Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-A’diyat – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-5

Tafsir Surah Al-A’diyat – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-5

1667
0
Iklan

Tafsir Surah Al-A’diyat

Maksud: Kuda perang yang berlari kencang

Surah ke: 100 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 14 )

Bilangan ayat: 1

Kategori: Makkiyyah

40 kalimat, 169 huruf.

Kaitan dengan surah sebelum ( Az-Zalzalah ) :

Di dalam Surah Az-Zalzalah, telah disebutkan bagaimana bumi akan bergoncang dengan kuat (gempa) dan mengeluarkan segala kandungan dalam isi bumi. Ia akan mengadu tentang perbuatan manusia yang selama ini hidup di atasnya.

Manakala Surah Al-A’diyat, Allah SWT memberi gambaran sifat manusia, menjelaskan kenapakah bumi terlalu marah dengan perbuatan manusia.

Apakah yang manusia telah lakukan selama ini? Kerakusan, tidak pedulikan kesan perbuatan mereka.

Surah ini juga akan menerangkan bagaimana sifat manusia yang kufur, tidak mensyukuri nikmat Allah SWT, selalu tidak berpuas hati sahaja dengan apa yang mereka ada.

Tafsir Ayat Pertama:

وَالعادِياتِ ضَبحًا

“Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah”,

Allah mula menceritakan tentang kuda dan bagaimana kuda itu sanggup buat kerja untuk tuan dia. Kuda itu sanggup berlari laju mengikut arahan tuannya, sampai keluar suara letih yang boleh kedengaran.

Surah ini dimulakan dengan Allah SWT “Bersumpah”. Huruf Wau َو sebagai isyarat bahawa ia adalah satu sumpah.

Ada beberapa sebab utama apabila Allah SWT menggunakan sumpahan :

1.Apabila ada perkara yang besar yang hendak disampaikan ( pernah dibincangkan dalam Surah At-Tiin )

2. Untuk menarik perhatian pendengar, serta membawa perkara yang dekat dengan manusia.

Oleh itu, 5 ayat pertama dari surah ini adalah untuk menarik perhatian masyarakat Arab untuk mendengar apa yang hendak dikatakan. Oleh itu digunakan kisah kuda yang boleh menarik perhatian mereka.

اْلَعاِديَاِت

Diambil dari kata dasar ع د و yang antara lain bermaksud permusuhan.

Ia memberi isyarat bagaimana suatu serangan sedang berlaku. Kalau kita fikirkan kepada pendengar dari kabilah Arab, sudah tentu kita dapat rasakan ia akan menarik perhatian kerana sifat mereka pada masa itu suka berperang dan menguji kekuatan.

ضَبحًا

Bermaksud : Helaan bunyi nafas.

Ia digunakan dalam ayat ini dalam bentuk adjektif untuk menerangkan bagaimana kuda-kuda itu berbunyi melepaskan nafas mereka dengan laju kerana mereka sedang berlari dengan laju.

Seolah-olah, ayat ini menarik imaginasi manusia untuk membayangkan serta merasai minat untuk mengetahui lebih lanjut.

Tafsir Ayat Ke-2:

فَالمورِياتِ قَدحًا

Dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya)

Huruf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ia adalah sambungan dari pertama.

Dalam surah Al-A’diyat ini, kisah kuda merupakan satu sumpah yang panjang.

Sebab itu antara sambungan ayat dengan huruf FA. Berbeza contohnya dalam surah Tiin. ( WA tiin WA Zaitun WA Tursinin WA haza….)

المورِياتِ

Bermaksud perbuatan yang menyebabkan api keluar.

Pergerakan kuda itu telah menyebabkan percikan api. Ini kerana kuda-kuda itu mempunyai ladam dari besi. Apabila ladam itu memijak kepada batu di bumi dengan kuat, maka ia akan menyebabkan percikan api.

Ini membawa satu pemandangan yang amat hebat sekali! Ia menambahkan kehebatan untuk melanjutkan ayat yang seterusnya dalam surah ini.

قَدحًا

Bermaksud : Pukulan yang amat kuat.

Kaki-kaki kuda itu menghentak bumi dengan kuat kerana ia sedang bergerak dengan laju. Bunyinya juga adalah kuat dan kita telah sebut sebelum ini bagaimana hentakan itu akan menyebabkan percikan api.

Seorang penunggang kuda, kena berani. Jika takut, kuda akan bermain-main. Mesti berada dalam keadaan cergas dan segar, jika tidak kuda juga akan lesu. Tidak boleh terlalu yakin / sombong, silap langkah kuda akan berlari membuli penunggang. Memang ini sifat yang hebat seorang penunggang kuda Islam satu masa dahulu.

Tafsir Ayat Ke-3:

فَالمُغيراتِ صُبحًا

“Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi”,

Kuda-kuda itu sanggup menyerang pada waktu subuh atas arahan tuannya, sedangkan waktu itu adalah waktu kebanyakan manusia sedang lena.

المُغيراتِ

Bermaksud : serangan.

Ia bermaksud serangan yang kuat, serangan dari atas. Sekarang mereka yang menyerang itu berada tinggi di atas kuda, di atas dari mangsa mereka.

صُبحًا

Serangan ketika waktu Subuh adalah satu dari strategi yang dilakukan. Melihatkan waktu tersebut kebanyakan manusia lena.

Namun seperti kita ketahui, orang Islam yang berjiwa hebat tidak ada masalah sama ada Subuh atau tidak. Sebab orang Islam memang bangun awal, bersedia untuk Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-4:

فَأَثَرنَ بِهِ نَقعًا

Maka ia menerbangkan debu,

فَأَثَرنَ

Ia dari kata أثار yang bermaksud “menaikkan”.

نَقعًا

Debu tanah.

Terdapat 3 kalimah yang digunakan dalam Al-Quran untuk debu:

– Naq’a

– Ghabara

– Habaa [al manthoorah]

بِهِ

Dengannya.

Apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ia mungkin merujuk kepada:

  1. Tempat. Lokasi itu menjadi samar kerana debu-debu itu.
  2. Merujuk kepada debu. Menakjubkan kerana waktu subuh, tanah masih lembab. Tetapi ayat ini memberitahu debu masih tetap bertebaran.
  3. Boleh juga merujuk kepada hentakan kaki kuda-kuda itu yang menyebabkan debu-debu naik ke udara.

Tafsir Ayat Ke-5:

فَوَسَطنَ بِهِ جَمعًا

Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh,

فَوَسَطنَ

Bermaksud menyerbu masuk ke tengah-tengah pihak lawan atau pihak yang diserang.

Dalam kisah ini, pasukan berkuda yang telah disebut dari ayat pertama lagi itu, telah masuk menyerbu ke tengah-tengah pihak yang diserang.

Apakah yang ingin digambarkan pada ayat ini?

1 – Keberanian. Sehingga lazimnya pasukan berperang mengambil kesempatan menyerang dari tepi, tetapi golongan pada ayat ini meluru ke tengah musuh.

2 – Mereka menyerang dengan berkumpulan.

جَمعًا

Bermaksud semua sekali.

Tidak ada tinggal di belakang untuk mengawal atau sebagai pasukan bantuan. ‘Semua sekali’ itu boleh juga bermaksud pasukan yang menyerang dan diserang dua-dua berperang sesama sendiri.

Ibrah dan kesimpulan :

1. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan sesuatu makhluk itu sebagai sia-sia, tetapi sebagai manfaat kepada manusia untuk mengambil iktibar dari kejadian tersebut.

Dalam konteks kuda, manusia bukan sahaja digalakkan untuk mengambil manfaat secara fizikal ( berkuda, berlatih memimpin dan menjaga kuda ), bahkan sifat-sifat kekuatan dalaman juga harus dicontohi.

Betapa kuda makhluk yang hebat, namun sedia untuk dilatih dan digunakan dalam banyak perkara. Apatah lagi manusia yang terbaik kejadiannya, sepatutnya mempunyai sikap yang lebih baik lagi.

2. Secara tidak langsung dalam permulaan surah ini, Allah SWT bercakap / menarik perhatian manusia dengan perkara yang hampir di sisi mereka. Memberikan pengajaran kepada kita agar mempelajari cara terbaik untuk berkomunikasi.

Setidaknya dalam kita menyampaikan ilmu atau pengajaran, raikan persekitaran dengan baik. Tidak bercakap dengan “syok sendiri” namun orang lain tidak faham dan tidak dapat memberikan perhatian.

3. Dalam dunia begitu moden ini, pemanfaatan kuda memang telah jauh berkurang. Kini aktiviti berkuda lebih banyak dijadikan sebagai hobi atau olahraga.

Namun simbolik yang sama tidak akan berubah, iaitu kuda hari ini boleh dilambangkan sebagai pengangkutan yang hebat, laju, kuat, digemari atau disayangi.

Namun apakah yang perlu diberi perhatian terhadap nikmat Allah SWT seumpama ini?

Sambungan nanti dalam firman Allah SWT yang seterusnya :

إِنَّ الإِنسانَ لِرَبِّهِ لَكَنودٌ

“Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya”,

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan