Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-31 hingga Ke-33

Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-31 hingga Ke-33

530
0
Iklan

Tafsir Ayat ke-31

Kemudian Allah ‎ﷻ beritahu apakah keadaan mereka di akhirat nanti.

ثُمَّ إِنَّكُم يَومَ القِيٰمَةِ عِندَ رَبِّكُم تَختَصِمونَ

Dan sesungguhnya kamu pada hari kiamat esok di sisi Tuhan akan saling bertengkar.

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Kemudian kamu pada hari Kiamat nanti

Allah ‎ﷻ hendak beritahu nasib dan keadaan mereka di akhirat kelak. Nasib mereka tidaklah sama dengan nasib orang-orang yang beriman.

عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

akan berada di sisi Tuhan kamu berbalah bantah

Apakah bantahan yang dimaksudkan itu? Pertengkaran yang akan terjadi itu adalah antara seorang tok guru yang memberi ajaran salah kepada anak muridnya.

Pengikutnya akan berkata: “Kami anak murid kamu dahulu tetapi kita sama-sama masuk neraka, macam mana boleh jadi macam ni? Tak bolehkah engkau cari jalan keluar untuk kita semua?”

Guru mereka akan berkata: ”Kita berdua sama-sama sahaja, tidak boleh hendak buat apa dah”. Jadi dia akan cuba meminta tolong kepada malaikat penjaga neraka. Guru itu akan berkata kepada malaikat penjaga neraka: “Tidak adakah jalan keluar bagi kami? Boleh tak kau ringankan satu hari sahaja azab ini? Kalau hari-hari lain hendak azab pun tidak mengapalah, cuma hari ni sahaja kau kurangkan. Tolonglah kami”.

Kata malaikat: “Kami tidak disuruh untuk kurangkan azab. Kerja kami adalah untuk azab kamu sahaja”.

Bayangkan untuk berjumpa / bercakap dengan malaikat itu sahaja mengambil masa selama seribu tahun lamanya meminta baru malaikat itu menoleh. Baru ditanya apakah yang mereka hendak.

Namun, mereka sudah terlambat, tidak ada apa lagi yang dapat mereka lakukan. Jadi, mereka akan terus bertengkar sesama mereka. Barulah mereka menyesal kerana mengikut arahan guru-guru mereka yang mengajar bukan dari Al-Quran dan sunnah.

Juga bermaksud perbalahan sesama manusia yang berterusan dari dunia sampai akhirat sehingga yang dizalimi akan mendapat haknya.

✍🏻Hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ -يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو-عَنْ يَحْيَى بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حَاطِبٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنِ الزُّبَيْرِ بْنِ الْعَوَّامِ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ السُّورَةُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ} قَالَ الزُّبَيْرُ: أَيْ رَسُولَ اللَّهِ، أَيُكَرَّرُ عَلَيْنَا مَا كَانَ بَيْنَنَا فِي الدُّنْيَا مَعَ خَوَاصِّ الذُّنُوبِ؟ قَالَ: “نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَ عَلَيْكُمْ، حَتَّى يُؤدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقِّ حَقُّهُ”. قَالَ الزُّبَيْرُ: وَاللَّهِ إِنَّ الْأَمْرَ لَشَدِيدٌ

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Amr, dari Yahya ibnu Abdur Rahman ibnu Akhtab, dari Abdullah ibnuz Zubair, dari Az Zubair ibnul Awwam رضي الله عنه yang telah mengatakan bahawa ketika diturunkan kepada Rasulullah ﷺ ayat berikut iaitu firman-Nya: Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan berbantah-bantahan di hadapan Tuhanmu. (Az-Zumar: 30-31) Az-Zubair رضي الله عنه bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, apakah akan diulang terhadap kita apa yang terjadi di antara sesama kita ketika di dunia disertai dengan dosa-dosa yang khususnya?” Rasulullah ﷺ menjawab: Benar, sungguh akan diulang terhadap kalian (persengketaan itu) hingga Allah ‎ﷻ menunaikan kepada orang yang berhak akan haknya. Az-Zubair رضي الله عنه berkata, “Demi Allah ‎ﷻ, sesungguhnya urusannya benar-benar sangat keras.”

Imam Tirmizi رحمه الله meriwayatkan hadith ini melalui hadith Muhammad ibnu Amr dengan sanad yang sama. Beliau mengatakan bahawa hadith ini sahih.

Oleh kerana itu, janganlah kita berlaku zalim kepada manusia dengan tidak memberikan hak mereka. Jangan kita berbuat salah dengan orang lain, jangan kita berhutang dan tidak membayarnya. Ini kerana nanti manusia boleh meminta hak mereka di hadapan Allah ‎ﷻ dan akan diadili dengan adil. Maka akan ada orang yang akan menjadi ‘muflis’.

✍🏻Hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أتَدْرُونَ مِن الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه dari Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah ﷺ, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.” Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditompukkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)”
(HR Ahmad No: 8062)

Status: Hasan Sahih

Tafsir Ayat ke-32

Ayat zajrun.

۞ فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَبَ عَلَى اللهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدقِ إِذ جاءَهُ ۚ أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِّلكٰفِرينَ

Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللهِ

Siapakah yang lebih zalim dari seorang yang yang mengada-ngadakan kebohongan terhadap Allah.

Apakah yang dimaksudkan dengan makna أَظْلَمُ?: Maksudnya, paling zalim. Tidak ada yang lebih zalim daripada orang itu. Jadi ini bukan perkara yang ringan kerana Allah ‎ﷻ berkata mereka itu ‘zalim’. Siapakah jenis orang yang dimaksudkan itu?

Ia adalah tentang orang yang berdusta atas nama Allah ‎ﷻ. Ada yang mengajar tentang tawassul dalam berdoa, iaitu menyeru roh-roh Nabi, wali dan malaikat dalam doa mereka, kemudian katakan ia ada dalam agama. Padahal tawassul sebegitu tidak ada dalam agama. Orang yang tidak belajar, mereka mengikut sahaja kata-kata mereka yang mengatakan tawassul sebegitu ada dalam agama. Oleh sebab itu mereka tidak tinggalkan. Ini kerana mereka sangka ia sebahagian dari agama. Sedangkan ia adalah pembohongan atas nama Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ berkata tidak ada yang lebih zalim daripada mereka yang sebegitu. Musyrikin Mekah berkata malaikat-malaikat itu adalah anak perempuan Allah ‎ﷻ; mereka kata ada lagi ilah-ilah lain selain Allah ‎ﷻ, bukan Allah ‎ﷻ seorang sahaja. Maka kerana itu mereka bertawassul dengan para malaikat itu.

Mereka kata Allah ‎ﷻ hendak memberikan pahala atas sesuatu ibadat, tetapi tidak pun pernah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ atau Nabi. Mereka sahaja yang pandai-pandai cakap. Contohnya, masyarakat Islam di nusantara ini amat suka mengadakan Majlis Tahlil. Mereka kata ia adalah baik dari segi agama.

Mereka kata itu adalah amalan dalam agama Islam padahal ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan sahabat. Namun mereka melakukannya juga tanpa dibawakan dalil yang sah. Sepatutnya perbuatan itu adalah haram dilakukan kerana tidak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan para sahabat, tetapi mereka mengatakannya adalah sunat pula.

Satu lagi perkara dusta yang mereka selalu katakan adalah tentang ‘berkat’. Mereka kata boleh mengambil berkat dari Nabi ﷺ, tok guru, dengan orang yang baru balik dari Mekah dan macam-macam lagi. Semua itu adalah kerana mereka keliru dengan hal ‘berkat’. Hal berkat ini ada disebutkan dalam Surah al-Mulk.

Kalau berdusta sesama kita pun, kita sudah marah. Contohnya kita kata si A cakap begini, begitu, tetapi A tidak pernah cakap begitu pun. Kalau A dapat tahu kita mengatakan sesuatu yang dia tidak pernah cakap pun dia akan marah. Orang kafir sendiri pun tidak suka kalau mereka berdusta sesama sendiri. Inikan pula berdusta kepada Tuhan sendiri.

Maksud berdusta di sini adalah ‘berdusta atas nama Allah ‎ﷻ’. Contoh dusta diantaranya mereka berkata sesuatu itu dari Qur’an padahal bukan dari Qur’an atau mereka berkata perkara sunat sebagai wajib. Selain itu mereka berkata satu-satu amalan itu boleh dapat pahala tetapi Allah ‎ﷻ atau Nabi ﷺ tidak pernah cakap pun.

Mereka mencipta selawat yang tidak pernah diajar dalam Al-Quran atau mereka mengamalkan amalan yang tidak ada dalil. Apabila kita tegur dan kata tidak boleh membuat perkara itu, mereka kata tidak pernah pula Nabi ﷺ larang. Padahal sepatutnya, kalau mahu membuat sebarang amalan, mestilah ada dalil dari Al-Quran atau hadis.

Itu bermakna, mereka yang bercakap begitu tidak faham tentang hukum sesuatu amalan itu. Mereka juga kata tentulah Allah ‎ﷻ akan berikan pahala kerana mereka buat amalan itu ‘ikhlas’. Ini bermakna, mereka tidak faham apakah maksud ‘ikhlas itu.

Banyak amalan yang selalu diamalkan oleh masyarakat kita sebenarnya bukan dari agama. Sebagai contoh, selepas iqamah tidak ada doa, yang ada hanyalah doa selepas azan. Namun, tidak ada dalil yang sahih mengatakan ada doa selepas iqamah. Kalau ada yang kata ada doa selepas iqamah, maka mereka telah ‘berdusta’. Kalau ada imam yang membaca doa selepas iqamah, maka kita boleh tahu bahawa mereka jahil tentang hadith.

Amat malang sekali apabila sesuatu amalan yang bukan dari agama itu dibuat atau dipelopori oleh mereka-mereka yang dianggap oleh masyarakat sebagai ‘ahli agama’. Mereka itulah imam, ustaz, tok bilal dan tok siak masjid. Maka, apabila mereka membuat amalan tersebut, masyarakat yang jahil sangka itulah agama. Padahal, ia bukan dari agama.

Selepas iqamah juga tidak ada bacaan apa-apapun sampailah takbir imam tetapi ada yang membaca doa-doa tertentu, baca surah an-Nas dan sebagainya. Itu semua tidak ada ajaran dari Nabi ﷺ ‎dan para sahabat. Berhentilah dari buat sebegitu lagi. Janganlah kita buat amalan yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Jangan kita ingat yang baca doa itu baik, maka baik untuk baca doa atau ayat Al-Quran di situ. Sesuatu amalan itu perlu dilakukan sesuai dengan keadaan dan tempat, bukan pakai buat sahaja.

Selain itu, ada juga wirid-wirid atau zikir yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ yang diamalkan oleh ramai orang dalam masyarakat kita. Mereka mengatakan kalau mengamalkan zikir-zikir itu dapat pahala, padahal zikir-zikir itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Ini adalah amat bahaya kerana ada wirid-wirid itu yang salah dan menyebabkan boleh terjadi syirik kalau diamalkan.

Antara zikir yang biasa kita dengar dibaca adalah: “La ilaha illallah, Muhammadur Rasululllah”. Itu selalu sangat kita dengar tetapi ia adalah salah kerana tidak boleh kita berzikir kepada Nabi ﷺ bersama dengan Allah ‎ﷻ. Amalan zikir hanya boleh dilakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Namun, dalam zikir yang kita sebut ini, ia adalah zikir kepada Allah ‎ﷻ dan kepada Nabi Muhammad ﷺ juga. Itu adalah satu kesalahan kerana tidak boleh berzikir kepada Nabi ﷺ.
وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ

dan berdusta tentang kebenaran, tatkala didatangkan kepada mereka.

Mungkin mereka yang mengamalkan amalan yang salah seperti tawassul itu adalah kerana mereka jahil dalam agama. Mereka pun tidak belajar tafsir Al-Quran, tidak berguru dengan guru dan ustaz yang sunnah. Maka kerana itu mereka senang ditipu oleh syaitan. Namun apabila ada yang menegur, mereka tidak mahu menerima kebenaran apabila disampaikan kepada mereka, sebab tidak sama dengan amalan-amalan yang selama ini mereka lakukan.

Kebenaran yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: Al-Quran. Apabila maksud Al-Quran dibacakan kepada mereka, tidak terima ia sebagai kebenaran. Mereka berkata ajaran Al-Quran yang kita bawa ini bukan ajaran sebenar. Mereka berkata kita salah tafsir pula. Padahal mereka yang tidak belajar tafsir Al-Quran secara benar. Oleh sebab tidak sama dengan pemahaman mereka, maka mereka kata kita yang salah tafsir pula.

Walaupun kita sudah membawakan ayat-ayat Al-Quran sebagai dalil dan mereka pun tahu Al-Quran itu adalah kebenaran daripada Allah ‎ﷻ, mereka masih tidak mahu terima. Ini adalah satu kesalahan yang amat-amat berat. Tidak sama kalau kita menidakkan kata manusia dengan kita menidakkan kata Allah ‎ﷻ. Ini kerana dengan kita menidakkan Al-Quran, kita telah menidakkan Allah ‎ﷻ. Mereka yang buat begini selalunya adalah orang kafir sahaja.

أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكٰفِرِينَ

Tidakkah neraka jahanam itu tempat tinggal yang sesuai kepada orang kafir seperti ini?

Dalam ayat ini, kita boleh lihat bahawa Allah ‎ﷻ mengatakan orang-orang sebegini adalah orang-orang ‘kafir’. Bukan kita yang cakap, tetapi Allah ‎ﷻ sendiri yang berkata sedemikian.

Perkataan مَثْوًى adalah bermaksud ‘generasi demi generasi’ yang akan duduk dalam neraka jahannam itu. Mereka akan tinggal beramai-ramai di dalamnya. Maknanya, tinggal lama sungguh dalam neraka itu.

Perkara yang tidak ada dalam ajaran Islam tetapi diada-adakan, dinamakan bid’ah. Membuat amalan yang baru itu sudah seperti menggantikan kerja Nabi ﷺ. Sebab Nabi ﷺlah yang memberitahu kita apakah ibadah yang boleh dilakukan. Bila kita kata sesuatu ibadah itu adalah syariah, maknanya kita sudah mengambil alih kerja Allah ‎ﷻ dan kerja Nabi ﷺ.

Itu adalah satu kesalahan yang amat berat dan tempat untuk mereka yang sebegini adalah di neraka jahannam. Maka, berhati-hatilah dengan amalan yang kita buat. Begitu juga, kalau kita tidak reka, kita janganlah pula amalkan amalan-amalan itu. Jangan kita panjangkan lagi amalan itu. Cukuplah sudah orang dahulu sebelum kita amalkan, jangan kita pula mengamalkannya.

Tafsir Ayat ke-33

Ayat ini pula tentang orang yang berlawanan dengan orang yang disebut dalam ayat sebelum ini. Ayat ini ditujukan kepada orang yang sebar agama, sebagai pujukan dan syabas kepada mereka, di mana mereka dijanjikan akan mendapat pahala yang berterusan.

وَالَّذي جاءَ بِالصِّدقِ وَصَدَّقَ بِهِ ۙ أُولٰئِكَ هُمُ المُتَّقونَ

Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum agama) serta ia (dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.

وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ

Dan yang datang dengan kebenaran

Iaitu mereka datang dengan bawa ajaran wahyu, Kalimah la ilaaha illallah, mereka menyampaikan ajaran apakah yang hendak disampaikan oleh wahyu itu. Perkara yang pertama sekali adalah para Nabi kerana mereka membawa wahyu yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ kepada umat mereka.

Begitu juga dengan mereka yang apabila mereka berdakwah kepada manusia, mereka dakwah menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Apabila mereka mengajar, mereka ajar ayat-ayat Al-Quran. Apabila mereka bercakap tentang agama sahaja, mereka akan berikan dalil dari Al-Quran. Kalau tidak ada dalam Al-Quran, barulah mereka akan berikan hujah dari hadith yang sahih.

وَصَدَّقَ بِهِ

dan dia membenarkan kandungan dalam Al-Quran itu.

Apabila kebenaran telah datang kepadanya, dia menerima kebenaran itu. Ini adalah dua sifat Nabi Muhammad ﷺ: Baginda bukan sahaja membawa kebenaran itu, tetapi baginda juga telah membenarkan kebenaran itu apabila datang kepadanya. Dan kemudian sahabat Nabi ﷺ pula menerima kebenaran Al-Quran itu. Kemudian berterusan sampailah kepada kita.

Orang Islam pun ada yang sebegini. Apabila ada pendakwah yang datang kepada mereka dengan membawa dalil dan hujah dari Al-Quran, mereka tidak melawan dan mereka terima. Walaupun mungkin mereka tidak pernah dengar hujah dan dalil itu sebelum ini. Namun, kerana dalil yang datang itu adalah dalil Al-Quran, maka mereka terima. Takkan mereka hendak melawan Al-Quran pula, bukan?

Ini adalah satu kualiti yang sepatutnya ada dalam seorang Muslim. Namun begitu, amat malang sekali. Ada juga orang yang menggelarkan diri mereka Islam, tetapi apabila dibawakan dalil dari Al-Quran, mereka tidak terima. Mereka boleh menolaknya mentah-mentah. Mereka boleh berkata: “Itu pendapat awak, saya nak pegang pendapat guru saya juga”. Ma sha Allah!

أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Orang – orang itu adalah orang-orang yang betul-betul bertakwa.

Orang yang mempunyai kualiti sebeginilah yang dinamakan orang yang bertaqwa. Orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang menjaga hukum. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan lihat apakah hukum Allah ‎ﷻ dalam perkara itu.

Mereka akan sentiasa sedar dan rasa yang Allah ‎ﷻ sedang memandang mereka. Ini kerana mereka takut dengan Allah ‎ﷻ dan mereka sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan mereka setiap saat dan setiap masa. Jadi, mereka tidak akan suka-suka berbuat sesuatu perkara itu kerana mereka tahu yang Allah ‎ﷻ sedang melihat apa sahaja yang mereka sedang lakukan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan