Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-68 hingga Ke-70

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-68 hingga Ke-70

786
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-68

Tuhan tambah dalil lagi kenapa kita hanya boleh sembah dan doa kepada Dia sahaja.

هُوَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ ۖ فَإِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; oleh itu apabila Ia menetapkan jadinya sesuatu perkara maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.

هُوَ الَّذِي يُحْيِي

Dialah yang menghidupkan

Allah SWT lah yang menghidupkan kita dengan beri nyawa kepada kita. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh menghidupkan.

وَيُمِيتُ

dan mematikan

Dan Dia mematikan kita dengan cabut nyawa. Kita hidup dan mati bukan jadi sendiri tetapi kerana kudrat Allah SWT. Allah SWT lah yang beri roh dan cabut roh dari kita. Tidak ada entiti lain yang boleh buat. Maka kena doa kepada Allah SWT sahaja lah.

فَإِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Apabila tiba keputusan Dia,

iaitu apabila Dia berkehendak akan sesuatu,

فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

hanya perlu Dia kata, ‘jadi’, maka jadilah.

Ayat ini memberitahu kita betapa cepatnya iradah Allah SWT, seolah-olah apabila Dia kata kun sahaja, terus jadi.

Kita kena faham, bukan setiap kali Allah SWT kena sebut ‘kun’ baru sesuatu itu terjadi. Allah SWT cuma nak beritahu cepatnya iradah Dia. Sebenarnya kejadian itu lebih cepat lagi. Apabila Allah SWT hendak sahaja, terus jadi. Kalau setiap kali kena kata kun, sudah jadi lambat.

Allah SWT mampu untuk menjadikan sesuatu itu dengan segera, dengan kadar terus. Macam Dia jadikan malaikat dengan cara terus. Tidak ada yang melahirkan malaikat itu, terus jadi sahaja.

Tetapi dalam kejadian manusia, Allah SWT memilih untuk kita melalui proses kejadian seperti yang kita tahu sekarang. Apabila di’kun’kan kepada kita semasa dalam perut ibu kita, kita sebenarnya sudah jadi tetapi ambil masa sembilan bulan dalam perut. Maknanya, ‘Kun’ itu boleh jadi serta merta dan boleh jadi juga mengambil masa. Dan Allah SWT pernah menjadikan manusia dengan cara terus seperti Dia menjadikan Nabi Isa a.s.

Oleh itu, tidak betul kalau setiap kali Allah SWT hendak buat sesuatu, Allah SWT kena kata ‘kun’ sekali. Tidaklah Allah SWT jadikan darah, kun; nak jadikan daging, kun lagi; nak jadikan tulang, kun lagi. Entah berapa kali kun kalau begitu. Tidak perlu Dia kata ‘kun’ pun. Apabila Dia hendak sahaja, terus jadi.

Dinisbahkan kata kun itu supaya manusia boleh faham betapa cepatnya Allah SWT menguruskan kejadian sesuatu.

Yang penting dalam ayat ini, Allah SWT hendak ajar kita bahawa Dia tidak macam makhluk. Bila kita doa, kita qasad begitu. Kita bukan minta dengan manusia yang tidak dapat melakukan apa-apa tanpa keizinan dari Allah SWT. Maka dalam doa kita, berharaplah kepada Allah SWT dalam doa kita. Yakinlah yang Allah SWT boleh beri apa yang kita doa itu. Kalau doa kepada selain Dia, memang tidak boleh beri apa-apa.

Tafsir Ayat Ke-69

Ayat Zajrun. Teguran Allah SWT.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يُجادِلونَ في آياتِ اللَّهِ أَنّىٰ يُصرَفونَ

Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan terhadap orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah SWT, bagaimana mereka telah dipalingkan (dari kebenaran)?

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللَّهِ

Tidakkah kamu tengok kepada orang-orang yang membantah tentang ayat-ayat Allah SWT

Iaitu mereka bantah apabila dibacakan kepada mereka. Sebelum ini telah disebutkan kejadian manusia bagaimana Allah SWT telah menjadikan mereka. Mereka itu manusia sahaja, tetapi mereka berani hendak bantah ayat-ayat Allah SWT. Mereka bantah apabila ianya bercanggah dengan nafsu mereka.

Macam-macam cara manusia bantah ayat Allah SWT. Ada yang cara keras dengan bakar Al-Quran; ada yang sengaja buat perkara yang dilarang; ada yang tolak tafsir yang diberi dengan kata macam-macam seperti: “tapi ustaz ini dan itu kata lain… guru aku kata lain….kau tafsir salah ni…”. dan macam-macam lagi.

أَنَّىٰ يُصْرَفُونَ

Bagaimana mereka boleh terpesong?

Setelah diberikan dengan berbagai dalil dan bukti, bagaimana mereka tidak boleh faham? Perkara mudah macam ini pun mereka tidak dapat hendak faham dan terima? Selama awak belajar dengan saya ini, susah ke hendak faham?

Ini rungutan Allah SWT tentang mereka. Jangan kita termasuk golongan yang Allah SWT rungutkan.

Tafsir Ayat Ke-70:

Jumlah badaliah. Iaitu menjelaskan apa yang telah mula disebut dalam ayat sebelum ini. Allah SWT jelaskan lagi tentang mereka yang membantah ayat-ayat-Nya.

الَّذينَ كَذَّبوا بِالكِتابِ وَبِما أَرسَلنا بِهِ رُسُلَنا ۖ فَسَوفَ يَعلَمونَ

Iaitu orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan segala yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus; maka mereka akan mengetahui kelak.

الَّذِينَ كَذَّبُوا بِالْكِتَابِ

Iaitu orang-orang yang mendustakan kitab Quran ini.

‘Mendustakan ayat Allah SWT’ bermakna ‘menolak ayat-ayat Allah SWT’. Maknanya dia terima ayat-ayat Al-Quran itu sebagai dusta dan kerana itu dia tidak terima. Sama ada satu ayat ditolak atau semuanya. Satu ayat atau dua, tidak kira. Kalau tolak satu ayat sahaja, seolah-olah telah tolak ke semua Al-Quran ini.

Selalunya, kalau orang Islam, mereka tidak sebut yang mereka bantah ayat-ayat Al-Quran, kerana tentu mereka tidak sanggup berkata begitu, bukan? Tetapi apabila mereka tidak pakai arahan Allah SWT dalam kehidupan mereka, sama ada dalam ibadat atau dalam adat, itu bermaksud mereka membantah ayat-ayat Allah SWT.

Tidaklah mereka kata: “aku bantah Al-Quran ni…!” Tetapi kalau tidak pakai, buat tidak tahu sahaja, kenapa? Sebab kamu tidak percayalah, kan? Kamu rasa Al-Quran itu tidak betul atau tidak pentinglah, kan?

وَبِمَا أَرْسَلْنَا بِهِ رُسُلَنَا

dan segala yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus;

Ataupun mereka mendustakan orang yang sebar agama. Padahal, orang yang sebar agama tu bawa dalil Al-Quran, tetapi mereka masih tidak mahu terima.

Banyak orang yang sebegini. Kadang-kadang orang yang sepatutnya menyebar agama pun tidak mahu hendak terima. Sebagai contoh, ramai dari Jemaah Tabligh itu sudah mahu kepada agama, semangat berdakwah sudah ada dalam diri mereka. Tetapi apabila diajak untuk belajar tafsir Al-Quran, mereka tidak mahu datang belajar. Ini amat bahaya kerana takut Tuhan butakan mata hati mereka daripada faham.

Kalau hati tidak mahu kepada agama, Tuhan akan butakan mata mereka dari faham. Walaupun mereka faham bahasa Arab. Musyrikin Mekah itu bukannya tidak tahu bahasa Arab, tetapi kerana mereka tidak mahu kepada kebenaran, mereka tidak mahu faham.

Apakah yang paling penting dibawa dalam Al-Quran? Lafaz مَا dalam perkataan وَبِمَا merujuk kepada tauhid – tauhid dalam ibadat dan tauhid dalam doa. Ada banyak perkara dalam Al-Quran tetapi perkara yang paling penting sekali adalah akidah tauhid. Sebab itu kita mula belajar surah-surah tentang tauhid.

فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

Pasti kamu kelak akan mengetahui

Ini adalah Takhwif Ukhrawi. Allah SWT memberitahu apakah balasan kalau tolak akidah tauhid. Balasan kepada mereka adalah amat berat sekali. Dan mereka akan pasti tahu apabila di akhirat kelak.

Waktu itu sudah terlambat. Jadi, janganlah sampai di sana baru hendak menyesal. Kenalah pegang akidah tauhid ini dari dunia ini lagi. Bukannya Allah SWT tidak beritahu, Dia telah beri Al-Quran 30 juzuk ini dan Dia telah berikan Nabi untuk menerangkan maksudnya dan Dia telah menghantar penyebar tauhid kepada kita dalam bentuk pendakwah-pendakwah yang tidak berhenti mengajak kepada tauhid. Sama ada kita hendak dengar atau tidak sahaja. Alangkah rugi kalau tidak memberi perhatian? Rugi itu pula bukan rugi sikit, tetapi rugi yang paling rugi – masuk neraka.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan