Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-129 hingga Ke-132

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-129 hingga Ke-132

46
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-129

Ini adalah jumlah ta’liliyah, Allah ‎ﷻ beritahu kenapa ada manusia boleh mendapat faedah daripada golongan jin. Allah ‎ﷻ membenarkannya kerana mereka sendiri sudah zalim dan sudah menolak kebenaran.

وَكَذٰلِكَ نُوَلِّى بَعضَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بَعضَۢا بِمَا كَانُواْ يَكسِبُونَ

Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian daripada orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (daripada perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).

وَكَذَٰلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا

Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain

Kalimah وَكَذَٰلِكَ (dan demikian itu) merujuk kepada situasi jin dan manusia yang bersekongkol yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Oleh kerana mereka ramai bersekongkol dan bekerjasama antara satu sama lain, maka ramailah yang menjadi teman rapat masing-masing.

Kalimah نُوَلِّي berasal daripada perkataan و ل ي yang ada banyak maksud. Ia boleh membawa maksud perkataan ‘wilayah’ yang bererti ‘kepimpinan’. Ini bermaksud yang zalim menjadikan yang zalim juga sebagai pemimpin mereka. Atau, sesiapa yang berbuat zalim, Allah ‎ﷻ akan meletakkan orang zalim sebagai pemimpin mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ akan berikan pemimpin yang zalim sebagai balasan kepada orang zalim iaitu orang zalim akan diberikan azab dengan azab daripada tangan orang zalim yang lain.

Imam Razi رحمه الله berkata rakyat yang zalim akan diberikan dengan pemerintah yang zalim. Oleh itu, untuk tidak mendapat pemimpin yang zalim, maka rakyat hendaklah berlaku adil. Di dalam kitab Ruh al Ma’ani ada disebut yang ayat ini menjadi dalil yang jika manusia meninggalkan ajaran wahyu, Allah ‎ﷻ akan melantik pemimpin yang zalim ke atas mereka sebagai balasan kepada mereka.

Satu lagi maksud adalah Allah ‎ﷻ memberikan kuasa satu pihak kepada pihak yang lain, iaitu jin menguasai akal fikiran dan menundukkan manusia yang menjadi golongannya. Sebab itu kita boleh lihat ada golongan yang kalau kita beri hujah atau dalil apa sahaja, mereka tetap hendak beramal dengan amalan sesat mereka. Ini kerana syaitan sudah menguasai akal mereka dan hidayah tidak dapat masuk.

Kalimah نُوَلِّي juga boleh bermaksud ‘kawan rapat’. Mereka berkawan dan sentiasa saling membantu sesama mereka. Ini bermaksud, yang zalim akan berkawan dengan yang zalim. Begitulah dalam dunia ini, sifat yang sama akan tertarik sesama sendiri. Maka bertambahlah sifat zalim mereka kerana mereka akan menggalakkan kezaliman sesama sendiri. Kita tentu akan mengikut perangai kawan kita juga.

Satu lagi tafsir adalah manusia dan jin akan dikumpulkan bersama dengan golongan mereka. Waktu di Mahsyar nanti pengumpulan bukanlah berdasarkan kepada bangsa dan negara, tetapi berdasarkan akidah dan amalan. Bagi yang berakidah dan beramalan yang syirik, mereka akan dikumpulkan bersama nanti.

Ada pula golongan yang mengatakan boleh untuk kita menggunakan jin untuk berkhidmat dengan kita kerana kononnya mereka menggunakan dalil sebagaimana Nabi Sulaiman عليه السلام pun ada menggunakan khidmat jin di dalam kerajaan baginda.

Itu adalah hujah yang salah kerana Nabi Sulaiman عليه السلام telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya kelebihan yang ada pada baginda itu tidak diberikan kepada orang lain. Ini bermakna kebolehan untuk mengawal jin untuk menjadikan mereka sebagai hamba hanyalah ada pada Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja. Sebab itu pada satu hari, apabila seekor jin telah mengganggu Nabi Muhammad ﷺ, baginda telah menangkap jin itu tetapi apabila baginda teringat akan doa Nabi Sulaiman عليه السلام maka baginda telah melepaskan jin itu.

Ini menunjukkan kebolehan untuk menggunakan jin sebagai hamba dan pekerja kita sudah tiada lagi. Ia telah berhenti pada Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun tidak menggunakan jin, lalu bagaimana kita boleh kata yang kita boleh mengawal jin?

Dalam Al-Qur’an, perkataan ‘zalim’ selalu digunakan untuk bermaksud ‘syirik’. Oleh itu, ini bermakna, orang yang mengamalkan syirik juga akan mempunyai sahabat dan kawan dalam kalangan yang berbuat syirik juga. Maka, kita kena ajar kepada masyarakat supaya menerima dan mengamalkan tauhid supaya mereka tidak terjerumus dalam keadaan ini. Jangan biarkan mereka terus berkawan dengan orang yang mengamalkan syirik.

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

disebabkan apa yang mereka usahakan

Mereka terjerumus dalam keadaan yang teruk ini kerana perbuatan mereka yang salah. Antaranya, mereka mengamalkan ajaran yang salah yang diajar oleh guru-guru mereka. Mereka juga selalu melakukan tawasul dalam doa-doa mereka dan amalan-amalan mereka.

Allah ‎ﷻ membalas perbuatan salah mereka itu dengan diberikan dengan teman rapat yang menjerumuskan mereka semakin dalam ke lembah kehinaan. Maka balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka yang salah memilih amalan dan ilmu yang dipelajari.

Tafsir Ayat Ke-130

يَـٰمَعشَرَ ٱلجِنِّ وَٱلإِنسِ أَلَم يَأتِكُم رُسُلٌ مِّنكُم يَقُصُّونَ عَلَيڪُم ءَايَـٰتِى وَيُنذِرُونَكُم لِقَآءَ يَومِكُم هَـٰذَا‌ۚ قَالُواْ شَہِدنَا عَلَىٰٓ أَنفُسِنَا‌ۖ وَغَرَّتهُمُ ٱلحَيَوٰةُ ٱلدُّنيَا وَشَہِدُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِم أَنَّهُم كَانُواْ ڪَـٰفِرِينَ

Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-Rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat-Ku (perintah-perintah-Ku), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-Rasul itu)”. Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-Rasul itu).

يٰمَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ

Hai golongan jin dan manusia,

Allah ‎ﷻ berkata lagi kepada golongan jin dan manusia yang telah melakukan dosa itu:

أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ

tidakkah datang kepadamu rasul-rasul daripada golongan kamu sendiri,

Kenapa kamu buat begitu? Tidak adakah yang beri nasihat kepada kamu? Kalimah مِّنكُمْ bermaksud ‘dalam kalangan kamu’. Maka untuk manusia ada pendakwah dalam kalangan manusia dan untuk jin ada pendakwah dalam kalangan jin.

Allah ‎ﷻ bertanya begitu untuk mengingatkan kepada mereka bahawa semasa di dunia dahulu, mereka telah diberikan dengan peringatan. Tidaklah Allah ‎ﷻ membiarkan mereka sahaja tanpa diberikan dengan peringatan dan tunjuk ajar. Maka jangan salahkan Allah ‎ﷻ pula kerana Allah ‎ﷻ sudah beri peringatan. Tidak patut kalau jin dan manusia dipertanggungjawabkan dengan ibadat tetapi tidak diajar.

Terdapat pendapat yang kuat mengatakan jin tidak ada Rasul dalam kalangan mereka. Walaupun begitu, ada khilaf tentang pendapat ini. Ada yang kata memang ada Rasul dalam kalangan jin, tetapi mereka itu hanya ada sebelum kedatangan manusia. Apabila manusia sudah dilantik menjadi khalifah di muka bumi menggantikan jin, maka tidak ada lagi Rasul dalam kalangan mereka.

Maka, memang ada pendapat yang mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ menghantar juga Rasul dalam kalangan mereka. Kita boleh rujuk ayat [ Isra:95 ]:

قُلْ لَوْ كَانَ فِي الْأَرْضِ مَلَائِكَةٌ يَمْشُونَ مُطْمَئِنِّينَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِمْ مِنَ السَّمَاءِ مَلَكًا رَسُولًا

Katakanlah: “Kalau seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, nescaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjadi Rasul”.

Ayat ini mengatakan, kalau malaikat hidup di bumi, Allah ‎ﷻ pasti akan menghantar Rasul dalam kalangan mereka juga. Asbabun Nuzul ayat ini kerana Musyrikin Mekah telah bertanya, kenapa malaikat tidak dijadikan Rasul? Kononnya, kalau malaikat yang menjadi Rasul menyampaikan dakwah, tentulah mereka akan terima dakwah itu. Jawabnya, Allah ‎ﷻ tidak menghantar malaikat sebagai Rasul kerana malaikat tidak tinggal di dunia. Kalau malaikat hidup di dunia sebagai khalifah, maka Allah ‎ﷻ pasti akan memberikan Rasul dalam kalangan mereka juga.

Ini menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ akan menurunkan Rasul yang sama jenis dengan makhluk itu. Tidak patut kalau Allah ‎ﷻ memberikan Rasul yang lain jenis daripada mereka kerana itu akan menyebabkan susah untuk mereka menerima dakwah daripada Rasul yang jenis lain daripada mereka. Tentulah kita lebih senang untuk terima nasihat daripada spesis manusia yang sama dengan kita.

Namun begitu, selepas kedatangan manusia, tidak ada lagi Rasul dalam kalangan jin, maka Rasul-Rasul dalam kalangan manusia adalah juga Rasul kepada golongan Jin. Sudah tidak ada lagi Rasul dan Nabi dalam kalangan jin. Lihatlah bagaimana di dalam surah Jin, kita tahu bahawa segolongan jin telah mendengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ dan mereka telah beriman. [ Jin: 1-2]:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا

Katakanlah (hai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadamu bahwasanya: telah mendengarkan sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan.

يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا

(yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorang pun dengan Tuhan kami,

Dan ada juga pendapat yang mengatakan jin itu memang ada Rasul dalam kalangan mereka, cuma apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, maka diberikan kelebihan baginda menjadi Rasul kepada manusia dan juga jin. Ini bermakna, jin juga kena beriman dengan Al-Qur’an. Oleh itu, sebelum Nabi Muhammad ﷺ, masih ada Rasul dalam kalangan jin untuk umat mereka. Allahu a’lam.

Dalam masa yang sama, ada juga Ulama’ tafsir yang mengatakan bahawa golongan jin tidak pernah ada rasul dalam kalangan mereka. Mereka merujuk kepada ayat [ Yusuf: 109 ]:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ اتَّقَوْا أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan Rasul) dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?

Dalam ayat ini, mereka berhujah bahawa sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, Rasul-Rasul yang dihantar adalah lelaki dalam kalangan manusia sahaja kerana perkataan ‘رِجَالًا ‘ di dalam ayat itu merujuk kepada lelaki dalam kalangan manusia sahaja dan tidak termasuk golongan jin.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ pasti menghantar penyebar tauhid kepada setiap kaum. Sama ada mereka diberikan dengan penyebar tauhid berbentuk Rasul ataupun yang bukan Rasul. Sebagaimana kita pada zaman sekarang, tidak mempunyai Rasul lagi. Yang ada pada kita adalah penyebar tauhid dalam kalangan manusia sahaja.

Namun kalau kita umumkan maksud ‘Rasul’ sebagai pembawa mesej tauhid, maka kita boleh katakan memang ada ‘Rasul’ dalam kalangan jin iaitu ada dalam kalangan mereka yang mendengar ajaran daripada Rasul dalam kalangan manusia dan sampaikan kepada umat mereka. Ini seperti disebut dalam [ Ahqaf: 29 ]:

فَلَمّا قُضِيَ وَلَّوا إِلىٰ قَومِهِم مُّنذِرينَ

Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Qur’an itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Dan dalam [ Jin: 1 ]:

فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا

lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ ءآيٰتِي

yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku

Tujuan Rasul dan penyebar tauhid itu adalah menyampaikan kalam Allah ‎ﷻ kepada manusia. Ini mengajar kita bahawa kita perlu menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an kepada manusia. Inilah ajaran pertama yang harus disampaikan kepada manusia. namun begitu kalau kita lihat, jarang masyarakat Islam kita belajar tafsir Al-Qur’an, bukan?

وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?

Perkara utama yang perlu disampaikan adalah tentang Hari Kiamat dan Akhirat kepada manusia kerana pengetahuan ini amat-amat penting untuk disematkan dalam hati dan akal manusia.

Ayat ini mengajar kepada kita kepentingan untuk memberi peringatan kepada manusia yang lain kerana manusia ini kalau tidak diberi peringatan, mereka akan menjurus kepada melakukan dosa dan syirik. Walaupun masih ada lagi penyebar-penyebar tauhid dalam kalangan kita tetapi lihatlah bagaimana ramai lagi manusia yang melakukan syirik.

Ada banyak tempat dalam negara ini di mana manusia melakukan syirik seperti Tasik Dayang Bunting, Telaga Hang Tuah, Pulau Besar dan lain-lain lagi. Itu semua adalah tempat manusia berbuat syirik tetapi kita semua seperti tidak kisah sahaja. Bayangkan kalau tidak ada langsung penyebar tauhid memberikan peringatan? Tentu di mana-mana sahaja akan ada orang yang melakukan syirik terang-terangan.

Oleh itu janganlah kita hanya belajar tetapi tidak kita sampaikan apa kita belajar itu kepada orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana untuk bercakap dengan manusia kerana kita tidak pandai lagi, sekurang-kurangnya kita bawa mereka maklumat-maklumat yang baik.

Sebaiknya kita ajak mereka pergi ke tempat pengajian kita. Sebagai contoh, bukankah senang sahaja untuk kita sampaikan tulisan ini kepada orang lain? Dan susah sangatkah kalau kita hendak mengajak orang lain ke kelas pengajian kita?

قَالُوا شَهِدْنَا عَلَىٰ أَنفُسِنَا

Mereka berkata: “Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri”,

Inilah jawapan mereka apabila ditanya kepada mereka tidakkah ada penyebar tauhid yang sampai kepada mereka? Mereka mengaku bahawa memang telah sampai kepada mereka Rasul atau penyebar tauhid.

Mereka akan menjadi saksi ke atas diri mereka sendiri. Ini kerana kalau manusia yang beriman, Nabi mereka yang jadi saksi. Namun oleh kerana mereka dalam ayat ini adalah tentang mereka yang tidak beriman, maka mereka terpaksa menjadi saksi kepada diri mereka sendiri. Mereka ini tidak ada saksi kerana syaitan dan iblis pun tidak mahu menjadi saksi untuk mereka.

Dari sini kita dapat tahu bahawa di akhirat kelak, manusia-manusia dan jin-jin yang telah melakukan syirik dan bersekongkol bersama mereka akan mengaku di hadapan Allah ‎ﷻ. Mereka tidak boleh menipu lagi pada waktu itu. Mereka tidak ada alasan lagi kerana mereka sedar bahawa semasa mereka di dunia, mereka telah mendapat peringatan dan ancaman daripada penyebar tauhid. Mereka sahaja yang tidak mahu dengar. Maka mereka tidak ada alasan lagi dan terpaksa mengaku.

Kejadian Inilah juga yang terdapat di dalam ayat [ Mulk: 8-9 ]:

تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ الْغَيْظِ كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ

hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?”

قَالُوا بَلَىٰ قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نَزَّلَ اللَّهُ مِن شَيْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ كَبِيرٍ

Mereka menjawab: “Benar ada”, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar”.

Ini bermakna mereka bukan saja mengaku bahawa mereka telah diberikan peringatan oleh penyebar tauhid, tetapi mereka juga mengaku tentang apa yang mereka katakan kepada pendakwah-pendakwah itu.

وَغَرَّتْهُمُ ٱلحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

dan kehidupan dunia telah menipu mereka,

Telah datang peringatan kepada mereka, akan tetapi mereka telah tertipu dengan dunia, keindahan dunia penipuan dunia yang fana ini. Oleh kerana tertipu, mereka terus melakukan dosa bersekongkol dengan jin itu kerana mereka boleh mendapat ganjaran dunia. Mereka mendapat upah daripada manusia lain, untuk berubat, untuk susahkan orang lain, hantar santau, dan sebagainya, atau mereka mendapat kedudukan yang tinggi. Mereka sangka dunia ini penting sangat dan dunia inilah segala-galanya. Mereka telah ditipu oleh dunia.

Ini memberi tahu kepada kita bahawa salah satu sebab manusia menolak ajaran tauhid dan ajaran Rasul adalah kerana mereka mementingkan kehidupan dunia ini. Mereka telah tertipu dengan keindahan dunia ini. Mereka terlalu sayang dengan dunia ini sampai mereka tidak menghiraukan nasib mereka di akhirat kelak. Ini adalah kerana akhirat itu ghaib, tidak dapat dilihat sekarang, sementara dunia pula ada di depan mata mereka.

Maka ini juga mengajar kepada kita, penipuan daripada jin adalah tentang dunia. Jin tidak mengajar dan mengajak kepada akhirat, akan tetapi jin menipu manusia dalam hal keduniaan.

وَشَہِدُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِم أَنَّهُم كَانُواْ ڪَـٰفِرِينَ

dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.

Mereka mengaku bersalah namun sudah tidak berguna pun kesaksian mereka pada waktu itu. Penyesalan hanya berguna semasa masih hidup di dunia.

Mereka sendiri mengaku yang mereka ingkar dengan ajakan tauhid daripada penyebar tauhid itu. Mereka tidak menerima ajakan kepada akidah yang benar.

Timbul persoalan di sini kerana ada juga ayat-ayat lain yang menyebut orang kafir musyrik berhujah yang mereka tidak mmbuat syirik, tidak kufur. Maka, bagaimana dalam ayat ini mereka mengaku pula? Penjelasan: Memang pada peringkat awal mereka tidak mengaku. Akan tetapi setelah dibawakan saksi dan hujah ke atas mereka, maka mereka tidak ada alasan lain lagi melainkan terpaksa mengaku.

Tafsir Ayat Ke-131

ذٰلِكَ أَن لَّم يَكُن رَّبُّكَ مُهلِكَ ٱلقُرَىٰ بِظُلمٍ وَأَهلُهَا غَـٰفِلُونَ

Yang demikian (kedatangan Rasul-Rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.

ذَٰلِكَ أَن لَّمْ يَكُن رَّبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ

Yang demikian itu adalah kerana Tuhanmu tidaklah membinasakan kota-kota secara aniaya,

Perkataan الْقُرَىٰ berasal daripada ق ر ي yang bermaksud sekumpulan manusia yang duduk di sesuatu tempat – populasi. Digunakan juga dalam bahasa kita sebagai ‘kariah’.

Tidaklah Allah ‎ﷻ bersifat zalim kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ tidak menghukum dan memberikan azab kehancuran itu kepada sesuatu kaum kerana Allah ‎ﷻ zalim. Allah‎ ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim.

وَأَهْلُهَا غٰفِلُونَ

sedang penduduknya dalam keadaan lalai

Lalai itu maksudnya tidak diberikan ilmu agama. Allah ‎ﷻ tidak mengazab kaum melainkan telah diberikan dengan penyeru tauhid kepada mereka. Jika Allah ‎ﷻ menghukum sesuatu kaum itu tanpa diberikan dengan penyeru tauhid dan ajaran daripada wahyu, maka itu adalah zalim. Dan Allah ‎ﷻ tidak zalim. Telah sampai ajaran wahyu kepada mereka, cuma mereka sahaja yang tidak ambil peduli.

Allah ‎ﷻ akan sentiasa memberi peringatan kepada manusia. Lihatlah ayat [ Fathir:24 ]:

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.

Hanya apabila manusia ingkar dengan peringatan itu maka layaklah untuk Allah ‎ﷻ menghukum mereka.

Ayat ini lebih kurang sama dengan ayat [ Isra: 15 ]:

مَّنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang Rasul.

Ayat ini mempunyai dua maksud:

Maksud yang pertama: Allah ‎ﷻ tidak berlaku zalim dengan menghukum makhluk tanpa diberikan dengan peringatan kepada mereka. Ini bermaksud perkataan zalim itu dinisbahkan kepada Allah ‎ﷻ iaitu Allah ‎ﷻ tidak zalim.

Maksud yang kedua: perkataan ‘zalim’ itu dinisbahkan kepada makhluk. iaitu Allah ‎ﷻ tidak menghukum sesuatu kaum yang melakukan zalim tanpa mereka ketahui bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang zalim. Ini bermakna Allah ‎ﷻ hanya menghukum mereka yang berlaku zalim setelah mereka memang tahu bahawa perbuatan mereka itu zalim.

Oleh itu Allah ‎ﷻ akan memberikan pengajaran kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah satu kezaliman. Sebab itu Allah ‎ﷻ menurunkan pemberi peringatan kepada setiap kaum.

Tafsir Ayat Ke-132

وَلِڪُلٍّ دَرَجَـٰتٌ مِّمَّا عَمِلُواْ‌ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعمَلُونَ

Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.

وَلِكُلٍّ دَرَجٰتٌ مِّمَّا عَمِلُوا

Dan masing-masing memperoleh darjat-darjat daripada apa yang dikerjakannya.

Kalimah  لِكُلٍّ (kepada setiap) itu walaupun bermaksud ‘semua sekali’ dari segi bahasa, tetapi dalam ayat ini, ia bermaksud ‘setiap jin dan manusia’. Kenapa hanya jin dan manusia sahaja? Kerana manusia dan jin telah dipertanggungjawabkan dengan syari’at yang mesti mereka ikuti. Jin dan manusia akan ditanya nanti di akhirat kelak tentang segala perbuatan mereka semasa mereka di dunia. Adakah mereka beramal yang benar atau tidak?

Ayat ini memberitahu kita bahawa setiap manusia dan jin akan diberikan dengan kedudukan masing-masing berdasarkan kepada amalan mereka. Ia akan menentukan sama ada mereka tinggal di Syurga atau di Neraka. Jikalau semasa mereka di dunia, banyak amalan baik yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi di Syurga kelak. Jikalau semasa mereka di dunia terdapat banyak perbuatan dosa yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang hina semasa di Neraka kelak.

Semuanya ada darjat atau kedudukan masing-masing. Dan darjat-darjat itu ada banyak tingkatan. Kalau dalam neraka, kedudukan mereka tidak sama, ada yang lagi teruk daripada yang lain. Setiap kali melakukan perbuatan syirik, sama ada orang itu Islam ataupun orang kafir, mereka akan menambah keburukan yang mereka akan dapat di Neraka nanti.

Sebagai contoh, ada orang kafir yang menyembah berhala sekali sahaja, tetapi selepas itu mereka buat tidak kisah dengan agama mereka, maka dia akan duduk di Neraka tapi tidaklah seteruk kalau dibandingkan dengan orang lain yang setiap hari menyembah berhala bertahun-tahun lamanya.

Sama juga dengan orang Islam yang mengamalkan amalan syirik. Ada yang menjadi guru dan mengajar kepada orang lain maka mereka akan mendapat keburukan yang bertimpa-timpa. Yang mengajar amalan syirik itu tidak sama dengan yang mengamalkannya kerana yang mengajar akan mendapat tambahan dosa yang bertimpa-timpa disebabkan ramai pula yang mengajar kemudian daripada ajarannya itu.

Begitu juga kedudukan ahli syurga di akhirat nanti, tidaklah sama semuanya. Ada yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada orang lain walaupun mereka semuanya sudah di dalam syurga. Lihatlah ayat [ Isra: 21 ]:

انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَلَلْآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian (yang lain). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya.

Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa dalam dunia ini pun sudah ada tingkatan antara manusia. Ada yang lagi tinggi daripada yang lain. Ada yang lebih pandai, lebih kaya, lebih kuat dan sebagainya. Namun darjat di syurga nanti akan lebih lagi kerana perbezaan darjat di dunia tidak kekal, namun sebaliknya di syurga kelak.

Tambahan lagi, perbezaan di dunia tidaklah besar sangat sebenarnya kerana manusia sama sahaja sebenarnya, semuanya kena makan, kena tidur dan sebagainya tetapi perbezaan darjat di syurga nanti amatlah besar.

Dalam ayat surah al-An’am ini, perkataan مِّمَّا عَمِلُوا (daripada apa yang mereka amalkan) mengingatkan kepada kita bahawa kita perlu berusaha beramal untuk mendapatkan darjat yang tinggi di akhirat kelak. Seperti juga kita perlu berusaha semasa kita di dunia untuk mendapatkan kedudukan di dunia, maka begitulah juga kita perlu beramal dengan amalan yang soleh yang banyak untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat.

Sebagai contoh, kalau kita hendak menjadi doktor, maka hendaklah kita belajar bersungguh-sungguh. Kalau hendak mendapat kedudukan di Syurga Firdaus, maka hendaklah kita beramal dengan amalan ahli Syurga Firdaus.

Ini menunjukkan keadilan Allah ‎ﷻ di mana Allah ‎ﷻ membalas manusia berdasarkan kepada ‘usaha’ mereka. Dan Allah ‎ﷻ tidak memberi hukuman kepada manusia melainkan apa yang mereka lakukan sahaja.

Oleh itu, kalau di dalam dunia kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi, mendapat gaji yang besar, rumah yang indah, kenapa kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat? Bukankah kedudukan di akhirat nanti lebih penting kerana kita tidak tetap di dunia, tetapi kita akan kekal di akhirat.

Oleh itu, tingkatkanlah usaha dan amalan kita dalam dunia ini untuk mendapatkan balasan akhirat. Sebagai contoh, di dalam salat kita bacalah surah-surah yang panjang sedikit dan janganlah hanya membaca surah-surah yang pendek sahaja.

وَمَا رَبُّكَ بِغٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Dan Tuhanmu tidak lengah daripada apa yang mereka kerjakan.

Manusia lalai leka, akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak sekali-kali lalai leka. Allah ‎ﷻ maha tahu tentang apa yang kita lakukan maka sebab itulah Allah ‎ﷻ layak untuk memberikan kedudukan darjat yang sesuai dengan amalan kita. Kalau dibandingkan dengan kehidupan di dunia, tentulah tidak sama.

Sebagai contoh, katakanlah kita ada seorang pekerja yang amat rajin. Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang dia buat kerana perbuatannya itu bukan di hadapan kita, maka kita tidak dapat memberikan balasan yang setimpal. Kalau pun dia berada di hadapan kita, kita tidak mempunyai pengetahuan yang lengkap untuk membalasnya dengan balasan yang setimpal.

Contohnya, kita mungkin nampak dia buat kerja dengan rajin, tetapi kita tidak tahu sama ada pekerjaan yang dilakukan itu akan membawa hasil ataupun tidak kerana pengetahuan kita amatlah terhad. Tetapi Allah ‎ﷻ maha mengetahui segala-galanya, maka apa sahaja kedudukan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk-Nya di akhirat nanti adalah apa yang layak untuk dia dapat.

Maksud ‘Allah tidak lengah’ juga bermakna, tidaklah Allah ‎ﷻ sibuk sangat, sampai Allah ‎ﷻ leka dan lalai daripada apa sahaja perbuatan yang manusia dan jin lakukan. Dalam ayat Kursi telah disebut bagaimana walaupun Allah ‎ﷻ mengurus alam ini semuanya, tetapi Allah ‎ﷻ tidak lelah dalam mengurusnya. Allah ‎ﷻ tahu semuanya tentang setiap perkara yang berlaku dalam alam ini termasuklah apa yang jin dan manusia lakukan.

Maksud Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia tidak leka adalah untuk beritahu kita bahawa semua perbuatan kita akan dibalas. Perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan dibalas dengan buruk. Ini menolak fahaman Musyrikin Mekah yang tidak dapat menerima yang Allah ‎ﷻ tahu segala-gala apa yang mereka lakukan.

Ayat ini juga memberi tahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ membalas ‘usaha’ yang kita telah lakukan. Balasan Allah ‎ﷻ tidak sama seperti balasan yang kita dapat di dunia. Sebagai contoh, kadang-kadang kita telah berusaha bersungguh-sungguh di dunia, tetapi hasil yang kita dapat tidak setimpal dengan usaha kita.

Sebagai contoh, mungkin kita berusaha dengan membaca dan mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Namun malangnya, mungkin semasa peperiksaan kita tidak dapat menjawab dengan baik. Dan kerana itu, kita akan mendapat markah yang rendah. Ini adalah kerana tukang periksa peperiksaan hanya memberi markah berdasarkan kepada apa yang kita jawab. Dia tidak tahu apakah usaha yang banyak yang telah kita lakukan.

Namun Allah ‎ﷻ yang Maha Tahu tahu apa usaha yang kita telah lakukan dan Allah ‎ﷻ akan membalas berdasarkan kepada usaha itu dan tidak semestinya berdasarkan kepada kejayaan semata-mata.

Sebagai contoh, mungkin kita telah melakukan banyak usaha dakwah tetapi tidak ramai yang mengikuti dan menerima ajakan kita. Walaupun tidak ramai yang ikut kita, tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas dan memberi pahala kepada kita berdasarkan usaha dakwah kita itu. Inilah salah satu daripada rahmat Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan