Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-33 dan Ke-34

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-33 dan Ke-34

693
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Ghafir

Tafsir Ayat Ke-33

Dalam ayat sebelum ini telah disebut Hari Kiamat yang akan terjadi ‘panggil-memanggil’. Apakah akan terjadi pada hari itu? Ada dua pendapat ayat ini: sama ada dikatakan oleh Lelaki Mukmin itu atau pun pencelahan dari kata-kata Allah SWT.

يَومَ تُوَلّونَ مُدبِرينَ ما لَكُم مِنَ اللهِ مِن عاصِمٍ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

“(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah SWT. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah SWT (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya”.

يَوْمَ تُوَلُّونَ مُدْبِرِينَ

“Pada hari kamu berpaling lari ke belakang”.

Pada Hari Panggil Memanggil itu, setiap orang akan lari dari orang lain. Seperti yang Allah SWT sebut dalam [Mutaffifin: 34]:

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ

“Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya”,

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ

“Dan ibunya serta bapanya”,

صاحِبَتِهِ وَبَنيهِ

“Dan isterinya serta anak-anaknya”;

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

“Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja”.

Mereka juga akan cuba lari dari Padang Hisab (Mahsyar), kerana mereka takut mereka akan dihisab dan mereka tahu yang mereka akan ada masalah nanti kerana mereka sedar mereka banyak buat salah. Namun, mereka tidak akan ada peluang untuk melarikan diri. Mereka akan diheret semula ke Mahsyar.

Atau, ia mungkin bermaksud, berpaling dari Mahsyar menuju ke Neraka selepas Pengadilan. Waktu inilah terjadinya panggil memanggil itu untuk minta tolong.

مَا لَكُم مِّنَ اللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ

“Dan tidak ada untuk kamu dari (azab) Allah SWT seorang penyelamat pun”.

Riuh rendah mereka memanggil orang lain untuk memberi bantuan tetapi semua boleh dengar sahaja kerana tidak ada sesiapa yang boleh tolong sesiapa lagi.

Ini menolak harapan sesetengah manusia yang sangka mereka akan dapat bantuan di akhirat nanti. Kerana mereka rasa, semasa di dunia, mereka puja wali, Nabi dan malaikat, takkan mereka tidak tolong pula nanti? Tetapi Allah SWT menolak sangkaan mereka itu. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong.

Mereka menyangka semasa di dunia, mesti ada yang akan beri pertolongan kepada mereka jika mereka dalam kesusahan, sekurang-kurangnya kawan baik atau ahli keluarga mereka, bukan? Tetapi tidak ada sesiapa yang boleh diharapkan untuk bantu di akhirat kelak.

وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

“Sesiapa yang disesatkan Allah SWT, tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi hidayah kepadanya”.

Ini adalah Idkhal Ilahi. Selepas ucapan panjang itu, masih tidak nampak mereka ingin menerima. Apabila mula kecewa dengan kedegilan mereka, Allah SWT turunkan ayat, jika Allah SWT telah sesatkan tiada sesiapa yang boleh beri pimpinan hidayat.

Bila Allah SWT buat keputusan bahawa seseorang itu sesat, sudah tidak boleh buat apa-apa. Tidak ada sesiapa pun yang dapat tolong lagi. Tidak ada guru, wali, kawan atau sesiapa sahaja yang boleh pandu dia kembali kepada “agama”.

Ini adalah satu amaran: kalau kita tidak mengambil peluang menerima dakwah dan hidayah apabila datang kepada kita, ditakuti hati kita akan ditutup oleh Allah SWT untuk menerima hidayah lagi. Allah SWT akan tutup hati manusia untuk menerima hidayah lagi apabila sudah sampai kufur ‘Peringkat Keempat’. Ini adalah Khatmul Qalbi. Kalau Allah SWT sudah tutup hati-hati manusia dari terima kebenaran, tidak ada sesiapa lagi yang boleh tolong beri hidayah.

Oleh itu, apabila datang satu-satu nasihat kepada kita, hendaklah kita dengar dahulu. Jangan terus bantah, tetapi berilah telinga kita untuk dengar apakah yang hendak disampaikan.

Tafsir Ayat Ke-34

Ini adalah sambungan dakwah dan hujah dari Lelaki Mukmin itu. Ini masih lagi dalam Bahagian Kedua dari syarah Lelaki Mukmin itu. Dalam bahagian ini terdapat sindiran kepada mereka yang tidak memikir panjang tentang agama dan akhirat. Lelaki itu guna pendekatan sejarah pula.

Ayatnya:

وَلَقَد جاءَكُم يوسُفُ مِن قَبلُ بِالبَيِّناتِ فَما زِلتُم في شَكٍّ مِمّا جاءَكُم بِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا هَلَكَ قُلتُم لَن يَبعَثَ اللَّهُ مِن بَعدِهِ رَسولًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن هُوَ مُسرِفٌ مُرتابٌ

“Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila ia mati, kamu berkata: Allah SWT tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya; demikianlah Allah SWT menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya (terhadap balasan Tuhannya),

وَلَقَدْ جَاءَكُمْ يُوسُفُ مِن قَبْلُ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Yusuf sebelum ini”

Lelaki Mukmin itu mengingatkan kaumnya dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf adalah seorang Rasul, tetapi baginda juga seorang pemimpin yang besar. Walau pun dalam kedudukan yang tinggi, tetapi baginda masih lagi beriman dan mengajak kepada tauhid kepada Allah SWT.

Lelaki Mukmin itu hendak mengingatkan mereka bahawa mereka dahulu ada agama, kerana mereka ada Nabi di kalangan mereka, iaitu Nabi Yusuf a.s. Janganlah pula lupa. Apa yang dibawa oleh Nabi Musa ini bukanlah perkara baru.

Sebelum ini, Lelaki Mukmin itu telah mengingatkan mereka kepada kaum Nuh, Aad dan Tsamud. Tetapi itu adalah kaum-kaum yang sudah sangat lama dari zaman mereka. Sekarang beliau mengingatkan mereka kepada Nabi Yusuf a.s yang tidak lama masanya dengan mereka. Nabi Yusuf a.s berada di Mesir dalam lebih kurang 400 tahun sebelum datangnya Nabi Musa a.s., jadi tidak lama masa dengan mereka. Masih segar lagi kisah Nabi Yusuf a.s dalam ingatan mereka. Kisah Nabi Yusuf a.s tentunya telah menjadi sejarah negara mereka dan tentunya mereka sebagai pemimpin negara tahu tentang kisah Nabi Yusuf a.s itu.

Lelaki Mukmin itu hendak mengaitkan ajaran Nabi Musa dengan Nabi Yusuf a.s. Dia hendak memberitahu bahawa sama sahaja ajaran Nabi Musa dan Nabi Yusuf a.s itu. Kedua mereka mengajak kepada tauhid.

بِالْبَيِّنَاتِ

“dengan bawa bukti dalil dari Allah SWT”.

Dulu Nabi Yusuf a.s datang kepada penduduk Mesir dengan bawa dalil-dalil bukti yang jelas dari Allah SWT. Maka, sekarang pun Nabi Musa bawa dalil juga yang mereka boleh lihat dengan mata mereka sendiri. Mereka berdua bukan datang dengan tangan kosong, tetapi bawa bukti. Maka ini mengajar kita, kita dalam dakwah pun kena bawa bukti dan dalil juga.

فَمَا زِلْتُمْ فِي شَكٍّ مِّمَّا جَاءَكُم بِهِ

“Tapi kamu sentiasa berada dalam keraguan terhadap apa yang dia bawa kepada kamu”

Walaupun Nabi Yusuf a.s bawa dalil keterangan yang jelas, tetapi kamu masih juga tidak terima dakwah baginda tentang Tauhid. Masih juga ragu-ragu dengan apa yang baginda bawa.

Kisah baginda menaikkan ekonomi dan negara Mesir, kamu terima, tetapi tentang ajaran agama yang dibawakan, kamu buat tidak kisah sahaja. Macam kita belajar tentang kehancuran tamadun-tamadun yang dahulu, seperti Aztech, Inca – kita belajar sejarah mereka, peninggalan mereka, kehidupan mereka. Memang kita belajar kisah sejarah mereka, tetapi yang kita tidak ambil peduli apakah agama mereka, kenapa mereka dihancurkan oleh Allah SWT.

حَتَّىٰ إِذَا هَلَكَ قُلْتُمْ

“Sehingga dia sudah mati, kamu berkata”.

Apabila Nabi Yusuf a.s wafat, mereka ada satu pemahaman yang salah. Apakah pemahaman mereka itu?

لَن يَبْعَثَ اللَّهُ مِن بَعْدِهِ رَسُولًا

“Tidak mungkin sama sekali Allah SWT akan bangkitkan selepas Nabi Yusuf a.s ini, rasul lain”.

Selepas Nabi Yusuf a.s wafat, mereka kata tidak ada Rasul lagi selepas itu, maka mereka telah mencipta agama mereka dan mencipta amalan-amalan baru. Mereka terus meninggalkan ajaran Nabi Yusuf a.s. Mereka hendak kata dengan matinya Nabi Yusuf a.s itu, maka matilah agama. Itu kata-kata mereka sahaja sedangkan Allah SWT tidak pernah pun kata begitu. Walaupun seorang Nabi telah wafat, agama Islam tetap berjalan.

Ayat itu juga menunjukkan kesesalan mereka kerana tidak berpeluang beriman semasa Nabi Yusuf a.s hidup dan sekarang mereka telah kehilangan seorang Rasul. Macam anak yang tidak berkhidmat kepada ibu bapa mereka semasa mereka hidup, tetapi bila telah mati, baru hendak menyesal.

Maka, mereka menyesal kerana kehilangan Rasul. Tetapi, sekarang mereka sedang ada seorang Rasul dari kalangan mereka. Jika dulu mereka menyesal kerana kehilangan seorang Rasul yang mulia, sekarang di tengah-tengah mereka ada seorang lagi Rasul – maka hendaklah mereka ambil peluang keemasan itu. Janganlah ragu-ragu lagi dengan dia. Janganlah pisang berbuah dua kali. Ini adalah peluang untuk kamu semua. Tidakkah kamu mahu belajar dengan sejarah lampau?

Lelaki Mukmin itu berkata begitu untuk sindir mereka, betapa mereka lupa tentang kisah sejarah mereka sendiri.

كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ

“Kerana itulah Allah SWT telah menyesatkan sesiapa yang dulu melampaui batas”

Mereka melampau batas dalam kehidupan mereka. Mereka hidup dengan senang dan mewah maka kerana itu mereka telah ambil peluang kehidupan dunia ini tanpa mengira apakah kesannya kepada akhirat mereka. Yang lebih penting, mereka melampau batas dalam hal akidah. Itulah perkara paling penting yang manusia kena jaga, tetapi mereka melampau dalam hal itu.

مُّرْتَابٌ

“yang ragu-ragu”.

Mereka ragu-ragu dengan sesuatu yang jelas. Mesej yang dibawa oleh Nabi Yusuf a.s adalah jelas tetapi mereka ragu-ragu tidak mahu percaya. Begitu juga dengan apa yang dibawa oleh Nabi Musa itu adalah jelas, tetapi mereka hendak ragui juga.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan