Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-125 hingga Ke-128

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-125 hingga Ke-128

59
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-125

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهدِيَهُ ۥ يَشرَح صَدرَهُ ۥ لِلإِسلَـٰمِ‌ۖ وَمَن يُرِد أَن يُضِلَّهُ ۥ يَجعَل صَدرَهُ ۥ ضَيِّقًا حَرَجًا ڪَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ‌ۚ ڪَذٰلِكَ يَجعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ

Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk,

Hidayah adalah satu perkara yang tidak mungkin untuk kita dapat melainkan dengan keinginan Allah ‎ﷻ. Kita amat berharap semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang diberikan hidayah oleh Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mahu beri hidayah kepada kita, tentulah kita antara mereka yang amat malang sekali.

Hidayah ini bukan boleh diberi dengan kehendak kita. Sebagai contoh, tentu kita sayangkan ahli keluarga kita, dan kita ingin sangat agar mereka mendapat hidayah. Namun, hidayah tidak boleh dipaksa dan diberikan kepada mereka. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja ajakan dakwah tauhid ini kepada mereka. Namun begitu, sama ada mereka terima atau tolak, bukanlah kita yang dapat mengawalnya.

Oleh itu, bagaimana kita boleh mendapat hidayah? Iaitu dengan adanya sifat ‘inaabah’; sifat inginkan kebenaran, di mana dalam hati kecil kita, kita hendak tahu apakah yang benar dan berharap Allah ‎ﷻ bimbing kita. Bagi orang yang ada sifat inaabah inilah yang Allah ‎ﷻ akan tarik dia kepada kebenaran (hidayah).

يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

nescaya Dia melapangkan dadanya untuk terima Islam.

Inilah tanda orang yang ada inaabah dalam dirinya. Kalimah يَشْرَحْ berasal daripada katadasar ش ر ح yang asalnya bermaksud ‘membelah untuk membuka’. Seperti kita belah perut ayam dan membuka ayam itu. Oleh itu, kalau dalam bahasa Arab, شرح bermaksud lapah kulit binatang kerana apabila dilapah kulit binatang itu, akan nampak bahagian binatang itu bahagian yang boleh dimakan. Kalau dalam bahasa kita, kalau diberi ‘syarah’, ia bermaksud memberi pencerahan.

Orang yang Allah ‎ﷻ hendak beri agama, akan dibuka dadanya kepada Islam. Allah ‎ﷻ akan tarik dia kepada punca agama, iaitu Al-Qur’an dan Sunnah. Allah ‎ﷻ akan anugerahkan dirinya kemudahan untuk faham dua rujukan ini. Allah ‎ﷻlah yang membuka dan melapangkan dada manusia untuk menerima Islam sebagaimana Allah ‎ﷻ telah melapangkan dada Nabi Muhammad ﷺ seperti yang disebut dalam [ Sharh:1 ]:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ melapangkan dada mereka yang Allah ‎ﷻ kehendaki untuk faham Islam dan untuk menerima ajaran Islam. Apabila dia faham Islam, maka mudah untuk dia menerimanya. Apabila dia sudah terima, maka, dia senang untuk melakukan suruhan Allah ‎ﷻ. Senang sahaja untuk membuat amal ibadat. Ringan sahaja badannya untuk salat dan ringan juga mulutnya untuk berzikir. Sebab itu kita ada lihat ada orang yang kuat sahaja dia beramal, bukan?

Kalau tidak dilapangkan, memang payah sangat. Begitulah yang terjadi pada orang yang tidak faham agama. Kalau main sukan senang sahaja, tetapi untuk bangun salat, amatlah payah kepada mereka yang tidak dilapangkan dadanya kepada Islam.

Apabila digunakan perkataan لِلْإِسْلَامِ, ia bermaksud mereka mudah untuk menyerahkan diri mereka untuk agama Islam kerana perkataan Islam pun sudah bermaksud ‘serah diri’.

‘Serah diri’ itu bermaksud taat sepenuhnya. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh buat, dia akan senang untuk buat. Tidaklah dia tertanya-tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh dia salat, kenapa perlu buat haji, kenapa tidak boleh makan babi dan minum arak dan sebagainya. Yang banyak bertanya itu adalah mereka yang belum serah diri lagi kepada Islam. Itulah sebabnya mereka banyak bertanya.

Islam juga bermaksud ‘selamat’. Apabila Allah ‎ﷻ telah membuka hati seseorang itu kepada Islam maka dia akan rasa selamat dan selesa dengan agama Islam sebagai agamanya. Dia tahu bahawa apa yang Islam suruh buat itu adalah untuk kebaikan dirinya dan agamanya. Maka dia juga akan selamat di dunia dan di akhirat kelak. Maka kita kena tanya diri kita: [Aku ini bagaimana? Adakah senang hendak terima agama?]

Apabila ada amalan yang dibuat tetapi tidak bertepatan dengan nas syarak, mereka akan senang untuk tolak – tidak berdalih-dalih dan memberi alasan lagi. Tidaklah mereka berat hati untuk terima ajaran dalam Al-Qur’an. Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam kita tidak dapat terima. Apabila diberikan dengan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, mereka tidak dapat terima. Sebaliknya mereka lebih mahu terima apa yang telah diajar oleh guru dan ustaz mereka dan apa yang banyak diamalkan oleh masyarakat setempat.

Sebab itulah apabila dikatakan tidak boleh buat Salat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil, Doa Selamat dan sebagainya, mereka tidak dapat terima. Mereka hendak juga buat walaupun ia berlawanan dengan apa yang disebut dalam Al-Qur’an dan Hadith. Mereka hendak juga buat perkara ibadah yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

Apabila Nabi ﷺ membacakan ayat ini kepada para sahabat, mereka bertanya kepada baginda apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hati mereka telah dibuka untuk Islam. Maka, baginda menjawab bahawa tanda mereka adalah mereka sentiasa memikirkan bagaimana kehidupan mereka di akhirat nanti. Dan mereka lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. Mereka bersedia untuk mati sebelum mati itu datang. Itulah tanda-tandanya. Adakah kita begitu?

وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ

Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya,

Ini pula adalah zajrun dan ia adalah keterbalikan daripada kehendak Allah ‎ﷻ untuk memberikan hidayah kepada manusia. Kenapa pula Allah ‎ﷻ mengkehendaki manusia itu menjadi sesat? Takkan Allah ‎ﷻ suka makhluk menjadi sesat pula?

Allah ‎ﷻ bawa mereka kepada kesesatan kerana mereka degil untuk menerima ajakan tauhid. Setelah berkali-kali mereka diajak untuk menerima tauhid, mereka menolak. Apabila telah banyak kali menolak ajakan tauhid, maka Allah ‎ﷻ akan kunci mati hati mereka daripada menerima iman dan Allah ‎ﷻ akan bawa mereka kepada kesesatan. Allah ‎ﷻ sudah tidak inginkan iman mereka lagi, Allah ‎ﷻ biarkan sahaja mereka sesat. Nanti bila mereka mati dan dalam kubur, Allah ‎ﷻ akan mula seksa mereka sampailah mereka masuk ke dalam neraka!

يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا

nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit,

Kalimah ضَيِّقًا bermaksud ‘sempit’. Bayangkan keadaan bilik yang banyak sangat barang, sampaikan hendak memasukkan barang lain pun tidak tahu hendak letak di mana.

Kalimah حَرَجًا pula bermaksud perasaan tidak selesa yang timbul apabila seseorang itu berada di tempat yang sempit. Bayangkan kalau kita masuk bilik tidur yang terlalu sempit, barang banyak bertimbun-timbun, kita pun sesak kepala juga tengok, bukan?

Apabila dua perkataan ضَيِّقًا حَرَجًا digunakan bersama, bermakna ia sangat-sangat sempit. Lemas rasanya kalau duduk di tempat sebegitu. Untuk memahami ضَيِّقًا حَرَجًا cuba bayangkan seumpama meletakkan barang semua sekali dalam satu tempat. Seperti kalau kita letak perabot rumah kita dalam garaj. Semua perabot yang ada dalam rumah, kita longgokkan ke dalam garaj yang sempit. Tentulah penuh dan tidak muat untuk dimasukkan kereta lagi, bukan?

Orang yang telah disempitkan dadanya, susah untuk belajar agama. Mereka mungkin datang juga belajar tetapi mereka tidak faham. Berat untuk mereka menerima apa yang telah diajar. Mereka ada sahaja alasan untuk tidak datang belajar. Kalau mereka dalam kelas pembelajaran agama, mereka rasa tidak selesa. Mereka rasa hendak keluar sahaja dari kelas itu.

Mereka ini kalau kita lihat, tidak dapat meluangkan masa untuk beribadat kerana mereka telah penuhkan masa mereka dengan hal-hal keduniaan yang melekakan. Hatinya telah penuh dengan kecintaan kepada dunia. Itulah sebabnya hati mereka sempit. Kalau hati telah penuh dengan keduniaan, bagaimana lagi hendak masukkan hal dan peringatan tentang akhirat?

كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ

seolah-olah dia sedang mendaki langit.

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan kepada kita supaya kita lebih faham. Kepayahan yang mereka rasai itu amat susah bagaikan seseorang yang sedang mendaki tempat yang tinggi.

Kalimah يَصَّعَّدُ bermaksud satu pendakian yang sukar. Ada shaddah (sabdu) dalam perkataan itu untuk menunjukkan kesangatan dalam kepayahan itu. Lihatlah juga perkataan itu, hendak disebut perkataan itu pun susah, membayangkan bagaimana kesusahan mendaki tempat yang tinggi. Bukanlah seperti mendaki anak tangga di rumah sahaja. Bayangkan kalau seseorang yang sedang mendaki bukit yang tinggi tentunya mereka akan susah untuk bernafas kerana tercungap-cungap.

Dan dari segi sains juga kalau kita naik ke tempat yang tinggi, kita pun akan susah untuk bernafas kerana oksigen sudah berkurangan. Apabila oksigen kurang, dada kita merasa sempit, dan susah untuk bernafas.

Dalam keadaan dada mereka yang sempit dan rasa susah untuk bernafas, maka tentu mereka akan melarikan diri. Itulah sebabnya kadang-kadang kita boleh lihat bagaimana kalau kita menceritakan tentang agama kepada seseorang mereka akan rasa tidak sedap duduk dan mereka akan mencari alasan untuk melarikan diri.

Ini adalah kerana mereka rasa tidak selesa sangat dengan apa yang disampaikan. Kalau kita bersembang hal lain, mereka tidak kisah, asalkan jangan bercerita tentang agama. Ini kerana dalam penerangan itu mengandungi teguran kepada amalan mereka. Tentulah tidak sedap duduk, bukan?

ڪَذٰلِكَ يَجعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ

Begitulah Allah menimpakan kekotoran ke atas orang-orang yang tidak beriman.

‘Kekotoran’ yang dimaksudkan di dalam potongan ayat ini adalah kekotoran dalam hati. Apabila sudah ada kekotoran dalam hati, ia akan membawa kepada kekotoran di dalam minda dan juga kekotoran di dalam perbuatan mereka.

Maka, kalau kita jumpa orang-orang yang sebegini, kita boleh tahu bahawa mereka itu sebenarnya tidak beriman. Kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia, tetapi tanda-tanda sudah ada yang kita boleh lihat di hadapan mata kita.

Tafsir Ayat Ke-126

Ayat tabshir.

وَهَـٰذَا صِرَٰطُ رَبِّكَ مُستَقِيمًا‌ۗ قد فَصَّلنَا ٱلأَيَـٰتِ لِقَومٍ يَذَّكَّرُونَ

Dan inilah jalan Tuhanmu (ugama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat – insaf.

وَهَٰذَا صِرٰطُ رَبِّكَ

Dan inilah jalan Tuhanmu;

Inilah agama Islam yang diajar dalam wahyu Al-Qur’an. Abdullah ibn Mas’ud رضي الله عنه memberitahu kalimah هذا (ini) merujuk kepada Al-Qur’an sedangkan Abdullah ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan ia merujuk kepada Islam. Ia tidaklah berlawanan kerana Islam itu Al-Qur’an dan Al-Qur’an itu jugalah Islam.

Inilah sahaja jalan yang ada, iaitu jalan yang telah ditunjuk oleh Nabi ﷺ kita. Nabi ﷺ mendapat ajaran daripada Al-Qur’an dan baginda mempraktikkannya kepada kita supaya kita dapat faham untuk diamalkan. Oleh sebab itu, kita mestilah belajar bagaimana cara Nabi ﷺ mengamalkan Al-Qur’an dalam kehidupan baginda. Jangan kita menggunakan andaian kita sendiri sahaja. Kita mestilah belajar juga hadith-hadith baginda yang sahih.

Disebabkan keliru tentang hal inilah, berlakunya banyak kesesatan dalam masyarakat. Ada yang sampai telah sebut: “Kalau Nabi ikut kanan tapi guru ikut kiri… aku tetap akan ikut kiri…”. Inilah kekarutan yang amat sangat kerana tidak faham ambilan agama kita. Dia menggunapakai hujah daripada akal fikiran sendiri sahaja tanpa mengambil dalil daripada wahyu Ilahi.

مُسْتَقِيمًا

(jalan) yang tegak lurus.

Jalan agama Islamlah yang tegak lurus. Ia adalah jalan yang tidak ada syirik dan bid’ah. Malangnya, berapa ramai yang mengaku mereka beragama Islam, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik dan bid’ah yang bukan daripada agama.

Jika mendengar ajaran mereka yang bukan daripada Sunnah, berbelit-belit fahaman mereka. Entah datang dari manalah fahaman itu, kita pun tidak tahu. Sampai menjadikan agama ini sukar hendak diamalkan dan sukar hendak difahami. Amat hairan kenapa hendak ambil jalan yang bengkok sedangkan sudah ada jalan yang lurus?

قد فَصَّلنَا ٱلأَيَـٰتِ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat

Ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ telah jelas di hadapan mata kita. Maksud kalimah فصل dijelaskan dalam [ Fussilat: 3 ]. Yang nampak jelas itu hanyalah mereka yang mahu mengenal agamanya. Dan untuk mengenal agama Islam, kenalah tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ telah memberi kita Kitab panduan, iaitu Kitab Al-Qur’an ini. Maka untuk memahaminya, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an kerana kita tidak akan dapat faham Al-Qur’an ini kalau kita tidak belajar tafsir. Carilah guru yang boleh mengajar tafsir ini. Zaman sekarang sudah mudah untuk mencari guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an ini. Sekiranya ada kekangan masa, kita masih boleh mempelajarinya secara online sahaja. Maka, sudah tidak alasan lagi.

لِقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ

kepada orang-orang yang mahu mengambil pelajaran.

Ayat-ayat itu diberikan kepada semua manusia tetapi yang mahu menerimanya adalah mereka yang mahu mengambil pelajaran sahaja, iaitu mereka yang mahu mencari jalan kebenaran. Kita telah sebutkan sebelum ini, mereka inilah yang mempunyai sifat inaabah; sifat yang condong kepada kebenaran. Hati mereka mahu tahu dan mahu ikut yang benar daripada Allah ‎ﷻ sahaja.

Kepada mereka yang tidak mahu, tidak memikirkan tentang kebenaran, mereka tidak akan terkesan dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang mereka baca. Sebab itulah ramai yang baca Al-Qur’an setiap hari, tetapi mereka tidak faham. Mereka masih lagi mengamalkan amalan syirik dan bid’ah. Inilah golongan yang ramai dalam Malaysia ini.

Begitulah kalau tidak membuka minda. Begitulah kalau sudah taksub dengan guru. Begitulah kalau tidak rajin belajar dan berfikir. Begitulah kalau tidak bergaul dengan golongan yang bijak pandai. Amat pedih untuk disebut, namun itulah realitinya.

Tafsir Ayat Ke-127

Apakah balasan kepada mereka yang mahu beriman?

لَهُم دَارُ ٱلسَّلَـٰمِ عِندَ رَبِّہِم وَهُوَ وَلِيُّهُم بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ

Bagi mereka Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.

لَهُمْ دَارُ السَّلَامِ

Bagi mereka (disediakan) darussalam (syurga)

Darussalam adalah salah satu daripada nama-nama syurga. Maksudnya adalah ‘Negeri yang sejahtera’.

Dalam ayat sebelum ini telah di sebut tentang orang yang Allah ‎ﷻ telah bukakan hatinya untuk Islam dan apabila hatinya telah dibuka untuk Islam, maka dia akan mendapat tempat di Darussalam. (Ini bukan Brunei Darussalam pula ya).

Ia adalah tempat yang kita akan rasa selamat dan kita berasa aman. Ia dinamakan ‘Darussalam’ kerana penghuni syurga tidak akan ada perasaan takut. Tidak ada kerisauan tentang apa yang mereka akan hadapi. Tidak ada sesiapa yang akan mengganggu mereka. Tidak ada bunyi-bunyi yang tidak enak untuk didengar. Tidak ada kata-kata marah dan tidak ada kata-kata yang sia-sia. Tidak ada takut yang mereka akan dikeluarkan setelah dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada sakit dan lelah dalam syurga. Semuanya indah-indah belaka. Mati pun tidak ada lagi. Manakah tidak, tua pun tidak ada lagi.

Berbeza sangat dengan keadaan di dunia kerana tidak kira betapa tinggi kedudukan kita, kita tidak terlepas daripada merasa segala kerisauan itu semua. Akan ada sahaja rasa takut dan gundah gulana tentang keselamatan kita dan sebagainya. Akan tetapi bagi orang yang mendambakan janji Allah ‎ﷻ dengan Daarussalam ini, dan mereka yakin sungguh, maka mereka tidak terasa sangat dengan kesusahan di dunia ini. Mereka tahu yang ia hanya sementara sahaja.

Maknanya mereka memandang jauh ke hadapan. Bayangkan seperti kita bukannya suka sangat pergi kerja setiap hari, bukan? Akan tetapi kita tahu yang di penghujung bulan kita akan mendapat gaji. Maka kita sanggup hadapi kesukaran bekerja itu kerana kita tahu yang kita akan mendapat hasilnya.

عِندَ رَبِّهِمْ

pada sisi Tuhannya

Ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali! Mereka akan duduk di tempat yang berdekatan dengan Allah ‎ﷻ. Bukan sahaja mereka dapat duduk di rumah yang indah dan aman tetapi mereka juga duduk di kawasan yang berdekatan dengan Tuhan.

Ini adalah satu perkara yang penting. Bayangkan kalau kita duduk di rumah yang cantik, tetapi rumah kita itu berdekatan dengan lalu lintas yang sibuk contohnya, atau tempat yang tidak baik, tentulah ia tidak menggembirakan, walaupun rumah kita sudah cantik sangat.

Apakah yang dimaksudkan kita tinggal berdekatan dengan Allah ‎ﷻ? Sebagaimana kita pun telah tahu, tingkatan Syurga Firdaus itu berada betul-betul di bawah Arasy Allah ‎ﷻ. Itulah yang dimaksudkan kita ‘berdekatan’ dengan Tuhan.

Dan penghuni Syurga akan mempunyai satu kelebihan – mereka akan dapat melihat Allah ‎ﷻ di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ akan datang ke Syurga untuk bertemu dengan penghuni Syurga. Oleh itu, kalau hendak melihat Allah ‎ﷻ yang telah menjadikan kita, maka berusahalah untuk masuk ke dalam Syurga.

وَهُوَ وَلِيُّهُم

dan Dialah Pelindung mereka

Wali bermaksud ‘pelindung’. Juga bermaksud ‘teman rapat’. Juga bermaksud ‘penjamin’. Maknanya Allah ‎ﷻ rapat dengan kita dan memberi bantuan kepada kita.

Maka Allah ‎ﷻlah pelindung yang sebenar kepada orang mukmin. Oleh itu jikalau kita mahukan perlindungan, maka hendaklah kita minta kepada Allah ‎ﷻ dan berharap kepada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu minta kepada selain Allah ‎ﷻ. Berhentilah meminta perlindungan daripada Jin, Malaikat dan sebagainya. Itu semua adalah ajaran-ajaran sesat sahaja. Hendaklah kita minta terus perlindungan dengan Allah ‎ﷻ.

Tidak perlu cari wali di dunia ini. Ramai daripada orang kita yang suka sangat lantik wali itu dan ini. Ada yang mengaku dia wali, ada pula yang kata orang itu dan orang ini wali! Sampaikan orang tidak berilmu pun dipanggil wali; malah orang gila pun dikatakan wali! Ini adalah kekarutan tahap tertinggi.

Kita bukan tidak percaya kewujudan wali. Akan tetapi siapa yang wali itu adalah rahsia Allah ‎ﷻ. Bukannya ada majlis pelantikan wali di dunia ini. Jadi kita memang tidak tahu. Kalau dilantik dalam mimpi, maka teruskan tinggalkan dalam mimpi sahaja (berangan mimpi jadi wali). Janganlah dibawa ke dunia nyata pula. Teruskan sahaja tidur tanpa menyesatkan orang lain.

بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan.

Ayat ini mengajar kita bahawa untuk masuk syurga, kita hendaklah melakukan amal ibadat yang soleh. Kita hendaklah berusaha untuk mendapatkannya dan bukan hanya dengan goyang kaki sahaja. Tidaklah dikatakan kita beriman tetapi tidak melakukan amal ibadat yang soleh.

Kalau kita duduk di dunia pun dan ingin mendapat rumah yang cantik, maka kita hendaklah juga membayar harganya. Kena belajar tinggi-tinggi dan bekerja keras untuk mendapat cukup wang untuk membeli rumah besar dan cantik itu. Begitulah juga untuk mendapat rumah di Syurga, hendaklah kita berusaha dengan melakukan amal-amal ibadat.

Dan amal ibadat itu adalah amal ibadat yang soleh, iaitu amal ibadat yang tidak bid’ah. Tinggalkan amal ibadat yang tidak jelas daripada nas syarak. Banyak lagi amal ibadat yang telah diajar oleh Nabi ﷺ kita. Kenapa kita perlu lagi hendak buat amal ibadat yang tidak tentu puncanya? Kenapa keliru sangat bab bid’ah ini? Kenapalah susah hendak faham? Kenapa hendak dipertahankan amalan-amalan yang tidak ada dalilnya dalam sunnah?

Tafsir Ayat Ke-128

Sekarang kita lihat salah satu daripada kesesatan masyarakat Arab dahulu. Mereka takut dengan jin dan mereka bimbang jika tidak ada hubungan baik dengan jin, maka jin boleh memudaratkan mereka. Daripada syair-syair Arab Jahiliyah ada banyak menyebut tentang salahfaham mereka tentang jin ini.

Mereka terlalu percayakan kelebihan jin sehngga mereka sanggup mengadakan upacara tertentu dengan jin. Dan kalau mereka pergi ke tempat yang baru mereka sampai, mereka akan minta pertolongan kepada jin tempat itu. Mereka ini telah memuja jin dan perkara ini perlu diperbetulkan maka Allah ‎ﷻ menegur tentang perkara ini. Oleh itu, ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi.

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَمِيعًا يَـٰمَعشَرَ ٱلجِنِّ قَدِ ٱستَكثَرتُم مِّنَ ٱلإِنسِ‌ۖ وَقَالَ أَولِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلإِنسِ رَبَّنَا ٱستَمتَعَ بَعضُنَا بِبَعضٍ وَبَلَغنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلتَ لَنَا‌ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثوَٮٰكُم خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ‌ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا

Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya

Sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan keadaan di akhirat kelak iaitu keadaan di Mahsyar. Waktu itu, semua sekali makhluk dikumpulkan di hadapan Allah ‎ﷻ. Tidak ada yang tertinggal, sama ada makhluk itu beriman ataupun tidak. Ini adalah kerana perkataan جَمِيعًا digunakan dalam ayat ini, yang bermaksud ‘semua sekali’.

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ

(dan Allah berfirman): “Hai golongan jin,

Lihatlah, tadi dikatakan Allah ‎ﷻ mengumpulkan semua makhluk, tetapi sekarang disebut Allah ‎ﷻ bercakap dengan golongan jin sahaja. Lebih tepat lagi, bukan hanya golongan jin sahaja, tetapi maksud مَعْشَرَ الْجِنِّ adalah jin dan mereka yang bersekongkol dengan jin. Itulah mereka yang berkawan dengan jin, meminta pertolongan dengan jin, berlindung dengan jin dan sebagainya.

Perkataan مَعْشَرَ itu berasal daripada katadasar ع ش ر yang bermaksud ‘sepuluh’. Ia adalah nombor yang besar, yang banyak. Maka, perkataan مَعْشَرَ bermaksud ‘kumpulan yang ramai’. Tetapi tidaklah ahli kumpulan itu hanya sepuluh sahaja. Ia telah menjadi maksud sekumpulan makhluk yang ramai.

Bukanlah semua yang dimarahi dalam situasi ini kerana ada juga jin Islam yang baik-baik dan tidak campur urusan manusia. Jin yang disebut di dalam ayat ini adalah jin yang berperangai syaitan.

Dalam ayat ini kata-kata Allah ‎ﷻ adalah dalam bentuk kutukan, marah dan hendak ajar kita kesalahan yang mereka lakukan semasa di dunia. Kenapa Allah ‎ﷻ fokus kepada mereka sahaja? Kerana mereka ada buat salah yang amat besar. Apakah kesalahan mereka itu?

قَدِ اسْتَكْثَرْتُم مِّنَ الْإِنسِ

sesungguhnya kamu telah banyak menyesatkan manusia

Jin-jin yang jahat telah banyak menyesatkan manusia dan pada hari akhirat itu mereka akan membawa bersama mereka golongan manusia yang telah diperdayakan itu. Mereka telah berjaya menangkap ramai golongan manusia untuk ikut sesat seperti mereka. Mereka ajar fahaman sesat, amalan dan wirid-wirid sesat sehinggalah mereka semuanya dimasukkan ke dalam neraka. Dan sekarang mereka dikumpulkan bersama untuk menerima nasib yang sama.

Memang bahaya mengamalkan wirid ajaran jin ini sampaikan jika sudah sebati dalam diri, boleh jadi gila. Sebab itu ada yang gila dan ada yang sakit dan ia memang susah diubati. Memang tunggu mati sahaja sebab sudah tidak boleh buat ap-apa lagi. Sebab itu janganlah dibuat dari awal lagi.

Ada dua makna yang kita boleh faham daripada perkataan اسْتَكْثَرْتُم itu. Perkataan itu berasal daripada katadasar ك ث ر yang bermaksud ‘banyak’. Pertama, ini bermaksud telah banyak golongan manusia yang disesatkan oleh jin itu.

Keduanya, ia bermaksud yang golongan jin itu telah melakukan banyak perkara untuk menyesatkan manusia. Macam-macam cara yang telah mereka gunakan dan ramai manusia telah tertipu dan terpedaya mengikuti golongan jin itu.

Cara syaitan menyesatkan manusia adalah dengan memberi ajaran yang salah kepada tok-tok guru dan kemudian guru-guru itu akan menyampaikan ajaran salah itu kepada anak murid mereka. Anak murid itu pula akan menyampaikan kepada orang lain pula. Cara mereka mengajar itu adalah dengan memberi bisikan ilham kepada golongan guru itu, atau mereka akan bisikkan terus ke telinga tok guru itu.

Atau dengan cara merasuk orang lain dan bercakap terus kepada manusia (melalui mulut orang yang dirasuk itu). Dia akan ajar itu dan ini dan beritahu ajaran-ajaran yang salah. Ini kita boleh lihat bagaimana perawat-perawat yang konon ‘Perawat Islam’ bercakap-cakap dengan jin. Hidup-hidup mereka telah ditipu oleh jin sehinggakan jin kata wahabi sesat pun ada golongan jahil yang percaya.

Telah ramai yang menceritakan bagaimana mereka dengar dengan nyata bisikan jin itu di telinga mereka. Mereka dengar-dengar sahaja tetapi tidaklah jelas seperti manusia yang bisik pula. Kalau tok guru itu tidak belajar ajaran tauhid, mereka akan kata yang berbisik kepada mereka itu adalah ‘wali Allah’. Mereka pun terlonjak suka kerana mereka sangka maqam mereka sudah tinggi sampai wali sendiri berbisik ke telinga mereka. Ini kerana yang datang kepada mereka itu datang berupa pakaian orang alim, pakai jubah serban dan sebagainya.

Padahal, yang datang itu sebenarnya jin yang mengelabui mata orang itu. Orang ini selalunya jenis yang kuat beribadat. Ini kerana mereka diajar untuk berbuat banyak ibadat, tetapi mereka tidak disuruh untuk menuntut ilmu dengan banyak. Ibadat yang mereka amalkan pun selalunya adalah amalan-amalan bid’ah.

Ini adalah salah faham yang besar dalam kalangan masyarakat kita. Mereka sangka, dengan beramal banyak, (selalunya yang diamalkan adalah zikir-zikir ajaran daripada guru mereka), mereka akan mendapat ilmu, selamat di akhirat dan sebagainya. Namun, yang sebenarnya, orang yang banyak ibadat tanpa ilmu itu adalah yang senang ditipu.

Maka ini adalah amat bahaya sekali. Kerana itulah kita tekankan kepentingan ilmu dalam beramal. Jangan hanya amal sahaja apa-apa yang diberi. Oleh itu, hendaklah diajar masyarakat kita tentang hal ini, sebagaimana para sahabat yang dahulunya duduk dalam jahiliyah dan mengamalkan berbagai ajaran karut, mereka tinggalkannya setelah masuk Islam. Kita pula terbalik, sudah lahir-lahir dalam Islam pun, ada lagi hendak mengamalkan ajaran karut marut daripada jin.

Satu cara lagi adalah di mana syaitan akan mencari sesiapa yang ada kualiti tertentu dan akan diajarkan kepadanya amalan sesat kepada orang itu melalui mimpi. Itulah sebabnya ramai orang yang tiba-tiba daripada orang biasa tiba-tiba boleh menjadi ‘alim’ katanya. Malah ada yang menjadi bomoh dan boleh mengubat orang. Padahal kita pun tahu daripada mudanya dia tidak belajar agama dan tidak belajar bagaimana untuk mengubat orang. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka bagaimana mereka boleh mengubat, boleh mengurut dan sebagainya. Mereka akan jawab mereka dapat daripada mimpi.

Kalau kita tanya kepada mereka siapakah yang datang dalam mimpi itu mereka akan jawab yang datang itu adalah ‘wali’. Dan kalau kita tanya siapakah nama wali itu, mereka pun tidak dapat jawab. Yang sebenarnya, yang datang dalam mimpi itu adalah jin.

Ataupun, ayat ini bermakna syaitan akan mencantikkan perbuatan-perbuatan dosa kepada manusia sampaikan manusia suka untuk berbuat dosa itu. Jin itu akan mengelabui mata orang itu. Maka ada orang yang tidak nampak pun kesalahan dosa bid’ah yang dilakukan. Mereka boleh bagi alasan kenapa perbuatan mereka itu tidak salah. Sebagai contoh, seorang penyanyi yang menggunakan kebolehan menyanyi itu untuk mencari rezeki.

Ataupun, syaitan akan mencantikkan kehidupan dunia kepada manusia sampaikan manusia leka untuk berbuat amal persediaan untuk akhirat, dek kerana leka dengan kesenangan dan keindahan dunia.

Malah banyak lagi cara dan helah yang digunakan oleh syaitan untuk menipu manusia. Ini boleh dipelajari dalam kitab Talbis Iblis. Jin itu adalah makhluk yang hidup lama, maka banyak perkara mereka tahu. Mereka boleh nampak kita, kita sahaja yang tidak nampak mereka. Oleh sebab itu, mereka dapat mengkaji kehidupan kita. Dan mereka tahu manakah titik kelemahan kita, maka mudah untuk mereka masuk menyesatkan kita.

Mereka tahu bab mana yang kita lemah dan senang ditipu dan diheret ke arah kehinaan. Maka, kita kena tahu bagaimana cara Iblis dan syaitan bekerja supaya kita dapat mengelakkan diri daripada terus ditipu oleh mereka. Ini kerana cara mereka itu amat licik. Orang yang baik pun boleh tertipu dengan mereka.

وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُم مِّنَ الْإِنسِ

lalu berkatalah kawan-kawan rapat mereka daripada golongan manusia

Allah ‎ﷻ bercakap kepada jin tetapi kenapa manusia pula yang jawab? Kerana ayat-ayat ini hendak mengajar golongan manusia. Maka tidak perlu jawapan daripada jin. Allah‎ ﷻ sebut tentang perbuatan manusia yang salah faham tentang jin yang mengambil manfaat daripada golongan jin itu. Pendapat daripada penulis kitab Ruh al Ma’ani pula mengatakan mereka itu hilang punca untuk menjawab, maka mereka senyap sahaja.

Golongan manusia yang dimaksudkan itu adalah tok-tok guru, dukun, bomoh, pawang, guru silat dan lain-lain lagi termasuk guru-guru syeikh-syeikh tarekat. Tidak kira golongan mana asalkan ada hubungan rapat dengan jin. Mereka itu ramai yang telah disesatkan.

Namun bagaimana pula boleh berkawan dan rapat dengan jin? Jika dengan manusia, kita boleh nampak bagaimana rapatnya mereka dengan duduk sekali dan makan sekali. Tetapi bagaimana rapat dan ada hubungan dengan jin? Caranya adalah dengan mengikut ajaran daripada jin. Tidak perlu duduk dan makan bersama untuk ada hubungan dengan jin.

Mereka menjadi sesat kerana mereka mengamalkan ilmu yang salah yang diajar oleh golongan jin itu. Yang selalu terjadi adalah mereka mengamalkan tawasul. Dalam amalan mereka, selalunya mereka mesti akan bertawasul kepada seseorang. Sebelum mereka membaca zikir mereka, mereka akan bertawasul dahulu. Itulah yang bahayanya, kerana setiap kali mereka bertawasul, mereka mendapat seekor jin. Dalil bagi perkara ini ada dalam ayat [ Saba: 40 ].

Kadang-kadang, yang mengamalkan amalan salah itu pun tidak tahu yang mereka sebenarnya memanggil jin. Mereka senang ditipu (kerana tiada ilmu), mereka sangka mereka memanggil malaikat ataupun wali-wali. Namun sebenarnya yang berupa sebagai wali itu adalah jin. Mereka sahaja yang tidak tahu kerana mereka percaya dengan guru mereka yang telah mengajar mereka dahulu.

Guru mereka pun tidak tahu. Semuanya telah ditipu oleh jin. Sebab itu kalau kita beritahu mereka yang mereka telah memanggil dan berkawan dengan jin, mereka tidak mengaku kerana mereka tidak ada niat pun hendak berkawan dengan jin.

Beginilah kalau tidak tahu tentang jin. Ramai masyarakat kita salah faham dan takut sangat dengan jin. Ini kerana dengar-dengar cerita dongeng dan membaca tulisan-tulisan karut seperti novel ‘Bercakap dengan Jin’ tulisan Tamar Jalis itu. Apabila takut dengan jin, maka jin akan mengambil peluang untuk menipu orang itu. Begitu juga kalau sangka jin itu hebat boleh buat itu dan ini, maka dia pun akan ditipu oleh jin. Oleh kerana itulah ramai yang berkawan dan meminta pertolongan dengan jin.

Kita tidak boleh takut dengan jin dan jenis takut sebegini adalah takut yang syirik. Apabila takutlah yang menjadikan mereka meminta pertolongan kepada jin. Bukanlah semua jenis takut itu syirik. Kalau takut dengan orang yang hendak pukul kita, itu biasa sahaja. Tetapi kalau takut kepada jin, ia adalah syirik kerana ia takut kepada satu kuasa yang kita samakan dengan takut kepada Allah ‎ﷻ.

Nanti mereka akan menyesal kerana berkawan dengan jin. Maka, apa mereka kata di akhirat kelak?

رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami telah dapat kesenangan daripada sebahagian (yang lain)

Mereka mengaku yang semasa mereka di dunia, dengan mereka berkawan dengan jin itu, mereka telah dapat macam-macam. Antaranya, mereka sudah boleh tangkap jin. Apabila ada orang kena rasuk, kena kacau, kena sawan dan sebagainya, mereka inilah yang dipanggil untuk mengeluarkan jin itu. Ada yang letak dalam botol, ada yang panah jin, ada yang tempek jin pada dinding, buang jin ke langit ketujuh dan macam-macam lagi.

Mereka jawab begini kerana mereka tidak sangka mereka buat amalan salah. Mereka rasa mereka tidaklah derhaka kepada Allah ‎ﷻ. Mereka pun mendapat kebaikan mereka kata. Ini sama dengan kata-kata orang kita yang mengamalkan bid’ah dalam agama: “Benda baik, apa salahnya?

Mereka kata mereka dapat manfaat. Kalau dengan Arab Jahiliyah itu, apabila mereka mengamalkan seruan tertentu, maka mereka percaya yang mereka telah selamat daripada diganggu. Mereka kata mereka selamat duduk di padang pasir sebab sudah merayu kepada ketua jin tempat itu supaya halang anak buahnya membuat kacau kepada mereka.

Mereka sangka mereka dapat buat begitu, padahal mereka bukan pun tahu sama ada mereka benar-benar tangkap jin itu kerana jin itu makhluk yang ghaib. Jin yang sudah merasuk kepada orang yang kena rasuk itu, pandailah dia buat-buat bunyi mengerang dan sebagainya.

Amalan-amalan itu adalah amalan yang salah. Macam-macam kesalahan yang mereka telah lakukan semasa melakukan amalan buang jin itu. Terlalu banyak untuk kita tuliskan di sini. Ia adalah satu penulisan khas pula tentangnya. Apabila kita tegur, mereka pula yang marah kita. Mereka kata kononnya kita yang tidak tahu. Mereka kata amalan mereka itu ada dalam ‘kitab’. Memang ada, teapi bolehkah ‘kitab’ itu dipercayai?

Selain daripada itu, mereka mendapat upah yang banyak dengan mereka berkawan dengan jin itu. Antaranya mereka menjadi tukang ‘buang sial’, pulih semangat, buat tangkal pelaris dan sebagainya.

Mereka juga mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kerana kepandaian mereka itu. Mereka ada yang dilantik sebagai pemimpin, mereka dihormati oleh masyarakat kerana masyarakat rasa mereka diperlukan. Mereka berbangga kerana apabila ada masalah dalam masyarakat, mereka akan dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu.

Ada juga yang pandai meramal kononnya. Mereka meramal menggunakan maklumat yang dibekalkan oleh jin itu. Dengan jin itulah juga, ramai yang boleh mencari barang atau orang yang hilang. Mereka sangka mereka buat benda yang baik. Mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah sihir. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar ilmu wahyu yang benar.

Mereka hanya rajin beramal, tetapi mereka tidak meluangkan masa untuk belajar wahyu. Yang mereka belajar hanyalah amalan-amalan karut itu. Ketahuilah yang untuk belajar sihir, memerlukan jin. Dengan menggunakan jin itulah, ramai yang sihir orang lain. Mereka menyusahkan hidup orang lain menggunakan sihir itu. Oleh kerana itulah, ahli sihir adalah manusia yang paling jahat. Mereka sanggup melakukan perkara yang jahat dan salah.

Ayat ini memberitahu bahawa manusia dan jin bersekongkol dan mereka mendapat kesenangan sesama mereka. Ini bermakna jin pun ada mendapat sesuatu dengan perhubungan mereka dengan manusia. Apakah yang jin dapat? Jin dapat sesatkan manusia. Dapat meramaikan golongan pengikut mereka. Ramailah yang ikut ajaran mereka dan mereka pun suka kalau begitu.

خٰلِدِينَ فِيهَا

kamu kekal di dalamnya,

Itulah balasan kepada mereka yang menggunakan jin – kekal dalam neraka! Adakah berbaloi menggunakan jin dalam dunia dan balasannya kekal dalam neraka?

Ayat ini memberitahu kepada kita yang kita tidak boleh menggunakan jin. Jangan berkawan dengan mereka, minta tolong kepada mereka. Lihatlah, balasannya adalah neraka. Langsung tidak boleh menggunakan khidmat mereka, sama ada digunakan untuk kebaikan atau tidak. Sama ada hendak memusnahkan orang lain atau hendak tolong pun.

Menggunakan khidmat jin untuk berubat pun tidak boleh. Guna jin untuk lawan jin pun tidak boleh. Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk umum. Tidak disebut untuk keburukan sahaja. Maknanya menggunakan jin adalah satu kesalahan sama ada untuk kebaikan ataupun tidak. Ini penting diberitahu, kerana ramai dalam masyarakat kita yang kata “Apa salahnya pakai jin untuk kebaikan?”.

Dan ada pendapat lain yang kata Allah ‎ﷻ tidak berkehendak untuk mengeluarkan mereka dari Neraka pun. Memang Allah ‎ﷻ kata boleh Allah ‎ﷻ hendak keluarkan, tetapi Allah ‎ﷻ tidak berniat untuk mengeluarkan mereka. Ayat pun kata: ‘kalau Allah hendak’ dan jawapannya Allah ‎ﷻ tidak hendak. Sebab dalam potongan ayat selepas ini tidak disebut sifat Allah al-Ghafir (pengampun). Ini memberi isyarat bahawa taubat mereka tidak diterima. Lagi pun Allah ‎ﷻsudah berjanji di dalam ayat yang lain yang Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan dosa syirik.

Itulah tujuan mereka. Memang sudah sumpah Iblis hendak menyesatkan manusia. Selain itu, mereka mendapat kebanggaan bila manusia merendahkan diri kepada mereka. Mereka itu sebenarnya hina jika dibandingkan dengan kita manusia, tetapi sukalah jin jika kita sanjung dan minta tolong kepada mereka.

Dalam ayat ini, manusia yang berkata itu mengaku kesalahan yang mereka telah lakukan dan mereka menyesal dengan perbuatan mereka itu. Tetapi, penyesalan waktu itu sudah terlambat. Tidak boleh buat apa-apa lagi.

وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا

dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami

Mereka mengatakan, semasa mereka sedang bergelumang dalam dosa itu, telah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka hendak beritahu yang mereka tidak sempat untuk bertaubat sebab Allah ‎ﷻ sudah matikan mereka.

Sekarang mereka merasa amat menyesal tetapi sudah terlambat. Sekarang baru mereka tahu yang perbuatan mereka itu salah (semasa di dunia jahil tidak tahu). Mereka hendak kata kononnya jika mereka dipanjangkan lagi hidup, tentu mereka sudah bertaubat. Itu adalah alasan dan kata-kata kosong sahaja.

Dan ada pula ustaz yang kata kononnya dalam Mazhab Syafi’iy boleh ‘bela’ jin. Ini adalah fahaman yang keliru. Memang ada ulama’ yang membincangkan boleh menggunakan khidmat jin (bukan bela jin macam bela anak pula) tetapi itu bukanlah membenarkannya pula. Perbincangannya panjang dan akhirnya memang bukan jin itu untuk dibela dan digunakan.

Bagaimana kita boleh menggunakan jin itu sedangkan jin tu ghaib? Kita tidak tahu mereka itu Islam ataupun tidak (mereka bukannya ada IC untuk kita periksa Muslim atau tidak). Mereka adalah makhluk yang suka dan pandai menipu. Maka jangan terlibat langsung dengan jin. Gunalah cara lain untuk selesaikan masalah kita. Kalau kena rasuk dengan jin pun, ada cara-cara lain yang telah diajar dalam agama untuk menyelesaikannya.

Ketahuilah yang tidak ada hubungan langsung antara jin dan manusia. Kali terakhir adalah semasa zaman Nabi Sulaiman عليه السلامsahaja. Itu adalah kerana memang Nabi Sulaiman عليه السلام telah diberikan mukjizat untuk mengawal jin.

إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Oleh kerana tidak digunakan asma’ sifat Allah al-Ghafir, maka ini memberi isyarat kepada kita yang Allah ‎ﷻ tidak menerima taubat mereka. Mereka akan kekal di dalam neraka.

Allah‎ ﷻ hendak memberitahu yang Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui apa yang berlaku. Allah ‎ﷻ tahu isi hati manusia dan apakah akidah mereka. Maka hukuman yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka di akhirat kelak adalah tepat dan mereka memang patut kena.

قَالَ ٱلنَّارُ مَثوَٮٰكُم

Allah berfirman: “Neraka itulah tempat diam kamu,

Inilah jawapan daripada Allah ‎ﷻ kepada kata-kata mereka sebelum ini. Walaupun apa yang mereka kata itu, tidak dapat menyelamatkan mereka langsung. Tempat mereka adalah di neraka.

Kalimah مَثْوَاكُمْ diambil daripada katadasar ث و ي yang bermaksud tempat tinggal yang seseorang itu akan tinggal untuk satu jangka masa yang amat lama. Kalau dalam dunia, inilah tempat yang generasi demi generasi akan tinggal padanya. Tetapi apabila di Neraka nanti, mereka akan tinggal di sana pada jangkamasa yang sangat lama, sampaikan mereka akan rasa yang mereka telah duduk di sana generasi demi generasi.

Semasa di dunia ini, ada jin dan manusia yang bersekongkol bersama-sama maka di akhirat nanti mereka akan bersama-sama duduk di dalam neraka. Itulah balasan kepada mereka.

إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ

kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)

Daripada lafaz ayat ini, seperti membawa maksud bahawa boleh jika Allah ‎ﷻ mahu mengeluarkan mereka dari neraka itu. Tetapi adakah ini yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ada berbagai pendapat tentang perkara ini yang dibincangkan oleh mufassir.

Satu pendapat adalah: ‘mungkin’ itu bermaksud keluar daripada api sahaja tetapi masuk tempat lain dalam neraka kerana neraka itu bukanlah azabnya api sahaja. Ada lagi azab-azab yang lain.

Allahu ‘alam

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan