Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Aali-Imran: Tafsir Ayat Pertama hingga Keempat

Tafsir Surah Aali-Imran: Tafsir Ayat Pertama hingga Keempat

237
0
Iklan

Tafsir Surah Aali-Imran

Tafsir Ayat Pertama

الم

Huruf-huruf ini dinamakan ‘Huruf muqatta’ah’ – huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Nabi ﷺ tidak beritahu dan sahabat pun tidak tanya. Padahal tugas Nabi ﷺ untuk menyampaikan apa yang patut disampaikan.

Maka, perkara ini kita tidak dapat tahu dengan sendiri dan kalau ia adalah perkara yang perlu diketahui, Nabi ﷺ pasti akan beritahu kepada kita. Akan tetapi tidak ada riwayat yang Nabi ﷺ menjelaskannya. Maka kita kena senyap tentang perkara ini dan jangan buang masa untuk mencari apakah maksudnya. Memang ada yang memberikan pendapat tetapi mereka bercakap tanpa ada dalil. Ia hanyalah pendapat mereka sahaja.

Maka, kita memulakan tafsir surah ini dengan mengatakan kita tidak tahu apakah maksudnya. Ini mengajar kita, kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu kepada kita apakah makna sesuatu itu, kita tidak akan tahu. Maknanya, kita mengharapkan ilmu daripada Allah ‎ﷻ tentang sesuatu ilmu itu. Jikalau Allah ‎ﷻ tidak mengizinkan kita tahu, maka kita tidak akan tahu.

Tafsir Ayat Ke-2

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ

Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,

Ini adalah ayat Dakwa Surah ini. Allah ﷻ menegaskan yang tiada ilah melainkan Dia. Hanya Dia sahaja yang layak dipuja, diibadati, ditaati dan tempat kita minta doa.

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

Selepas diberikan Dakwa, seterusnya Allah ‎ﷻ terus beri Dalil kenapa hanya Dia sahaja ilah. Hanya Dia sahaja ilah kerana Dia sahaja yang Maha Hidup dan tidak mati-mati. Nabi Isa عليه السلام dan Maryam رضي الله عنها sudah wafat. Begitu juga dengan manusia lain dan mana-mana makhluk pun tidak akan kekal.

Allah ‎ﷻlah sahaja Dzat yang Sedia mengurus semua makhluk-Nya, tidak ada kuasa lain. Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها tidak dapat menguruskan alam ini. Begitu juga, para wali dan para Nabi tidak menguruskan alam ini.

Tafsir Ayat Ke-3

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ

Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran,

Allah ‎ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya kita kena pelajari. Kerana Allah ﷻ yang turunkan, maka kita sebagai hamba-Nya, kenalah tahu apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan.

Kalimah نَزَّلَ maksudnya dari segi bahasa adalah: menurunkan sedikit demi sedikit. Ini adalah kerana Al-Qur’an diturunkan mengambil masa selama hampir 23 tahun. Kalau kalimah أَنزَلَ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘menurunkan’ tetapi maksudnya turunkan sekaligus. Ini adalah ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an.

Apabila bercakap tentang Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan نَزَّلَ kerana Al-Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit. Namun apabila membicarakan kitab-kitab yang lain, Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz أَنزَلَ kerana kitab-kitab itu diturunkan sekaligus. Kitab Taurat turun dalam bentuk kitab terus dan Kitab Injil dikatakan terus dimasukkan ke dalam dada Nabi Isa عليه السلام.

Allah ﷻ menegaskan yang Kitab Al-Qur’an itu adalah benar dan ia diturunkan dengan tujuan memberitahu kebenaran – iaitu kebenaran tentang Allah ‎ﷻ. Maka untuk kita tahu kebenaran, kenalah kita belajar tentang Al-Qur’an ini iaitu dengan mempelajari ilmu tafsir.

مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ

yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,

Al-Qur’an itu membenarkan ajaran akidah tauhid yang ada dalam Taurat dan Injil dan kitab-kitab yang lain. Bukanlah Allah ﷻ beritahu kitab-kitab itu sekarang benar. Ini adalah kerana semua kitab-kitab wahyu lain sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan.

Tetapi sebelum ianya diselewengkan, kitab-kitab itu juga bawa ajaran yang benar terutama sekali tentang Tauhid. Dan Allah ﷻ hendak memberitahu, sama sahaja ajaran tauhid di dalam kitab-kitab itu dengan Al-Qur’an.

وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

dan Dia juga yang menurunkan Taurat dan Injil.

Disebut Kitab Taurat dan Injil dalam ayat ini, memberi isyarat bahawa surah ini adalah tentang puak Nasara kerana mereka sahaja yang terima Taurat dan Injil. Ini kerana puak Yahudi tidak terima Injil sebagai kalam Allah ‎ﷻ.

Golongan Nasara pun kena terima Taurat juga kerana itu juga sebahagian daripada kitab mereka. Kalau dalam Bible mereka sekarang, Taurat itu adalah Old Testament dan Injil adalah New Testament.

Tafsir Ayat Ke-4

مِن قَبلُ هُدًى لِّلنّاسِ وَأَنزَلَ الفُرقانَ ۗ إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

Sebelum (Al-Qu’ran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

مِن قَبلُ

Sebelumnya,

Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini – Taurat dan Injil telah diturunkan dahulu sebelum diturunkan Al-Qur’an.

هُدًى لِّلنّاسِ

menjadi petunjuk bagi umat manusia.

Semua kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah ﷻ adalah sumber hidayah kepada manusia.

Namun, perlulah kita ingatkan di sini bahawa bukanlah Taurat dan Injil yang ada sekarang menjadi sumber hidayah kepada manusia pula kerana Taurat dan Injil yang ada sekarang bukanlah yang asli, tetapi telah ada campur tangan tambahan daripada kata-kata manusia.

Taurat dan Injil yang asal memang menjadi sumber hidayah, tetapi Taurat dan Injil yang ada sekarang, tidak. Janganlah ada pula yang menggunakan dalil ayat ini dan ayat-ayat lain yang membenarkan dua kitab itu, untuk mengatakan boleh pakai Taurat dan Injil sekarang sebagai sumber hidayah.

وَأَنزَلَ الفُرقانَ

Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan

‘Furqan’ daripada segi bahasa adalah ‘pembeza’ dan dalam ayat ini maksudnya menzahirkan mukjizat. Ini kerana Mukjizat membezakan antara manusia biasa dan para Nabi dan ia adalah sebagai bukti kenabian. Manusia akan percaya kepada Nabi (kepada yang mahu percaya) jikalau mereka menunjukkan bukti dan salah satu bukti kenabian adalah mukjizat.

Banyak kekeliruan tentang mukjizat ini. Allah ﷻ yang menzahirkan mukjizat itu, bukannya dengan kehendak Nabi. Oleh itu, mukjizat bukanlah kuasa yang ada pada para Nabi.

Sebagai contoh, kalau Nabi Musa رضي الله عنه saja-saja mengetuk laut atau sungai dengan tongkatnya untuk menyeberang laut atau sungai itu, laut atau sungai itu tidak akan terbelah.

Hanya apabila Allah ﷻ suruh dan jadikan, barulah ia terjadi. Jadi, kalau Nabi hendak buat sendiri, ia tidak akan terjadi. Oleh itu digunakan lafaz Furqan untuk membezakan antara manusia dan Nabi.

Begitu juga dengan karamah. Karamah pun ramai yang keliru. Mereka sangka karamah itu adalah kuasa para wali. Ini adalah fahaman salah yang amat besar dalam masyarakat kita.

Kena ingat yang seperti juga mukjizat bukan kuasa Nabi, karamah juga bukan kuasa wali. Hanya apabila Allah ﷻ hendak tunjukkan, baru ia akan terjadi. Maka, kalau ada orang yang dikatakan ‘wali’, dan dia boleh buat benda-benda ajaib (atas kehendak dia), itu bukan ‘karamah’, tetapi itu adalah ‘sihir’.

Furqan juga bermaksud membezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Al-Qur’an itu membezakan manakah ajaran yang benar dan ajaran yang salah. Oleh itu, apa-apa sahaja ilmu agama, hendaklah dibandingkan dengan Al-Qur’an.

Malangnya ramai mereka dalam kalangan masyarakat kita tidak belajar Al-Qur’an, tetapi terus belajar ‘agama’ dengan guru yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an pun. Maka banyak ajaran-ajaran mereka ada yang pelik dan berlawanan dengan apa yang diajar oleh Al-Qur’an.

Ini kerana apabila guru dan anak murid sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Ini adalah masalah besar dalam masyarakat kita, sampai boleh menyebabkan pecah belah dan benci membenci.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi untuk menakutkan mereka yang degil untuk beriman dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Setelah diberi dengan dakwah tetapi masih tidak mahu beriman, Allah ﷻ janjikan kepada mereka azab yang pedih di neraka kelak.

وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa

Kalimah ذُو انتِقامٍ (yang mempunyai pembalasan dendam) maksudnya Allah ﷻ boleh terus menghukum manusia dengan memberi azab kepada makhluk pada bila-bila masa sahaja yang Dia mahu. Maksudnya Allah ﷻ mempunyai kuasa itu, tetapi Allah ﷻ tidak meletak sifat-Nya sebagai al-Muntaqim (yang membalas dendam).

Maksudnya, tidak semestinya Allah ﷻ terus berikan azab-Nya sebagai balas dendam kepada manusia. Allah ﷻ mempunyai sifat-sifat lain yang tidak terus mengazab makhluk-Nya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan