Utama Bilik (106) Usyul Tafsir Berinteraksi Dengan Group ASWJ

Berinteraksi Dengan Group ASWJ

382
0
Iklan

Berinteraksi Dengan Group ASWJ

Ada orang masukkan Ayahaji ke group ASWJ. Beratus teks dalam satu jam. Tidak sempat hendak baca berduyun-duyun teks datang lagi.

Ringkasannya ASWJ berpaksi pada:
1. Quran
2. Hadis
3. Ijma’ Ulama
4. Qias.

No 1 dan 2 sangat mudah faham tetapi Ijma’ ulama itu tidak jelas. Bila ditanya, ijma’ ulama ialah pendapat-pendapat ulama-ulama muktabar. Siapakah ulama-ulama muktabar ini? Jawapannya, ulama-ulama ini bermesyuarat dan keluar fatwa akan sesuatu ibadat. Mereka ini ada buat buku. Mereka kata siapalah kita hendak bangkang mereka.

Siapakah ulama-ulama muktabar ini? Mereka menjawab inilah ulama-ulama yang membuat tarekat-tarekat dan wirid-wirid. Mereka inilah guru-guru mursyid.

Ayahaji tanya lagi siapakah ulama-ulama muktabar ini? Mulalah nampak kekeliruan hendak jelaskan siapa mereka.

Ayahaji tanya lagi siapa ulama-ulama muktabar ini. Mulalah mereka sebut Syeikh Kadir Jailani, wali 9, wali itu, wali ini. Mereka tidak sebut mana-mana sahabat Nabi SAW. Bila Ayahaji tanya tentang sahabat-sahabat Nabi mulalah nampak tidak tahu.

Ayahaji tanya, “Bolehkah awak beritahu Ayah Aji 10 orang sahabat Nabi kita SAW?”

Jawapannya tidak sampai 10 orang pun.

Ayahaji tanya, “Siapa sahabiah Nabi SAW. Boleh beri nama 10 orang?”

Tidak boleh hendak beritahu 10 orang.

Bila ditanya untuk berikan nama 10 wali mereka terus boleh bagi nama.

Apa maksud sahabat-sahabat nabi sebagai contoh?

Terpesir mereka!

Beginilah, jikalau kita hendak ‘test’ kereta, kita pergi ke PUSPAKOM. Jika kita hendak tahu mutu sesuatu barang, kita ke SIRIM. Jikalau kita hendak tahu status apa-apa ibadat, kita rujuk pada siapa?

Terpesir. Tidak tahu mereka bagaimana hendak jawab.

Murid-murid Nabi SAW adalah para sahabatnya. Apa syariat/ibadat Nabi SAW ajar pada hadis ada yang para sahabat tidak amal tetapi kebanyakannya mereka amal. Kenapa mereka tidak amal sesuatu itu yang memang daripada hadis sahih? Jawapannya adalah ia khas untuk Nabi SAW bukan untuk umat. Contohnya, Nabi SAW kahwin 9 orang isteri. Para sahabat tidak ikut cara nabi ini kerana mereka tahu itu khas untuk nabi sahaja. Nabi SAW berpuasa dan berbuka pada hari kedua. Para sahabat tidak ikut. Mereka tahu bahawa itu khas untuk Nabi SAW sahaja dan banyak lagi.

Para sahabat tidak akan reka apa-apa ibadat. Tetapi ulama-ulama muktabar boleh mesyuarat untuk mengesahkan sesuatu ibadat.

Seorang sahabat yang sudah sangat tua, hampir buta, dia dibawa murid ke sebuah masjid untuk solat. Bila muazzin telah azan dia baca doa azan dan bila muazzin baca iqamah muazzin pula berkata, “Rapat-rapatkan saf”. Sahabat itu terus kata pada muridnya, “Keluarkan aku daripada masjid ini. Aku tidak solat bersama ahli bid’ah”.

Nah, itu sahabat Nabi kita SAW. Dia tahu dari ajaran Nabi SAW tidak ada doa selepas iqamah, tidak boleh berkata-kata selepas iqamah kecuali imam sahaja. Bila muazzin berkata rapatkan saf itu sudah jadi bid’ah.

Kita sekarang ini, dengan ulama-ulama muktabar ini, boleh baca ayat Qursi, mengucap kalimah syahadah, membaca surah An-Naas, Al-Falaq dan lain-lain sebelum angkat takbir. Malah ulama-ulama muktabar baca doa iqamah lagi.

Maka siapakah ulama-ulama muktabar ini? Merekalah orang-orang yang ahli bid’ah iaitu guru-guru pada ahli bid’ah. Ulama warisatul ambiya ialah ulama-ulama yang buat kerja-kerja Nabi SAW.

1. Mereka mesti tahu tafsir al-Quran.
2. Mereka mesti tahu hadis sunan sittah.
3. Mereka tidak buat syirik.
4. Mereka tidak buat bid’ah.
5. Mereka adalah guru-guru yang mengajar tafsir dan hadis.
6. Mereka tidak akan ambil upah mengajar agama.
7. Bila mereka tidak tahu akan sesuatu mereka akan kata tidak tahu.
8. Mereka akan mengajar apa sahaja perintah Allah walaupun orang ramai tidak suka. Akan beritahu iman, syirik, amal soleh, bid’ah.

Ulama-ulama inilah ulama-ulama waris Nabi SAW. Ulama-ulama ini bila jumpa masalah mereka akan qias pada perbuatan para sahabat, tabiin dan tabi tabiin. Mereka juga qias pada ulama-ulama mazhab. Mereka qias dengan ulama-ulama hadis Bukhari, Muslim dan lain-lain. Mereka tidak akan qias dengan ulama semasa. Mereka rujuk pada yang ‘original’ sahaja.

Soalan
Apakah cerita selepas Ayahaji tanya siapa ulama muktabar dan nama sahabat, mereka terpesir sebab setahu saya ASWJ ini akan ada saja jawapannya. Teringin hendak tahu kalau boleh.

Jawapan
Bila ditanya mereka siapa ulama muktabar, mereka jadi blurr (kabur) saja, tidak tahu. Bila tanya 10 orang nama sahabat mereka tidak boleh beritahu kecuali beberapa orang. Bila tanya 10 orang nama sahabiah, sahabat perempuan, tidak boleh jawab melainkan beberapa orang saja. Bila tanya tok wali boleh beri nama satu. Macamana hendak tahu ‘SIRIM’ bagi agama Islam kalau tidak tahu nama sahabat Nabi SAW pun. Apa yang Nabi SAW ajar sahabat-sahabat akan amal. Itulah ‘SIRIM’nya. Itulah sunnah Nabi kita SAW. Mereka pula tahu hal-hal wali saja. Malah wali-wali yang sudah mati ada tugas-tugas khas kata mereka. Inilah akidah sesat. Orang mati, sudah habis ujian, sudah habis tugas.

Ijma’ ulama

Suatu hari Ayahaji ke masjid Sri Gombak untuk solat. Selepas solat, Ayahaji undur diri ke belakang sebab mereka buat bid’ah selepas solat. Ayahaji perhati mereka. Tiba-tiba datang seorang yang duduk di saf pertama belakang imam, datang jumpa Ayahaji. Ayahaji sedang berdiri dekat kitab-kitab. Dia tanya, “Haji datang daripada mana sebab tidak pernah tengok”. Ayahaji kata, “Dari Kelantan, singgah untuk solat”.

Tiba-tiba mereka bangun dan mula salam ‘itik’, salam berdiri seorang-orang, macam satu bulatan. Salam ini diajar Arqam suatu masa dahulu dan sekarang diamal oleh geng bid’ah.

Ayahaji: Awak siapa?

Orang itu: Saya bilal masjid. Saya juga orang Kelantan. Imam pun orang Kelantan. Ramai jawatankuasa masjid orang Kelantan.

Ayahaji: kenapa mereka salam itik? Adakah diajar Nabi? Adakah akan dapat pahala?

Orang itu terpesir dengan soalan Ayahaji yang datang tiba-tiba. Berubah air muka.

Dia kata: Kami bermesyuarat dengan jawatankuasa semua. Kami buat keputusan bahawa salam begini ada kebaikan.

Ayahaji. Ohhh.. awaklah orang yang bermesyuarat dan baiki agama ini ikut selera awak. Awak pakat-pakat ramai-ramai untuk membenarkan bid’ah!

Orang itu terpesir terdiam.

Ada 3 orang murid-murid Ayahaji bersama-sama Ayah Aji di masjid pada hari itu. Mereka, bila Ayahaji ajukan soalan pertama, sudah mula undur dari sisi Ayahaji. Masa soalan terakhir mereka berada jauh tetapi masih dengar apa Ayahaji kata.

Ijma’ ulama ialah geng-geng bid’ah ini bermesyuarat dan buat keputusan amalan tahlil, talkin, tarekat itu ini boleh diamal. Mereka pula orang-orang ‘alim’ di kalangan ahli bid’ah. Ijma’ ulama adalah ulama ahli bid’ah bermesyuarat membenarkan bid’ah.

Qias pula mereka qias dengan hadis-hadis dhaif dan hadis-hadis palsu dan daripada mimpi-mimpi ahli sufi mereka dan cerita-cerita atau akidah-akidah karut yang di qias pada ulama-ulama ahli bid’ah mereka.

Ahli sunnah pula, ijma’ ulama ialah pada ijma’ para sahabat, ijma’ imam-iman mazhab, ijma’ imam-imam hadis.

Qias ahli sunnah juga kepada mereka (ijma’ ulama) di atas. Kita tidak qias kepada tok kenali, wali 9, Syeikh Kadir, wali-wali kuning, hijau, dan lain-lain.

Semoga cerita-cerita begini memudahkan lagi kefahaman kita, aamiin.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan