Utama Bilik (109) Beriman Dgn Akhirat Malaikat dan Shahadah

Malaikat dan Shahadah

263
0
Iklan

Malaikat dan Shahadah

Soalan: Bolehkah Ayah Aji perjelaskan terjemahan serta tafsir surah Qaf ayat 17-19?

Ayah Aji:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ * مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
[Qaf: 17 – 18]

Di dalam surah Qaf, Khalifah Umar ra berpesan kepada amir-amir yang dilantik supaya membaca surah Qaf sampai An-Nas dalam setiap solat jemaah amir-amir itu. Bila kita belajar surah-surah ini, ternyata ia membaiki hati manusia tentang kepercayaan tauhid lebih-lebih lagi dalam bab kepercayaan hari Akhirat.

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ

Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.

Tafsir – Dua malaikat itu dari Tafsir Ibn Kathir ialah Rakib dan Atib. Mereka menyaksikan dan menulis perbuatan-perbuatan hamba itu. Di kanan dan di kiri bermaksud semua arah. Biasanya begitulah percakapan orang Arab. Begitu juga bila Allah SWT berkata: atas bawah atau depan belakang atau timur barat bermaksud semua arah. Walau bagaimanapun ada mufassir kata kiri dan kanan adalah seperti ayat itu. Tetapi bagi Ayah Aji, ia bermaksud semua arah, iaitu malaikat yang mencatit amal-amal manusia dari semua perbuatan-perbuatan yang nyata sahaja.

Dari ayat lain dan juga hadis, malaikat-malaikat ini tidak tahu apa yang ada di dalam hati. Mereka hanya catat apa yang zahir sahaja sebab hanya Allah SWT sahaja tahu apa yang berada di dalam hati seperti ikhlas atau tidak perbuatan-perbuatan itu.

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
[Qaf: 18]

Tidak terlepas dari perkataan atau perbuatan manusia itu melainkan ada di sisinya malaikat rakib iaitu malaikat yang mengawas dari gangguan setan/jin, atid iaitu malaikat yang mencatat amalan-amalan manusia. Ada juga mufassir berkata rakib yang mencatat sebelah kanan dan atib yang mencatat di sebelah kiri. Wallahua’lam.

Intisari kedua ayat.

1. Ada dua malaikat yang diutuskan kepada setiap manusia.

2. Satu pengawas dan satu lagi mencatat amal manusia atau dua malaikat mencatat di kiri dan kanan.

3. Malaikat-malaikat itu tidak tahu apa yang ada di dalam hati orang itu.

4. Mereka hanya catat yang zahir sahaja.

Dari Al-Quran dan hadis, bermaksud, malaikat-malaikat ini akan menjadi saksi kepada orang itu di perbicaraan Mahsyar. Orang itu ditanya malaikat-malaikat ini akan kata benar tetapi Allah SWT kata campak amalan-amalan mereka itu.
Malaikat itu berkata, “Ya Allah kamilah saksi perbuatàn orang ini”.

Allah SWT bertanya, “Adakah kamu tahu apa yang ada di dalam hatinya?”

Malaikat-malaikat itu menjawab, “Tidak”.

Allah SWT kata, “Aku tahu apa yang di dalam hatinya iaitu ikhlas atau dengan tujuan selain Allah”.

Pelajar A: Kita sendirikah yang kena buktikan keihklasan kita di mahkamah Allah SWT nanti?

Ayah Aji: Benarlah begitu. Kalau kita ada buat syirik bid’ah, maka, kita pasti akan menyesal kerana akaun amal soleh semua terbatal.

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
[Al-Baqarah: 27]

Al-Baqarah: 27 juga membincangkan bab ini. Ayat ini sangat penting untuk kita faham.

Bab 1

Orang-orang yang merubah atau membatal perjanjian Allah SWT iaitu perjanjian mereka dengan Allah SWT, Allah SWT saksi selepas orang itu mengukuhkannya. Ayah Aji hendak tanya adakah kita buat perjanjian dengan Allah SWT kemudian kita merubah atau menukarkannya? Perjanjian itu ialah kalimah syahadah yang kita ikrar depan Allah SWT iaitu:

Asyhadu: Aku berjanji, berikrar, bersumpah, bersaksi pada-Mu Allah.

Laailahaillallah: tiada lagi yang layak disembah, dipuja, didoa, disolat, dan lain-lain melainkan kepada Allah SWT sahaja, iaitu tiada lagi perantaraan dalam ibadat, doa, zikir dan lain-lain melainkan hanya pada Allah SWT sahaja.

Waasyhadu anna muhammadur Rasulullah: Dan aku juga berjanji, berikrar, bersumpah pada-Mu Allah bahawa aku hendak ikut hanya sunnah Rasulullah SAW sahaja.

Jika salah satu daripada kalimah syahadah ini kita engkar, maka kufurlah kita. Oleh itu, kalimah syahadah ada dua bahagian:

1. berjanji tidak hendak syirik pada Allah SWT

2. berjanji hendak ikut sunnah Rasulullah SAW sahaja

Maka jika kita syirik, kalimah syahadah ini terbatal, hilang lenyap segala amal soleh. Itulah maksud ayat Al-Quran mereka yang rugi pada diri sendiri.
Juga bermaksud, kita perlu ikut sunnah Rasulullah SAW sahaja. Maka buat bid’ah yang tidak diajar Nabi dalam ibadah dan akidah, bermaksud, membatalkan perjanjian ini juga.

Pelajar B: Apa pandangan Ayah Aji tentang “syirik kerana jahil”? Adakah Allah SWT tidak terima amalan soleh yang dilakukannya?

Ayah Aji: Kalau syirik kerana jahil itu tidak mengapa (dibolehkan), bagaimana dengan orang kafir? Mereka pun tidak tahu mereka buat syirik. Musyrikin Mekah dahulu pun tidak tahu syirik mereka buat kepada Allah SWT. Allah SWT tetap kata mereka kafir. Oleh kerana Al-Quran dan sunnah telah ada, maka patutnya mereka belajar tafsir Al-Quran dan hadis. Belajar pun percuma (free) sahaja bagi ulama-ulama sunnah. Yang tidak sunnah sahaja ambil duit.

Ayat-ayat Al-Quran banyak memberitahu kita yang di dalam Al-Quran ada petunjuk kalau kita belajar. Tetapi bila kita tidak belajar, petunjuk itu mereka tidak tahu. Bila tidak belajar tafsir, Allah SWT sebut sebagai mereka yang sombong.

Golongan ahli Neraka terdiri daripada mereka yang sombong dari belajar atau terima ajakan tauhid ini. Surah [ Jumaah: 2 ] pula mengatakan Al-Quran ini diturunkan kepada mereka yang ummi oleh satu Rasul. Maksudnya, ummi ini tidak pandai membaca, menulis, iaitu, mereka yang tahu bahasa Arab, tulis bahasa Arab kepada orang-orang bukan Arab.

Al-Quran dihuraikan dalam bentuk cerita dan sesiapa sahaja boleh faham. Kita sahaja di kempen oleh penjahat-penjahat yang mengatakan Al-Quran ini tinggi, tidak layak bagi kita. Al-Quran hanya untuk orang tahu bahasa Arab. Kalau hendak belajar perlu 12 kitab dahulu dipelajari.

Semua itu tidak tepat. Ulama yang mengajar perlu tahu 12 kitab itu. Para pelajar tidak perlu. Kalau hendak jadi alim patutlah belajar 12 kitab itu. Apakah kitab-kitab itu? Iaitu, kitab bahasa Arab; nahu, sorof, balaghah dan mantik, kemudian, hadis 6 kitab besar, kemudian, fekah. Bila bilang kitab-kitab itu berjumlah 10 atau 12 kitab. Ringkasannya, kitab-kitab bahasa Arab dan hadis Nabi SAW.

Janganlah kita tertipu dengan rasukan setan manusia ini. Pelajar-pelajar sekarang bukan hendak menjadi alim tetapi hendak tahu perintah dan larangan Allah SWT dan Rasul SAW. Akibat bisikan setan manusia ini, kita tidak belajar, jadi tidak tahu syirik kufur, perintah dan larangan. Akibatnya kita pula bertanya kalau kita tidak tahu apa itu syirik, Allah SWT tidak akan masukkan ke dalam Neraka sebab kita orang Islam. Tetapi sebabnya kita sombong dengan Allah SWT yang mencipta kita sendiri tetapi bercita-cita hendak masuk Syurga.

Bila tanya macamana keadaan Syurga? Mereka kata ada bidadari, ada istana, tempatnya sedap, akan dapat apa yang diminta. Tetapi tidak tahu sebenarnya Syurga macamana sedangkan telah diberitahu dengan terperinci di dalam Al-Quran dan hadis.

Sekiranya kita tidak tahu Syurga itu, adakah kita ini benar-benar beriman pada Syurga?

Sekiranya kita tidak tahu keadaan Neraka, adakah kita ini benar-benar beriman dengan Neraka?

Atau adakah kita ini termasuk mereka yang tidak beriman dengan hari Akhirat?

Wallahua’lam.

Pelajar A: Saya ada kawan berbangsa India. Saya tanya dia kitab apakah yang paling tinggi? Dia kata kitab Veda. Saya tanya lagi ada baca atau tidak? Dia kata orang biasa tidak boleh baca kitab itu. Orang tinggi-tinggi macam sami sahaja boleh baca kemudian dalam hati saya, saya kata dalam kitab Veda lah ada menceritakan tentang Allah SWT dan Rasulullah SAW tetapi mereka halang orang-orang India ini baca kitab Veda itu. Nampaknya terjadi pula kepada orang-orang Melayu. Kita dihalang dari membaca Al-Quran.

Ayah Aji: Serupa kan?

Pelajar A: Serupa Ayah Aji, rasanya syaitan ini guna metode yang sama sahaja dari dahulu sebab dari dahulu dia berjaya tipu manusia ikut cara ini. Sebab Iblis itu satu. Itu pendapat saya.

Pelajar B: Setan pun juga, maka geng sama, sesat pun cara sama.

Ayah Aji: Benar Pelajar A dan Pelajar B.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan