Utama UiTO Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip 13 – Cemerlang dengan Jihad dan Mujahadah

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip 13 – Cemerlang dengan Jihad dan Mujahadah

291
0
Iklan

TIP 13

Cemerlang dengan Jihad dan Mujahadah

 “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhan Kami) benar-benar Kami akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” [ al-Ankabut: 69 ].

Berjihad bermaksud berusaha bersungguh-sungguh menegakkan kehendak-kehendak Tuhan.

Umat Islam diamanahkan untuk berusaha bersungguh-sungguh menaikkan syiar Islam di penjurunya.

Apabila dia dikurniakan pangkat, pangkat itu perlu dimanfaatkan bagi menaikkan kalimat Tuhan.

Hidup tidak bermakna apabila hanya mementingkan harta, wang dan kedudukan semata-mata.

“Mereka yang berjihad berdasarkan ilmu yang diketahui, mereka akan ditunjukkan Allah tentang perkara yang belum diketahui.” [ Imam Darani ].

“Mereka yang berjihad untuk mencari ilmu, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan untuk beramal.” [ Fudail Iyad ].

“Mereka yang berjihad dengan bertaubat, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan keikhlasan.” [ Junaid Baghdadi ].

“Mereka yang berjihad untuk melakukan ketaatan, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan pahala dan ganjaran.” [ Abdullah bin Abbas ].

Jihad bermula dengan melawan hawa nafsu dan menghias diri dengan akhlak mulia supaya dirinya menjadi contoh dalam masyarakat, diikuti dengan perjuangan yang lebih menyeluruh bagi menegakkan Islam dalam masyarakat.

“Berjihad dengan sebenar-benarnya ialah berjihad dengan harta-benda, lidah dan jiwa raga kamu kerana Allah.” [ Imam Ibn Kathir ].

Mujahadah sebagai Asas

Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.

“Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara-perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir ataupun batin. Orang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah..Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat.” [ Imam Ghazali ].

“Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu. Ia adalah musuh kita yang paling ketat dan paling sukar dikalahkan kerana ia berada dalam tubuh dan diri kita. Selain dari itu ia adalah musuh yang kita cintai dan manusia biasanya tidak mampu melihat keaiban mereka yang dicintainya.” [ Imam Ghazali ].

Melawan hawa nafsu asas Takwa

Amalan yang membantu usaha bagi melawan hawa nafsu adalah bacaan al-Quran, solat dan zikir.

Nabi SAW berkata antara jalan untuk mencapai syurga adalah dengan banyak bersujud, iaitu dengan banyak bersolat dan banyak berzikir serta membaca al-Quran.

Mengenal Nafsu

Mujahadah menyucikan nafsu dan menaikkannya ke tahap yang mulia.

Nafsu paling rendah adalah nafsu ammarah. “Dan aku tidak membebaskan diriku daripada kesalahan, kerana sesungguhnya nafsu ammarah selalu menyuruh kepada kejahatan” [ Yusuf: 55 ].

Nafsu ammarah – syahwat, mudah marah, tamak haloba, sombong, bongkak, suka dipuji, takutkan kesusahan dan mudah kecewa.

Nafsu lawwamah – terumbang-ambing antara kebaikan dan kekejian, menyedarkan diri tentang dunia yang fana dan keutamaan yang perlu dicari.

“Aku bersumpah dengan hari kiamat dan aku bersumpah dengan jiwa lawwamah (yang amat menyesali diri sendiri)” [ al-Qiyamah: 1-2 ].

Nafsu mutmainnah – hati yang tenang dan damai. “Wahai hati yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” [al-Fajr: 27 – 30 ].

Hati yang mutmainnah

Yakin dengan janji-janji Tuhan.

Tenang mengabdikan diri kepada Tuhan.

Sentiasa tabah hadapi ujian di dunia kerana rindukan kesenangan di akhirat.

Bila diuji, sentiasa ingat janji-janji Allah “Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kesenangan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.” [ al-Insyirah: 5-6 ].

Berjihad dengan berdakwah

Mujahadah melawan nafsu perlu diseimbangkan dengan dakwah kerana dakwah adalah sebahagian daripada jihad.

Dakwah bermaksud mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan dituntut melaksanakan tugas tidak kira sama ada lelaki atau wanita. “Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pembantu bagi yang lain. Mereka mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.” [ at-Taubah: 71 ].

“Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan lisannya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati tanda selemah-lemah iman.” [ Imam Muslim ].

“Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dengan hati disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan atau pun perbuatan jika seseorang mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang redha dengan mungkar bererti dia bersekongkol dengannya.” [ Kitab Dalilul Falihin ].

“Cukuplah menjadi keaiban pada seseorang jika dia sekadar duduk dia di rumahnya sahaja.” [ Talhah bin Ubaidillah ].

“Demi Allah hendaklah kamu mengajak kepada makruf dan hendaklah kamu mencegah kemungkaran dan jika ini tidak dilakukan akan datanglah kepadamu balasan berbentuk seksaan daripada Tuhan dalam masa terdekat dan pada masa itu kamu semua akan berdoa sedangkan Tuhan tidak mengabulkan doa-doa kamu.” [ Imam Tirmizi ].

Salah satu aliran yang sedang menyerang dunia hari ini adalah Islam Liberal. Aliran ini menghendaki Islam ditafsirkan secara lebih terbuka dan bebas tanpa terikat pada landasan yang dibawa oleh nabi dan ulama salafus saleh.

Ciri-ciri Islam Liberal

1. Kesamaan agama. Islam adalah agama tetapi agama lain yang mengajar konsep ketuhanan dan kebaikan juga adalah benar.

2.  Tafsiran al-Quran perlu bebas. Wahyu mempunyai kategori bertulis dan tidak bertulis. Wahyu yang tidak bertulis adalah akal. Justeru akal perlu dibebaskan bagi mentafsir al-Quran.

3.  Nabi manusia biasa yang boleh tersilap. Justeru beliau boleh dikritik. Sunah nabi hanya relevan bagi masyarakat Arab zaman dahulu. Mukjizat nabi hanyalah cerita rekaan manusia yang kemudiannya diagung-agungkan.

4.  Hadis tidak lagi relevan. Hadis-hadis tidak berasal daripada nabi. Ia hanya ciptaan individu-individu yang ada kepentingan. Hadis yang benar hanyalah yang bertaraf mutawatir. Hadis berkaitan dengan alam ghaib seperti azab kubur dan Israk Mikraj hanya cerita rekaan yang dibuat oleh pelopor-pelapor hadis.

Ledakan Kecemerlangan

Asas jihad adalah melawan nafsu kerana nafsu sering membawa manusia kepada kehancuran.

Apabila nafsu dapat ditundukkan, terhasillah pengorbanan demi mencapai matlamat.

Lawan nafsu supaya ia tunduk pada syariat.

Banyakkan berpuasa untuk mengawalnya.

Jangan abaikan dakwah termasuk dakwah orang bukan Islam.

“Berjihadlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar jihad.” [ al-Haj: 78 ].

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Komen dan Soalan