Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Alam Roh – Benarkah roh orang mati boleh hadir dalam mimpi orang...

Alam Roh – Benarkah roh orang mati boleh hadir dalam mimpi orang yang hidup?

4799
0
Iklan

Alam Roh – Benarkah roh orang mati boleh hadir dalam mimpi orang yang hidup?

Roh terbahagi kepada dua iaitu Ruhul Hayah dan Ruhul Tamyiz. Jika Ruhul Hayah keluar daripada diri manusia, manusia akan mati tetapi jika Ruhul Tamyiz keluar manusia tidak mati (ini berlaku semasa bermimpi).

Ruhul Tamyiz (Ruhul Amri) lebih dikenali sebagai akal. Ia tidak ada pada binatang tetapi hanya ada pada manusia, malaikat dan jin. Dengan ada Ruhul Tamyiz inilah maka malaikat, jin dan manusia menjadi makhluk yang mukalaf. Yakni mereka dipertanggungjawabkan untuk mendirikan syariat. Mereka memikul beban untuk mendirikan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebaliknya Ruhul Tamyiz itu tidak ada pada binatang. Binatang hanya ada Ruhul Hayah dan nafsu tanpa akal. Ia hanya memiliki roh yang memungkinkan seseorang atau binatang itu hidup dengan izin Allah. Jadi Ruhul Tamyiz ini tidak ada pada binatang dan seluruh jamadat. Oleh kerana itulah binatang dan jamadat itu tidak mukalaf dan tidak diwajibkan mendirikan syariat. Ia tidak terlibat melaksanakan perintah suruh dan menjauhi perintah larang dari Allah SWT.

Bagi para malaikat, manusia dan jin, mereka wajib melaksanakan perintah suruh dan menjauhi larangan dari Allah SWT. Dengan lain perkataan, mereka dianggap makhluk yang mukalaf yang mesti bertanggungjawab kepada Allah SWT kerana adanya Ruhul Tamyiz ini.

Jika Ruhul Tamyiz keluar dari badan manusia, maka manusia tidak akan mati. Sebaliknya ia akan pergi ke alam-alam lain. Mungkin dapat melihat alam malakut, dapat melihat alam roh, dapat melihat alam ghaib, dapat melihat alam kubur, dapat melihat alam jin, dapat melihat alam malaikat, alam yang halus-halus (alam mawaraa-ul maddah ) iaitu dapat melihat alam di luar material (kebendaan) ini dengan izin Allah SWT.

Ini yang berlaku apabila Ruhul Tamyiz keluar dari jasad semasa seseorang itu tidur, dia akan bermimpi. Bila ia jumpa roh yang suci, seseorang itu akan dapat mimpi yang baik-baik. Namun, apabila Ruhul Tamyiz itu bertemu dengan Ruhul Khabitah (roh yang jahat ) ia akan berjumpa dengan jin kafir yang jahat, syaitan, iblis atau benda-benda yang menakutkan.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian.” (Hadis Riwayat Muslim).

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan.” (Hadis Riwayat Muslim).

Manusia yang telah meninggal dunia rohnya berada di alam barzakh, roh tersebut secara fitrahnya tidak boleh berjumpa roh manusia yang masih hidup melainkan dalam keadaan tertentu dengan izin Allah SWT boleh berjumpa dalam mimpi semasa tidur. Roh manusia yang telah meninggal dunia tidak boleh balik ke rumah untuk melihat anak cucu dan berkomunikasi dengan mereka, tidak kira pada bulan Ramadan, Syawal atau hari- hari tertentu, roh- roh di alam barzakh akan berada dalam keadaan baik jika semasa di dunia dia beramal soleh dan mukmin yang bertakwa , tetapi roh orang kafir, munafik, fasik, zalim berada dlm keadaan azab kerana di seksa di alam barzakh.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan