Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-66 hingga Ke-67

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-66 hingga Ke-67

2623
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-66

Di dalam bahagian kedua ini juga ada Dakwa dan Dalil diberikan untuk menyokong Dakwa itu. Ianya mengulang apa yang telah disampaikan dalam bahagian pertama: untuk menguatkan lagi hujah tentang Tauhid dalam doa.

Ayat ini adalah Dalil Wahyu untuk beritahu bahawa apa yang Nabi SAW sampaikan tentang Tauhid dalam ayat ini bukanlah dari rekaan baginda sendiri tetapi adalah dari Allah SWT.

Seperti yang kita telah sebut dalam perbincangan istilah, Dalil Wahyu adalah titah khas yang Allah SWT berikan kepada Nabi SAW untuk dijalankan oleh baginda.

۞ قُل إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ لَمّا جاءَنِيَ البَيِّناتُ مِن رَبّي وَأُمِرتُ أَن أُسلِمَ لِرَبِّ العالَمينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah benda-benda yang kamu sembah yang lain dari Allah SWT – setelah datang kepadaku keterangan-keterangan yang jelas nyata dari Tuhanku; dan aku diperintahkan supaya tunduk taat bulat-bulat kepada perintah Tuhan sekalian alam”.

قُلْ

Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad)

Inilah Dalil Wahyu yang dimaksudkan: Nabi Muhammad SAW disuruh untuk sampaikan kepada manusia.

Kalau Nabi Muhammad SAW hendak amalkan agama Islam bersendirian, Musyrikin Mekah tidak marah pun kerana memang banyak jenis agama semasa di Mekah dan Tanah Arab dulu pun. Mereka marah kerana Nabi Muhammad SAW menyampaikan ajaran Islam kepada manusia. Baginda tidak ada pilihan lain, kerana memang menyampaikan ajaran Tauhid adalah arahan khusus dari Allah SWT.

Begitu juga dengan kita, jika selepas belajar ini buat senyap sahaja, simpan sendiri sahaja, tidak ada sesiapa yang marah kepada kita sebab kita tidak buat kerja. Tetapi jika kita buat kerja dakwah seperti yang diarahkan kepada Nabi Muhammad SAW ini, memang kita akan bertemu dengan banyak penentang. Ini adalah perkara biasa sahaja maka, tidak perlu hairan.

إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ

“Sesungguhnya aku dilarang menyembah benda-benda yang kamu sembah yang lain dari Allah SWT

Nabi SAW disuruh beritahu kepada Musyrikin Mekah: Sesungguhnya aku ini dilarang untuk sembah, puja, kirim salam sama ada kepada malaikat ini, malaikat itu, nabi-nabi, roh-roh yang sudah mati, sama ada wali ataupun tidak sepertimana yang kamu seru mereka itu. Maknanya, apa yang musyrikin Mekah buat, baginda tidak akan buat.

Kenapa Nabi SAW disuruh cakap begini? Kerana Musyrikin Mekah telah datang kepada Nabi Muhammad SAW untuk berkompromi. Mereka kononnya hendak cari jalan tengah antara mereka dan baginda. Mereka kata tidak perlulah mereka terus berbalah, guna kedua-dua ajaran. Tahun ini kita beramal dengan ajaran Nabi SAW, tahun depan beramal dengan apa yang mereka telah lama amalkan (iaitu amalan syirik).

Itulah sebabnya Nabi SAW disuruh beri jawapan sebegini, kerana tidak ada kompromi dalam hal tauhid dan syirik. Islam tidaklah seperti agama lain yang boleh dicampurkan amalan dan fahaman mereka.

Seperti yang berlaku di negara kita, begitu ramai yang mengaku Islam tetapi bermacam-macam cara doa mereka. Kebanyakan dari cara itu tidak ada dalil dalam agama, tetapi telah diajar oleh guru-guru yang sesat. Jangan kita ikut cara mereka itu.

Begitu juga, kita kena keras dengan amalan syirik dan tiada dalil. Ada yang kata: kalau tidak mahu amal pun tidak mengapa tetapi jangan tegur.

Jawab: memang kena tegur kerana itu dakwah dan kita memang tidak boleh iktiraf amalan salah manusia. Jika salah, memang kita kena tegur.

لَمّا جاءَنِيَ البَيِّناتُ مِن رَبّي

apabila sudah datang kepada aku dalil bukti yang nyata dari Tuhanku

Kenalah berhenti apabila tahu ia salah. Kalau dulu kita pernah buat, itu sebab kita pun jahil, tidak belajar lagi Tauhid, tidak belajar tafsir Al-Quran, tidak belajar tentang tawassul. Sekarang kita telah tahu mana boleh buat, mana yang tidak boleh buat jadi, tidak kah kita hendak buat lagi?

Ayat ini bukanlah hendak menceritakan yang Nabi Muhammad SAW dulu ada buat syirik dalam berdoa, apabila sudah dapat wahyu, baginda berhenti. Tidaklah begitu. Sebenarnya, Nabi SAW tidak pernah melakukan syirik kerana para Nabi SAW diselamatkan dari melakukan syirik dari kecil lagi. Cuma waktu itu baginda tidak ada dalil, dan sekarang sudah ada dalil.

Maka, berkewajiban ke atas seorang Muslim untuk membuat kerja-kerja dakwah bermula dengan belajar dan menuntut ilmu agama dengan sungguh-sungguh untuk memastikan agama itu berkembang dan untuk membendung manusia dari terus melakukan kesalahan.

Apa pun selamatkan ahli keluarga dulu diikuti dengan tetangga dan seterusnya masyarakat

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah SWT dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. [At-Tahrim: 6 ]

وَأُمِرتُ أَن أُسلِمَ لِرَبِّ العالَمينَ

“Dan aku juga diperintahkan supaya serah diri bulat-bulat kepada pencipta, pemelihara, penjaga langit dan bumi”,

Kita telah diperintahkan untuk menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Pencipta dan Pemelihara alam semesta ini, iaitu Allah SWT.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘serah diri semuanya’?Maksudnya kena terima semuanya yang telah disampaikan oleh Allah SWT dan Nabi SAW. Jangan tolak sedikit pun. Islam ini kita kena terima semua sekali, tidak boleh sebahagian dan jangan tolak walau satu apa pun.

Berlapang dada untuk terima apa yang telah disampaikan dalam wahyu. Janganlah kita disebabkan telah selalu amal tawassul, ramai orang amal tawassul, dan apabila diberitahu ada ayat dalam Al-Quran yang larang tawassul, kita tolak tepi ayat Al-Quran itu dan tetap hendak bertawassul juga.

Tafsir Ayat Ke-67

Kenapa kita hanya kena sembah kepada Dia sahaja? Allah SWT beritahu kerana Dia yang jadikan kita, maka kena sembah Dia lah sahaja.

Ini adalah pengulangan semula Dalil Aqli Anfusi.

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم مِن تُرابٍ ثُمَّ مِن نُطفَةٍ ثُمَّ مِن عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخرِجُكُم طِفلًا ثُمَّ لِتَبلُغوا أَشُدَّكُم ثُمَّ لِتَكونوا شُيوخًا ۚ وَمِنكُم مَن يُتَوَفّىٰ مِن قَبلُ ۖ وَلِتَبلُغوا أَجَلًا مُسَمًّى وَلَعَلَّكُم تَعقِلونَ

“Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Dia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah SWT melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan)”.

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ

Dialah yang menjadikan kamu dari asalnya tanah.

‘Kamu’ di sini adalah Nabi Adam as. Penciptaan pertama manusia dari tanah. Itulah asal kejadian manusia. Allah SWT yang beritahu kita proses kejadian ini. Jika tidak kaji sendiri kita pun tidak tahu.

ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ

Kemudian dari sperma.

Nabi Adam dijadikan dari tanah, tetapi anak cucunya (kita) dijadikan dari ‘sperma’. Bukannya ‘air mani’ kerana dalam air mani ada sperma dan sperma itulah yang akhirnya menjadi manusia, bukan keseluruhan air mani itu.

ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ

Kemudian dari sperma itu jadi segumpal darah

Proses kejadian ini boleh dikaji oleh sains dan kita akan dapati bahawa prosesnya sama seperti yang disebut dalam Al-Quran.

Al-Quran tidak bercanggah dengan sains. Bagaimana Al-Quran yang diturunkan sebelum manusia tahu sains kejadian manusia? Kerana ia adalah dari Allah SWT. Dan ada yang masuk Islam kerana mereka tahu bahawa tidak mungkin Nabi Muhammad SAW menulis sendiri Al-Quran itu. Tidak mungkin seorang yang duduk di padang pasir lebih seribu tahun lalu tahu tentang perkara ini. Oleh itu, kalau bukan baginda yang menulisnya, ia tidak lain dan tidak bukan adalah dari Allah SWT, Tuhan manusia yang menjadikan manusia.

ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا

Kemudian dikeluarkan kamu dari perut ibu kamu sebagai kanak-kanak

Kita bermula dari kanak-kanak kecil sahaja. Semua kejadian ini adalah tanda bagi kudrat Allah SWT. Tidaklah manusia terjadi sendiri, tetapi ianya adalah atas kehendak dan perbuatan Allah SWT.

Allah SWT lah yang mengajar budak yang baru lahir itu pandai minum susu ibu. Tidak perlu kita ajar dia makan dan minum. Allah SWT yang mengajar budak itu supaya pandai menangis untuk beritahu apa yang dia hendak, sama ada dia lapar, kencing, sakit dan sebagainya.

ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ

Supaya kamu mencapai tempoh hidup kamu sebagai seorang remaja

Setelah jadi bayi, Allah SWT pelihara dengan kasih sayang ibu bapa. Menangis sahaja sudah dapat makan dan minum. Allah SWT beri keperluan hidup sampai jadi remaja.

لِتَكُونُوا شُيُوخًا

Kemudian Kami jadikan kamu tua.

Allah SWT yang menjadikan kita tua. Allah SWT hendak beritahu yang semua itu Dia yang buat belaka. Allah SWT lakukan semua itu supaya kita menjalani hidup sampai tempoh mati.

وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّىٰ مِنْ قَبْلُ

dan di antara kamu ada yang Kami matikan sebelum tempoh-tempoh itu.

Ada yang mati dalam perut, ada yang mati lepas beranak, ada yang mati semasa berumur 18 tahun dan sebagainya. Maknanya, ada manusia yang tidak sempat sampai kepada umur tua. Dan kebanyakan manusia ada yang sampai tua dan nyanyuk baru mati.

وَلِتَبْلُغُوا أَجَلًا مُسَمًّى

Supaya kamu mencapai usia yang telah ditetapkan untuk kamu.

Inilah perjalanan hidup manusia. Dari mula lahir sampai mati, Allah SWT yang menentukan. Hidup dan mati ditentukan oleh Allah SWT.

وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Mudah-mudahan dengan memahami semua dalil-dalil ini kamu dapat memahami.

Iaitu memahami bahawa Allah SWT sahaja tempat kamu berdoa. Kita maksudkan ‘doa’ kerana surah ini pasal ‘tauhid dalam doa’.

Pertama, kena benarkan segala perbuatan Allah SWT itu. Memang benar Allah SWT yang buat semua di atas. Kemudian setelah bersetuju, kena ikut dan taat kepada Allah SWT. Sampaikan doa hanya kepada Allah SWT sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan