Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-10 dan Ke-11

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-10 dan Ke-11

2232
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Sebelum kita masuk ke ayat hari ini, ada baiknya kita lihat ringkasan 2 ayat sebelum ini:

Tafsir Ayat Ke-8: Tabshir: Orang beriman dan beramal soleh akan mendapat pahala tanpa henti. Kita telah bincangkan tentang ‘iman sempurna’ dan ‘amal soleh’.

Tafsir Ayat Ke-9: Allah SWT yang jadikan alam ini, maka tidak patut kalau kita kata ada yang setanding dengan Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-10

Sekarang diberikan lagi dalil kenapa kita kena puja Allah SWT sahaja. Orang kafir Mekah menyembah berhala, malaikat dan jin, padahal Allah SWT lah yang menjadikan alam ini, bukan berhala-berhala dan sembahan-sembahan lain.

Masyarakat kita juga ada yang menyembah dan menyeru selain dari Allah SWT, padahal bukan entiti-entiti selain Allah SWT itu yang menjadikan alam ini.

وَجَعَلَ فيها رَواسِيَ مِن فَوقِها وَبارَكَ فيها وَقَدَّرَ فيها أَقواتَها في أَربَعَةِ أَيّامٍ سَواءً لِلسّائِلينَ

“Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetap (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya, dan Dia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.”

وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ مِنْ فَوْقِهَا

Dan Allah SWT menjadikan gunung-gunung di atas bumi itu

Selepas Allah SWT jadikan bumi selama dua hari, maka Allah SWT isi keperluan di dalam bumi ini.

Allah SWT suruh kita lihat gunung ganang yang hebat itu. Allah SWT sahaja yang boleh buat gunung ganang tersebut. Tidak ada yang selain Allah SWT yang menjadikannya.

Allah SWT suruh tengok gunung itu dan kenangkan kehebatan dan kegunaannya. Gunanya gunung ganang itu adalah supaya bumi kukuh dan tidak bergegar. Allah SWT jadikan gunung ganang sebagai ‘pasak’ untuk menjadikan bumi ini stabil kerana bumi ini sentiasa berpusing. Maka, jika tidak ada pasak, tentu sudah bergegar.

Kalaulah bergegar, semua rumah akan runtuh, bumi akan jadi rata dan akhirnya akan masuk ke dalam laut. Semua tanah yang ada di bumi ini, kuantitinya muat kalau masuk dalam laut. Tidak tinggal tanah langsung kerana air laut lebih banyak dari tanah.

Gunung ganang itu juga dijadikan sebagai penghambat angin. Menahan angin dari jadi kuat sangat. Kalau tidak ada penahan, tentunya angin itu jadi lebih kuat dan kita pun boleh diterbangkan olehnya.

Satu lagi sebab Allah SWT jadikan gunung-ganang adalah supaya kita boleh lihat gunung-ganang yang gagah dan indah itu dan memikirkan siapakah yang boleh mencipta sesuatu yang sebegitu hebat? Ia akan memberi kita satu perasaan yang merendahkan diri kita dan takjub dengan satu kuasa yang Maha Hebat. Itulah Allah SWT yang Maha Berkuasa. Oleh itu, lihatlah alam semesta ini dan fikirkan di manakah kedudukan kita yang serba kerdil ini.

وَبَارَكَ فِيهَا

dan Allah SWT memberi berkat yang banyak kepada bumi itu.

Barokah adalah sesuatu yang sentiasa memberi kebaikan dan kebaikan itu bertambah-tambah tidak berhenti. Itulah yang terdapat pada alam ini.

Tadi Allah SWT sebut tentang gunung iaitu dengan Allah SWT buat gunung-gunung itu, maka akan mengalir anak-anak sungai dari tanah yang tinggi yang kemudiannya akan bergabung menjadi sungai yang besar.

Kalau tiada gunung atau tanah tinggi, maka tiadalah sungai. Jadi bumi akan jadi padang pasir sahaja. Jadi dengan air mengalir itu, ditumbuhkan pokok-pokok. Di tempat lain pula, Allah SWT adakan salji, dan bila musim panas, salji akan jadi air yang mengalir.

Allah SWT beri kelebihan dan kegunaan pada bumi itu, bukan duduk diam sahaja. Allah SWT memberkati bumi ini supaya kita dapat tinggal di dalamnya dengan selesa. Segala keperluan telah diberikan kepada kita supaya dapat menakluki bumi ini untuk didiami. Banyak benda yang kita gunakan dari bumi ini.

وَقَدَّرَ فِيهَا أَقْوَاتَهَا

dan Dia menentukan berapa banyak keperluannya.

Allah SWT telah tentukan kadar keperluan yang diperlukan oleh makhluk-Nya. Berapa banyak air hujan diturunkan, berapa banyak pokok yang patut tumbuh, serangga apa dan binatang apa yang diperlukan di tempat itu. Kalau kita tengok rancangan kehidupan dalam media, seperti rancangan ‘National Geographic’, kita akan dapat tahu bagaimana telah ditentukan segala keperluan untuk tempat itu. Semuanya sesuai.

Kalau Allah SWT tidak tentukan berapa banyak air yang sesuai untuk kehidupan, akan tumbuh terlalu banyak pokok, sampai nanti tidak cukup baja untuk beri tumbuh-tumbuhan itu hidup. Pokok itu sendiri akan mati sebab tidak cukup baja. Atau kalau pokok banyak sangat, kita tidak ada tempat hendak tinggal. Allah SWT sudah tentukan keperluan kehidupan sampaikan semua makhluk flora dan fauna akan dapat keperluan mereka.

Dia juga yang menentukan makanan-makanan sebagai rezeki. Semua kadar itu telah ditentukan oleh Allah SWT yang Maha Bijaksana. Allah SWT berikan kadar itu ikut keperluan. Allah SWT sahaja yang tahu keperluan semua makhluk. Kita walaupun telah mengkaji bertahun-tahun, masih banyak lagi perkara yang kita tidak tahu.

فِي أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ

dalam empat masa.

Bukan ’empat hari’, tetapi ’empat masa’. Kerana semasa Allah SWT cipta bumi, ‘hari’ tiada lagi. Kerana untuk ada ‘hari’, kena ada matahari, tetapi matahari belum dicipta lagi waktu itu. Maka, seeloknya kita gunakan dalam empat ‘masa’.

Allah SWT telah katakan bahawa Dia telah mencipta bumi selama 2 hari, kemudian ada ayat lain yang Allah SWT kata langit diciptakan dalam masa 2 hari. Sekarang dikatakan bahawa segala alam dalam dunia ini dijadikan dalam 4 hari. Kalau kita campur semua, akan jadi 8 hari. Tetapi, kita jangan kira begitu. Tidaklah Allah SWT perlu buat semua itu satu persatu. Ada yang Allah SWT buat pada masa yang sama. Contohnya, semasa Allah SWT menjadikan keperluan dalam alam ini, dalam masa yang sama juga, Allah SWT boleh ciptakan langit.

Ataupun, dalam ayat sebelum ini, disebut penciptaan bumi selama ‘dua hari’. Dan pengisian keperluan pula mengambil masa ‘dua hari’. Setelah di campur, itulah sampai kepada maksud ’empat hari’. Allah a’lam. Benda ini tidak penting mana, kita kena beriman sahaja… tetapi ada orang yang buat kira-kira pula benda ni … dan hairan.. Eh! kenapa ya begini… kenapa ya begitu…..? Padahal benda ini akal kita tidak akan dapat capai pemahamannya yang tepat dan kita tidak perlu untuk tahu dengan terperinci pun.

Mungkin timbul persoalan: Kenapa alam ini dijadikan dalam ‘enam masa’? Sedangkan dalam ayat lain, Allah SWT kata kalau Dia hendak jadikan sesuatu, Dia hanya kata: Kun – jadilah, maka ianya fayakun – akan terjadi.

Allah SWT kata Dia gunakan ‘enam masa’ kerana kalau kita menjadikan sesuatu perkara yang penting, kita akan berikan masa tumpuan kepadanya. Kita luangkan masa untuknya, kita tidak kelam kabut untuk menyudahkannya. Walaupun Allah SWT boleh sahaja jadikan dengan cara kun fayakun juga. Ulama kata, Allah SWT hendak mengajar kita: kalau kita melakukan sesuatu yang penting, maka luangkan masa untuk melakukannya. Jangan tergesa-gesa.

Ada ulama yang mengatakan perkataan ‘enam hari’ yang digunakan dalam ayat ini merujuk kepada masa tertentu juga (bukan masa secara abstrak). Kerana dalam ayat lain, ada disebut bahawa satu hari bersamaan dengan seribu tahun. Jadi, kalau begitu, mungkin masa penciptaan langit dan bumi mengambil masa selama 6 ribu tahun. Allah a’lam.

‘Masa’ adalah relatif. Kalau dalam dunia, kita faham apakah maksud ‘sehari’ itu. Tetapi itu di bumi, kalau di planet lain tidak sama. Satu hari di Planet Marikh mungkin selama setahun kita. Jadi, boleh jadi banyak pemahaman tentang masa penciptaan alam ini. Tidaklah perlu kita memikirkan dengan lama sangat kerana akal kita yang lemah ini tidak dapat memahaminya dan tidak dapat menjangkau maksud sebenarnya. Ia sesuatu yang tidak perlu difikirkan sangat.

سَوَاءً لِلسَّائِلِينَ

Sama seperti bagi orang yang bertanya.

Yahudi dan Kristian telah tahu cerita ini ada dalam kitab mereka. Mereka tahu yang alam ini dijadikan dalam ‘enam hari’. Jadi mereka akan tanya Nabi soalan ini sebagai ujian kepada baginda. Maka inilah jawapan bagi soalan mereka itu. Jawapan yang diberikan itu sama macam yang telah ada dalam kitab suci mereka. Ia sama sahaja kerana Tuhan yang sama, bukan Tuhan yang lain pun.

Satu lagi maksud, kalimah سائل bukan sahaja bermaksud ‘yang bertanya’ tetapi ia juga bermaksud ‘yang memerlukan’. Jadi Allah SWT meluangkan masa 4 hari itu untuk menyediakan segala keperluan makhluk-Nya yang memerlukan makanan, minuman, tanah, air, tempat tinggal dan macam-macam lagi keperluan hidup kita. Setiap keperluan kita, Allah SWT tentukan.

Tafsir Ayat Ke-11

ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ وَهِيَ دُخانٌ فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ

Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ

Kemudian Allah SWT beri tumpuan kepada langit.

Kalimah اسْتَوَىٰ ini dari س و ي yang antara lain maksudnya menuju kepada sesuatu. Juga bermaksud memberi perhatian kepada sesuatu (beri fokus). Selepas Allah SWT selesai mencipta bumi, Allah SWT fokus untuk mencipta langit pula.

وَهِيَ دُخَانٌ

Langit masa itu masih dalam bentuk asap.

Langit tiada lagi dalam bentuk sekarang. Ianya dalam bentuk asap (gas). Belum dalam bentuk berlapis tujuh lagi.

فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ

Tuhan perintah kepada langit dan bumi

Ini adalah titah Allah SWT kepada bumi dan langit yang telah dicipta-Nya itu. Iaitu selepas bumi dan langit selesai diciptakan, Allah SWT bertitah kepada keduanya.

ائْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا

datanglah kamu kepada-Ku, sama ada dengan taat atau terpaksa.

Maksudnya, Allah SWT menyuruh alam ini untuk bergerak. Semua dalam alam ini sentiasa bergerak. Saintis telah mendapati bahawa apa sahaja dalam alam ini sentiasa bergerak, termasuk atom iaitu bahan yang paling kecil yang kita tahu, ia pun bergerak juga.

Tentunya kalau Allah SWT telah beri arahan kepada langit dan bumi, mereka terpaksa ikut. Mereka taat dalam bentuk fizikal, mereka tidak ada pilihan untuk menolak seperti yang diberikan kepada manusia.

Jadi kenapa Allah SWT cakap begini kepada mereka? Kerana hendak menunjukkan ketaatan yang ada pada langit dan bumi. Tidak seperti manusia, apabila disuruh taat, macam-macam alasan yang kita buat. Lihatlah apa yang alam jawab kepada Allah SWT:

قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

Maka kedua-dua berkata: “kami datang kepada Kamu dengan taat”.

Langit dan bumi datang kepada Allah SWT dengan taat dan dengan sukarela. Maksudnya, bumi dan langit bergerak seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Begitulah Allah SWT menceritakan bagaimana makhluk Dia yang besar pun taat kepada-Nya.

Namun, amat malang sekali, kebanyakan manusia tidak buat macam tu. Mereka tidak taat kepada hukum Allah SWT. Mereka sebaliknya taat kepada nafsu mereka dan juga syaitan yang membisikkan perkara yang tidak elok.

Al-Quran tidaklah beri jawapan secara mantuq tetapi secara mafhum sahaja iaitu bumi ini bulat (sphera). Tetapi ada juga yang kata ada ayat-ayat yang kata bumi ini datar dengan menggunakan ayat-ayat tertentu.

Kitab tafsir yang lama, mengatakan yang bumi ini datar kerana ilmu sains mereka tidak sampai ke tahap itu. Antara yang kata datar adalah Ibn Baz… pada asalnya. Tetapi apabila ada orang Arab naik ke langit sebagai angkasawan (nama dia Putera Sultan jika tidak silap) dan dia kata bumi sfera dari atas, maka Ibn Baz tukar fatwa dan pendapat dia.

Jadi, untuk kepastian, saya cari angkasawan negara kita sendiri, Syeikh Muzaffar dan tanya dia, masa di angkasa, nampak bumi datar ke atau sfera? Dia kata sfera. Itu sudah ainul yaqin.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan