Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah At-Takatsur – Tafsir Ayat Ke-2 hingga Ke-4

Tafsir Surah At-Takatsur – Tafsir Ayat Ke-2 hingga Ke-4

455
0
Iklan

Pada sesi yang lepas, kita telah membincangkan jenis kelalaian manusia di atas muka. Antara ciri-ciri yang ada ialah :

1. Lalai dengan menambah harta, terus menunggu masa untuk berbuat kebajikan.

2. Lalai kerana terlalu banyak idea dalam fikiran, tetapi tiada tindakan.

3. Lalai dari matlamat sebenar kehidupan.

⚠ Amaran, semoga kita tidak tergolong antara 3 kelalaian tadi.

Setelah kita membincangkan apakah kelalaian yang Allah SWT nyatakan dalam ayat pertama ini, maka disambung lagi dengan natijah berupa amaran dari Allah SWT. Sampai bilakah manusia akan terleka dengan dunia?

Tafsir Ayat Ke-2:

حَتّىٰ زُرتُمُ المَقابِرَ

“Sampai kamu masuk ke dalam kubur”.

Beberapa hikmah dari ayat ini :

Pertama :

Allah SWT memberi pengajaran kepada manusia dengan membawa natijah berupa kematian. Ini kerana sifat manusia ini memang takutkan perkara yang mengundang kepada kematian.

Sebagaimana contoh :

Sebahagian manusia lebih tekun makan ubat berbanding ibadah. Kerana disangka saranan makan ubat itu boleh “menyelamatkan” nyawa mereka.

Kedua :

Selain itu, ayat yang membawa natijah kepada kubur juga menunjukkan “tempelak” Allah SWT kepada golongan manusia yang lalai. Seolah-olah mereka ini tidak pernah sedar langsung semasa di atas dunia.

Mereka itu leka itu sehingga mereka mati. Bukan sekejap, tetapi sepanjang berada atas dunia.

Oleh itu hendaklah berwaspada dengan kehidupan yang sementara dan fokus kepada kehidupan yang kekal serta jangan terlupa dari matlamat sebenar hidup di dunia ini.

Banyakkan berdoa, istighfar, bersihkan hati dari segala sangkaan buruk, lemah dan hal-hal negatif kerana hati yang baik akan melahirkan tindakan yang baik.

زُر

Dari kalimah زُرْ yang bermaksud pergi berjumpa seseorang. Kebiasaan digunakan dalam bahasa kita: ziarah. Oleh itu, kalimat :

زُرتُمُ المَقابِرَ

Bermaksud sehingga kamu melawat kubur.

Kenapa digunakan kalimah ‘melawat’?

Kerana ia untuk menunjukkan hanya sementara waktu sahaja. Kita tidak tinggal terus di situ. Tetapi sementara sahaja di dalam kubur, sehinggalah waktu kiamat.

Apabila kiamat, semua ahli kubur akan keluar dari kubur. Contoh pelajaran dalam Surah [ Al ‘Adiyat : 9 ]:

أَفَلا يَعلَمُ إِذا بُعثِرَ ما فِي القُبورِ

Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur,

Bagaimana keadaan orang yang dibangkitkan dari kubur itu?

  1. Seperti kelekatu berterbangan tidak tentu arah [101: 4]
  2. Seperti belalang yang terlompat-lompat [54: 7]

Tafsir Ayat Ke-3 dan Ke-4

كَلّا سَوفَ تَعلَمونَ

Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),

ثُمَّ كَلّا سَوفَ تَعلَمونَ

dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.

كَلّا

Janganlah kamu buat begitu

( membawa maksud : janganlah sampai kamu dilekakan dengan dunia )

سَوفَ

Masa yang tidak lama

( membawa maksud : Kematian kita tersangat dekat )

تَعلَمونَ

Kamu akan mengetahui apa yang kamu telah lakukan.

Tidak lama lagi manusia akan mati dan mereka akan tahu tentang kebenaran setelah mereka dikebumikan dan waktu itu sudah terlambat untuk buat apa-apa lagi.

Walau bagaimana pun, ( ayat ke-4 ) lebih kurang sama seperti ayat ke-3 cuma ada tambahan kalimah:

ثُمّ

Bermaksud : kemudian

Ia untuk menambah penekanan pada ayat pertama. Membawa maksud :

Selepas keluar dari kubur, akan berlaku keadaan lebih berat lagi. Tatkala kita masuk ke dalam kubur, akan ada soalan yang akan ditanya dalam kubur.

DAN SELEPAS itu, berterusan kedahsyatan soalan-soalan yang seterusnya (contoh jika dibandingkan di Mahsyar ).

Orang kafir akan menderita hingga kiamat juga sebaliknya, kubur bagi orang yg beriman adalah ibarat taman-taman syurga.

Nabi SAW pesan kepada Aisyah RHA agar berdoa supaya terlepas dari hisab, sebab semudah hisab sekali pun, tetap akan mendatang gerun. Seperti hendak melalui ‘road-block’ polis. Walau tidak bersalah, tetapi mungkin terasa juga debarnya.

Oleh kerana ayat ke-3 dan ayat ke-4 ini lebih kurang sama sahaja, pendapat mengatakan ia peringatan mengenai dua tempat selepas kematian kita:

Ayat Ke-3 : Peristiwa berkaitan alam barzakh ( kubur ).

Dan ayat ke-4 pula : Peristiwa selepas bangkit dari kubur, iaitu perjalanan menuju ke Mahsyar.

Perkataan “thumma” menunjukkan kepada penekanan suatu perkara. Jadi, kerana itu ayat 4 dikatakan mengenai Mahsyar kerana sedahsyat perihal kubur (ayat ke-3), lebih dahsyat lagi perihal Mahsyar (ayat ke-4)

Di sini Allah SWT berfirman untuk mengejutkan manusia dari kelalaian. Sehingga peringatan itu datang sebanyak dua kali. Bahkan pengulangan ayat itu menunjukkan ianya lebih kuat dan memberatkan lagi peringatan itu.

Seperti mana jika kita ingin seseorang mendengar apa yang kita hendak katakan, maka kita akan ulang kata-kata kita. Akan tetapi bergantung kepada manusia pula sama ada firman Allah SWT ini terkesan atau tidak di sanubari kita.

Bagi orang beriman, sifat mereka sepatutnya sama seperti dalam Firman Allah SWT dalam Surah [An- Nuur: 51].

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللَّهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh“. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Ibrah dan Kesimpulan

1. Manusia sepatutnya mengambil kesempatan atas dunia untuk membawa bekal ke dalam kubur. Bukannya berada dalam kubur baru tersedar bekalan tiada.

2.  Kita boleh menjadikan banyak perkara atas dunia sebagai iktibar, antaranya dengan tafakur terhadap kematian.

3.  Ubat terhadap kelalaian manusia ialah dengan mengambil iktibar dari Al-Quran berkaitan hari akhirat. Oleh itu, Nabi SAW mengatakan orang yang bijak ialah orang yang mengingati mati.

Oleh yang demikian hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh menggunakan nikmat yang diberikan dan mohon pertolongan daripada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk melakukan amalan kebaikan di dunia ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan