Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-258 dan Ke-259

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-258 dan Ke-259

1036
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat 258

Allah ‎ﷻ memberikan tiga contoh golongan yang beriman kepada tauhid iaitu dua kisah daripada Nabi Ibrahim عليه السلام dan satu kisah Nabi Uzair عليه السلام. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan teori tentang akidah, dan sekarang Allah ‎ﷻ berikan contoh pula supaya kita lebih faham dan boleh ikut mereka.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبرٰهِـۧمَ في رَبِّهِ أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ إِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ قالَ أَناْ أُحيي وَأُميتُ ۖ قالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ اللَهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ ۗ وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat.” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبرٰهِـۧمَ في رَبِّهِ

Tidakkah engkau memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya,

Pertama akan disampaikan adalah kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan Namrud. Namrud itu adalah raja dunia dan tidak sama dengan Firaun yang hanya Raja kepada negara Mesir sahaja.

Walaupun dia seorang raja dunia, tetapi dia tidak berapa cerdik. Sampaikan nama dia pun tidak disebut didalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ hanya sebut dia dengan lafaz mubham sahaja (orang yang berhujah) menunjukkan betapa dia tidak cerdik dan namanya tidak layak disebut pun. Sedangkan Firaun disebut berkali-kali dalam Al-Qur’an kerana dia hebat berhujah.

Namrud membantah Nabi Ibrahim عليه السلام dalam perkara ketuhanan, iaitu tentang Allah ‎ﷻ.

أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ

kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan?

Walaupun dia tidak berapa cerdik, tetapi Allah ‎ﷻ telah takdirkan yang dia dapat memerintah dunia. Oleh kerana dia rasa diri dia besar kerana memerintah dunia, maka dia berani melawan Nabi.

Dalam psikologi, ini dinamakan “God Complex’. Mereka rasa mereka ada kuasa dan perangai mereka jadi lain macam. Padahal bukan banyak pun kuasa mereka. Sebagai contoh, doktor pun ada rasa macam itu sebab mereka rasa mereka menyelamatkan nyawa manusia. Jangan kata mereka, “guard” yang jaga pintu masuk pun ada masalah ini juga kadangkala.

إِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ

Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”.

Dia membantah Nabi Ibrahim عليه السلام itu semasa baginda berdakwah kepadanya. Dalam ayat Kursi, Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia lah yang Maha Hidup. Dan dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu yang Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Nabi Ibrahim عليه السلام tekankan tentang salah satu sifat terpenting Allah ‎ﷻ.

قالَ أَناْ أُحيي وَأُميتُ

Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.

Namrud pun kata dia pun Tuhan juga kalau begitu, kerana dia boleh menghidupkan dan mematikan juga. Dalam riwayat ada disebut bagaimana dia panggil dua orang lelaki yang telah dihukum bunuh, bawa ke hadapan Nabi Ibrahim عليه السلام dan dia. Maka dia kata dia ampunkan seorang lelaki dan teruskan hukuman bunuh kepada seorang lagi lelaki itu.

Melalui kejadian itu, Namrud kata dia telah menghidupkan seorang lelaki dan mematikan seorang lagi. Ini hujah yang bodoh. Kita pun boleh tahu bahawa lain apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام itu, bukan?

قالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ اللَهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ

Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur,

Disebabkan kebodohan Namrud, maka Nabi Ibrahim عليه السلام bawakan hujah yang satu lagi. Allah ‎ﷻ yang takdirkan matahari naik dari arah timur. Ini mengingatkan kepada kita yang perjalanan matahari, bulan dan segala planet adalah dalam takdir Allah ‎ﷻ. Bukanlah semua itu berjalan sendiri.

فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ

oleh itu terbitkanlah dia dari barat

Kalau kamu, Namrud, rasa yang kamu pun tuhan juga, maka tolong naikkan matahari dari barat pula esok. Sebelum ini dia berhujah dengan keupayaan menghidupkan dan mematikan. Nah kali ini kita tengok dia boleh ubah perjalanan matahari ke tidak.

فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ

Maka tercenganglah orang yang kafir itu

Maka, dengan hujah itu, Namrud bungkam tidak berkata apa-apa lagi.

Mungkin timbul satu persoalan. Apa kata kalau Namrud berhujah balik? Dia mungkin boleh kata: “baiklah, aku memang tak boleh nak terbitkan matahari dari barat. Kamu kata Tuhan kamu boleh terbitkan matahari dari barat. Suruhlah Tuhan kamu itu terbitkan dari barat!”

Dalam kitab tafsir ada disebutkan, kalaulah Namrud berhujah macam itu, Allah ‎ﷻ akan terbitkan matahari dari barat esoknya sebagai hujah. Tetapi tidak berlaku perkara itu sebab Namrud mengalah dan tidak menyambung perbalahan itu. Namrud tidak ada hujah apa-apa lagi. Namun selepas itu Namrud telah melempar Nabi Ibrahim عليه السلام ke dalam api. Biasalah, kalau tidak ada hujah, ramai yang gunakan kuasa kekerasan.

Nabi Ibrahim عليه السلام tentu sedar yang kalau baginda cakap macam itu, boleh menyebabkan baginda dibunuh. Tetapi baginda yakin yang Allah ‎ﷻ lah al-hayyul qayyum, Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh mematikan, maka baginda tidak takut untuk menyatakan kebenaran.

وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ini adalah perbuatan manusia yang zalim kerana degil. Allah ‎ﷻ tidak memberi hidayah kerana mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk mengetahui apakah yang benar.

Tafsir Ayat Ke-259

Ini adalah contoh kedua maksud al-hayyul qayyum. Ini pula adalah kisah Nabi Uzair عليه السلام.

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قالَ كَم لَبِثتَ ۖ قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ ۖ قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه ۖ وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ ۖ وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا ۚ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ

Atau tentang orang yang melalui sebuah negeri

Dikatakan yang negeri yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah BaitulMaqdis, iaitu negara Palestin. Waktu itu setelah Babylon menyerang BaitulMaqdis. Puak itu telah membunuh 600 ribu orang dalam kalangan Bani Israel dan jadikan hamba lagi 600 ribu.

Ini adalah satu tempat yang banyak kali makmur dan banyak kali ranap zaman berzaman. Apabila naik agama Islam, maka ia kembali makmur dan kemudian ditakluk oleh bangsa kafir dan meranapkannya kembali. Begitulah nasib yang dialami oleh Bani Israel dan tempat tinggal mereka, kerana umatnya banyak yang degil.

Sampai sekarang tidak pernah aman penempatan mereka. Itulah juga nasib negara Palestin. Padahal itu adalah tempat paling ramai Nabi dibangkitkan. Semua ini terjadi kerana umatnya yang degil dan banyak menentang.

وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها

yang telah runtuh di atas bumbungnya,

Perkataan yang digunakan kalau diterjemahkan: ‘Dinding jatuh timpa bumbung’. Agak pelik, bukan? Ini kerana kalau bangunan yang sudah lama, tiada ada siapa yang menjaganya, tentunya bumbung yang jatuh dahulu. Selalunya bahagian rumah yang rosak dahulu adalah bumbung kerana bumbunglah bahagian yang paling lemah.

Oleh kerana itu, bumbung yang akan jatuh dulu. Kemudian baru dinding runtuh dan apabila ia jatuh, ia akan jatuh atas bumbung yang telah jatuh itu. Ini adalah bahasa kiasan memberi isyarat lama sangat kawasan dan rumah-rumah itu ditinggalkan.

Jadi hendak menunjukkan betapa lama sangat kota itu ditinggalkan. Kalau sampai bangunan pun sudah runtuh, manusia yang tinggal di situ, tentulah lagi lama sudah tiada. Begitulah Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan bagaimana keadaan BaitulMaqdis itu pada waktu itu. Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja tetapi kita boleh bayangkan.

قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها

Orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”

Ini adalah Nabi Uzair عليه السلام yang berkata dalam hati. Baginda bercakap begitu bukan kerana baginda tidak yakin dengan kuasa Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Nabi tidak yakin pula.

Namun baginda cakap begitu sebab hendak tahu cara sahaja. Baginda tengok teruk sangat keadaan kota itu, baginda tidak dapat bayangkan bagaimana caranya Allah ‎ﷻ akan membinanya kembali. Jadi baginda terfikir-fikir bagaimanakah caranya?

فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ

Lalu dia dimatikan oleh Allah selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula

Allah ‎ﷻ memang betul-betul mematikan Nabi Uzair عليه السلام, bukan tidurkan. Allah ‎ﷻ memang boleh buat begitu kerana Allah ‎ﷻ yang menghidupkan dan mematikan. Kemudian Allah ‎ﷻ boleh hidupkan semula. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ.

قالَ كَم لَبِثتَ

lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”

Selepas Nabi Uzair عليه السلام dihidupkan kembali, Allah ‎ﷻ tanya kepada Nabi Uzair عليه السلام berapa lama baginda tinggal di situ. Tubuh baginda memang nampak biasa sahaja.

قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ

Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.

Oleh kerana tubuhnya nampak biasa sahaja, baginda kata baginda tentu tidak tinggal lama – sehari atau setengah hari sahaja (ikut kebiasaan). Baginda tertidur sahaja dan kadang-kadang kita bangun tidur, tidak tahu berapa lama kita tidur, bukan?

Ini menunjukkan bahawa Nabi tidak tahu semua perkara. Mereka juga tidak tahu hal ghaib melainkan yang telah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Sekarang Allah ‎ﷻ tanya baginda kerana Allah ‎ﷻ hendak beritahu.

قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ

Allah berfirman:”bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun.

Mungkin Nabi Uzair عليه السلام terkejut apabila dikatakan yang baginda telah tinggal selama seratus tahun di situ.

فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه

perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya,

Allah ‎ﷻ tunjuk contoh qudrat-Nya dengan menyuruh baginda lihat kepada makanan yang baginda bawa sebagai bekal. Selalunya makanan senang rosak, tetapi Allah ‎ﷻ jadikannya masih baik lagi.

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ

dan perhatikanlah pula kepada keldaimu

Makanan yang cepat basi, Allah ‎ﷻ boleh kekalkan. Namun binatang yang tentunya lambat reput, sudah tinggal tulang sahaja. Menunjukkan memang lama baginda tidur di situ.

وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ

dan Kami jadikan engkau sebagai tanda bagi umat manusia;

Allah ‎ﷻ menghidupkan Nabi Uzair عليه السلام semula sebagai tanda kepada manusia. Menjadi inspirasi kepada manusia yang lain. Menjadi tanda bahawa Allah ‎ﷻ itu maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ boleh hidupkan, matikan, hidupkan balik tidak kira berapa lama.

وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا

dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “.

Allah ‎ﷻ jadikan keldai itu hidup dengan segera di depan matanya. Kita boleh bayangkan kejadian itu sebab kita yang hidup zaman moden ini selalu tengok special effect dalam media. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana tulang keldai itu bercantum kembali, dan kemudian dagingnya bercantum semula.

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Maka apabila telah jelas kepadanya, berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Telah jelas kepada Nabi Uzair عليه السلام yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Baginda sudah yakin dengan sebenar-benar yakin yang mati dan hidup adalah dalam tangan Allah ‎ﷻ dan baginda sudah tahu bagaimana cara Allah ‎ﷻ melakukannya.

Selepas itu baginda tidak akan tanya lagi. Baginda dinampakkan dengan ilmu musyahadah – baginda lihat sendiri dengan matanya. Sebelum ini ilmu makrifat sahaja. Apabila nampak dengan mata kepala sendiri, maka tentulah yakin sangat.

Kelebihan ini Allah‎ ﷻ berikan kepada para Nabi kerana mereka bawakan hujah yang besar dan kena berhadapan dengan masyarakat penentang. Maka kekuatan iman mereka kena lebih kuat daripada manusia biasa. Maka jangan kita pun hendak minta ditunjukkan kejadian ‘luar adat’ ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan