Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-52 hingga Ke-54

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-52 hingga Ke-54

1049
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-52

Dalam ayat ini, Allah SWT sambung penerangan tentang يَومَ يَقومُ الأَشهادُ.dalam ayat sebelum ini.

ومَ لا يَنفَعُ الظّالِمينَ مَعذِرَتُهُم ۖ وَلَهُمُ اللَّعنَةُ وَلَهُم سوءُ الدّارِ

“(Iaitu) pada hari yang tidak berguna bagi orang-orang yang zalim dalihan-dalihan mereka, dan mereka akan beroleh laknat, serta mereka beroleh seburuk-buruk tempat tinggal”.

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ الظَّالِمِينَ مَعْذِرَتُهُمْ

Hari yang tidak ada manfaat lagi bagi orang-orang zalim dalihan-dalihan mereka.

Dalam ayat ini, orang-orang zalim yang dimaksudkan adalah orang yang melakukan syirik. Di dalam Al-Quran, yang zalim itu tidak bermakna melakukan syirik sahaja ia bermakna juga orang yang telah melakukan dosa yang banyak.

Jadi, ada dua makna perkataan ‘zalim’ yang Allah SWT hendak dalam Al-Quran. Oleh kerana Surah Ghafir ini adalah surah Makkiah, dan ia adalah surah yang memperkatakan tentang aqidah, jadi makna ‘zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang melakukan syirik.

Apa sahaja alasan yang mereka ingin berikan, apa sahaja rekaan mereka hendak guna untuk jawab kepada Allah SWT, tidak ada gunanya lagi. Alasan yang mereka akan beri nanti adalah alasan buat-buat sahaja kerana alasan yang sebenarnya tidak ada. Tidak akan diterima daripada mereka lagi.

Mungkin mereka hendak kata mereka sibuk sampai tidak boleh belajar. Ini adalah alasan yang selalu digunakan oleh manusia apabila mereka diajak untuk belajar agama terutama sekali tafsir Al-Quran. Mereka tidak nampak kepentingan belajar tafsir Al-Quran dan belajar tentang Tauhid, sampaikan mereka jahil tentang Tauhid dan mereka mati dalam fahaman syirik.

Atau apa-apa sahaja alasan mereka tidakkan laku waktu itu. Masa di dunia bolehlah mereka hendak berhujah itu dan ini (contohnya ramai orang buat, ada dalam kitab, benda baik apa salahnya dan macam-macam lagi). Tetapi di hadapan Allah SWT, tidak laku alasan apa pun.

وَلَهُمُ اللَّعْنَةُ

Dan bagi mereka laknat daripada Allah SWT.

Sepanjang masa mereka akan mendapat laknat itu. Maknanya tidak akan dapat rahmat untuk keluar dari neraka. Tidak ada belas kasihan untuk mereka dari sesiapa sahaja. Ini adalah untuk orang yang telah melakukan syirik.

وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ

Dan bagi mereka tempat tinggal yang paling buruk sekali,

Iaitu neraka. Mereka akan kekal di dalamnya.

Tafsir Ayat Ke-53

Ini adalah ayat Dalil Naqli kepada Dakwa surah dalam ayat ke-14. Allah SWT hendak memberitahu kita bahawa bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang seru tauhid dalam berdoa. Nabi Musa a.s pun buat yang sama juga. Ini disebut kerana Musyrikin Mekah kata apa yang Nabi Muhammad SAW bawa itu adalah benda yang baru. Jadi, Allah SWT beritahu yang ia bukan benda baru pun. Nabi-Nabi dahulu pun cakap benda yang sama juga.

وَلَقَد آتَينا موسَى الهُدىٰ وَأَورَثنا بَني إِسرائيلَ الكِتابَ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberikan Nabi Musa hidayah petunjuk dan Kami berikan kaum Bani Israil mewarisi Kitab Taurat”,

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْهُدَىٰ

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Musa itu, petunjuk.

Iaitu kitab Taurat. Dalam Kitab Taurat itu juga ada ajaran Tauhid.

وَأَوْرَثْنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ الْكِتَابَ

Dan kami wariskan kitab itu kepada Bani Israil.

Bani Israil mewarisi Kitab Taurat itu dari Nabi Musa a.s. Macam kita juga, mewarisi Al-Quran dari Nabi Muhammad SAW.

Jadi dalam kitab Taurat itu ada petunjuk. Begitu juga dalam Al-Quran, ada petunjuk kepada umat Islam bagi sesiapa yang hendak belajar. Iaitu mereka yang hendak kembali cari jalan benar. Yang ada dalam hati mereka, niat ikhlas untuk mencari jalan yang lurus.

Tafsir Ayat Ke-54

Petunjuk dan peringatan dari kitab tersebut hanya boleh diterima oleh orang-orang yang mempunyai akal yang waras. Orang yang tidak berakal sempurna tidak berupaya hendak terima ajaran dari Al-Quran.

هُدًى وَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبابِ

Sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.

هُدًى

Sebagai hidayah petunjuk

Ilmu dalam Taurat sudah cukup untuk digunakan sebagai petunjuk. Sama juga dengan Al-Quran. Al-Quran sudah cukup sebenarnya kerana semua perkara tentang Tauhid sudah dijelaskan. Ia cukup kepada mereka yang cari petunjuk dalam agama.

وَذِكرىٰ

dan peringatan

Taurat dan juga Al-Quran menjadi satu peringatan yang boleh beri faedah kalau diamalkan. Ia mengingatkan perkara yang kita selalu terlupa.

Oleh kerana itulah kita kena selalu mengaji dan membaca Al-Quran untuk mengingatkan kita. Kita kena sedar yang Syaitan akan selalu berusaha untuk melupakan kita kepada agama, maka kena selalu baca Al-Quran dan selalu muzakarah.

Muzakarah itu dapat mengingatkan kita kepada perkara-perkara yang kita mungkin terlepas pandang. Kalau kita seorang sahaja, mungkin kita terlupa dengan perkara-perkara itu.

لِأُولِي الأَلبابِ

bagi orang-orang yang berakal waras.

Taurat dan Al-Quran itu sudah cukup untuk digunakan sebagai panduan kepada seluruh manusia tetapi yang menerimanya hanyalah mereka yang memiliki fikiran yang waras dalam agama, iaitu golongan Ulul Albab.

Siapakah Ulul Albab ini? Allah SWT telah jelaskan ciri-ciri mereka dalam surah Ali Imran. Secara ringkasnya, mereka itu adalah orang yang berfikir tentang dunia membawa kepada akhirat. Bukanlah maksudnya mereka itu orang yang pandai dalam hal keduniaan sebab orang kafir lagi pandai dari kita berkenaan hal dunia tetapi mereka memikirkan dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi. Mereka golongan yang hendak tahu kebenaran dan kalau ada keinginan dalam diri mereka, Allah SWT akan bantu dengan berikan jalan itu.

Semoga kita termasuk dalam golongan Ulul Albab ini. Aameen.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan