Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-27 hingga Ke-29

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-27 hingga Ke-29

314
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-27

 Apakah akidah Nabi Ibrahim?

إِلَّا الَّذي فَطَرَني فَإِنَّهُ سَيَهدينِ

“Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku”.

إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي

Melainkan Tuhan yang menciptakan daku,

Ini sama dengan illa Allah SWT (melainkan Allah) dalam syahadah kita. Selepas tolak akidah yang salah, maka kena ithbat (tetapkan) dengan akidah yang benar. Maknanya Nabi Ibrahim tidak akan menyembah melainkan Tuhan Allah SWT sahaja.

Kaum Nabi Ibrahim itu ada juga yang menyembah Allah SWT tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga benda lain. Itulah sebabnya dalam ayat ini, ada perkataan إِلَّا – melainkan iaitu Nabi Ibrahim tolak semua sembahan mereka, kecuali Allah SWT.

Ini sama dengan syahadah kita – kita tolak ilah yang lain, kecuali Allah SWT sahaja. Maknanya, kaum Nabi Ibrahim macam Musyrikin Mekah juga – mereka sembah Allah SWT juga, tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah entiti yang lain.

Macam kaum musyrikin kita juga, kenal Allah SWT, kenal Nabi Muhammad SAW, tetapi masih buat syirik juga. Mereka solat dan puasa, mengucap dua kalimah syahadah, tetapi masih lagi buat perkara khurafat, syirik dan bidaah kerana mereka tidak tahu apakah tauhid, apakah syirik dan apakah bidaah.

Kenapa? Puncanya kerana tidak belajar. Dalam ayat ini diberikan dalil dan hujah kenapa Nabi Ibrahim hanya sembah Allah SWT sahaja. Ini kerana Allah lah yang menjadikan baginda dan seluruh alam. Allah SWT sahaja yang menciptakan alam ini; adakah lagi entiti lain yang boleh cipta alam ini?

فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ

sesungguhnya Dia memberi petunjuk kepadaku”.

Huruf س dalam lafaz سَيَهْدِينِ bukanlah bermaksud ‘akan’ seperti yang selalu kita faham tetapi ini adalah س tahkik – sebagai penguat.

Nabi Ibrahim yakin yang Allah SWT akan memberi hidayah kepada baginda selepas itu. Hidayah yang dimaksudkan ada dua jenis: petunjuk dalam bentuk agama dan petunjuk dalam kehidupan kerana selepas Nabi Ibrahim mengatakan yang baginda berlepas diri dari bapa dan kaumnya itu, tentulah baginda tidak boleh lagi tinggal di situ.

Baginda juga sudah kena tangkap dan dibakar dalam api yang besar. Oleh itu baginda tidak akan selamat lagi kalau duduk dengan mereka, maka baginda perlu meninggalkan mereka. Baginda berharap kepada Allah SWT untuk memberi petunjuk kepada baginda tempat yang baginda perlu pergi selepas itu kerana baginda nanti akan pergi ke Jurusalem dari Iraq, satu perjalanan yang amat jauh sekali.

Kenapa baginda perlu meninggalkan mereka? Ini kerana kalau baginda tinggal lagi di situ, baginda dan anak-anak baginda akan ada masalah dengan tauhid. Mereka akan susah untuk hidup dalam iman untuk mengamalkan tauhid.

Oleh itu, kadang-kadang kita kena tinggalkan tempat tinggal kita kalau ia akan memberi mudharat kepada iman kita. Bumi Allah SWT ini luas dan ada banyak tempat lagi. Lihatlah keyakinan Nabi Ibrahim kepada Allah SWT. Lihatlah pengharapan baginda kepada Allah SWT.

Kita turut kena berharap begitu juga. Kita serahkan diri kita kepada Allah SWT. Itulah yang dinamakan ‘tawakal’.

Tafsir Ayat Ke-28

Allah SWT puji Nabi Ibrahim, supaya kita tahu yang apa yang dilakukannya itu adalah benar dan sepatutnya menjadi ikutan kita.

‎وَجَعَلَها كَلِمَةً باقِيَةً في عَقِبِهِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali

‎وَجَعَلَهَا كَلِمَةً بَاقِيَةً فِي عَقِبِهِ

Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya,

Baginda pastikan untuk sampai kalimah itu kepada keturunan baginda melalui wasiat, baginda ajar ahli keluarga baginda. Maka kita perlu kena ikut juga.

Kalimah yang mana? Itulah kalimah La ilaaha illallah. Nabi Ibrahim telah menyampaikan ajaran tauhid dan Kalimah Tauhid itu kepada keturunannya. Jadi, walaupun baginda telah tiada, Nabi Ibrahim terkenal sebagai ‘bapa’ kepada Nabi-nabi.

Ini telah disebut dalam [ Baqarah: 132 ]:

‎وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

Nabi Ibrahim telah mengajar tauhid kepada anaknya sebelum baginda mati, dan anaknya juga mengajar anaknya. Sepanjang hidup baginda, baginda mengajar tauhid kepada anak-anaknya, dan semasa hendak mati turut baginda ajar perkara yang sama.

Baginda juga berdoa supaya mereka tetap dalam tauhid. Seperti yang disebut dalam [ Ibrahim: 40 ]:

‎رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Ini mengajar kita supaya mengikut sunnah Nabi Ibrahim ini dengan mengajar tauhid kepada anak-anak kita. Mesti sampaikan wasiat kepada mereka tentang agama. Jangan kita bergantung harap pengajaran agama kepada orang lain sahaja. Kita sendiri kena mengajar anak cucu kita.

Ada yang ajar dan beritahu kepada orang lain, tetapi keluarga sendiri, mereka tidak ajar. Sanggupkah kita tengok anak-anak kita hidup dalam kesesatan?

Kadang-kadang usaha yang kita lakukan untuk menjaga iman kita adalah kita kena tinggalkan masyarakat kita yang telah teruk dalam tauhid supaya iman anak-anak dan keluarga kita terjaga. Kita disuruh ikut sunnah Nabi Ibrahim dalam [ Mumtahanah: 4 ]:

‎قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik.

Oleh itu, kita kena belajar tentang apakah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim supaya kita boleh ikut sunnah baginda. Nabi Ibrahim berusaha untuk menjaga iman dan dalam masa yang sama, baginda banyak berdoa kepada Allah SWT.

Maka, selalulah kita berdoa kepada Allah SWT supaya memberi iman kepada kita dan anak-anak kita dan ingatlah bahawa doa sahaja tidak cukup, kita kena juga berusaha mendidik anak-anak kita.

Luangkan masa untuk mengajar agama kepada mereka. Kalau kita hendak anak kita menghafal al-Quran contohnya, kita kena paksa mereka dari kecil lagi untuk sayang kepada al-Quran. Kita kena jadikan al-Quran itu menarik kepada mereka. Dari kecil lagi kita ajar mereka baca al-Quran. Janganlah ajar mereka menyanyi pula – tetapi ajarlah mereka al-Quran.

Tafsir Ayat Ke-29

Apakah sebab kekufuran manusia berterusan? Persoalan yang timbul adalah kenapa Musyrikin Mekah tidak menerima akidah seperti Nabi Ibrahim? Allah SWT jawab dalam ayat ini.

Masalah yang sama juga dihadapi dengan kebanyakan manusia iaitu, bila mereka hidup senang, mereka senang lupa agama kerana mereka rasa bila hidup mereka senang atas dunia, Allah SWT sudah redha kepada mereka dan mereka tidak perlu memperbaiki diri mereka lagi.

Orang kafir tidak mahu masuk Islam kerana tengok orang Islam susah dalam bentuk keduniaan dan mereka tidak mahu susah kerana mereka mahu hidup senang sahaja. Mereka rasa seolah-olah kalau masuk Islam, hidup mereka akan susah.

Oleh itu, tidak terjadi apa yang Nabi Ibrahim harapkan kepada keturunan baginda kerana Musyrikin Mekah meninggalkan ajaran Nabi Ibrahim itu. Mereka buat juga syirik dan jauh dari agama tetapi adakah Allah SWT jadikan mereka mati sampai tidak ada baka? Allah SWT tidak buat begitu kepada keturunan Nabi Ibrahim a.s. Bahkan Allah SWT beri nikmat kepada mereka.

‎بَل مَتَّعتُ هٰؤُلاءِ وَآباءَهُم حَتّىٰ جاءَهُمُ الحَقُّ وَرَسولٌ مُّبينٌ

(Kebanyakan mereka tidak kembali kepada tauhid, dan Aku pula tidak segerakan azab mereka) bahkan Aku memberikan mereka dan datuk nenek mereka menikmati kesenangan hidup, sehingga datanglah kepada mereka kebenaran (Al-Quran), dan seorang Rasul yang menerangkan tauhid.

 ‎بَلْ مَتَّعْتُ هَٰؤُلَاءِ وَآبَاءَهُمْ

Bahkan Aku telah memberikan kesenangan hidup kepada mereka dan datuk nenek mereka

Inilah sebab mereka tetap kufur dan jadi musyrik kerana mereka dapat kesenangan dan apa yang mereka mahu. Mereka diberikan dengan kesenangan hidup dalam dunia. Mereka tidak terus dihukum walaupun mereka melakukan syirik.

Mereka terpedaya dengan kesenangan dunia kerana Allah SWT tetap beri mereka kesenangan sekali pun akidah mereka akidah syirik. Oleh kerana itu mereka tidak berfikir hendak cari kebenaran kerana hidup mereka sudah senang. Begitulah mereka yang selesa dalam hidup tidak terfikir hendak belajar agama.

Mereka rasa mereka sudah selamat dan tidak perlu apa-apa lagi. Begitulah juga yang terjadi kepada masyarakat kita yang mengamalkan bidaah dalam agama. Mereka mendapat kesenangan dengan menjual agama.

Sebagai contoh, ada yang ambil upah untuk mandikan kereta dengan doa-doa tertentu supaya kereta itu kononnya dapat berkat dan jauh dari sial. Itulah yang diajar oleh guru-guru yang salah faham tentang agama. Ada ustaz yang menasihatkan orang yang baru beli kereta untuk beri ustaz atau tok imam pakai dulu kereta itu supaya kereta itu selamat/berkat.

Itu adalah satu pengambilan berkat yang salah. Tidak ada berkat pada ustaz atau imam, atau siak masjid yang membolehkan kereta itu selamat dari terkena bala dan musibah. Itu bukanlah cara yang pernah diajar Nabi SAW untuk menjaga keselamatan.

Ada juga yang mendapat upah dengan berbomoh. Mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mengubat orang dan menghalau jin. Mereka mengenakan bayaran yang tinggi. Maka, berleluasalah perniagaan ini sampaikan penuhlah pusat-pusat perubatan mereka.

Mereka dikatakan boleh ‘scan’ berapa ekor jin dalam tubuh seseorang itu dan mereka boleh halau atau letak jin-jin itu dalam botol. Padahal, kebolehan mengesan jin tidak ada pada Nabi Muhammad SAW sendiri. Maka, bila mereka kata mereka boleh kesan jin, halau jin, masukkan jin dalam botol, mereka telah berkata bahawa mereka lebih hebat dari Rasulullah SAW. Memang mereka tidak kata begitu, tetapi begitulah hakikatnya.

Padahal, mereka mengamalkan amalan yang salah terang-terangan antaranya, mereka amalkan Selawat Syifa’ yang ada unsur kesyirikan di dalamnya. Kalau setiap hari beramal dengan amalan yang syirik, apa lagi jadi dengan mereka?

Mereka ramai yang tertipu kerana apa yang dilakukan oleh pengamal-pengamal amalan sesat itu seumpama ‘menjadi’ (berjaya). Kalau dulu macam kena rasuk, sekarang sudah jadi baik. Kalau dulu sakit, sekarang sudah lega. Itu semua bukanlah dalil yang mengatakan amalan mereka benar. Tidak sama sekali. Ini telah disentuh dalam Surah Fussilat.

Ada yang dapat kekayaan dengan mengajar agama. Mereka mengenakan upah yang tinggi untuk mengajar, padahal kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar. Mengajar agama sepatutnya percuma tetapi, kebanyakan dari guru-guru agama dalam negara ini sekarang telah mengenakan bayaran yang tinggi.

Sampaikan ada yang boleh buat profit-sharing dengan masjid tempat diadakan kelas pengajian (bila ada ceramah mereka, ramai yang datang dan bagi sumbangan). Maka, kerana hendak pendatang yang ramai, mereka telah berjenaka dalam kuliah mereka. Sampai keras perut mereka yang datang.

Orang yang datang itu juga terhibur sampai meleleh air mata kerana gelak. Daripada tengok ‘Mahajara Lawak’, lebih baik tengok kuliah agama, kata mereka. Padahal, tidak boleh berjenaka di dalam kelas pengajian kerana apa yang diajar adalah hal agama dan hal agama adalah perkara serius.

Mereka akan jawab yang tujuan mereka berjenaka itu adalah supaya ramai datang ke kelas pengajian dan ia adalah salah satu cara untuk menarik orang muda untuk datang ke kelas agama tetapi, ketahuilah, apabila jenaka digunakan dan orang datang kerana jenaka, mereka tidak mendapat pengajaran dari kelas itu.

Kalau ditanya mereka apakah yang mereka pelajari dari kelas berjenaka itu, mereka tidak tahu. Apa yang mereka ingat hanyalah lawak jenaka itu. Ada juga yang ambil upah dalam amal ibadat – jadi imam Solat Hajat, jadi tekong Majlis Tahlil, Doa Selamat, jadi pembaca talqin, jadi imam dan makmum Solat Jenazah dan macam-macam lagi.

Ketahuilah bahawa tidak boleh mengambil upah dalam amal ibadat. Jikalau ambil upah juga, maka amal ibadat itu terbatal. Jadi, apabila mereka mendapat imbuhan dengan mengamalkan ajaran yang salah, mereka tetap berada dalam kesesatan. Mereka tidak mahu meninggalkan apa yang sedang mereka lakukan, kerana ia memberi keuntungan kepada mereka.

Secara ringkasnya, mereka sesat kerana:

1. Mereka dapat apa yang mereka hajatkan di dunia ini walaupun tidak amalkan agama yang sebenar.

2.  Keadaan dunia mereka tidak tergugat walaupun mereka tidak mengendahkan tentang agama. Kehidupan mereka tetap senang lenang.

3. Mereka anggap kesenangan yang mereka miliki itu kerana mereka Allah SWT redha kepada mereka.

Mereka sangka kalau Allah SWT redha kepada mereka semasa mereka di dunia, maka Allah SWT tentu redha kepada mereka di akhirat nanti.

‎حَتَّىٰ جَاءَهُمُ الْحَقُّ

sehingga datanglah kepada mereka kebenaran

Kesesatan yang diamalkan mereka itu hanya dapat dihapuskan dengan ‘kebenaran’. Perkara yang dimaksudkan dengan kebenaran itu adalah al-Quran. Apabila al-Quran diturunkan kepada Musyrikin Mekah, barulah mereka tahu tentang agama dan tentang kebenaran dan ia mengeluarkan mereka dari kegelapan syirik kepada cahaya keimanan.

Ada antara mereka yang menerima kebenaran wahyu itu dan mereka mengamalkan tauhid dan menyebarkan tauhid itu ke seluruh dunia. Begitu jugalah pada zaman sekarang, kesesatan hanya dapat dihapuskan dengan mempelajari tafsir al-Quran.

Kalau kita belajar apakah maksud al-Quran, iaitu dengan belajar Tafsir al-Quran, barulah kita dapat menyelamatkan diri kita. Kalau tidak belajar tafsir al-Quran, ramailah dari kalangan manusia yang tidak tahu agama dan terus berada dalam kesesatan.

Berapa ramai yang telah belajar Tafsir al-Quran baru tahu apakah maksud ‘tauhid’, apakah maksud ‘syirik’ dan lain-lain lagi tentang agama. Mereka mengaku yang selama ini mereka duduk dalam kesesatan. Mereka sangka sebelum ini mereka telah beramal yang benar, telah selamat, tetapi setelah belajar, barulah mereka tahu apakah kebenaran itu.

Waktu itu baru mereka menangis kerana menangisi masa lampau yang mereka telah buang kerana mengamalkan amalan yang salah dan sia-sia. Mereka baru sedar yang kalaulah mereka mati sebelum tahu tafsir al-Quran, tentulah mereka akan masuk neraka.

‎وَرَسُولٌ مُّبِينٌ

dan seorang Rasul yang jelas nyata

Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Ibrahim dalam [ Baqarah: 129 ] untuk membangkitkan Rasul dari kalangan keturunannya yang akan membacakan ayat-ayat Allah SWT:

‎رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad SAW. Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW dikatakan sebagai مُّبِينٌ (jelas)? Ini kerana jelas nyata kerasulan baginda SAW, tanpa syak lagi dan baginda SAW menjelaskan agama Islam dengan menggunakan al-Quran yang juga jelas nyata.

Zaman sekarang, selain dari belajar Tafsir al-Quran, kita kena belajar Sunnah Nabi SAW kerana Nabi SAW sudah tidak ada dalam kalangan kita. Apa yang ditinggalkan kepada kita adalah kitab-kitab hadis yang telah disusun oleh ulama-ulama hadis. Namun, kita kenalah pastikan yang hadis yang kita gunakan sebagai pegangan kita adalah hadis-hadis yang sahih.

Malang sekali apabila ramai dari kalangan masyarakat kita yang belajar agama, tetapi mereka tidak belajar hadis yang sahih. Maka, mereka tetap berada dalam kesesatan. Hadis yang selalu beredar dalam kalangan kita adalah hadis-hadis yang palsu ataupun lemah. Maka, mereka menggunakan hadis yang tidak benar. Mereka sangka mereka benar kerana pakai hadis, tetapi apabila tidak belajar, hanya baca sendiri sahaja, atau belajar dengan guru yang salah, mereka telah melakukan kesalahan dalam agama.

Itulah bahayanya kalau tidak belajar dengan betul. Inilah bahayanya kalau tersalah pilih guru. Begitulah penat setiap tahun kami kena jelaskan tentang amalan bidaah Nisfu Syaaban sebab semua baca hadis tetapi tidak tengok sahih atau tidak.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan