Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-8 dan Ke-9

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-8 dan Ke-9

417
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-8

Ini adalah Ayat Tabshir Duniawi – ayat gembira.

Selepas disebut tentang sifat orang kafir dan orang yang tidak beriman dalam ayat sebelum ini, sekarang Allah SWT sebutkan pula sifat orang yang beriman. Dan apakah balasan yang mereka akan terima.

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka beroleh balasan pahala yang tidak putus-putus.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman sempurna,

Iman yang dikehendaki adalah ‘iman yang sempurna’. Orang yang beriman sempurna adalah mereka yang tidak buat syirik. Mereka berpegang sungguh-sungguh dengan Tauhid.

Kita sebutkan ‘beriman sempurna’ dalam tafsir kita ini kerana ianya ada beza dengan orang yang ‘beriman’ sahaja.

Ada ramai yang beriman, sudah percaya kepada Allah SWT, Nabi, malaikat dan sebagainya, namun iman mereka tidak sempurna. Contohnya, mereka memang percaya kewujudan Tuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka buat perkara-perkara syirik juga. Itulah maksudnya orang yang tidak ‘beriman sempurna’. Ada juga yang buat ibadat kepada selain Allah SWT, puja selain Allah SWT, berdoa kepada selain Allah SWT, seru selain Allah SWT dan sebagainya lagi. Kita akan belajar semua kesalahan itu dalam Al-Quran ini nanti.

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan berbuat amal soleh

Mereka bukan saja beriman tetapi mereka buktikan keimanan mereka dengan melakukan amal ibadah. Bukan lah kata beriman jika malas nak beramal.

Mereka sanggup beramal kerana itu adalah arahan dari Allah SWT. Tetapi amat ibadat ini pun kita kena tengok juga. Iaitu kena beramal ibadat sebagaimana ibadat yang diajar oleh Nabi, iaitu beramal dengan amal yang sunnah – yang ada contoh dari Nabi.

Ibadat yang tidak diajar Nabi adalah bidaah, tidak kira sama ada ibadat itu cantik pada mata kita atau tidak. Kenapa hendak buat amal bidaah sedangkan banyak amal sunnah? Allah SWT dan Nabi suruh buat amal soleh, kenapa hendak buat amal bidaah? Siapa mahu beri pahala?

Amat salah apabila kita kata Tuhan akan beri pahala di atas perbuatan bidaah itu. Itu sebenarnya kita berdusta atas nama Allah SWT. Iaitu apabila kita kata Tuhan akan bagi pahala kalau buat sesuatu ibadat itu padahal Allah SWT dan Nabi tidak kata pun.

Manusia yang reka amalan itu sahaja yang kata begitu – mereka pandai-pandai cakap. Tetapi bukankah itu dusta atas nama Allah SWT? Kalau kita dusta sesama kita pun sudah marah. Kalau saya tak cakap, tetapi awak kata saya cakap, tentu saya marah, bukan?

Tambahan pula kalau kita dusta atas nama Allah SWT. Sepatutnya Allah SWT yang beritahu kita sama ada amalan itu baik atau tidak, dapat pahala atau tidak, tetaapi kita sendiri yang pandai-pandai kata ianya adalah amalan baik dan akan dapat pahala.

Oleh itu, kita hendaklah menjaga amalan kita. Kenalah kita buat amalan yang sunnah-sunnah sahaja. Kena belajar cari dalil tentang sesuatu amalan itu. Jangan pakai ikut sahaja orang lain buat.

Memang ada masalah dengan mereka yang ambil ringan tentang bidaah seolah-olah tidak takut dengan Allah SWT. Tidak takut ke bagaimana hendak jawab nanti: kenapa kamu amalkan begini dan begini? Apa dalil yang kamu pakai?

Ilmu tauhid adalah salah satu dari ilmu kerana jika tiada ilmu tauhid maka kita akan terdedah dengan syirik. Ilmu tauhid ini mesti diambil dengan Al-Quran juga. Tidak boleh dengan yang lain. Untuk faham Al-Quran adalah dengan belajar tafsir.

لَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

Bagi mereka pahala tidak putus-putus.

Mereka yang sanggup buat dua benda di atas akan sentiasa dapat pahala. Akhirnya akan masuk syurga dan kekal di dalamnya. Ingat, amalan bidaah tidak ada pahala, malah mengundang dosa. Amat rugi sekali kalau buang masa buat amalan yang tidak ada sunnahnya.

Kalimah أَجْرٌ bermaksud upah yang diberikan kepada pelaku amal yang soleh.

Dalam hati mereka kita tidak tahu. Ada banyak sebab manusia melakukan amal bida’ah. Antaranya kerana mereka ikut-ikut sahaja perbuatan orang lain tetapi yang pasti amalan mereka itu salah.

Apa maksud ‘tidak putus?’

Maksud pertama ayat ini, mereka yang beriman sempurna dan mengerjakan amal yang soleh, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan kenikmatan dalam syurga itu tidak akan putus-putus – ia akan berkekalan sampai bila-bila.

Mereka yang masuk syurga tidak akan keluar daripadanya. Mereka akan kekal abadi di dalamnya. Itulah maksud ‘tidak putus-putus’.

Maksud kedua, Allah SWT beri balasan itu percuma sahaja, tanpa diungkit apa yang Dia telah berikan kepada kita. Allah SWT tidak ungkit amalan kita yang sedikit dan Allah SWT tidak ungkit yang kita boleh buat amalan itu pun, kerana Dia yang beri taufik juga. Maknanya Allah SWT tidak putuskan pemberian itu walaupun kita boleh buat amalan itu pun kerana Dia juga.

Dan satu lagi hebatnya, jika seseorang itu sentiasa melakukan ibadah yang soleh, tetapi tiba-tiba dia tidak boleh buat, kerana sesuatu perkara, mungkin dia sakit, Allah SWT akan tetap beri pahala yang sama. Itulah bermaksud pahala mereka itu tidak putus. . Sebagai contoh jika dia selalu solat tahajud Tetapi pada malam itu dia tertidur maka dia tetap akan dapat pahala solat tahajud itu juga. Kerana dia sudah ada niat dan kerana dia sudah biasa buat amalan itu.

Satu lagi contoh, kalau semasa muda, dia selalu solat berjemaah di masjid. Tetapi apabila tua, dia tidak mampu lagi untuk berjemaah ke masjid, dia solat di rumah sahaja. Walaupun dia solat di rumah, tetapi kerana dulu semasa dia mampu, dia pergi ke masjid, Allah SWT SWT akan tulis solatnya itu pun sebagai berjemaah juga. Ini juga maksud pahala itu ‘tidak putus’.

Atau mereka yang sedekah sesuatu yang terus digunakan oleh manusia. Sebagai contoh, dia ada derma untuk buat masjid. Selagi masjid itu digunakan, pahala akan diberikan kepadanya tidak putus-putus, walaupun dia sudah tiada lagi.

Ataupun dia ada ajar ilmu yang bermanfaat kepada manusia lain. Sebagai contoh, dia ajar seseorang untuk baca Al-Quran. Setiap kali orang itu baca Al-Quran, dia akan dapat pahala bacaan orang itu juga. Pahala itu tidak putus-putus walaupun dia sudah tiada lagi.

Tafsir Ayat Ke-9

Ayat ini adalah Dalil Aqli Afaqi. Allah SWT suruh kita lihat pada ufuk, iaitu pada alam. Dengan melihat alam, iman kita boleh bertambah. Tetapi kena tengok dengan mata hati lah, bukan mata fizikal sahaja.

۞ قُل أَئِنَّكُم لَتَكفُرونَ بِالَّذي خَلَقَ الأَرضَ في يَومَينِ وَتَجعَلونَ لَهُ أَندادًا ۚ ذٰلِكَ رَبُّ العالَمينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan tandingan-tandingan bagiNya? Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah SWT, Tuhan sekalian alam,

قُلْ

Katakanlah

Setiap kali ada perkataan ini, ianya ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW. Ini adalah perkataan penting. Kalau Allah SWT ada kata begini, kita kena berikan perhatian yang khas, kerana Nabi SAW memang kena sampaikan semua ayat Al-Quran kepada manusia, tetapi bila ada arahan khusus pula, maknanya benda penting sungguh.

Ia bukan sahaja diberikan kepada Nabi, tetapi diteruskan kepada kita juga. Memang asalnya ia kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi kita sebagai umat yang meneruskan perjuangan dakwah baginda, akan menerima ayat ini untuk diamalkan. Maka kita pun kena katakan kepada orang lain juga.

أَئِنَّكُم لَتَكفُرونَ بِالَّذي خَلَقَ الأَرضَ في يَومَينِ

adakah patut kamu kufur kepada Dzat yang mencipta bumi dalam dua masa.

Kufur yang dimaksudkan adalah tolak tauhid. Adakah ini patut? Tentulah tidak. Kemudian Allah SWT beritahu kenapa tidak patut sama sekali.

Allah SWT hendak memberitahu kita bahawa segala ciptaan, Dia sahaja yang buat. Tidak ada selain Allah SWT yang boleh buat. Kalau seruan dan sembahan yang kamu sembah itu ada buat sesuatu dari alam ini, bolehlah kalau nak sembah mereka. Tetapi mereka buat lalat seekor pun tidak boleh, maka mereka tidak layak disembah. Maka kalau Allah SWT yang jadikan alam ini, tidak kan patut kita sembah dan puja selain Allah SWT, bukan?

Tentang ‘dua masa’ itu, ada yang kata: hari Ahad dan hari Isnin. Ada yang kata dalam dua hari, tapi lebih sesuai kalau kita kata dalam ‘dua masa’. Kerana semasa dijadikan dunia itu, matahari belum ada lagi, jadi tidak ada ‘hari’ lagi seperti yang kita faham sekarang. Ini adalah antara ayat-ayat mutashabihat yang kita tidak tahu maknanya dengan pasti.

Ada orang kafir yang percaya adanya ‘Tuhan yang satu’, tetapi mereka rasa Tuhan itu perlukan pertolongan. Allah SWT berhujah dalam ayat ini, kenapa pula Allah SWT perlukan pertolongan sedangkan Dia buat tujuh lapis bumi itu dalam dua masa bersendirian sahaja? Tidak ada sesiapa pun yang tolong Dia.

Dia tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Dialah yang Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, maka tentulah tidak patut kalau manusia kufur kepada-Nya.

وَتَجْعَلُونَ لَهُ أَنْدَادًا

Dan kamu jadikan bagi Allah SWT, tandingan-tandingan?

Adakah patut kamu jadikan tandingan bagi Allah SWT? Allah SWT kamu sembah dan ada yang selain Allah SWT yang kamu sembah juga, seperti Allah SWT kena bertanding dengan mereka pula untuk mendapat penyembahan dari kamu.

Tentulah tidak patut sama sekali. Adakah yang kamu jadikan sekutu itu boleh mencipta alam ini? Adakah semasa Allah SWT cipta alam ini, Dia memerlukan pertolongan dari entiti-entiti lain? Tentulah tidak. Allah SWT buat alam ini sendirian berhad sahaja. Tidak memerlukan gotong royong macam kita kalau hendak buat masjid. Tidak.

Perkataan أَنْدَادًا bermaksud ‘tandingan-tandingan’, iaitu mereka yang kita jadikan setaraf dengan Allah SWT. Iaitu kita sembah Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama, sembah mereka juga. Atau sifat yang Allah SWT sahaja ada, tetapi ada yang kata makhluk pun ada sifat itu juga. Seolah-olah setanding dengan Allah SWT.

Orang kafir Mekah bukanlah mereka tidak sembah Allah SWT. Mereka juga kenal Allah SWT dan tahu Allah SWT itu Tuhan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga sembahan-sembahan lain, yang mereka anggap sebagai ‘tuhan-tuhan kecil’.

Orang kita ada juga buat begini. Tidaklah mereka sembah dengan jelas أَنْدَادًا lain. Namun, mereka ada faham bahawa ada makhluk yang ada kuasa macam Allah SWT. Contohnya, ada antara kita yang jumpa tok guru dan dia bagi kita mandi air jampi, untuk sembuhkan penyakit kita. Dan kemudian dikatakan sembah ‘sebab’ jampi bomoh itu. Ini adalah satu fahaman syirik. Kerana yang menyembuhkan adalah Allah SWT, bukan air jampi guru itu.

ذٰلِكَ رَبُّ العالَمينَ

Yang ada sifat itu, adalah Tuhan yang mencipta dan memelihara sekian alam.

Allah SWT Maha Berkuasa, Allah SWT tidak memerlukan penolong apa pun. Dialah Tuhan yang mencipta, dan sesudah dicipta oleh-Nya alam ini, Dia yang mentadbir dan memelihara alam ini dan menguruskannya dari sekecil-kecil perkara ke sebesar-besar perkara. Tidak ada yang selain dari Allah SWT yang boleh buat perkara itu. Rabb kita hanya satu sahaja. Lalu kenapa hendak sembah dan seru selain daripada Allah SWT?

Memang ada banyak persamaan orang kita dengan musyrikin Mekah. Memang tentu ramai yang marah apabila dikatakan begini. Tetapi apabila dilihat fahaman mereka dan fahaman kebanyakan dari orang kita, sama sahaja.

Sebab itu salah satu usul tafsir adalah belajar fahaman musyrikin Mekah kerana mereka amat jauh dari kebenaran dan ini adalah kerana mereka jauh daripada ilmu wahyu. Allah SWT nak beritahu kepada kita bagaimana perangai musyrikin Mekah itu. Allah SWT beritahu supaya kita jangan ikut.

Bukannya Allah SWT beritahu tentang perangai mereka itu untuk kita kutuk mereka sahaja. Seronoklah kalau baca itu untuk kita kutuk sahaja. Bukan begitu.

Sama juga Allah SWT ceritakan sifat Yahudi bukan untuk kita kutuk Yahudi tetapi untuk kita bandingkan sifat mereka dengan sifat kita.

Allah SWT ceritakan supaya kita bandingkan sifat mereka dengan sifat kita. Ramai yang berfikiran begitu. Mereka kutuk musyrikin Mekah tetapi tidak perasan yang sifat mereka pun sama sahaja.

Hidayah dan taufik dari Allah SWT. Inaabah atau keinginan itu yang dari kita.

Kena ada keinginan kepada kebenaran dulu. Doa kepada Allah SWT: tunjukkan aku mana yang benar.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan