Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula SnJ mengenai batalnya Wudhu’

SnJ mengenai batalnya Wudhu’

219
0
Iklan

1. Adakah meminum susu unta membatalkan wudhu’?

🔵 Meminum susu unta tidak membatalkan wudhu’, hanya memakan dagingnya sahaja membatalkan wudhu’.

2. Adakah air kencing unta boleh diminum dan membatalkan wudhu’?

🔵Air kencing unta boleh diminum dan tidak membatalkan wudhu’. Ini berdasarkan hadith daripada Anas bin Malik ‎رضي الله عنه berkata:

قَدِمَ أُنَاسٌ مِنْ عُكْلٍ أَوْ عُرَيْنَةَ فَاجْتَوَوْا الْمَدِينَةَ فَأَمَرَهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِلِقَاحٍ وَأَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا فَانْطَلَقُوا فَلَمَّا صَحُّوا قَتَلُوا رَاعِيَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاسْتَاقُوا النَّعَمَ فَجَاءَ الْخَبَرُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ فَبَعَثَ فِي آثَارِهِمْ فَلَمَّا ارْتَفَعَ النَّهَارُ جِيءَ بِهِمْ فَأَمَرَ فَقَطَعَ أَيْدِيَهُمْ وَأَرْجُلَهُمْ وَسُمِرَتْ أَعْيُنُهُمْ وَأُلْقُوا فِي الْحَرَّةِ يَسْتَسْقُونَ فَلا يُسْقَوْنَ

Ada beberapa orang berasa tidak sesuai dengan udara Madinah, maka Nabi ‎ﷺ menyuruh mereka ke kandang unta supaya meminum air kencing dan susunya maka mereka pun pergi. Bila mereka sihat, mereka membunuh pengembala (unta) Nabi dan membawa lari binatang. Apabila sampai berita perbuatan mereka di awal tengahari lalu Nabi pun mengutus supaya mengejar mereka. Bila sudah tengahari, mereka dibawa datang lalu dipotong tangan dan kaki mereka dan dan diselar mata mereka, dicampak ke kawasan berbatu hitam dan tidak diberi minum. (Riwayat Al-Bukhari)

3. Apakah maksud “memakan daging unta tidak serta merta membatalkan wudhu’”?

🔵 Ini adalah khilaf antara ulama’. Walaupun ada hadith yang jelas, tetapi mereka memahaminya dari sudut pandangan yang berbeza. Mereka tidak melihatnya secara harfiah (makna tersurat). Tidak diketahui apakah alasan mereka di dalam mentakwil hadith ini.

4. Adakah memakan daging yang dibakar, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan membatalkan wudhu’?

🔵 Pada awal kedatangan Islam, disyariatkan untuk mengambil wudhu’ kembali apabila memakan makanan yang dibakar tetapi ia telah dimansuhkan oleh syariat yang datang terkemudiannya iaitu boleh memakan makanan yang dibakar tanpa memperbaharui wudhu’.

Namun, dikecualikan daging unta kerana telah ada dalil yang mengkhususkannya.

Memakan buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan tidak membatalkan wudhu’.

5. Adakah tidur yang lama sebagaimana tidur di waktu malam itu membatalkan wudhu’?

🔵 Tidur yang lama itu jika lena hingga tidak mengetahui keadaan sekeliling, maka batal wudhu’nya. Nabi sahaja tidak batal kerana walaupun matanya terpejam tetapi hatinya tetap sedar.

6. Apakah yag dimaksudkan dengan tarjih hadith?

🔵 Bila ada hadith yang nampak berlawanan, maka perlu memilih salah satu yang lebih kuat untuk dijadikan hukum.

Ada di kalangan ulama’ memilih kaedah tarjih, ada ulama’ pula menggunakan kaedah menjamakkan. Iaitu apabila ada dalil yang nampak berlawanan, menggunakan kedua-duanya. Ada keadaan menggunakan hadith A dan di dalam keadaan lain pula menggunakan hadith B.

7. Adakah menyentuh kemaluan ketika mandi wajib tidak membatalkan wudhu’?

🔵 Wudhu’ hanya batal apabila menyentuh kemaluan dengan rasa syahwat.

8. Jika menggunakan pendapat Mazhab Syafi’iy yang menyatakan menyentuh kemaluan itu membatalkan wudhu’, bagaimanakah caranya mandi wajib tanpa menyentuh kemaluan untuk dibersihkan?

🔵 Jika hendak mengamalkan pandangan Mazhab Syafi’iy, maka perlu membasuh dahulu bahagian kemaluan menggunakan sabun, kemudian mulakan wudhu’ untuk mandi wajib. Apabila ingin meratakan air ke seluruh badan, hanya perlu mencurahkan air pada bahagian kemaluan tanpa menyentuhnya.

9. Adakah memegang kanak-kanak perempuan yang belum baligh membatalkan wudhu’?

🔵 Memegang kanak-kanak perempuan yang belum baligh dan telah baligh juga tidak membatalkan wudhu’.

Pernyataan ini jangan disalah ertikan. Ini bukannya menghalalkan untuk memegang perempuan atau berjabat tangan dengan perempuan.

Mesti membezakan hukum membatal wudhu’ dan perkara yang haram. Perkara yang haram tidak semestinya membatalkan wudhu’.

Memegang wanita ajnabi masih dikira haram walaupun tidak membatalkan wudhu’.

Sebagai contoh, lelaki haram memakai sutera tetapi jika dia memakai baju sutera di dalam solat, solatnya tetap sah.

10. Apakah Imam Asy-Syafi’iy hanya mengemukakan dalil dari surah [ Al-Maidah: 6 ] berkenaan terbatalnya wudhu’ ?

🔵 Ya, setakat yang diketahui.

11. Benarkah hujah balas yang dikemukakan dalam mazhab Asy-Syafi’iyah melalui hadith Aisyah رضي الله عنها, Nabi ﷺ dalam keadaan berlapik kain ?

🔵 Ya, ini adalah hujah balas dari Mazhab Asy-Syafi’iyah.

Hujah ini telah dibalas balik:

i. Mengatakan ada pelapik (kain) merupakan sebuah andaian sahaja. Tidak disebut dalam hadith tersebut.

ii. Keadaan waktu itu yang gelap. Adakah Nabi ﷺ pasti yang Aisyah رضي الله عنها dalam keadaan berlapik? Adakah Nabi ﷺ akan melakukan sesuatu yang boleh membatalkan wudhu’ dan solatnya.

iii. Begitu juga dengan Aisyah رضي الله عنها yang telah menyentuh baginda ﷺ dalam gelap. Beliau pun tidak nampak.

Kita sudah sedia maklum baginda ﷺ tidak isbal. Maka sudah pasti kaki baginda tidak berlapik dan kenapa setelah disentuh baginda tidak memberhentikan solat baginda kerana wudhu’ baginda telah batal?

12. Apakah boleh melaksanakan solat dengan menggunakan tuala wanita (pad) ketika ada darah istihadho?

🔵 Ya, dibolehkan.

13. Bagaimana dengan hadith bahawa Nabi ‎ﷺ telah mencium Aisyah رضي الله عنها?

🔵 Ya ada dan ada yang mengatakan bahawa ciuman tersebut adalah ciuman ke mulut.

14. Apakah memakan daging unta (dimasak) hanya perlu membasuh mulut sahaja berdasarkan satu Riwayat memakan makanan yang terkena api tidak perlu memperbaharui wudhu’ cukup sekadar membasuh mulut?

🔵 Di awal Islam, hukum memakan makanan yang dimasak dengan api boleh membatalkan wudhu’ sudah dimansuhkan.

Hukum terkemudian cukup sekadar basuh mulut sahaja juga sudah dimansuhkan.

Memakan makanan (dimasak) boleh meneruskan solat tanpa perlu membasuh mulut atau memperbaharui wudhu’.

Daging unta (masak @ tidak) diwajibkan memperbaharui wudhu’.

15. Adakah terbatalnya wudhu’ sekiranya menyentuh kemaluan orang lain, seperti Ibu bapa yang membasuh kencing berak anak (kecil) atau anak yang membasuh kencing berak ibu bapanya (uzur)?

🔵 Tidak membatalkan wudhu’. Sentuhan bukan kerana syahwat.

16. Selain daging unta, adakah kesemua makanan dan minuman tidak membatalkan wudhu’ secara mutlak?

🔵 Hanya daging unta dan tidak kepada makanan yang lain.

17. Semasa mengiring untuk tidur dan telah membaca doa, tiba-tiba sebelum terlelap telah terkentut. Adakah perlu mengambil semula wudhu’ atau terus tidur sahaja?

🔵 Jika terkentut sebelum terlelap tidur maka perlulah mengambil semula wudhu’ jika ingin mengamal sunnah tersebut.

18. Adakah terbatal wudhu’ tersentuh kemaluan dengan bahagian belakang tapak tangan?

🔵 Mengikut mazhab Syafi’iy ia tidak membatalkan wudhu’ jika tersentuh dengan hadapan tangan atau belakang tangan sekalipun jikalau tanpa syahwat.

19. Adakah perintah mengambil air wudhu’ telah wujud sejak zaman Nabi Musa?

🔵 Berkemungkinan besar zaman Nabi lain pun ada wudhu’ kerana mereka juga menunaikan solat. Cuma cara mereka sahaja kita tidak tahu.

20. Adakah kita disunatkan mengambil air wudhu’ walaupun wudhu’ kita sebelumnya masih belum batal?

🔵 Sunat perbaharui wudhu’ walaupun wudhu’ kita tidak batal.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan