Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-24 hingga Ke-28

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-24 hingga Ke-28

452
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-24

Di celah ayat ini dan ayat sebelumnya juga ada idmaj. Ada kisah panjang lagi bagaimana mereka lari dan sampai ke laut. Ini diceritakan dalam ayat-ayat yang lain. Ayat ke-24 adalah mengenai kejadian semasa Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israel sedang menyeberang laut.

Selain daripada itu, ayat ini juga adalah selepas Nabi Musa عليه السلام diarahkan oleh Allah ﷻ untuk memukul laut dengan tongkatnya dan dengan izin Allah ﷻ, laut itu terbelah. Mereka telah menyeberangi laut itu mengikut Nabi Musa عليه السلام .

Waktu itu ramai kaum Firaun dari bangsa Qibti yang sedang mengejar Bani Israel. Kebanyakan mereka adalah tentera-tentera Firaun. Kita kena ingat bahawa Mesir waktu itu adalah negara ketenteraan. Jadi, pemuka-pemuka negara mereka, yang kaya raya dan mempunyai kuasa adalah tentera-tentera

Semasa Bani Israel telah melepasi laut itu, Bani Israel suruh Nabi Musa عليه السلام untuk menutup kembali laluan laut itu supaya Firaun dan tenteranya tidak dapat ikut mereka. Namun, Allah ﷻ berfirman:

وَاترُكِ البَحرَ رَهوًا ۖ إِنَّهُم جُندٌ مُّغرَقونَ

Dan tinggalkanlah laut itu dalam keadaan tenang – terbelah, kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan (sehingga binasa).

 وَاتْرُكِ الْبَحْرَ

Dan biarkanlah laut itu

Setelah mereka selamat menyeberangi laut itu, Allah ﷻ tidak membenarkan Nabi Musa عليه السلام untuk mengetuk laut itu dengan tongkatnya. Tongkat Nabi Musa عليه السلام waktu itu adalah seperti ‘on’ dan ‘off switch’. Kalau baginda عليه السلام ketuk sekali lagi, laut tersebut boleh tertutup kembali.

Bani Israel telah mendesak Nabi Musa عليه السلام untuk mengetuk laut itu sekali lagi, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan. Allah ﷻ suruh biarkan sahaja.

رَهْوًا

dalam keadaan terbelah,

Perkataan رَهْوًا berasal dari kata dasar ر ه و yang bermaksud ‘tenang’, ‘berjalan dengan tenang’, ‘air laut yang tenang’.

Bukankah selalunya laut itu memang bergelora? Tidak kira waktu bila kita pergi ke laut, tentu laut sedang bergelora. Memang begitu, tetapi apabila Nabi Musa عليه السلام memukul laut, ia menjadi tenang. Keadaan itu telah memudahkan bani Israel untuk menyeberangi laut.

Itu adalah salah satu lagi rahmat daripada Allah ﷻ yang berikan kepada Bani Israel. Oleh itu, ayat ini menceritakan bahawa selepas Bani Israel telah menyeberang laut, Allah ﷻ suruh biarkan sahaja laut itu dalam keadaan tenang dan terbelah.

Allah ﷻ beritahu Nabi Musa عليه السلام jangan lagi ketuk laut itu untuk mencantumkannya balik semula. Biarkan ia terbelah lagi.

Mujahid mengatakan bahawa rahwan ertinya jalan yang kering seperti keadaan ketika dipukul oleh Musa عليه السلام dengan tongkatnya. Allah ﷻ berfirman, “Janganlah kamu perintahkan laut supaya menutup sebelum orang yang terakhir dari pasukan Firaun masuk ke dalamnya.”

إِنَّهُمْ جُندٌ مُّغْرَقُونَ

kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan.

Ada tujuan kenapa Allah ﷻ hendak biarkan air laut itu dalam keadaan begitu. Allah ﷻ hendak mereka ikut sampai ke tengah laut, dan waktu itulah nanti laut itu akan dicantumkan semula dan mereka semuanya akan ditenggelamkan.

Bayangkan air laut yang tinggi menggunung di sebelah kanan dan kiri mereka dan apabila laut itu dicantumkan kembali, air laut itu akan menghempas mereka dan mematikan mereka.

Begitulah kesudahan Firaun dan tenteranya yang sombong dengan Allah ﷻ. Mereka yang sombong dengan Allah ﷻ akan kalah dan akan menerima bala yang besar.

Firaun sombong kerana dia ada kekayaan dan kekuasaan. Dia telah mabuk dengan kelebihan keduniaan yang dia ada. Begitu jugalah dengan Musyrikin Mekah yang sangka mereka sudah cukup kaya, cukup kuat.

Hinggakan apabila Nabi Muhammad ﷺ berdakwah kepada mereka, turut tidak mahu terima. Padahal, apalah sangat yang mereka ada kalau hendak dibandingkan dengan Firaun dan kekayaannya.

Begitulah juga dengan masyarakat kita sekarang. Apabila kehidupan senang, kaya dan berkuasa, mereka susah hendak menerima kebenaran kerana menyangka sudah cukup keperluan kehidupan mereka, tidak memerlukan apa-apa lagi.

Mereka senang hendak melupakan Allah ﷻ kerana kesenangan yang mereka ada itu. Mereka hanyut dalam kenikmatan yang Allah ﷻ juga berikan kepada mereka. Mereka sudah tidak nampak yang segala kenikmatan yang mereka ada itu adalah dari Allah ﷻ.

Mereka sangka ia adalah hasil usaha mereka. Itulah kesilapan kebanyakan manusia, mereka lupa bahawa segala apa yang mereka ada, itu semuanya dari Allah ﷻ belaka.

Tafsir Ayat Ke-25

Selepas mereka mati, apakah yang terjadi dengan segala kemewahan yang mereka banggakan itu dulu?

كَم تَرَكوا مِن جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

Banyak sungguh kebun-kebun dan mata air, mereka tinggalkan,

Kehebatan kaum Firaun adalah tentang bandar mereka yang hebat. Apa yang mereka banggakan semuanya tidak dapat membantu mereka. Selepas mereka dilemaskan, segala kekayaan mereka di Mesir itu kena ditinggalkan.

Kota Mesir dan penempatan tidak dimusnahkan kerana ada daripada mereka yang tidak bersalah seperti kaum wanita dan kanak-kanak yang tidak ikut serta mengejar Bani Israel. Allah ﷻ tidak hancurkan mereka dan tempat penempatan mereka.

Allah ﷻ hanya musnahkan musuh sahaja macam buang sampah dan tidak musnahkan tempat tinggal dan segala harta benda. Allah ﷻ tidak musnahkan kerana hendak memberi segala kekayaan itu kepada Bani Israel.

Mereka akan kembali ke Mesir dan mengambil alih kekayaan itu. Mereka diberikan dengan nikmat itu kerana mereka sanggup ikut Nabi Musa عليه السلام . Ini menunjukkan bahawa dengan mengikut Nabi, ada keberkatan dan kelebihan yang akan diberikan.

Ketahuilah yang manusia yang taat boleh dapat kelebihan dunia juga, bukan hanya akhirat sahaja. Ini adalah kerana Nabi Musa عليه السلام menjanjikan perkara itu kepada Bani Israel dan kerana itu Allah ﷻ telah penuhi janji itu.

Tafsir Ayat ke-26

Allah ﷻ sebut apakah yang ditinggalkan.

وَزُروعٍ وَمَقامٍ كَريمٍ

Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah – mulia,

وَزُرُوعٍ

Dan juga tanam-tanaman, ladang-ladang.

Tanam tanaman dan makan ruji.

وَمَقَامٍ

serta tempat-tempat kediaman

Tempat mereka berdiri (tinggal) iaitu rumah-rumah dan istana-istana mereka. Juga boleh juga digunakan untuk menceritakan kedudukan mereka yang tinggi di mata masyarakat dan negara-negara lain.

Kedudukan yang tinggi dipegang oleh mereka yang berada dalam tentera kerana negara Firaun adalah negara tentera. Mereka telah kehilangan segala ketinggian keduniaan itu.

كَرِيمٍ

yang indah – mulia,

Semuanya ditinggalkan sahaja. Ini kerana semasa Firaun mengejar Bani Israel yang lari dengan Nabi Musa عليه السلام, Firaun telah mengajak tentera-tenteranya ikut sekali.

Merekalah golongan elit masyarakat itu. Mereka semuanya mati bersama dengan Firaun dalam laut dan yang tinggal adalah mereka yang tidak terlibat sahaja, seperti kaum wanita dan kanak-kanak.

Tafsir Ayat ke-27

وَنَعمَةٍ كانوا فيها فٰكِهينَ

Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.

وَنَعْمَةٍ

Dan juga nikmat kemewahan hidup,

Kehidupan yang senang lenang. Mereka hidup dengan senang lenang dan dalam masa yang sama, mereka memperhambakan Bani Israel.

كَانُوا فِيهَا فٰكِهِينَ

yang mereka sekian lama menikmatinya.

Dulu mereka telah memperhambakan Bani Israel begitu lama sekali. Sekarang semuanya ditinggalkan sahaja dan tidak dapat membantu mereka langsung. Bukankah agama mereka mengajar bahawa segala harta mereka boleh dibawa kepada kehidupan yang seterusnya?

Sebab itulah kita lihat dalam piramid itu, mereka simpan berbagai harta, emas dan sebagainya kerana mereka sangka mereka boleh bawa ke alam yang seterusnya. Namun, sekarang? Semuanya mereka tinggalkan. Langsung tidak berguna kepada mereka. Allah ﷻ hina mereka begitu sekali.

Tafsir Ayat Ke-28

Apa yang jadi dengan segala harta kekayaan itu?

كَذٰلِكَ ۖ وَأَورَثنٰها قَومًا ءآخَرينَ

Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain.

كَذَٰلِكَ

Demikianlah keadaannya

Itulah hukuman kepada mereka dan lihatlah bagaimana mereka meninggalkan segala yang dibanggakan itu. Wahai orang Mekah, dengarlah pengajaran ini dan jangan degil kerana kalau masih berdegil, kamu juga akan kena.

وَأَوْرَثْنٰهَا قَوْمًا ءآخَرِينَ

dan Kami wasiatkan kepada kaum yang lain

Diberikan kemewahan itu kepada orang lain. Apabila ditinggalkan begitu sahaja, ada orang lain yang datang dan ambil semua kemewahan itu. Ada yang kata bahawa ia telah diambil oleh Bani Israel dan mungkin juga diambil oleh kaum lain kerana Bani Israel semuanya sudah melepasi Laut Merah.

Namun, daripada dalil dari Surah Syuara’, pendapat yang kuat mengatakan ia diambil oleh Bani Israel iaitu mereka akan kembali ke Mesir dan mengambil alih Kota Mesir. Memang ada yang mengkritik pendapat yang mengatakan Bani Israel mengambil kembali Mesir kerana tidak ada maklumat ini dalam lipatan sejarah.

✍🏻Namun ini telah dijawab dalam surah [ Syuara’ ]:

{كَذَلِكَ وَأَوْرَثْنَاهَا بَنِي إِسْرَائِيلَ}

demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya (itu) kepada Bani Israel. [Asy-Syu’ara: 59].

✍🏻Dalam ayat yang lain disebutkan oleh firman-Nya:

{وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ}

Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangunkan mereka.

[ Al-A’raf: 137 ].

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat ke-24 hingga ke-28)

📍 Boleh ustaz terangkan lagi maksud kalimah “idmaj”? Kisah panjang maksudnya yang diterangkan dalam tafsir oleh mufassir yang merujuk kepada ayat yang lain juga?

🔵Idmaj ini boleh dikatakan ‘back story’. Macam kita tengok filem. Pelakon mula-mula kecil, tiba-tiba dia sudah besar dewasa. Kisah semasa dia kecil dan membesar itu tidak disebut.

📍Boleh kita katakan Idmaj sama dengan ‘flashback’?

🔵Bukan ‘flash back’ tetapi kisah tengah-tengah yang tidak diceritakan sebab hendak pendekkan cerita. Takkan hendak cerita semua, tentu jadi panjang Al-Quran ini kan?

📍Bagaimana untuk mengurus hati supaya tidak mudah hanyut apabila kita berada dalam nikmat kekayaan supaya kita tidak menjadi seperti Firaun dan kaum musyrikin?

🔵 Dengan selalu membaca Al-Quran sambil faham apa yang dibaca. Ini kerana Allah SWT selalu sebut bab harta dan dunia. Allah beritahu yang harta ini tidak bernilai, ia sekejap sahaja dan tidak kekal dan lain-lain. Bila selalu baca selalulah diingatkan. Kita manusia selalu lupa. Maka bila baca selalu, ingatlah selalu.

Sebab itu khatam Al-Quran bukan sekali semasa kecil sahaja tetapi kena selalu baca. Orang kita sudah khatam, tutup terus. Kemudian ramai baca tetapi tidak faham pun apa yang dia baca. Bagaimana hendak dapat peringatan jika baca begitu.

📍Dimanakah yang dimaksudkan timur dan barat itu dalam ayat di bawah?

{وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ}

Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka. [ Al-A’raf: 137 ].

🔵Barat (kawasan Syam) dan daerah Timur (Mesir).
Namun, daripada dalil dari Surah Syuara’, pendapat yang kuat mengatakan ia diambil oleh Bani Israel iaitu mereka akan kembali ke Mesir dan mengambil alih Kota Mesir. Memang ada yang mengkritik pendapat yang mengatakan Bani Israel mengambil kembali Mesir kerana tidak ada maklumat ini dalam lipatan sejarah tetapi ini telah dijawab dalam ayat Syuara’.

{كَذَلِكَ وَأَوْرَثْنَاهَا بَنِي إِسْرَائِيلَ}

demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya (itu) kepada Bani Israel. [ Asy-Syu’ara: 59 ].

📍Bilakah Bani Israel ambil semula Mesir?

🔵Lama selepas itu. Masa saya tidak pasti. Tidak disebut dalam tafsir.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan