Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 63: Manfaat Kisah Abu Juhayfah

Hadis 63: Manfaat Kisah Abu Juhayfah

181
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

63- حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلَانَ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، قَالَ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عَوْنِ بْنِ أَبِي جُحَيْفَةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ حُلَّةٌ حَمْرَاءُ، كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى بَرِيقِ سَاقَيْهِ. قَالَ سُفْيَانُ: أُرَاهَا حِبَرَةً.

63- Telah bercerita kepada kami Mahmud bin Ghaylan, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu r-Razzaq, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Sufyan, daripada `Awn bin Abi Juhayfah, daripada bapanya, dia berkata: Saya telah melihat Nabi dan dia memakai sepasang merah, seolah-olah saya melihat kepada kilauan dua betisnya. Berkata Sufyan: Saya menyangkanya ialah kain hibarah.

63- Telah bercerita kepada kami Mahmud bin Ghaylan, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu r-Razzaq, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Sufyan, daripada `Awn bin Abi Juhayfah, daripada bapanya, dia berkata: Saya telah melihat Nabi dan dia memakai sepasang merah, seolah-olah saya melihat kepada kilauan dua betisnya. Berkata Sufyan: Saya menyangkanya ialah kain hibarah.

Syarah Adou_Fr:

Abu Juhayfah, atau namanya Wahb bin `Abdi Llah As-Suwa’iy termasuk dalam (صِغَارِ الصَّحَابَةِ) sighari s-sahabah, sahabat kecil. Dia mendengar daripada Nabi ketika dia masih muda, iaitu belum pun berumur lima belas tahun, dan dia meriwayatkan daripada Nabi. Dikatakan bahawa dia belum baligh ketika Nabi meninggal dunia.

Perbezaan antara seorang sahabat – yang menjadi mulia kerana telah mendengar atau melihat Nabi – dengan yang selainnya, adalah mereka telah menggunakan sedetik masa daripada hidup mereka untuk bertemu, melihat dan mendengar Nabi.

Dalam disiplin hadis, apabila seseorang mendengar seorang guru membacakan hadis, yang dibacakan dengan isnad yang lengkap sehingga kepada Nabi, maka dia dikira sudah mempelajari ilmu hadis, dan dia boleh meriwayatkan daripada guru itu dengan menyebut (حَدَّثَنِي) haddasani, telah bercerita kepada saya, atau (سَمِعْتُ الشَّيْخَ يَقُولُ) sami`tu sy-syaykha yaqul, saya telah mendengar syaykh itu, dia berkata.

Satu detik masa yang digunakan untuk mendengar itu, akan mengubah status seseorang, sama ada dia akan menjadi seorang murid kepada seorang syaykh, atau dia kekal dalam hidupnya yang biasa.

Justeru, walaupun Abu Juhayfah masih kecil, dia telah memanfa`atkan satu detik dalam hidupnya untuk mendengar daripada Nabi, dan itu menjadikan dia seorang sahabiy, yang mempunyaï kelebihan yang tidak diperoleh oleh selain para sahabat.

Ramai orang muda pada hari ini, mereka terikat dengan sistem persekolahan, dan hal itu adalah rutin hidup zaman ini yang sedia dimaklumi. Yang dewasa, mereka terikat dengan sistem pekerjaan. Walau bagaimanapun, yang membezakan antara kita sekarang ialah bagaimana kita menggunakan waktu senggang atau waktu lapang kita untuk mengubah hidup kita.

Al-hamdu liLlah, bumi Malaysia tidak kurang dengan para ilmuwan. Dengan kewujudan pelbagai universiti dan program ilmiah, kita diziarahi dan dilawati juga oleh ramai `ulama’ dan ilmuwan dari seluruh dunia. Dan di sinilah darjat dan taraf kita mula menjadi berbeza, bergantung kepada bagaimana kita menggunakan masa senggang kita.

Bagi yang menghadiri majlis ilmu, mereka akan menjadi penuntut ilmu, dan semoga ilmu mereka bermanfa`at untuk diri mereka dan ummah. Bagi yang mempelajari Al-Qur’an dan mendapatkan sanadnya, mereka akan menjadi rujukan ummah dalam hal Al-Qur’an. Bagi yang mempelajari hadis dan mendapatkan sanadnya, mereka akan mempunyaï pertalian yang bersambung sehingga kepada Nabi dalam hadis dan ilmu. Bagi yang mengabaikan para `ulama’ dan ilmuwan itu, hidup mereka akan berterusan sebagai manusia biasa, yang telah mengabaikan peluang keemasan yang diberikan oleh Tuhan.

Abu Juhayfah, jika dia mensia-siakan masa mudanya dengan bermain dan mengabaikan Rasula Llah, maka dia tidak akan menjadi seorang sahabiy dan dia tidak akan dimuliakan seperti ini sehingga ke hari ini.

Dalam hadis ini, Abu Juhayfah meriwayatkan bahawa dia seolah-olah melihat kepada kilauan dua betis Nabi, dalam keadaan Nabi memakai sepasang merah. Ini menunjukkan bahawa Nabi memakai pakaian yang tidak labuh, sebaliknya pakaian itu agak senteng sehingga menampakkan dua betisnya. Ini juga menunjukkan bahawa betis Nabi berwarna putih dan cerah, sehingga disifatkan sebagai berkilat.

Kata-kata Sufyan di hujung hadis menunjukkan bahawa apabila disebut (حُلَّةٌ حَمْرَاءُ) sepasang merah, ia biasa dikaitkan dengan hibarah buatan Yaman. Merah dalam hadis ini, seperti yang dijelaskan sebelum ini, bukanlah menunjukkan Nabi memakai pakaian yang seratus peratus berwarna merah, sebaliknya yang merah itu hanyalah jalur atau coraknya sahaja.

*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan