Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-30 dan Ke-31

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-30 dan Ke-31

4780
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-30

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.'” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau!” Tuhan berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui”.

Ini adalah ayat yang popular dalam Al-Quran dan banyak perbincangan tentang ayat ini. Dan banyak salah faham juga dalam kalangan orang kita. Dalam ayat ini dan rentetan ayat-ayat seterusnya, Allah SWT hendak kita tahu sejarah kita, asal salasilah kita, kedudukan dan kelebihan yang ada pada kita sebagai manusia.

Keduanya, ayat ini adalah peringatan dari Allah SWT yang Dia telah beri darjat yang tinggi kepada kita. Tetapi kalau kita tidak laksanakan tugas kita seperti yang Allah SWT kehendaki, Allah SWT boleh jatuhkan kedudukan kita itu. Kalau kita tidak beringat dan berjaga-jaga, kita boleh ditewaskan oleh orang yang lebih rendah darjatnya dari kita.

Sekarang, kita pecahkan ayat ini satu persatu dan kita tafsirkan.

‎وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat”

Dalam ayat ini Allah SWT berfirman memberitahu malaikat yang Dia hendak menjadikan Khalifah di bumi. Bukanlah Allah SWT tanya pendapat malaikat pula. Maka, jangan kita salah faham. Kerana ada pula silap dengan berkata Allah SWT bermesyuarat dengan malaikat. Kononnya mereka hendak kata yang mesyuarat itu amat penting sampaikan Allah SWT bermesyuarat dulu dengan malaikat sebelum menjadikan Adam. Mungkin ada yang kata: “Kita kena mesyuarat ini, tengok Allah SWT pun mesyuarat dengan malaikat dahulu sebelum menjadikan Nabi Adam!”

Itu fahaman yang salah. Pendapat sebegitu akan mencacatkan sifat ketuhanan dan orang yang berkata begitu, sebenarnya dia ada masalah akidah. Iaitu mereka tidak kenal Allah SWT seperti yang sepatutnya.

Manusia memanglah kena bermesyuarat bersama sebab manusia tidak sempurna. Manusia tidak tahu segala-galanya, maka kena tanya pendapat orang lain juga. Macam Nabi pun disuruh bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara yang bukan wahyu. Nabi sebagai seorang manusia, ada kelemahan tetapi Allah SWT tidak ada kelemahan langsung. Allah SWT tidak perlu hendak dapatkan idea dari makhluk pula. Maka jangan pula kata Allah SWT mesyuarat dengan malaikat apabila Allah SWT hendak menjadikan Nabi Adam.

Ayat sebelum ini telah disebutkan bahawa Allah SWT telah menjadikan manusia dari tiada kepada ada. Maka, dalam ayat ini, Allah SWT menceritakan bahawa makhluk pertama yang dicipta adalah Adam. Allah SWT memberitahu kita betapa mulianya kita, kisah kejadian kita ini disebut di alam yang tinggi.

‎إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Sesungguhnya Aku akan jadikan khalifah di muka bumi”.

Maksud ‘khalifah’ di sini adalah: manusia yang silih berganti. Apabila mati, diganti oleh manusia lain. Bergilir-gilir hidup dan mati. Allah SWT telah ada keputusan untuk mencipta manusia dari awal lagi. Dia hanya beritahu sahaja kepada malaikat. Waktu itu Allah SWT belum buat lagi. Namun, tidaklah bermakna Allah SWT hendak tanya pendapat malaikat sama ada boleh cipta atau tidak.

Banyak orang yang faham bahawa maksud ‘khalifah’ itu adalah sebagai pengganti kepada Allah SWT. Ini salah kerana Allah SWT tidak memerlukan pengganti-Nya di dunia ini. Yang kita ganti sebenarnya adalah orang yang sebelum kita. Kerana itu Saidina Abu Bakar r.a. ganti Rasulullah sebagai pemimpin, dan Saidina Umar r.a. ganti Saidina Abu Bakar r.a. sebagai pemimpin dan seterusnya.

Seperti yang Allah SWT sebut dalam ayat yang lain:

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ

“Maka datanglah sesudah mereka generasi lain”. [Al-A’raf: 169]

Jadi, Allah SWT beritahu malaikat yang Dia akan menjadikan makhluk yang silih berganti yang akan menegakkan hukum-Nya di dunia dan ikut perintah Allah SWT. Dan kemudian Allah SWT beri peluang kepada para malaikat untuk beritahu apa pendapat mereka tentang makhluk yang akan dijadikan itu. Kerana kalau komen atau kritik selepas Allah SWT telah jadikan, mereka akan binasa. Tetapi, jika beritahu sebelum dijadikan, masih boleh diterima lagi. Sekali lagi, ini bukannya Allah SWT bermesyuarat dengan malaikat, tidak. Sebab Allah SWT tetap akan buat juga makhluk itu.

‎قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا

“Malaikat berkata: patut kah Kamu menjadikan makhluk yang akan merosakkan bumi?”

Malaikat tanya: patut kah Allah SWT hendak menjadikan makhluk di bumi yang akan buat syirik kepada-Nya? Kerana ‘berbuat kerosakan’ itu bermaksud berbuat syirik kepada Allah SWT. Boleh juga membawa maksud umum iaitu membuat huru-hara di muka bumi. Dan itu memang benar pun berlaku.

Setelah diberi peluang, barulah malaikat beri pandangan mereka. Mereka kata kenapa hendak jadikan makhluk lagi yang akan berbuat kerosakan di dunia – maknanya tidak menegakkan hukum Tuhan.

‎وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ

“dan akan menumpahkan darah?”

Dan malaikat kata, manusia itu nanti akan berbalah sesama sendiri sampai menumpahkan darah.

Soalan yang selalu ditanya: macam mana malaikat boleh tahu yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah? Sedangkan manusia itu tidak ada lagi. Kurang sesuai kalau malaikat yang suci berbuat tohmahan pula.

Jawapan: Mereka tahu, kerana sebelum dunia dihuni oleh manusia, ianya telah dihuni oleh golongan jin. Ini kita tahu dari hadis yang menceritakannya. Merekalah dulu yang duduk di dunia dan setelah berbuat kerosakan dan menumpahkan darah, mereka telah dihalau ke tengah laut dan ke tengah hutan. Kerana malaikat pernah tengok jin, tahu perangai jin yang juga ada nafsu, maka mereka telah boleh agak yang makhluk yang baru ini pun akan berperangai begitu juga. Itu adalah andaian mereka. Jadi, malaikat agak, apabila dibuat makhluk yang diuji dengan diberikan nafsu, seperti manusia dan jin, maka akan ada pertumpahan darah dan berbuat syirik kepada Allah SWT.

Nampaknya mereka tidak yakin dengan manusia dan kerana Allah SWT telah beri peluang kepada mereka untuk beri pandangan, maka tidak dikira derhaka lagi kalau begitu. Bukanlah mereka mempersoalkan keputusan Allah SWT itu, cuma mereka tanya kerana hendak tahu sahaja. Kerana tidak layak malaikat hendak mempersoalkan keputusan Allah SWT.

Soalan lagi: Kenapa Allah SWT minta pandangan malaikat? Kerana Allah SWT hendak beritahu kita yang Allah SWT tidak suka perangai yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah seperti yang dilakukan oleh golongan jin itu. Allah SWT hendak beritahu kepada kita dengan cara begini – dengan dimasukkan dialog antara Allah SWT dan para malaikat itu dalam Al-Quran. Allah SWT pilih cara ini untuk beritahu kepada kita. Sekarang maklumat telah diberitahu kepada kita. Dengan soal jawab Allah SWT dan malaikat itu, kita boleh tahu.

Maka kenalah kita beringat-ingat.

‎ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ

“Dan kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu”

Sedangkan kalau hendak makhluk yang memuja dan taat kepada Allah SWT, malaikat kata mereka telah ada untuk terus memuji-Nya. Jadi, mengapa hendak buat makhluk lain lagi? Sekali lagi, minta ingatkan yang para malaikat itu bertanya sahaja, bukan mempersoalkan.

Mereka hendak tahu apakah hikmah dari keputusan Allah SWT itu.

‎وَنُقَدِّسُ لَكَ

“dan menyucikan-Mu”.

Maksudnya menyucikan Allah SWT dari sifat-sifat yang tidak patut pada Allah SWT. Sebagai contoh, ada yang kata Allah SWT ada anak. Apabila kita kata Allah SWT tidak mempunyai anak, itu adalah contoh menyucikan Allah SWT.

Nota: ini agak sukar untuk difahami, sila tawajjuh.

Malaikat membandingkan perbuatan mereka dan manusia. Malaikat akan ‘bertasbih’ dan ‘bertahmid’, sedangkan manusia akan ‘berbuat kerosakan’ dan ‘menumpahkan darah’. Satu contoh dalam bentuk perbuatan (berbuat kerosakan dan menumpahkan darah), dan satu lagi adalah dalam bentuk sebutan (tasbih dan tahmid).

Kalau difikirkan dan dilihat, nampak macam perbandingan itu tidak tepat. Kalau hendak dibandingkan sesuatu, ianya mestilah dalam perbandingan yang sama – *perbuatan dengan perbuatan* dan sebutan dengan sebutan* bukan?

Ini bermakna, bertasbih dan bertahmid itu bukan hanya sebutan di mulut, tetapi adalah jenis amalan perbuatan. Kalau tidak faham, itulah sebabnya ada manusia yang berzikir kepada Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama, mereka berbuat syirik dan menumpahkan darah. Selepas solat, mereka ramai-ramai zikir berjemaah, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Namun, selepas itu buat amalan syirik.

‎قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Aku tahu apa yang engkau tidak tahu”.

Apabila malaikat jawab begitu, Allah SWT jawab dengan bahasa tegas, yang Dia Maha Mengetahui apa yang malaikat tidak tahu. Malaikat hanya berkata dari andaian mereka sahaja dan Allah SWT Maha Tahu dan Allah SWT akan tunjuk yang manusia ada keistimewaan yang malaikat tidak ada.

Maka Allah SWT beri kata putus supaya jangan tanya lagi. Memang ada manusia yang akan berbuat kerosakan di dunia dan menumpahkan darah dan Allah SWT hendak beritahu bahawa malaikat tidak tahu bahawa akan ada di kalangan manusia yang tidak sebegitu. Ada manusia yang akan beriman sempurna dan tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sebegitu.

Ditetapkan di dalam hadis sahih bahawa para malaikat itu apabila naik (ke langit) menghadap kepada Tuhan mereka seraya membawa amal-amal hamba-hamba-Nya, maka Allah SWT bertanya kepada mereka (sekalipun Dia lebih mengetahui), “Dalam keadaan apakah kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku?” Mereka (para malaikat) menjawab, “Kami datangi mereka dalam keadaan sedang solat, dan kami tinggalkan mereka dalam keadaan sedang solat.”

Ucapan para malaikat yang mengatakan, “Kami datangi mereka sedang dalam keadaan solat, dan kami tinggalkan mereka sedang dalam keadaan solat,” merupakan tafsir dari firman-Nya kepada mereka (para malaikat): “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui.” [Al-Baqarah: 30]

Tafsir Ayat Ke-31:

Ayat ini turun setelah Nabi Adam dijadikan. Allah SWT terus cerita kejadian selepas dijadikan dan tidak disebutkan kisah kejadian Adam itu, kerana Al-Quran bukanlah buku sejarah yang ikut kronologi. Ada disebut dalam ayat-ayat lain dan hadis bagaimana Nabi Adam dijadikan.

وَعَلَّمَ آدَمَ الأَسماءَ كُلَّها ثُمَّ عَرَضَهُم عَلَى المَلائِكَةِ فَقالَ أَنبِئوني بِأَسماءِ هٰؤُلاءِ إِن كُنتُم صادِقينَ

“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

‎وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا

“Dan Allah mengajar Nabi Adam nama-nama benda semua sekali”.

Apabila sudah dijadikan benda-benda, Allah SWT ajar nama benda-benda. Setiap benda akan ada namanya. Maka Allah SWT ajar nama-nama benda itu kepada Nabi Adam. Segala benda, periuk, sendok, gelas, pokok, batu dan sebagainya. Allah SWT beri keistimewaan kepada Nabi Adam, boleh kenal benda dan boleh ingat nama. Allah SWT sendiri yang mengajar kepada Nabi Adam.

Jadi diajarkan kepada Nabi Adam nama-nama benda itu dan kegunaannya kepada manusia. Seperti pokok yang berbagai-bagai jenis, cara untuk menanamnya dan lain-lain lagi. Ini bermakna, ilmu tentang dunia pun dari Allah SWT juga. Kita semua bergantung ilmu dari Allah SWT. Ini penting diberitahu kerana ada yang kata memang ilmu syariat agama dari Allah SWT tetapi ilmu keduniaan datang dari manusia sendiri. Tetapi dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa ilmu dunia pun dari Allah SWT juga.

Ada juga yang mengatakan bahawa ilmu yang dimaksudkan adalah Nabi Adam diberikan dengan potensi untuk mengetahui. Bukanlah dia diberikan dengan pengetahuan tentang semua benda. Allahu a’lam. Banyak lagi pendapat lain yang disebut dalam kitab tafsir.

‎ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ

“kemudian dibentangkan benda-benda itu kepada malaikat”.

Allah SWT tunjukkan barang-barang itu kepada para malaikat.

‎فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ

“kemudian dikatakan kepada malaikat: beritahu kepada-Ku nama benda-benda ini”.

Allah bentangkan benda-benda itu kepada malaikat supaya malaikat boleh sebut nama benda-benda itu apabila disoal oleh Allah SWT.

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

“sekiranya kamu benar”.

Sekiranya mereka benar seperti yang didakwa bahawa makhluk yang diciptakan itu akan jadi seperti makhluk yang sebelum itu (jin).

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan