Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-15 dan Ke-16

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-15 dan Ke-16

1693
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-15

Allah SWT menceritakan tentang Diri-Nya dan tentang Hari Kiamat.

رَفيعُ الدَّرَجاتِ ذُو العَرشِ يُلقِي الرّوحَ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ لِيُنذِرَ يَومَ التَّلاقِ

“Dia lah Yang Maha tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu dari hal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan”,

رَفيعُ الدَّرَجاتِ

“Dia lah Yang Maha tinggi darjat kedudukan-Nya”,

Allah SWTlah yang paling tinggi kedudukan-Nya. Tidak ada yang lebih tinggi darjat dari darjat Allah SWT.

Sudahlah Dia mempunyai darjat yang paling tinggi, Dialah juga yang menaikkan darjat seseorang yang dikehendaki-Nya. Maksudnya, Allah SWT akan naikkan darjat mereka yang membela tauhid. Allah SWT juga menaikkan darjat mereka yang ada ilmu.

ذُو العَرشِ

“yang mempunyai Arasy”

Arasy adalah makhluk Allah SWT yang paling besar dan hebat. Ia adalah makhluk Allah SWT yang paling tinggi. Allah SWT masukkan tentang Arasy dalam ayat ini kerana Allah SWT boleh naikkan darjat mereka yang membela tauhid.

Allah SWTlah tuan Arasy yang Maha Tinggi dan Maha Hebat itu. Oleh itu, kalau Arasy itu pun dipunyai oleh Allah SWT, maka Allah SWT itu sendiri tentu lebih hebat. Jadi, ayat ini untuk menceritakan keagungan dan kekuasaan-Nya.

يُلقِي الرّوحَ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

“Dia memberikan wahyu dari perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya”,

Perkataan الرّوحَ boleh membawa banyak maksud. Bukan setakat ‘roh’ yang kita faham sahaja. Roh juga boleh bermaksud Malaikat Jibrail. Roh juga boleh bermaksud ‘Al-Quran’. Jadi, kena disesuaikan dengan ayat.

‘Roh’ dalam ayat ini bermaksud ‘wahyu’. Tidak ada khilaf di kalangan ulama tafsir, ‘roh’ dalam ayat ini, bermaksud ‘wahyu’. Wahyu itu diberikan dengan perintah-Nya, kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah SWTlah yang memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima wahyu itu. Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk menentukan siapa yang mendapat wahyu itu. Allah SWT juga tidak tersalah pilih sesiapa yang dikehendaki-Nya itu. Jadi, tidak ada sesiapa yang layak mempersoalkan keputusan yang Allah SWT telah buat. Maka, salahlah pemahaman sesetengah golongan Syiah yang sampai sanggup mengatakan yang Jibrail telah tersalah pilih memberi wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka kata, Allah SWT suruh beri wahyu kepada Saidina Ali, tetapi Jibrail pula yang tersalah pilih beri wahyu kepada Nabi Muhammad SAW.

Semua makhluk adalah hamba-Nya, jadi ikut Allah SWT kepada siapa yang Dia hendak beri wahyu itu. Maka, salahlah juga puak Yahudi yang mempersoalkan Allah SWT kerana memberi wahyu dan pangkat kenabian kepada Nabi Muhammad SAW. Seperti yang kita telah tahu, mereka hanya mahu mengikut Nabi dari kalangan mereka sahaja. Oleh itu, apabila wahyu diberikan kepada bangsa Arab, mereka tidak dapat terima.

لِيُنذِرَ يَومَ التَّلاقِ

“supaya Ia memberi amaran tentang Hari Pertemuan”,

Apakah tujuan wahyu yang diturunkan kepada kita? Untuk mengingatkan kita kepada Hari Kiamat. Kerana rahmat-Nyalah kita diperingatkan dengan Hari itu. Memang banyak ayat Al-Quran yang mengingatkan kita tentang Hari Kiamat. Rasanya tidak ada satu muka surat dalam Al-Quran pun yang tidak menyebut tentang Hari Kiamat. Kerana ianya amat penting. Dan kita kena teruskan rahmat itu dengan menyampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia. Kena beri peringatan kepada manusia tentang datangnya Hari Kiamat.

Kenapa Hari Kiamat dinamakan dengan ‘Hari Pertemuan’? Iaitu apabila manusia bertemu dengan amalan mereka yang telah mereka lakukan di dunia. Mereka akan dibalas berdasarkan amalan itu. Kalau amalan baik, akan dibalas baik; dan kalau amalan buruk, pun akan dibalas juga. Oleh itu, ingatlah yang amalan kita semasa di dunia, tidak akan hilang begitu sahaja. Kita akan berjumpa dengan amalan kita itu. Ada yang gembira dan ada yang menyesal pada hari itu.

Selain dari itu, manusia juga akan berjumpa sesama sendiri. Semua sekali akan berkumpul di satu tempat. Yang menzalimi akan bertemu dengan yang dizalimi. Kalau di dunia, bolehlah mereka selamat, tetapi di Hari Kiamat, mereka tidak akan selamat.

Ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu juga akan bertemu. Manusia juga akan bertemu dengan Nabi mereka. Sebagai contoh, kita akan dapat bertemu dengan Nabi Muhammad SAW di Telaga Kautsar kalau kita mengamalkan sunnah. Kalau amalkan bidaah, tidak ada harapan.

Pada hari itu, pertemuan itu juga bermaksud pertemuan dengan Allah SWT SWT. Bagaimana cara kita nak jumpa Allah SWT SWT? Adakah kita hendak bertemu dengan Allah SWT SWT dalam Allah SWT SWT suka kepada kita atau Allah SWT SWT benci kepada kita? Tentunya kita hendak Allah SWT SWT suka dengan kita, kasih kepada kita. Jika demikian, hendaklah kita menjalankan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Pada hari itu juga, roh akan bertemu kembali dengan tubuh badan.

Pada hari itu juga, penduduk bumi akan bertemu dengan penduduk langit. Selama hari ini, kita mendengar sahaja kisah mereka.

Mereka yang berbuat syirik juga akan bertemu dengan sembahan syirik mereka. Kalau menyembah wali, jin, maka mereka akan bertemu dengan wali dan jin mereka itu. Waktu itu mereka akan menyesal yang amat sangat. Sepatutnya mereka menyembah Allah SWT sahaja, tetapi mereka sembah entiti lain pula. Semua yang disembah itu tidak mengaku yang mereka pernah suruh manusia sembah mereka. Jadi rugilah segala perbuatan sembahan mereka kepada entiti-entiti itu.

Dari segi bahasa, wahyu adalah mesej yang diberikan secara rahsia. Iaitu mesej kepada seseorang tetapi orang lain tidak tahu.

Wahyu dalam ayat ini bermaksud mesej kepada para rasul yang berbentuk syariat agama.

Namun, dalam Al-Quran juga Allah SWT berfirman Dia wahyukan kepada ibu Nabi Musa a.s dan lebah.

Wahyu seperti ini bermaksud ‘ilham’. Ia bukan dalam bentuk syariat. Wahyu dalam bentuk ilham dan petunjuk kehidupan – untuk manusia. Malah binatang seperti lebah pun dapat.

Tafsir Ayat Ke-16:

Jumlah badaliah (penjelasan) kepada ayat sebelum ini. Bagaimana keadaan pada ‘Hari Pertemuan’ itu? Allah SWT beri gambarannya dalam ayat ini.

يَومَ هُم بارِزونَ ۖ لا يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِنهُم شَيءٌ ۚ لِمَنِ المُلكُ اليَومَ ۖ ِللهِ الواحِدِ القَهّارِ

“Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah SWT sesuatu pun dari hal keadaan mereka. (Allah SWT berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? “Dikuasai oleh Allah SWT Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!”

يَوْمَ هُم بَارِزُونَ

“Pada hari mereka dibangkitkan”

Iaitu pada hari mereka dibangkitkan dari kubur masing-masing. Kalau tidak kubur, maka mereka akan dikeluarkan dari alam Barzakh. Ada makhluk yang ada kubur dan ada yang tidak, umpamanya mereka yang mati dibaham harimau – mereka tidak ada kubur, tetapi mereka akan dizahirkan ke Mahsyar.

Semua akan jelas kelihatan, tidak boleh menyorok di mana-mana. Tidak kira di mana mereka mati dahulu, mereka akan tetap dibangkitkan dan akan dikumpulkan di satu tempat (Mahsyar). Tidak kira sama ada tubuh badan mereka hancur atau dibakar dan telah menjadi abu – semua akan dibangkitkan dan terpampang kelihatan kepada semua. Mereka akan dibangkitkan dengan bertelanjang bulat. Waktu itu, tidak boleh menyorok apa-apa.

لَا يَخْفَىٰ عَلَى اللهِ مِنْهُمْ شَيْءٌ

“Tidak tersembunyi sedikit pun kepada Allah SWT SWT tentang mereka itu”.

Semua sekali akan dihadapkan di hadapan Allah SWT. Tidak akan ada yang tersembunyi. Tidak akan tersembunyi amal zahir ataupun amal batin dari Allah SWT. Hendaklah kita berusaha di dunia ini supaya amal yang baik sahaja yang akan zahir.

Bayangkan, semua sekali akan bertelanjang di hadapan Allah SWT. Kita semua akan menghadap Allah SWT dalam keadaan asal kita. Semua dalam keadaan berlutut bersaf-saf dalam keadaan telanjang. Memang tidak ada apa yang tersembunyi dari Allah SWT semasa di dunia pun, tetapi pada hari akhirat nanti, nampak jelas tanpa syak lagi kepada semua. Kalau di dunia, ada yang sangka ada perkara yang Allah SWT tidak tahu. Di Hari Kiamat nanti, semua akan jelas yang tidak ada apa yang tersembunyi dari Allah SWT. Barulah mereka akan sedar dengan sesedar-sedarnya.

لِّمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ

“Pada hari ini kerajaan ini milik siapa?”

Pada hari itu, Allah SWT akan tanya kepada semua: Kerajaan ini milik siapa pada hari ini?

Ada dua pendapat tentang kejadian ini: Sama ada Allah SWT tanya kepada semua makhluk atau Allah SWT tanya itu semasa makhluk semua sudah mati. Kenapa Allah SWT tanya kalau tiada ada sesiapa yang boleh jawab? Kerana Allah SWT hendak sabitkan kekuasaan mutlak-Nya. Hanya Dia sahaja yang Maha Hidup.

Atau, Allah SWT tanya dua kali: sekali waktu semua telah mati, dan kali kedua selepas semua makhluk dibangkitkan.

لِلهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

“Milik Allah SWT Tuhan yang tunggal yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan”.

Inilah jawapan makhluk kepada soalan Allah SWT tadi. Pada hari itu, semua makhluk akan jawab yang kerajaan adalah milik tunggal Allah SWT.

Dua kali ayat ini keluar, lagi sekali semasa tiupan sangkakala pertama. Waktu itu, tiada makhluk yang jawab sebab semua telah mati. Tuhan sendiri jawab waktu itu. Di Mahsyar, dikatakan sekali lagi ayat ini, dan makhluk semuanya akan jawab.

Cuba bayangkan keadaan di masa itu. Tiada siapa berani bersuara. Melainkan bisik-bisik sahaja. Mereka hanya berani bertanya-tanya sesama sendiri: “Dah berapa lama dah tunggu ni?” Berpeluh-peluh semuanya. Semua tidak bergerak ke mana-mana. Mahsyar itu keadaannya rata macam air. Maka, hendaklah kita jawab dengan jawapan ini semasa kita di dunia lagi (Allah SWT yang memiliki segala kerajaan). Tunduk kepada Allah SWT sahaja dalam akidah dan syariat. Kalau kita tunduk semasa di dunia lagi, maka kita akan selamat di akhirat. Jangan kita hanya sebut di Mahsyar sahaja, tidak selamat kalau begitu.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan