Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-53 (Penutup)

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-53 (Penutup)

243
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-53

Ayat sebelum ini menyebut ‘Jalan yang Lurus’. Apakah jalan yang lurus itu?

صِرٰطِ اللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِلَى اللهِ تَصيرُ الأُمورُ

Iaitu jalan Allah SWT yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah SWT jualah kembali segala urusan.

صِرٰطِ اللهِ

Iaitu jalan Allah

Ia bukanlah jalan yang biasa tetapi ia adalah jalan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ia adalah JALAN ALLAH SWT , bukan jalan manusia dan bukan jalan Syaitan! Kita kena ikut jalan yang telah diajar oleh Allah SWT dan dibawa oleh Rasulullah SAW. Tidak boleh kita ikut jalan yang direka-reka dari sumber-sumber yang lain.

Banyak sekali yang direka-reka dalam masyarakat sekarang. Banyak sekali perkumpulan dalam masyarakat kita dan yang paling kita takut adalah kumpulan tarekat kerana amat banyak keserongan akidah dalam perkumpulan itu. Ia merebak ke serata dunia. Mereka begitu ramai dan ada dalam kalangan keluarga kita pun terjebak dalam kumpulan ini. Mereka telah kena ‘tarik’ dan kena ‘ikat’.

Kita sebagai Muslim yang perihatin hendaklah sentiasa berhati-hati dan memastikan bahawa apa yang disampaikan adalah berlandaskan kepada Al-Quran dan Sunnah. Seorang guru yang benar bukan sahaja menunjukkan jalan Allah SWT tetapi hendaklah juga dia memberitahu kepada anak muridnya dan orang ramai tentang jalan-jalan yang salah.

Kalau hanya diberitahu apa yang perlu dilakukan dengan tidak diberitahu apa yang perlu ditinggalkan, maka masyarakat masih lagi akan keliru. Perumpamaan yang boleh kita berikan adalah memandu kereta. Kalau kita ajar orang memandu kereta, kita tidak boleh setakat ajar dia bagaimana memandu. Kita kena juga ajar dia tempat-tempat yang tidak boleh memandu, lorong-lorong yang tidak boleh masuk dan larangan-larangan lain dalam jalan raya.

Jikalau kita hanya mengajar mereka memandu, maka mereka akan susah kerana mereka akan langgar apa sahaja dan akhirnya akan memudaratkan diri sendiri sahaja. Oleh itu, janganlah marah kalau kita ada menyebut tentang jalan-jalan yang salah kerana kita menjalankan tugas kita untuk memberi peringatan kepada manusia.

Kadang-kadang kita tegur tentang perkumpulan tarekat, perkumpulan Habib dan lain-lain lagi, ramai yang marah. Mereka kata, kalau tidak mahu ikut pun, janganlah kutuk. Kita jawab, kita hanya menyampaikan perkara yang perlu kita sampaikan kerana kalau kita tidak beritahu, mungkin ramai yang tertipu dengan jalan-jalan mereka.

الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمٰوٰتِ

yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit

Allah SWT memiliki langit dan APA sahaja yang ada di langit itu. Kita pun tidak tahu sepenuhnya apa yang ada di langit. Apa yang kita boleh nampak dengan mata dan teleskop pun hanya secebis kecil sahaja dari apa yang ada di langit itu.

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi

Kita pun belum habis meneroka alam bumi ini pun lagi. Saintis sentiasa sahaja menemui penemuan baru dalam alam dunia ini. Padahal alam inilah yang dekat dengan kita. Segala yang ada dalam bumi adalah milik-Nya sahaja.

Apakah maksud ayat ini: Ia hanya memperkenalkan siapa Allah SWT. Siapakah Allah SWT itu?

Dialah yang memiliki alam ini. Jikalau kita terima Dia sebagai Tuan alam ini, maka hendaklah kita ikut arahan-Nya kerana kita tinggal dalam alam milik-Nya. Kalau kita tidak mahu ikut, maka silalah cari alam yang lain untuk kita tinggal. Dan hendaklah kita menyampaikan doa dan seruan kita hanya kepada-Nya sahaja. Jangan lupa surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang tauhid dalam doa.

أَلَا إِلَى اللهِ تَصِيرُ الْأُمُورُ

Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

Segala perbuatan-perbuatan kita selama kita hidup di dunia akan dibawa kepada Allah SWT dan Allah SWT akan memberitahu kita manakah perbuatan benar yang kita lakukan dan juga perbuatan yang salah yang telah kita lakukan.

Allah SWT nanti yang akan membuat keputusan dan menghukum kita. Sama ada kita masuk ke syurga atau neraka. ‘Segala urusan’ juga boleh bermaksud ‘segala keputusan’ yang kita jalankan. Ayat ini boleh juga bermakna, Allah SWT akan tanya balik kenapa kita ambil sesuatu ‘keputusan’ semasa di dunia.

Maka, keputusan agama mestilah berdasarkan kepada dalil yang sahih. Kalau tidak, kita akan ada masalah kalau kita tidak boleh bawa dalil dari sebab keputusan dan amalan kita. Bayangkan kalau kita buat satu amalan bidaah, dan Allah SWT tanya kita kenapa kita buat keputusan untuk buat perkara bidaah itu, apakah jawapan yang kita berikan begini: “sebab ramai orang buat”, “sebab ada dalam kitab”, “sebab ulama kata molek”; agaknya, bolehkah jawapan kita sebegitu?

Selamatkah kalau kita kata begitu? Maka, berhati-hati dengan keputusan kita melakukan sesuatu, lebih-lebih lagi yang melibatkan agama.

Penutup:

1. Surah Ghafir menekankan tentang tauhid dalam berdoa. Enam surah-surah Hawamim seterusnya menerangkan tentang kekeliruan yang mungkin timbul tentang tauhid dalam berdoa.

2.  Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain dari Allah SWT, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah SWT beritahu dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

3.  Surah Syura ini pula menjawab kekeliruan kedua. Ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah SWT itu boleh. Surah Syura ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.

 

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan