potong tangan ini telah berlaku, kemudian disetujui oleh Islam dan ditambahkan kepadanya syarat-syaratnya.

Dalam Undang-undang Islam, bab jenayah curi ini dan lain-lain telah lengkap dibincangkan. Sebagai contoh, kalau curi barang yang bernilai lebih daripada 10 dirham sahaja sudah dikenakan hukuman potong tangan. Sedangkan kalau ada yang mematahkan jari seorang yang lain, dia dikenakan bayaran dengan 25 ekor unta sebagai diyat. Kenapa terus dipotong, tidakkah itu perkara yang berat sekali?

Ini adalah kerana, tangan yang tidak menghargai hukum, kelima-lima jari akan dikerat begitu sahaja. Dan kalau dia ditangkap mencuri lagi, potong lagi tangan yang sebelah. Islam menetapkan yang tangan itu perlu dikerat kerana ada orang yang mencuri kerana ketagihan.

Walaupun mereka ada duit, tetapi masih hendak mencuri juga. Jadi hendaklah ditunjukkan kepada orang lain bahawa tidak elok perbuatan itu dan mesti berhenti daripada membuat perkara itu. Selain daripada itu, ia juga sebagai tanda kepada orang-orang lain bahawa mereka ini adalah pencuri dan hendaklah berjaga-jaga dengan mereka.

Namun begitu, tidaklah semua pencuri dipotong tangan mereka. Ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Antaranya, barang yang dicuri itu mestilah yang berharga 10 dirham ke atas. Dalam perkara ini terdapat khilaf antara ulama’ tentang nisabnya. Pada zaman Jahiliyyah, pencuri itu dipotong tangannya walaupun barang yang dicuri itu sedikit ataupun banyak.

Dan barang-barang itu mestilah barang yang dijaga atau dikunci. Contohnya, kalau basikal kita dibiarkan begitu sahaja, dan ada orang mencurinya, maka tidak boleh dipotong tangannya. Tetapi kalau kita sudah merantai basikal itu, dan dicuri juga, barulah boleh dipotong tangannya.

Barang yang dicuri juga mestilah ada pemilik. Kalau ia dimiliki oleh umum, maka tidak boleh dipotong tangan. Contohnya kalau mencuri dari dewan milik masyarakat maka tidak jelas siapa yang memilikinya. Dia tidak boleh dipotong tangan jika mencuri milik harta awam.

Akan tetapi hakim dalam kes pencurian yang tidak boleh dikenakan hukum hudud, hakim atau kerajaan boleh mengenakan hukum ta’zir (bukan potong tangan). Tidaklah kalau tidak boleh dipotong tangan, orang itu lepas begitu sahaja. Tetap ada hukum dikenakan kepada mereka, cuma bukanlah hukum hudud.

Jadi tidaklah bermudah-mudah sahaja untuk memotong tangan seseorang. Tidaklah benar apabila ada orang menganjing hukum hudud bila mereka kata: “Nanti Kelantan boleh buat sup tangan banyak-banyaklah sebab ramai kena potong tangan bila mereka amal hukum hudud nanti”.

جَزاءً بِما كَسَبا نَكٰلًا مِّنَ اللهِ

pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai peringatan dari Allah.

Hukuman itu sebagai seksaan ke atas apa yang mereka telah lakukan dan نَكالًا (peringatan) daripada Allah ‎ﷻ. Maksudnya, lain kali jangan dibuat lagi supaya orang yang sudah mencuri tidak mencuri lagi dan orang yang teringat hendak mencuri pun tidak berani hendak mencuri.

Oleh sebab itu urusan potong tangan ini dilakukan di khalayak ramai supaya masyarakat boleh melihat sendiri dan menjadi pengajaran bagi mereka. Ini adalah untuk membuat mereka berfikir: berbaloikah hilang tangan? Lihatlah bagaimana dengan ada hukuman ini, Tanah Arab sudah tidak ada kecurian lagi. Atau kalau ada pun, tidak banyak sedangkan dahulu memang selalu terjadi.

Allah ‎ﷻ tahu perangai kita, psikologi kita, dan Allah ‎ﷻ Maha bijaksana. Percayalah, kalau kita amalkan hukum hudud ini, ada banyak kebaikan untuk kita, sama ada kita mahu percaya atau tidak. Ia pastinya akan menakutkan orang yang menyebabkan mereka berfikir dua, tiga, empat kali sebelum hendak mencuri. Negara tempat tinggal kita akan menjadi aman.

Sedangkan kalau hukuman rekaan manusia zaman sekarang, tidak ada susah sangat pun kalau ditangkap mencuri. Siap ada yang suka duduk dalam penjara pun ada kerana mereka dapat duduk percuma dan makan percuma lagi. Siapa yang tanggung mereka? Tentulah orang-orang yang mereka curi lagi bila keluar dari penjara.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menekankan yang hukuman ini adalah من الله (daripada Allah). Maknanya penetapan hukum ini daripada Allah ‎ﷻ, dan kalau langgar, ia telah melanggar hukum Allah ‎ﷻ. Walaupun mencuri itu mengambil harta orang, tetapi dalam masa yang sama, yang mencuri itu telah melanggar hukum Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah melarang perbuatan mencuri, bukan?

Jadi hukuman ini tetap dijalankan jika orang yang mencuri itu telah ditangkap. Walaupun orang yang dicuri itu ingin memaafkan orang yang mencuri hartanya, ia tidak diterima kerana orang yang mencuri itu telah langgar hukum Allah ‎ﷻ. Ini berlainan dengan hukum Qisas. Dalam qisas, yang dizalimi masih boleh memaafkan sebelum hukum dikenakan.

وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ itu Maha Gagah Perkasa dan Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ boleh memberikan seksaan kepada sesiapa sahaja bila-bila masa sahaja. Kita tidak layak untuk mempersoalkan hukum dan ketetapan daripada Allah ‎ﷻ.

Namun begitu, Allah ‎ﷻ juga memberitahu yang Dia yang Maha Bijaksana. Maksudnya hukum ini bukanlah dibuat oleh daripada yang berkuasa, tetapi daripada yang bijaksana juga. Hukum yang Allah ‎ﷻ berikan ini akan memberi kebaikan kepada masyarakat kalau diamalkan. Dan ia boleh diamalkan zaman berzaman (bukan zaman Nabi sahaja). Jadi jangan pandang ringan hukum ini. Kalau tidak nampak kebaikannya, maknanya kita yang tidak bijaksana.

Dan Allah ‎ﷻ memberitahu juga yang sifat bijaksana ini bermakna Allah ‎ﷻ boleh menangguhkan hukuman untuk memberi peluang kepada manusia bertaubat. Allah ‎ﷻ tidak terus menghukum apabila manusia itu melakukan kesalahan. Ini kerana kalau terus diberi azab, tentulah teruk sekali manusia itu. Jadi kalau orang yang mencuri itu hendak bertaubat, dia masih boleh buat lagi sebelum dia ditangkap. Dia masih ada peluang.

Tafsir Ayat Ke-39

فَمَن تابَ مِن بَعدِ ظُلمِهِ وَأَصلَحَ فَإِنَّ اللهَ يَتوبُ عَلَيهِ ۗ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Maka barangsiapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

فَمَن تابَ مِن بَعدِ ظُلمِهِ وَأَصلَحَ

Maka barangsiapa bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri,

Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ memberitahu Dia Maha Bijaksana, yang bermaksud Dia menangguhkan hukuman azab kepada hamba-Nya. Ini memberi peluang untuk manusia yang telah tersasar jauh untuk bertaubat.

Ini peluang yang terbuka kepada yang mahu bertaubat dan memperbaiki diri mereka. Allah ‎ﷻ sanggup menerima taubat mereka. Namun harus diingatkan, penangguhan ini adalah sebelum ditangkap. Kalau sudah ditangkap, maka, masih lagi dikenakan hukuman potong tangan mereka. Ada pendapat lain yang akan disebut nanti.

‘Memperbaiki diri’ itu maksudnya hendaklah dipulangkan semula barang yang mereka curi dan meminta maaf kepada orang yang mereka curi itu. Kalau barang yang dicuri itu telah rosak, atau telah digunakan, maka hendaklah digantikan. Dan orang yang dicuri itu hendaklah bersedia untuk memaafkan.

فَإِنَّ اللهَ يَتوبُ عَلَيهِ

maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk menerima taubat hamba yang ikhlas dalam taubatnya. Dan kalau Allah ‎ﷻ sudah menerima taubat mereka, kita pun kena terima juga, janganlah kita kutuk mereka. Kadang-kadang kita suka memandang serong orang lain. Kalau ada orang yang sudah memasuki penjara, memang sampai bila-bila orang ramai tidak percaya mereka, sedangkan mereka telah bertaubat. Akibatnya mereka hendak mencari kerja pun susah. Habis apa yang mereka akan buat?

Apabila sudah tidak ada kerja yang halal, maka akhirnya mereka akan kembali semula kepada perbuatan mencuri, sebab itu yang paling senang dan itu yang mereka sudah biasa dan pandai buat. Kenapa jadi begini? Ia terjadi kerana kita memandang serong terhadap golongan ini. Ingatlah bahawa semua orang ada membuat salah, dan semua orang ada peluang untuk memulakan hidup yang baru, maka terimalah mereka.

Apakah maksud Allah ‎ﷻ menerima taubat pencuri dalam ayat ini? Adakah hukuman potong tangan tidak dijalankan? Ada ahli fiqh yang mengatakan bahawa hukuman potong tangan tetap dijalankan kerana yang dimaksudkan pengampunan adalah di akhirat sahaja, bukannya di dunia. Ini berlainan dengan hukuman samun di dalam ayat 34 sebelum ini: إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم (kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka). Jadi kalau mencuri, tetap dikenakan hukuman potong tangan juga. Jadi jangan sesekali kita panjang tangan kerana hukum yang berat dikenakan kepada kita.

إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ sanggup menerima taubat makhluk-Nya kerana Dia bersifat Maha Pengampun. Dia itu Maha Pengampun kerana Dia amat penyayang kepada hamba dan makhluk-Nya. Maka ini mengajar kita supaya kita pun kenalah cuba mengikut sifat Allah ‎ﷻ ini. Cubalah untuk menjadi seorang yang pemaaf kepada kesilapan orang lain. Kerana kita pun ada juga salah dan silap, bukan?

Tafsir Ayat Ke-40

Ayat ini ada hubungan dengan ayat ke-17 di awal surah ini. Dalam ayat itu disentuh tentang kesesatan manusia tentang Nabi Isa عليه السلام dan ibunya, Maryam رضي الله عنها. Allah ‎ﷻ hendak menegaskan bahawa kedua-dua mereka bukanlah ilah dan bukannya tuhan.

Ayat ini berkait dengan ayat-ayat sebelum ini tentang hukum yang telah diberikan-Nya kepada kita. Ramai manusia mungkin tidak nampak hukum-hukum hudud itu semua sebagai adil, mungkin ada yang rasa ia tidak sesuai untuk manusia zaman ini. Namun Allah ‎ﷻ hendak menekankan yang Dia yang memiliki alam ini, maka hukum adalah daripada Dia juga. Dia yang menentukan hukum. Dia juga yang menghukum dan memaafkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah-lah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, diseksa-Nya siapa yang dikehendaki-Nya dan diampuni-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah-lah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi,

Tidakkah kamu tahu – maknanya: tidakkah kamu yakin? Tentang apa? Yang Allah ‎ﷻlah pemilik alam langit dan bumi. Allah ‎ﷻ yang memilikinya, bukan Nabi Isa عليه السلام dan bukan juga ibunya Maryam رضي الله عنها. Mereka itu hamba yang taat, bukannya tuhan.

Maka apabila alam ini milik Dia, maka layaklah Dia menentukan hukum buat kita. Hukuman Hudud pun tidak banyak sebenarnya. Ringkasnya:

1. Jenayah merompak dipotong tangan kanan dan kaki kiri

2. Jenayah curi dipotong tangan kanan

3. Zina dikenakan dengan seratus kali sebatan (dan rejam bagi yang muhsan [telah pernah bernikah])

4. Menuduh zina tanpa bukti adalah 80 kali sebatan

5. Minum arak akan dikenakan dengan 80 kali sebatan dan ini adalah atas ijmak para sahabat.

Jadi jika dilihat dari sini memang tidak banyak hukuman yang telah ditetapkan sebenarnya. Selain daripada itu telah diberikan ruang ta’zir bagi para hakim dan penggubal undang-undang untuk menentukan hukuman yang sesuai. Di samping itu juga, syarat-syarat untuk mengenakan hukum hudud itu amatlah ketat, sehinggakan ada kemungkinan ia tidak dikenakan langsung (maka, boleh dikenakan hukum ta’zir ke atas penjenayah).

Bagi negara yang mengamalkan undang-undang Syariah ini pun jarang dilakukan hukuman hudud ke atas penjenayah. Namun kita boleh lihat amannya negara itu daripada gangguan penjenayah. Kalau di Mekah dan Madinah, kita boleh lihat peniaga boleh tinggalkan sahaja barangan jualan mereka untuk pergi salat, dan tidak ada sesiapa pun yang akan mencurinya.

Bolehkah kita lihat perkara ini berlaku di negara Barat yang mengutuk undang-undang Syariah? Pelik sebenarnya mereka itu: hendak sangat menjaga hak-hak penjenayah, sampaikan hak-hak pemilik harta tidak pula hendak dijaga. Ini sudah terbalik sampaikan penjenayah pun tidak berasa takut hendak mencuri! Pernah terjadi, seorang pencuri masuk ke rumah untuk mencuri. Di dalam rumah itu dia tergelincir. Dia telah saman tuan rumah itu, dan menang!

Dari segi perlaksanaan, undang-undang Islam lebih ketat dan lebih banyak memberi peluang kepada yang tertuduh. Lebih baik melepaskan sahaja yang tertuduh kalau tidak ada bukti yang cukup dan kukuh. Jadi, di mana kejamnya hukum Islam ini? Hanya bagi mereka yang tidak tahu tentang adilnya hukum Allah ‎ﷻ ini sahaja yang tidak nampak keberkatan yang ada di dalamnya.

Marilah kita sampaikan keindahan hukum Allah ‎ﷻ ini. Pertamanya, kena sampaikan kepada umat Islam terlebih dahulu. Ini kerana yang Muslim pun tidak tahu undang-undang yang adil di dalam agamanya sendiri! Bagi mereka, agama ini pada bab-bab ibadah sahaja. Ini amat menyedihkan.

يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

diseksa-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diampuni-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

Kuasa mutlak adalah milik Allah ‎ﷻ. Terpulang kepada Dia, siapa yang Dia hendak ampunkan dan siapa yang hendak diazab-Nya. Kuasa itu tidak ada pada Nabi Isa عليه السلام dan bonda baginda.

وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ yang berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ hendak buat apa-apa, kita tidak boleh halang, malah kita tidak boleh mempersoalkannya. Sebagai contoh, kalau Allah ‎ﷻ hendak jadikan Hari Kiamat esok, tidak ada apa yang kita boleh lakukan dan tidak ada apa yang boleh kita persoalkan. Kuasa itu ada pada Allah ‎ﷻ dan bukan pada Nabi Isa عليه السلام dan bondanya.

Kuasa Allah ‎ﷻ itulah yang menyebabkan Dia boleh menetapkan hukum apa sahaja dan kita sebagai hamba-Nya kenalah taat kepada hukum itu. Kita hanya terima dan kena redha dengan perkara ini. Kalau ada masalah, maka itu hanya kerana ada masalah dalam hati.

Antaranya orang Atheist itu tidak mahu percaya adanya Tuhan, kerana mereka tidak redha untuk menjadi hamba yang taat. Mereka hendak berbuat apa sahaja yang mereka mahu mengikut nafsu mereka. Ini amat bahaya kalau ada dalam hati kita.

Allahu a’lam

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan