Utama Bilik (130) Tazkirah Ramadhan 2015 Tanda-Tanda Mendapat Lailatul Qadr

Tanda-Tanda Mendapat Lailatul Qadr

209
0
Iklan

TANDA-TANDA MENDAPAT LAILATUL QADR

Semua orang mengharap mendapat Lailatul Qadr. Apakah tanda-tanda seseorang itu mendapat Lailatul Qadr ? Sebenarnya tidak ada seorang pun yang tahu dia telah mendapat Lailatul Qadr, apalagi sampai mengaku telah mendapat Lailatul Qadr. Namun demikian menurut sebahagian Ulama’ seseorang mampu mengetahui bahawa dia telah mendapat malam tersebut melalui perubahan sikap pada dirinya yang lebih positif berbanding sebelumnya.

Sebagaimana kita maklumi bahawa setiap ibadat yang diperintahkan oleh Allah pasti ada tujuannya. Jika tujuan ibadat tersebut terserlah nyata pada diri pelakunya, maka itu boleh dikatakan sebagai sempurna dan diterima ibadatnya itu.

Sebagai contoh: Tujuan ibadat solat ialah agar pelakunya merasa benci terhadap perbuatan keji dan kemungkaran, (Al-‘Ankabut : 45) ; Tujuan ibadat puasa agar pelakunya menjadi insan yang bertaqwa (Al-Baqarah: 183) ; Tujuan taubat agar pelaku merasa benci dengan dosa dan gembira melakukan amalan soleh (Al-Nisa’: 110).

Atas dasar itu, jika selesai melakukan ibadah puasa Ramadhan dan bersungguh-sungguh pula beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah dalam sepuluh terakhir Ramadhan untuk mendapat Lailatul Qadr, maka dia relatif menjadi insan yang lebih baik perilakunya setelah berakhir bulan Ramadhan, apakah daripada sudut Aqidahnya, Ibadatnya dan Akhlaknya.

Uday ingin merujuk kepada tiga hadis yang telah disebut pada nota sebelumnya sebagai pemangkin atau pemicu atau pendorong seseorang mencapai darjat TAQWA sebagai tujuan dan matlamat kita disuruh berpuasa. Walaupun tidak dinafikan bahawa ciri-ciri TAQWA sangat banyak, tetapi dalam pembahasan ini Uday ingin huraikan agak lebih luas maksud tiga hadis terdahulu, iaitu :

  1. Iman kepada Allah dan Istiqamah.
  2. Suka membantu orang lain.
  3. Bersyukur terhadap kebaikan orang lain.

IMAN DAN ISTIQAMAH

Iman dan istiqamah adalah dua perkara yang sangat penting. Hakikat ini tergambar di dalam hadis : ْقُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِم : Katakanlah : Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah kamu istiqamah. (HR Muslim)

IMAN kepada Allah adalah faktor yang paling utama di dalam Islam. Tanpa iman segala kebaikan tiada nilai di sisi Allah SWT. Hakikat ini dapat dilihat daripada beberapa sudut, antaranya :

1. Dua belas tahun pertama kenabian baginda Rasullulah SAW menumpukan dakwahnya kepada pengukuhan Akidah (Dua Kalimah Syahadat) kemudian barulah disusuli dengan perintah ibadah (Solat) sempena peristiwa Israk Mi’raj yang terjadi pada tahun yang ke 12 dari kenabian.

2.  Sifat pertama golongan Muttaqin (Orang yang bertaqwa) dalam Al-Quran disebut oleh Allah pada ayat ke (3) dari surah Al-Baqarah (orang yang beriman kepada ghaib) dan disusuli dengan (iman kepada wahyu) dan iman kepada Hari Akhirat (mereka yakin terhadap Hari Akhirat).

3.  Mendahulukan Mengucap Dua Kalimah Syahadat dalam urutan tertib Rukun Islam mendahului ibadah solat, puasa, zakat dan haji. Seseorang barulah dikatakan Muslim jika dengan rela hati mengucap Dua Kalimah Syahadat, bukan karena solatnya, puasanya, zakatnya atau hajinya.

ISTIQAMAH

Istiqamah selalu diertikan dengan teguh pendirian. Dengan kata ia adalah gabungan daripada istilah komited dan konsisten. Kadang-kadang Istiqamah ditakrifkan dengan contoh, seperti : Istiqamah itu bagaikan gunung. Gunung akan tetap kukuh dan tidak goyah walau dilanda panas, hujan, ribut, puting beliung. Demikianlah keadaan insan yang memiliki sifat istiqamah, dia tetap ingat dan taat kepada Allah, walaupun bagaimana keadaannya, apakah susah atau senang.

Syaikh Ali Mahfuz berkata: Istiqamah ialah mengikuti perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW sambil mengikutinya dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Dengan kata lain : Dia sentiasa melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya secara jujur, bukan dibuat-buat. Ketaatannya kepada Allah semata-mata kerana Allah, bukan kerana takut atau segan kepada manusia.

Kalau pada siri (1) telah dijelaskan bahawa tanda-tanda utama dan pertama mereka yang mendapat Lailatul Qadr ialah Iman dan Istiqamah. Maka pada dua siri berikutnya Uday akan jelaskan pula tanda-tandanya yang lain, iaitu :

Siri (2) : Banyak Memberi Manfaat Kepada Orang Ramai.

Siri (3) : Pandai Bersyukur Kepada Sesama Manusia.

BANYAK MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG RAMAI

Untuk menjadi manusia yang terbaik belum cukup jika hanya berusaha memperbaiki diri sendiri dengan memiliki iman yang mantap dan istiqamah dalam beramal, tetapi kita juga mesti banyak berbuat baik kepada orang lain. Mungkin atas dasar inilah maka Rasulullah SAW bersabda :

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia ialah sesiapa yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. (HR Tabarani – Hasan)

Sungguh banyak dalil di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang sahih menyebut tentang galakan berbuat baik kepada pihak lain, antaranya :

1. Rugi jika tidak menasihati orang lain (dakwah).

Demi masa, seluruh manusia di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, menyampaikan kebenaran, dan berpesan dengan sabar. (Al-‘Asr : 1-3)

2. Mendapat kehinaan di dunia lagi.

Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada agama Allah dan perjanjian dengan sesama manusia. (Ali Imran : 112)

3.  Terhalang mendapat Redha Allah.

Redha Allah sangat tergantung kepada redha ibu bapa, dan murka Allah sangat tergantung kepada murka ibu bapa. (HR Ibnu Hibban – Sahih)

Dr. Yusuf Al-Qaradhawiy menyebut dalam kitabnya : Fiqh Al-Aulawiyyat (Fikih Keutamaan) : Amalan dalam Islam ada yang baik dan pula yang lebih baik. Amalan wajib lebih baik dari amalan sunat; Bersedekah secara sembunyi-sembunyi lebih baik dari bersedekah secara terang-terangan; Solat berjemaah lebih baik dari solat sendirian, dan lain-lain.

Demikianlah adanya, jika kebaikan yang kita lakukan itu dapat dinikmati atau dikecapi oleh orang yang lebih ramai, maka kebaikan itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah dan lebih banyak ganjaran pahala yang kita berhak perolehi. Inilah antara lain rahsia yang tersirat di balik hadis Ibnu Hibban di atas.

Sesuatu yang boleh memberi manfaat atau kebaikan kepada orang ramai tidak semestinya dalam bentuk harta saja, tetapi juga boleh dalam apa pun jua, seperti penyebaran Al-Haq (ilmu pengetahuan yang benar), apakah melalui lisan atau tulisan dan lain-lain.

BEBERAPA CONTOH :

1. Menyediakan tempat pengajian.

Rasulullah SAW bersabda : Orang yang mengajak orang ramai kepada kebaikan mendapat pahala yang sama dengan orang yang melakukan kebaikan itu. (HR Ibnu Hibban – Sahih)

Semakin ramai murid yang mengikuti pengajiannya, atau semakin ramai jemaah yang menghadiri kuliah kelolaannya, maka akan semakin banyak pula pahala yang dia akan perolehi.

2.  Amalan yang berguna untuk jangka panjang.

Orang yang berakal ialah orang yang banyak ingat mati (akhirat) dan orang yang paling banyak membuat bekal untuk hidupnya sesudah mati. (HR Ibnu Majah dalam Sunannya)

Jika mati anak cucu Adam semua (amalannya) terputus kecuali tiga perkara : Sedekah jariyah, ilmu yang dapat diambil manfaat darinya dan anak soleh yang mendoakannya. (HR Muslim)

3.  Membantu Pembinaan Masjid dan Pusat Pendidikan Islam.

Orang yang banyak harta dan sihat boleh melakukan Haji dan Umrah beberapa kali dalam hidupnya. Tidak dinafikan bahawa dia akan mendapat pahala insya Allah untuk dirinya sendiri, tetapi jika dia hajikan atau umrahkan orang lain yang tidak mampu, lebih-lebih lagi dari kalangan kaum kerabatnya yang miskin, maka dia pasti akan mendapat ganjaran berlipat ganda.

Atau biaya Haji atau Umrah untuk kesekian kali itu dia salurkan atau limpahkan kepada Pembinaan Masjid atau Pusat-Pusat Pendidikan Islam – MaaSyaa Allah – berapa banyak orang ramai yg mendapat manfaat dari pembinaan masjid dan sekolah tersebut kelak ?

Mungkin setelah membaca NOTA ini para jemaah akan mendapat kesimpulan dan jawapan mengapa terdapat sesetengah insan yang sanggup kurangkan masa tidurnya dan korbankan masa rehatnya semata-mata mengharap ganjaran berpanjangan dari Allah ‘Azza Wa Jalla – Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan ini – Amin Ya Rabb.

DR ABDULLAH YASIN (UDAY)

Mekah al-Mukarramah

28hb Ramadhan 1439 / 13hb Jun 2018.

Komen dan Soalan