Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-6 hingga Ke-11

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-6 hingga Ke-11

487
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah

Tafsir Ayat ke-6

Kesimpulan Dalil-dalil Aqli yang telah disebut.

تِلكَ ءآيٰتُ اللهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۖ فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَ اللهِ وَءآيٰتِهِ يُؤمِنونَ

Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaan-Nya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?

تِلْكَ ءآيٰتُ اللهِ

Itulah ayat-ayat dalil kekuasaan Allah

Telah diberikan sebelum ini tanda-tanda tentang esa-Nya Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja tempat untuk disembah dan dipuja dalam berdoa.

‘Ayat’ atau ‘tanda-tanda’ itu ada di dalam dua jenis iaitu ayat yang kita boleh baca (Al-Quran) dan ayat yang ada pada alam ini. Ayat-ayat yang disebut sebelum ini adalah tentang tanda-tanda yang ada pada alam.

Selain daripada itu, ada ayat-ayat yang Allah ﷻ turunkan dalam bentuk ayat-ayat Al-Quran. Apakah firman Allah ﷻ tentangnya?

نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ

yang Kami bacakan kepadamu kerana menegakkan kebenaran;

Selain daripada tanda-tanda pada alam, ada juga ayat-ayat yang dibaca, diberi kepada kita untuk dibaca dan fikirkan. Itulah pentingnya kita membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada manusia dan ia perlu difahami dengan belajar tafsir Al-Quran. Kalau setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham, ia tidaklah memenuhi kehendak Allah ﷻ.

Apakah haq yang Allah ﷻ hendak tegakkan? Ia untuk menzahirkan kebenaran bahawa Allah ﷻ lah sahaja yang layak disembah dan tempat kita meminta pertolongan.

فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَ اللهِ وَءآيٰتِهِ يُؤْمِنُونَ

maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya?

Kalau ayat-ayat yang Allah ﷻ telah berikan itu tidak dapat melahirkan iman dalam diri manusia, maka ayat mana lagikah yang mereka mahu?

Kalimat حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran yang diwahyukan kepada manusia. Kalimat وَآيَاتِهِ pula merujuk kepada tanda-tanda yang ada pada alam ini untuk kita perhatikan dan fikirkan.

Kedua-dua tanda ini berkait rapat kerana kita melihat pada Al-Quran dan adakala juga alam. Ayat Al-Quran ini mengingatkan kepada alam dan alam pula mengingatkan kita kepada ayat-ayat Al-Quran.

Kedua-dua jenis ayat ini diberikan kepada kita untuk membangkitkan iman dalam diri. Lihatlah bagaimana ada manusia yang masuk Islam selepas membaca ayat-ayat Al-Quran. Terdapat manusia setelah melihat pada tanda-tanda alam ini, terbuka hati tentang kewujudan Tuhan.

Mereka yang mendapat iman ini terus mencari-cari siapakah Tuhan yang menjadikan alam ini. Ini kerana di dalam diri mereka ada keinginan untuk mencari kebenaran.

Kalau kedua-dua ayat ini tidak dapat membangkitkan iman mereka, maka tidak ada lagi cara untuk manusia memperolehi iman. Mereka itu sudah tidak ada harapan lagi kerana cuma dua cara ini sahaja yang dapat membantu.

Tafsir Ayat ke-7

Ayat Zajrun dan takhwif ukhrawi kepada mereka yang berdusta dalam perkara akidah yang tidak diajar dalam syarak.

وَيلٌ لِّكُلِّ أَفّاكٍ أَثيمٍ

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, –

Celaka besarlah bagi mereka yang tidak mahu menerima wahyu di akhirat kelak. أَفَّاكٍ adalah mereka yang melakukan penipuan yang besar dari segi akidah antaranya telah reka perkara-perkara baru dalam agama. Mereka juga selalu melakukan penipuan dalam agama.

Dia juga menjadi أَثِيمٍ kerana apa yang dilakukannya adalah berlawanan dengan suruhan Allah ﷻ di dalam Al-Quran. Apa sahaja yang berlawanan dengan apa yang Allah ﷻ suruh akan menyebabkan dosa.

Tafsir Ayat ke-8

Siapakah mereka itu dan apakah sifat-sifat mereka?

يَسمَعُ ءآيٰتِ اللهِ تُتلىٰ عَلَيهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُستَكبِرًا كَأَن لَّم يَسمَعها ۖ فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

Yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يَسْمَعُ ءآيٰتِ اللهِ تُتْلَىٰ عَلَيْهِ

Dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya,

 Ini adalah tentang mereka yang telah dibacakan ayat-ayat Quran dan tafsirnya. Mereka sudah biasa mendengar ayat Al-Quran, bukan tidak tahu langsung mana satu ayat Al-Quran.

ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًا

kemudian dia terus berlagak sombong,

Berlagak sombong enggan menerima apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu. Mereka menolak kebenaran dan menghina orang yang sampaikan kebenaran. Mereka itu tidak mahu mengambil pengajaran dari ayat-ayat yang disampaikan.

Ada pendakwah yang telah memberikan tafsir ayat-ayat itu tetapi mereka tidak mahu terima kerana sombong. Itulah sebabnya mereka tidak mahu terima dan belajar tafsir Al-Quran. Mereka rasa tindakan yang sedang dilakukan itu sudah betul walaupun ia berlawanan dengan ayat Allah ﷻ.

كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا

seolah-olah dia tidak mendengarnya;

Mereka buat tidak tahu sahaja selepas dibacakan ayat-ayat Allah ﷻ dan diterangkan maksudnya. Mereka masih lagi hendak pakai apa yang dikatakan dan diajar oleh guru mereka, apa yang telah diamalkan turun temurun oleh tok nenek mereka.

فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang amat pedih.

Allah ﷻ perli dengan sebut ‘beri berita gembira’. Padahal ia bukan berita baik. Berita yang diberikan kepada mereka adalah azab seksa iaitu azab dalam neraka. Maka, mana berita gembiranya?

Lihatlah bagaimana besarnya balasan azab kepada mereka yang tidak endahkan ayat-ayat Allah ﷻ .

Tafsir Ayat Ke-9

Ayat Zajrun kepada mereka yang bukan sahaja berpaling dari Al-Quran, malah mengejek-ngejeknya.

وَإِذا عَلِمَ مِن ءآيٰتِنا شَيئًا اتَّخَذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

وَإِذَا عَلِمَ مِنْ ءآيٰتِنَا شَيْئًا

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami,

Tentunya ramai yang dapat mendengar ayat-ayat Allah ﷻ. Musyrikin Mekah telah banyak mendengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan oleh Nabi ﷺ dan juga para sahabat.

Bagi orang Islam pula, memang akan selalu jumpa ayat-ayat Al-Quran. Namun orang bukan Islam kadang-kadang sahaja akan bertemu dengan ayat-ayat Al-Quran. Kemungkinan hanya apabila ada orang Muslim yang post di forum, Facebook dan lain-lain.

Sebahagian daripada mereka apabila melihat tidak berkata apa-apa. Namun ada juga yang bersuara apa yang difikirkan oleh mereka seperti katakan sesuatu yang tidak elok tentang ayat-ayat Allah ﷻ .

اتَّخَذَهَا هُزُوًا

ia menjadikannya ejek-ejekan;

Ada yang selepas tahu serba sedikit tentang ayat Al-Quran mereka telah mengejek ayat-ayat itu. Maksudnya, buat main-main menunjukkan mereka tidak pentingkan apa yang disampaikan dalam Al-Quran itu.

Dahulu, Musyrikin Mekah telah mengejek-ngejek ayat-ayat Quran apabila dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Sebagai contoh, apabila Nabi ﷺ membacakan ayat Al-Quran tentang neraka dan bagaimana neraka itu dikawal oleh 19 malaikat, mereka gelakkan ayat itu. Mereka kata bagaimana 19 orang malaikat boleh hendak menjaga ramai orang dalam neraka?

Seorang lelaki yang kuat tubuhnya telah berkata: biarlah orang lain menguruskan dua orang dari malaikat itu dan dia sendiri akan menguruskan lagi 17 itu. Lihatlah bagaimana teruknya mereka mengejek-ngejek ayat-ayat Allah ﷻ.

Malahan, dalam masyarakat kita juga ramai sebenarnya yang buat begini. Kalau masyarakat bukan Islam, kita boleh faham, tetapi bagaimana kalau dengan orang Islam sendiri? Kalau kita sudah mula berdakwah kepada manusia dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, kita akan berjumpa dengan mereka yang seperti ini.

Mereka ada yang kata: “Sikit-sikit baca ayat Al-Quran. Sikit-sikit hadis. Tiada benda lain lagikah?” Lihatlah bagaimana mereka sanggup kata begitu. Seolah-olah ayat-ayat Al-Quran itu tidak ada makna bagi mereka. Maknanya, mereka juga menolak ayat-ayat Al-Quran itu tetapi mereka sedar tentang kedudukan ayat Al-Quran. Walaupun begitu ada juga ayat-ayat lain yang mereka terima.

Maknanya, bukannya mereka tidak mendengar, cuma tidak mahu terima. Sudahlah tidak mahu terima, malah mereka turut mengejek pula. Sebagai contoh, kadangkala kita bacakan ayat Al-Quran sebagai nasihat kepada mereka namun, apabila mendengar ayat-ayat yang macam pelik, mereka buat lawak pula dengan ayat itu.

Mungkin juga kalau kita baca dengan cara yang dia tidak pernah dengar, dia gelakkan cara bacaan kita pula. Bukannya dia hendak memikirkan tentang ayat yang dibaca, sebaliknya mereka buat lawak pula.

Itulah cara yang digunakan oleh manusia untuk menolak orang lain dan melarikan diri dari kebenaran. Mereka akan buat lawak dan jadikan perkara itu sebagai perkara ringan sahaja. Ini kerana apabila mereka jadikan ia sebagai bahan jenaka, mereka boleh menolak kepentingan sesuatu perkara itu.

Ada juga kalangan bukan Islam yang sengaja membaca ayat Al-Quran dan mengejek-ngejek ayat-ayat itu. Mereka membaca Al-Quran untuk mencari kesalahan-kesalahan yang mereka jumpa.

Sebenarnya mereka tidak faham, tetapi masih mahu mengejek. Mereka hendak kata bahawa Muslim ini sangat bodoh sampai boleh percaya kepada Al-Quran itu sedangkan bagi mereka tidak ada apa-apa.

Sebagai contoh, ada yang mencari dan senaraikan kesalahan grammar (nahu) yang ada pada Al-Quran itu. Mereka kata begitu kerana tidak faham apakah Al-Quran itu sendiri dan tidak tahu bahawa nahu Arab yang kena ikut Al-Quran.

Apakah yang Allah ﷻ firmankan tentang orang-orang yang sebegini?

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

Ketika di dunia, mereka telah menghina Al-Quran. Namun, di Akhirat, nanti mereka yang akan dihinakan dan akan dimalukan di khalayak ramai di Masyhar nanti.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan hina dina. Dulu mereka di dunia orang yang mulia, tetapi di neraka nanti akan menjadi orang yang hina dina.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Al-Jathiyah (Pengenalan dan Ayat 6- ayat 9)

📍Mereka yang mendapat iman ini terus mencari-cari siapakah Tuhan yang menjadikan alam ini. Ini kerana di dalam diri mereka ada keinginan untuk mencari kebenaran.

Adakah ayat di atas macam Nabi Nuh عليه السلام mencari tuhan?

🔵 Bukan Nabi Nuh عليه السلام yang dimaksudkan tetapi Nabi Ibrahim. Namun kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu helah sahaja, bukanlah Nabi Ibrahim عليه السلام kenal Tuhan dengan begitu. Dengan melihat kepada alam ini memberi gerakan kepada kita untuk mencari siapakah yang menjadikan alam yang amat hebat ini. Selepas buat kajian, tentu manusia yang ikhlas akan jumpa bahawa Tuhan yang dicari itu adalah Allah ﷻ.

📍Benarkah jika begini, Nabi melihat matahari, lalu berfikir apakah ini tuhan, lalu matahari terbenam dan Nabi fikir tidak mungkin Tuhan terbenam.

🔵 Ya itu kisah Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi kisah itu banyak yang salah faham dan salah tafsir. Itu bukannya Nabi Ibrahim عليه السلام baru hendak mencari Tuhan tetapi baginda perli dan hendak suruh kaum dia fikir. Nanti sampai surah Ibrahim nanti kita tafsir.

📍Apakah benar terdapat di dalam Al-Quran di sebut Ulul Albab iaitu orang yang menggunakan akal untuk mencari kebenaran?

🔵 Ya, mereka yang menggunakan akal. Ada akal yang sihat.

📍Apabila ada orang Islam sendiri yang tidak menunjukkan respon pada kejadian alam seperti gempa bumi, tsunami. Seolah kejadian tersebut seperti satu lumrah sahaja dan tidak endahkan, ini sama maksud dia tidak beriman dengan ayat Allah ﷻ?

🔵 Dia tidak peka dengan kekuasaan Allah ﷻ. Allah ﷻ sudah sebut tentang perkara ini dalam surah [ Mulk: 17 ].

أَأَمِنتُم مَن فِي السَّماءِ أَن يَخسِفَ بِكُمُ الأَرضَ فَإِذا هِيَ تَمورُ

Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahwa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?

📍Apakah orang yang tidak mahu belajar sebab malas termasuk orang yang sombong dan menolak ayat al-Al-Quran dan kebenaran termasuk dalam golongan orang yang fasiq?

🔵 Golongan sombong yang rasa sudah selamat. Jika hendak selamat kena belajar kerana kalau tidak, entah ada amalan yang salah.

📍Mereka ada yang kata: “Sikit-sikit baca ayat Al-Quran. Sikit-sikit hadis. Tiada benda lain lagikah?” Lihatlah bagaimana mereka sanggup kata begitu.

Mungkin kerana mereka tidak belajar jadi secara tidak sedar mengucapkan kata begitu. Kalau mendapat petunjuk dari Allah ﷻ tentu mereka akan sangat menyesal setelah berkata begitu? Contoh seperti kita buat syirik tanpa sedar sebab tidak belajar. Setelah belajar rasa banyaknya lah dosa yang dibuat.

🔵Ya.

📍Kebiasaan dalam majlis rasmi akan ada doa yang dibaca oleh pembaca doa. Secara tidak langsung kita dalam majlis terpaksa tadah tangan sama. Adakah itu dikira melanggar tauhid dalam berdoa juga?

🔵 Ini adalah cara yang bidaah. Nabi Muhammad ﷺ membaca doa sendiri dengan memuji-muji Allah ﷻ apabila baginda mula bercakap. Kalau memulakan majlis, bacakan Khutbah Haajah kerana itu cara Nabi dan bukannya baca doa ramai-ramai.

📍Apakah nasihat ustaz jika kita terpaksa menghadapi keadaan seperti itu tanbahan pula majlis termasuk dalam tugas rasmi.

🔵 Ikut sahaja tetapi kalau kita yang menganjur majlis itu, janganlah kita buat. Namun sebab kita hadiri majlis orang, jangan cakap apa-apa. JIka tidak angkat tangan pun tidak mengapa dan angkat tangan pun tidak mengapa, kerana bukan selalu buat.

Dalam [ Dukhan: 41] Allah ﷻ ada menyebut tentang hal ini:

يَوْمَ لَا يُغْنِي مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu),

Oleh itu, tidak bermanfaat kalau mengambil selain Allah ﷻ sebagai wali. Namun ramai yang mengambil selain Allah ﷻ sebagai wali.

Mereka akan bertawasul kepada wali itu dan wali ini antaranya, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Mereka juga menjadikan para Nabi dan para malaikat sebagai wali mereka.

Malangnya nanti kepada mereka, mereka yang disembah itu tidak akan mengaku penyembahan yang dilakukan kepada mereka. Ini disebut dalam [ Maryam: 82 ].

كَلَّا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka seru itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

Mereka sangka, mereka yang disembah, diseru, diberi salam dan diberi sedekah Fatihah itu akan jadi penolong mereka, tetapi sebaliknya tidak.

Memang buang masa sahaja apa yang dilakukan oleh manusia yang buat begitu. Itu adalah kerana kebodohan mereka dan dibodoh-bodohkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran salah.

Mereka yang ada penyokong di dunia, akan rasa kuat dan rasa boleh buat apa sahaja. Begitu juga dengan mereka yang sangka ada wali yang akan tolong mereka di akhirat kelak kerana sudah buat ‘ibadat’ kepada wali-wali itu.

Mereka buat tawasul kepada wali-wali itu, beri salam, sedekah Fatihah kepada wali-wali itu, sembelih binatang korban di kubur dan macam-macam lagi amalan pelik.

Itu semua adalah bentuk-bentuk ibadah yang salah dan tidak pernah diajar oleh Nabi dan orang-orang dahulu. Ia tidak ada langsung dalam syariat.

وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

 Amat sedih sekali kepada mereka kerana membuang masa, duit dan tenaga membuat amalan-amalan salah, tetapi amalan itu membawa mereka ke dalam neraka.

Tafsir Ayat ke- 11

Takhwif Ukhrawi

هٰذا هُدًى ۖ وَالَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم لَهُم عَذابٌ مِّن رِّجزٍ أَليمٌ

Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

هَٰذَا هُدًى

Ini ialah petunjuk;

Maksudnya adalah Al-Quran ini. Lebih khusus lagi, merujuk kepada ayat pertama sampai ayat ke-10 sebelum ini. Al-Quran inilah yang sepatutnya dijadikan sebagai sumber hidayah petunjuk.

Kalau tidak mengambil Al-Quran ini sebagai petunjuk, maka manusia tidak akan dapat petunjuk selama-lamanya. Jangan sangka guru boleh memberi petunjuk, begitu juga dengan kitab-kitab yang ditulis oleh manusia.

Itu semua boleh belajar, tetapi kena didahulukan dengan pemahaman Al-Quran. Barulah dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Guru-guru sepatutnya mengajar tafsir Al-Quran kepada manusia, bukannya memberi pendapat mereka.

Tafsir Al-Quran ini kena belajar dahulu sebelum ilmu yang lain. Selepas itu, belajar hadis pula. Kemudian kalau ada masa, barulah belajar kitab-kitab yang lain.

Oleh itu, kita kena sentiasa merujuk Al-Quran. Semua orang Islam akan terima bahawa Al-Quran itu adalah petunjuk tetapi ramai yang tidak tahu macam mana hendak gunakan petunjuk dalam Al-Quran sebab tidak belajar Tafsir. Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak memahami apa yang dibaca.

Mereka ‘pandai cakap’ sahaja yang Al-Quran itu petunjuk. Ramai yang kata: ‘marilah kembali kepada Al-Quran’, dan macam-macam lagi laungan tetapi semua itu kosong belaka.

Mereka hanya pandai bercakap sahaja dan tidak belajar tafsir Al-Quran. Oleh itu tidak akan tahu apakah yang Allah ﷻ hendak dengan mereka.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِئآيٰتِ رَبِّهِمْ

dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka,

Kufur ingkar itu adalah menolak ayat-ayat Al-Quran. Apabila dibacakan mereka tidak mahu mendengar dan apabila diajak belajar tafsir Al-Quran, ditolak dengan berbagai-bagai alasan.

Kalau tidak mahu belajar maksud yang hendak disampaikan dalam Al-Quran, itu sebenarnya sudah dikira engkar. Ini kerana Allah ﷻ suruh kita belajar, tetapi kita tidak belajar, tidakkah itu sudah engkar?

Apabila mereka tidak tahu tafsir Al-Quran, tentunya akan membuat amalan yang berlawanan dengan Al-Quran. Syaitan tidak akan melepaskan peluang untuk menyesatkan mereka dengan membisikkan perkara-perkara yang salah.

Ini kerana kalau tidak tahu apa yang disampaikan dalam Al-Quran, macam mana mereka boleh tahu manakah yang salah?

Jadi, ada yang termakan dengan bisikan syaitan kerana mereka sangka apa yang dibisikkan oleh syaitan itu adalah benar. Kesannya bukan kecil tetapi amat berat. Apakah yang mereka akan terima?

لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

untuk mereka, azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kalimah رِّجْزٍ adalah sesuatu yang menyebabkan kita menggigil ketakutan dan kesakitan. Selalunya bila kita menggigil?

Ia akan dialami selepas melihat sesuatu yang teruk seperti binatang dan mayat manusia yang reput dan sebagainya. Jadi, apabila mereka melihat keterukan azab yang diberikan, mereka akan menggigil.

Kalimah رِّجْزٍ juga boleh diterjemahkan sebagai najis. Itulah azab seksa yang mereka akan terima.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Al-Jathiyah (Pengenalan dan Ayat 10- ayat 11)

📍Apakah hukum mengikuti pakej plancungan yang ada aktiviti lawatan ke kubur mereka yang di anggap wali seperti ziarah kubur wali Songo?

🔵 Kalau melancong semata-mata hendak melawat ke sana maka haram. Kalau ‘melencong’ ke sana dalam lawat tempat lain, tidaklah berdosa. Cuma tidak perlu ikut bila orang masuk atau kalau hendak tengok orang buat syirik, bolehlah tengok sekali. Jangan turut sama doa pula dekat situ.

📍Adakah pelaku bid’ah kalau tidak bertaubat sebelum mati, akan kekal di dalam neraka?

🔵 Ini kena tengok bid’ah apa yang dilakukan. Ada bid’ah amal dan ada bid’ah syirik. Kalau bid’ah syirik macam amalan tawasul ke kubur itu, maka kekal di neraka.

📍Adakah jika kirim bacaan Al-Quran kepada si mati termasuk bid’ah amal?

🔵Ya.

 Bagaimana pula kalau niat sedekah bacaan Qur’an juga tidak boleh?

🔵Tiada dalil perkara ini. Cuma yang ada, hanyalah pendapat ulama sahaja dan itu pun ada syarat-syaratnya yang tidak diperhatikan pun oleh mereka yang hendak pegang pendapat ini. Rajihnya, amalan badan/ibadat tidak boleh disedekahkan kepada orang lain.

📍Jika berniat sedekah untuk ibu bapa bolehkah?

🔵 Jika anak membuat amal kebaikan, ibubapa automatik dapat saham pahala. Oleh itu tidak perlu hendak niat.

📍Apakah hukumnya membaca zikir dengan jumlah yang banyak, contoh 500 – 1000 kali sehari? Saya macam pernah terbaca yang kalau zikir ikut jumlah tertentu tidak boleh.

🔵 Zikir itu sunnah tetapi bila tetapkan bilangan, itu adalah bidaah idhofiyah.

Idhofiyah maksudnya ‘tambahan’. Tambah kaifiat (cara/kaedah) dalam melakukan zikir dan meletakkan kaifiat tertentu pula. Sedangkan Nabi tidak tetapkan bilangan kecuali ada yang sahih (contohnya 33 x subhanallah dan lain-lain selepas solat).

Maka tidak perlu tetapkan bilangan tertentu. Zikir sahaja berapa banyak yang mampu dan saya hendak ingatkan, zikir terbaik adalah baca Al-Quran.

 📍Kalau seorang isterimarah kepada suaminya disebabkan kezaliman suaminya adakah dikira sudah nusyuz? Jika isteri itu telah nusyuz kerana marah suaminya, kemudian dia minta maaf dan telah dimaafkan, adakah isteri itu selamat di akhirat nanti? Adakah dia masih termasuk seperti dalam hadits Nabi tentang ramainya wanita dalam neraka?

🔵 Marah itu biasa. Isteri mana yang tidak marah kepada suami? Marah itu perasaan dan semua manusia ada perasaan marah. Ulama kata: Yang tidak marah hanyalah keldai tetapi nusyuz itu adalah sesuatu yang berlebihan, baling barang, tidak tegur suami, maki suami, ini yang tidak boleh. Wanita dalam neraka kerana menidakkan kebaikan dari suami. Apabila suami sudah berikan macam-macam tetapi bila marah dia cakap begini: “aku sejak kahwin dengan kau, tidak pernah senang….”. Wanita (dan juga lelaki) kalau terkesan dan dikawal oleh emosi (bukan akal) memang akan kata macam-macam.

📍Kalau isteri rasa perkahwinan mereka seperti bala dan ujian kepada dia, adakah itu dikira nusyuz?

🔵 Hidup ini memang ujian.

📍Bagaimana pula jika suami telah meninggal dan isteri masih menyimpan perasaan dendam, marah dan mencerca arwah kerana arwah suami meninggalkan hutang yang banyak? Adakah termasuk dikalangan nusyus?

🔵 Marah itu biasa tetapi kita kena kawal. Kalau marah-marah boleh hilangkan hutang, maka marahlah. Begitu juga dengan mencaci. Bolehkah hutang berkurang?

📍Hadis tersebut hanya buat suami isteri dan tidak termasuk tunang atau pasangan kekasih?

🔵Ya hanya suami isteri.

  1. Bagaimana jika selepas dua minggu nikah, isteri memberontak marah seolah-olah sebelum itu kita tidak pernah membantunya atau keluarganya?

🔵 Itu tidak berterima kasih kepada manusia.

Dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”

(HR. Abu Daud no. 4811 dan Tirmidzi no. 1954. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih).

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan