Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-20 dan Ke-21

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-20 dan Ke-21

484
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-20

Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa – Tambahan kepada Dakwa Surah

وَاللَّهُ يَقضي بِالحَقِّ ۖ وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ لا يَقضونَ بِشَيءٍ ۗ إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

“Dan Allah SWT memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka sembah yang lain dari Allah SWT – tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah SWT, Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.

وَاللَّهُ يَقْضِي بِالْحَقِّ

Dan Allah SWT beri keputusan dengan benar.

‘Benar’ itu bermaksud ‘adil’. Allah SWT boleh buat keputusan dengan adil, kerana Allah SWT tahu segala-galanya. Dalam ayat sebelum ini, kita telah diberitahu yang Allah SWT tahu apa yang kita lihat dan apa yang kita simpan dalam hati kita. Kalau Allah SWT sudah tahu segalanya, maka keputusan yang Allah SWT buat tentulah tepat.

Bandingkan dengan kita. Kalau dalam dunia, seorang hakim tidak tahu segala-galanya – dia tidak tahu apakah sebenarnya yang kita lakukan, apa yang kita lihat dan apa yang kita simpan dalam hati kita. Oleh itu, keputusan yang seorang hakim itu buat belum tentu tepat. Dia hanya boleh membuat keputusan berdasarkan luaran sahaja.

Tetapi, Allah SWT tidak begitu. Keputusan yang Allah SWT buat adalah adil, kerana Allah SWT tahu segala-galanya.

Ayat ini juga bermaksud, Allah SWT menentukan (takdir) segala kejadian di dunia. Allah SWT yang menentukan siapa yang akan dapat apa semasa mereka di dunia. Semua yang terjadi dalam alam ini adalah atas keputusan Allah SWT, yang dilakukan atas kebijaksanaan-Nya.

وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ

dan yang diseru selain dariNya,

Bermaksud segala seruan-seruan merangkumi Nabi, wali, malaikat dan jin yang diseru oleh manusia.

لَا يَقْضُونَ بِشَيْءٍ

mereka tidak boleh membuat keputusan apa-apa pun

Sembahan-sembahan yang diseru selain Allah SWT itu tidak dapat membuat keputusan apa-apa kerana mereka tidak ada pengetahuan sepertimana yang Allah SWT ada. Allah SWT telah beritahu yang Dia Maha Mengetahui segala-galanya, termasuk pandangan mata kita dan apa yang ada dalam dada kita – oleh itu, Allah SWT sahaja yang boleh memberi keputusan yang adil.

Yang kedua, seperti yang telah disebut, hanya Allah SWT sahaja yang takdirkan segala kejadian dalam alam ini. Allah SWT sahaja yang menentukan qada’ dan qadar. Selain dari Allah SWT tidak boleh. Oleh itu, kenapa hendak seru selain Allah SWT?

إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّمِيعُ

Sesungguh-Nya Allah SWT Maha Mendengar.

Oleh kerana Allah SWT Maha Mendengar segala-galanya, maka sepatutnya hanya kepada Dia sahaja tempat kita berdoa kerana selain dari Allah SWT tidak boleh mendengar.

Allah SWT juga Maha Mendengar rintihan orang yang sebar agama. Dan kata-kata orang yang mengutuk mereka yang sebar agama. Semua itu akan dibalas oleh Allah SWT nanti di akhirat.

الْبَصِيرُ

Dia Maha Melihat.

Begitu juga, oleh kerana Allah SWT sahaja yang Maha Melihat segalanya, Dialah sahaja tempat berdoa kerana selain Allah SWT, tidak mempunyai kuasa ini.

Allah SWT Maha Melihat usaha orang yang sebar agama, orang yang taat kepada agama dan juga orang-orang yang ingkar.

Oleh itu, hanya Allah SWT sahaja yang boleh membuat keputusan yang adil. Dan hanya Allah SWT sahaja yang layak diseru.

Tafsir Ayat Ke-21:

Ini adalah ayat Takhwif Duniawi.

Selepas Allah SWT memberitahu dalam ayat-ayat sebelum ini tentang kejadian dan balasan yang boleh dikenakan di akhirat, Allah SWT sekarang hendak memberitahu kita semua, terutama Musyrikin Mekah itu, bahawa azab itu bukan sahaja boleh dikenakan di akhirat sahaja, tetapi boleh dikenakan semasa di dunia lagi pun.

Allah SWT ceritakan juga tentang azab yang di dunia, kerana manusia kadang-kadang terkesan kalau apa-apa terjadi kepada mereka semasa di dunia, kerana mereka amat mementingkan dunia. Bila mereka dengar tentang azab di akhirat, mereka mungkin rasa jauh sahaja dari mereka lagi. Maka Allah SWT ingatkan yang Dia boleh kenakan azab semasa di dunia lagi. Maka kena lah beringat. Allah SWT amat kenal hamba-Nya, maka Dia tahu bagaimana hendak mengingatkan manusia.

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ كَانُوا مِن قَبْلِهِمْ كَانُوا هُمْ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَآثَارًا فِي الْأَرْضِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ اللَّهِ مِن وَاقٍ

“Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah SWT binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah SWT”.

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ

Tidakkah mereka pergi bermusafir di muka bumi

Dengan mengembara di atas dunia ini, kita boleh belajar banyak benda, bukan?

Ayat ini bukanlah suruhan kepada kita untuk mengembara di dunia melihat tempat-tempat kemusnahan kaum-kaum yang degil. Kerana ada larangan dari Nabi untuk berbuat demikian kerana tidak perlu kita pergi ke tempat-tempat tersebut. Cuma kalau mereka yang menentang, barulah disuruh mereka pergi ke tempat-tempat itu.

فَيَنظُرُوا

dan perhatikan.

Perhatikanlah apa yang ada dalam dunia ini. Sebagai contoh, perhatikan tempat tinggalan Firaun, tempat kaum Aad, kaum Madyan dan sebagainya. Atau tentang mereka yang membunuh Nabi Yahya dalam surah Yaasin, iaitu di Antioch.

كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ كَانُوا مِن قَبْلِهِمْ

bagaimanakah kesudahan orang-orang yang dahulu sebelum mereka?

Kita boleh tengok contoh mereka yang buat syirik dulu. Boleh nampak kesan-kesan peninggalan mereka. Kita boleh lihat bagaimana mereka yang telah melakukan kesalahan terhadap Allah SWT, Allah SWT telah binasakan mereka.

Memang mereka hebat semasa kehidupan di dunia dahulu, kita bukan hendak tengok kehidupan mereka semasa di dunia, tetapi apakah kesudahan hidup mereka. Kita hendak tengok bagaimana mereka semasa mereka hendak mati. Mereka telah dimusnahkan dan oleh kerana itu, cara mereka hidup tidak boleh diikuti. Kita disuruh ikut orang yang telah mati yang telah selamat, seperti para sahabat kerana mereka mati dalam iman. Kalau kita ikut cara orang yang masih hidup, mereka belum tentu lagi akan selamat kerana fitnah masih ada atas mereka dan kita tidak tahu adakah cara mereka selamat atau tidak.

Bolehlah kalau kita hendak ikut mereka yang masih hidup, tetapi kena pastikan yang mereka itu ikut cara-cara mereka yang telah mati.

كَانُوا هُمْ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً

Mereka dulu lebih kuat dari mereka

Tubuh badan mereka itu lebih kuat dari orang-orang Mekah. Kaum Aad boleh cabut pokok kurma dengan sebelah tangan sahaja. Kaum-kaum yang lain pun kuat-kuat juga, hebat-hebat juga. Sebab itulah mereka boleh bina Piramid, buat rumah dari batu-batu gunung.

Memang mereka hebat semasa kehidupan di dunia dahulu, kita bukan hendak tengok kehidupan mereka semasa di dunia, tetapi apakah kesudahan mereka. Kita hendak tengok bagaimana mereka semasa mereka hendak mati. Mereka telah dimusnahkan dan oleh kerana itu, cara mereka hidup tidak boleh diikuti. Kerana itu kita disuruh ikut orang yang telah mati yang telah selamat, seperti para sahabat. Kerana mereka mati dalam iman. Kalau kita ikut cara orang yang masih hidup, mereka belum tentu lagi akan selamat kerana fitnah masih ada atas mereka dan kita tidak tahu adakah cara mereka selamat atau tidak.

Allah SWT hendak beritahu Musyrikin Mekah supaya jangan berlagak dengan apa kehebatan yang mereka ada – orang-orang dahulu yang dimusnahkan itu lebih kuat dari mereka pun, namun dimusnahkan juga akhirnya. Kalau hendak dibandingkan orang-orang dahulu dengan Musyrikin Mekah yang sedang tolak Nabi waktu itu, mereka tidak ada apa-apa. Tetapi dalam tidak ada apa-apa itu, mereka masih lagi berdegil dari terima ajaran wahyu.

وَآثَارًا فِي الْأَرْضِ

Dan mereka meninggalkan lebih banyak kesan sejarah di muka bumi.

Contohnya kesan Firaun yang kita boleh lihat sampai hari ini. Orang Mekah itu tidak ada apa-apa. Bahan makanan pun mereka bergantung kepada Syam dan Yaman sahaja.

فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ

mereka diazab oleh Allah SWT kerana dosa-dosa syirik mereka.

Bukan kerana mereka kuat/gagah/banyak pembangunan yang menyebabkan mereka diazab, tetapi kerana dosa syirik mereka dahulu. Allah SWT tidak pandang apakah kejayaan keduniaan seseorang. Yang dipandang adalah apa yang mereka lakukan dalam agama. Oleh kerana mereka sesat, Allah SWT hancurkan mereka sehancur-hancurnya – langsung tidak tinggal zuriat langsung.

Inilah ancaman dari Allah SWT – Allah SWT boleh sahaja untuk menurunkan azab kepada manusia yang ingkar kepada-Nya. Jangan kita ingat kita selamat. Kita pun Allah SWT boleh kenakan azab sebegitu kalau Allah SWT hendak.

وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ اللَّهِ مِن وَاقٍ

Dan tidak ada bagi mereka selain Allah SWT sebarang penyelamat.

Mereka sangka ada yang akan menyelamatkan mereka, tetapi itu adalah harapan yang sia-sia sahaja.

Soalan: Adakah ‘musibah’ itu termasuk ‘azab semasa di dunia’?

Jawapan: Ya. Musibah juga azab. Cuma azab kepada umat Nabi Muhammad SAW bukan jenis yang menghancurkan terus satu umat seperti kaum Aad dan Tsamud. Tetapi musibah tidak semuanya sebagai azab. Ada yang sebagai ujian. Namun, kepada orang kafir musibah yang dikenakan kepada mereka itu adalah azab di dunia. Allah SWT beri sikit dulu. Sedangkan untuk mukmin, kalau kena musibah, ada peluang dapat pahala jika dia bersabar. Musibah juga dapat menghapuskan dosa.

Cerita kaum musyrikin ini kena bandingkan dengan diri kita. Allah SWT bukan beri ancaman pada kaum ini sahaja tetapi ada juga kaitan dengan kehidupan manusia zaman sekarang.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan