Utama Bilik (01) Fiqh As Sunnah Sebutan Selawat Ke atas Nabi Ibrahim AS

Sebutan Selawat Ke atas Nabi Ibrahim AS

1215
0
Iklan

Kenapa dalam Tahiyat Akhir ada sebutan selawat ke atas nama Nabi Ibrahim AS dan bukan Nabi-Nabi yang lain? Adakah Nabi Ibrahim AS punya keistimewaan tertentu?

Sebutan selawat itu adalah petunjuk dari Nabi SAW. Terdapat hadis dari Sahih Muslim yang mengatakan berselawatlah ke atas kedua Nabi SAW dan Nabi Ibrahim AS:

Hadis Riwayat Kaab bin Ujrah ra.:

Dari Abdullah bin Abu Laila, dia berkata: Kaab bin Ujrah menemuiku dan berkata: Mahu kah engkau aku berikan hadiah? Rasulullah SAW pernah menemui kami, lalu kami berkata: Kami telah mengetahui cara membaca salam untuk Baginda, lalu bagaimana kami membaca selawat untuk Anda? Beliau bersabda: Bacalah: “Allahumma shalli `alaa Muhammad wa `alaa aali Muhammad kamaa baarakta `alaa aali Ibrahim. Innaka hamiidum majiid. Allahumma baarik `alaa Muhammad wa `alaa aali Muhammad kamaa baarakta `alaa aali Ibrahim Innaka hamiidum majiid”. (Ya Allah, limpahkanlah sejahtera kepada Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan kesejahteraan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia. Ya Allah, limpahkanlah keberkahan kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan keberkahan kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia). (Shahih Muslim No.614)

Berpandukan kepada hadis tersebut, ulama berpendapat:

1. Syafie (Imam Nawawi: Syarah Muslim (4/123), anda hanya perlu membaca selawat atas Nabi SAW sahaja, selawat ke atas keluarga baginda dan selawat Ibrahimiyah adalah sunat (optional).

2.  Maliki dan Hanafi: sunat hukumnya selawat ini baik ke atas Nabi SAW, keluarga baginda dan ke atas Nabi Ibrahim AS.

3. Hambali: wajib selawat atas Nabi SAW, keluarga baginda dan selawat Ibrahimiyah (Fathul Bari: 9/163).

4. Ibn Taimiyah: “Selawat Ibrahimiyah adalah selawat yang paling sempurna”

Rujuk surah [ Al-Baqarah: 124 ]:

Firman Allah سبحانه وتعالى

وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لاَ يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

 “Dan ingatlah ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah, maka Ibrahim pun menyempurnakannya. Setelah itu ALLAH berfirman : Sesungguhnya Aku melantik kamu menjadi Imam bagi umat Manusia.”

 Ibrahim AS pun memohon dengan berkata : Ya Tuhan-Ku. Jadikanlah juga dari keturunan ku pemimpin-pemimpin ikutan.

ALLAH berfirman: Permohonan mu diterima, tetapi janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim..”

Nabi Ibrahim AS telah dilantik oleh Allah سبحانه وتعالى untuk menjadi Imam bagi umat Manusia. Berdasarkan maksud ayat di atas, Allah سبحانه وتعالى telah menguji Nabi Ibrahim AS dengan beberapa kalimah. Pengertian kalimah pada ayat ini bermaksud tugas yang disyariatkan oleh Allah سبحانه وتعالى untuk disempurnakan oleh Nabi Ibrahim AS. Oleh kerana Nabi Ibrahim AS berjaya menyempurnakannya, lalu Allah سبحانه وتعالى melantik baginda AS menjadi Imam.

Sebahagian ulama’ memperincikan ‘Kalimah’ dengan mengatakan bahawa ia merujuk kepada 40 perintah Allah سبحانه وتعالى , di mana perintah-perintah itu adalah ajaran Syariat yang terkandung di dalam beberapa Ayat Al-Quran. Di antaranya adalah 10 perintah pada surah [ At-Taubah: 112 ]. 10 perintah di dalam surah [ Al-Mu’minun: 1-10]. 10 perintah di dalam surah [ Al-Ahzab: 35] dan 10 perintah lagi di dalam surah [ Al-Ma’arij: 22-34].

Nabi Ibrahim AS juga diuji dengan cubaan yang paling berat iaitu:

* Diperintahkan oleh Allah سبحانه وتعالى agar menyembelih puteranya, Nabi Ismail AS, tetapi Allah سبحانه وتعالى telah menggantikannya dengan seekor kibasy.

* Terpaksa berpisah dengan keluarga dan kaumnya kerana kekufuran mereka.

* Perdebatan baginda AS dengan Raja Namrud yang membincangkan mengenai ketuhanan, akhirnya telah mengundang bahaya bagi diri baginda AS. Baginda AS telah dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud, tetapi telah diselamatkan oleh Allah سبحانه وتعالى .

* Baginda AS telah diduga dengan mengisbatkan kewujudan Tuhan melalui Tadabbur (pengamatan) alam semesta melalui Bulan, Matahari dan Bintang. Cabaran ini juga telah berjaya di atasi oleh Nabi Ibrahim AS. Maka Allah سبحانه وتعالى telah memerintahkan baginda AS supaya tunduk dan patuh serta menyerah diri kepada Allah سبحانه وتعالى dan Baginda AS mematuhinya.

Melalui prestasi Nabi Ibrahim AS yang cemerlang ketika menghadapi pelbagai dugaan ini, Allah سبحانه وتعالى telah memberi anugerah Al-Bara’ah (kebebasan daripada Neraka) dan dilantik oleh Allah سبحانه وتعالى menjadi Imam di dalam perlaksanaan Ibadah Haji dan pemimpin bagi seluruh umat Manusia. Selain itu, Nabi Ibrahim AS juga tidak pernah lupa memohon kepada Allah سبحانه وتعالى agar dikurniakan keturunan yang baik dan agar baginda AS menjadi Imam bagi kaumnya. Disebabkan itulah kebanyakan Nabi-Nabi adalah berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim AS seperti Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan