Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-19 dan Ke-20

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-19 dan Ke-20

2378
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-19

‎أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ

“Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah SWT meliputi orang-orang yang kafir itu.”

Ini pula ada perumpamaan kepada golongan kafir jahil – seperti golongan Munafikin dan Nasara dan mereka yang bersifat seperti mereka.

Mari kita pecahkan dan tafsirkan satu persatu.

‎أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ

Atau seperti ditimpa dari langit air hujan;

Perkataan صَيِّبٍ bermaksud awan yang ada hujan di dalamnya. Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah SWT. Awan yang sebegitu, tentunya tebal dan gelap sampaikan menutupi cahaya matahari. Hujan memang benda yang baik dan ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh manusia kerana dengan adanya air hujan, tanah akan jadi subur, suasana pun jadi ceria. Bayangkan jika lama tidak hujan, kita tentu tidak suka. Tetapi sebelum air hujan itu turun, ada keadaan yang berlaku dahulu sebelum itu.

‎فِيهِ ظُلُمَاتٌ

Dalamnya ada kegelapan;

Apabila awan tebal, suasana pun jadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk ‘kegelapan’.

‎وَرَعْدٌ

Dan guruh:

Bayangkan suasana ini, apabila guruh bergempita. Ianya amat menakutkan.

Ia bermaksud ancaman-ancaman dalam Al-Quran tentang orang-orang yang akidah salah, akan kekal dalam neraka dan lain-lain ancaman lagi.

‎وَبَرْقٌ

Dan kilat:

Kilat pula sabung menyabung. Kilat adalah dalam bentuk cahaya yang terang.

Ia adalah isyarat kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis tentang kebenaran Islam, kerana ia adalah dalam bentuk cahaya.

Begitulah keadaan alam ini pun. Sebelum turunnya hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu bunyi guruh dan kemudian petir. Selepas petir barulah hujan akan turun.

Kegelapan adalah akidah syirik bidaah yang manusia buat. Maknanya, sebelum diberitahu mereka ajaran tauhid, kena beritahu apa akidah syirik mereka dahulu. Kena beritahu apakah kesalahan fahaman mereka. Memang manusia tidak suka diberitahu tentang kesalahan yang mereka telah lakukan, tapi ia kena dilakukan, kerana kalau tidak diberitahu, mereka tentu tidak akan tinggalkan.

Guruh pula adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah SWT dan bidaah yang mereka lakukan. Banyak amalan syirik dan bidaah yang masyarakat buat. Kita kena beritahu mereka.

Kilat pula cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil dari Allah SWT tentang pentingnya beriman penuh kepada Dia. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Kalau cahaya tidak ada, jalan pun tidak nampak lalu bagaimana hendak jalan? Maka kita hendaklah kemukakan dalil kepada mereka.

Ia adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ dari Allah SWT tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Ia menampakkan dengan jelas semua perkara, macam juga dengan kilat. Lihatlah bagaimana apabila kilat datang, semua akan cerah sahaja.

Semua itu adalah isyarat yang air hujan akan turun. Sebagaimana diketahui air hujan itu memberi manfaat dan memang ditunggu-tunggu oleh manusia, lebih-lebih lagi kalau orang Arab yang jarang dapat hujan. Jadi perumpamaan ini amat bermakna kepada mereka.

Tetapi sebelum hujan turun, keadaan akan menjadi gelap, petir dan kilat akan datang dahulu. Semua orang tahu perkara ini. Dari dulu sampai sekarang, di negara mana pun mereka berada. Jadi, apabila perbandingan ini diberikan, semua boleh bayangkan. Ia turun dalam keadaan berat – sepertimana awan gelap, petir dan kilat, tetapi walaupun ianya berat, tapi orang tahu yang ia adalah nikmat.

Begitu juga dengan wahyu dari Al-Quran. Mula-mula dengar, memang terasa hati dan mungkin ada yang berat untuk terima pada awalnya, tetapi ingatlah bahawa ia adalah untuk kebaikan.

‎يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ

Mereka akan memasukkan jari-jari mereka ke dalam telinga-telinga mereka;

Tetapi ada manusia yang tutup telinga mereka apabila mendengar guruh dan petir. Ini perumpamaan manusia yang menutup telinga mereka tidak mahu mendengar wahyu dibacakan kepada mereka.

Kenapa mereka tutup telinga mereka dengan jari mereka? Kerana mereka tidak mahu mendengar, tetapi ini bermakna, mata mereka sepatutnya nampak. Namun mereka buat tidak nampak.

Mereka sumbat telinga mereka dengan jari. Namun, lubang telinga kecil, mana boleh masuk jari pun. Begitulah Allah SWT hendak tunjuk bagaimana mereka tidak mahu sangat kepada wahyu Al-Quran sampaikan kalau boleh, lima-lima jari mereka hendak masukkan dalam telinga!

‎مِنَ الصَّوَاعِقِ

daripada mendengar guruh,

Mereka tidak mahu mendengar guruh itu; mereka tidak mahu mendengar ancaman dan dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis. Mereka lebih rela berada dalam kegelapan dari mendapat cahaya. Mereka hendak terus buat apa yang mereka telah biasa buat. Malas hendak pening kepada memikir.

‎حَذَرَ الْمَوْتِ

kerana takut mati;

Mengapa mereka tidak mahu dengar? حَذَرَ المَوتِ ۚ – Kerana ‘takut mati’. Tidaklah sampai mati pula jika belajar tauhid ni tetapi pada mereka, kalau tinggalkan syirik, bidaah dan maksiat itu, bagaikan kepada mereka. Begitulah sayangnya mereka kepada apa yang mereka amalkan selama hari ini. Mereka rasa tidak boleh mengamalkan apa yang diajar oleh agama. Berat kepada mereka itu, macam berat bagaikan hendak mati!

Selain dari itu, tafsir kedua adalah, memang orang-orang munafik itu juga takut mati. Mereka tidak mahu melalui cabaran yang perlu dilalui dalam perjuangan menegakkan Islam. Mereka tahu kalau mereka bersama dengan orang Islam, ada banyak cabaran dan antara cabarannya adalah berperang dan mungkin akan mati dalam peperangan itu. Maksudnya mereka tidak mahu berjihad di jalan Allah SWT.

Jika zaman sekarang mereka rasa susah hendak pegang agama ini terutama jika hendak mengikut jalan sunnah. Bayangkan, sikit punya susah kalau hendak kata tidak boleh pergi majlis tahlil bukan?

‎وَاللَّه مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ

Dan Allah SWT meliputi terhadap orang-orang kafir ini.

Mereka tidak boleh pergi ke mana pun. وَاللَّهُ مُحيطٌ بِالكافِرينَ – Allah SWT meliputi mereka – azab Allah SWT akan mengenai mereka juga walau ke mana pun mereka pergi. Allah SWT akan mengepung mereka.

Dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Lihatlah perkataan kafir yang digunakan oleh Allah SWT dalam hujung ayat ini. Ini kerana Allah SWT tahu bahawa mereka itu kafir.

Tafsir Ayat Ke-20

Ini adalah bandingan kedua kepada golongan Kafir Jahil itu.

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ

Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka;

Apabila kilat menyambar, cahayanya yang terang akan menyinari seketika.

Ayat ini bermaksud, apabila Al-Quran itu dibacakan kepada mereka, hampir-hampir hujah Al-Quran itu memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah Al-Quran itu mereka hendak terima kerana hujah itu memang telah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat.

Namun demikian, orang munafik walaupun jelas sekali pun, mereka tidak mahu terima juga. Mereka tolak juga kerana berat bagi mereka jika terima. Akhir sekali, mereka buat endah tidak endah.

كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ

Setiap kali kilat itu menerangi mereka, mereka berjalan di dalamnya;

Sekali lagi, bayangkan keadaan terang yang disebabkan oleh kilat itu. Kalau keadaan gelap, jalan tidak nampak, maka tidak boleh berjalan kerana takut terlanggar benda. Jadi, apabila kilat ada, nampaklah sebentar jalannya.

‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, yang disebabkan oleh agama, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya. Apa-apa sahaja yang mereka boleh dapat keuntungan jika ikut. Orang politik, ada yang menggunakan agama untuk mendapatkan sokongan masyarakat. Waktu itu, mereka gunalah hujah agama.

وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

“Dan apabila gelap menyelubungi mereka, mereka berdiri”;

Tetapi, apabila keadaan gelap balik, mereka berhenti berjalan. Mereka tengok apa kepentingan yang mereka boleh dapat lagi jika ikut agama.

Maknanya, orang munafik ini, apabila nampak ada manfaat kepada mereka kalau mereka ikut Islam, mereka akan ikut. Tetapi bila Islam tidak memberi faedah kepada mereka, mereka tidak mahu ikut. Apabila mereka lihat agama Islam itu menyusahkan mereka, mereka tidak mahu nak ikut. Mereka ikut sekejap sahaja.

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ

“Kalaulah Allah SWT kehendaki”,

Allah SWT hendak beritahu, Allah SWT boleh buat apa yang Dia mahu, tetapi kadang-kadang tidak semestinya Allah SWT akan buat.

Apa yang Allah SWT kata Dia boleh buat itu?

لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۚ

nescaya Allah SWT telah hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka;

Allah SWT boleh hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka disebabkan oleh keengganan mereka menerima kebenaran sepenuhnya. Maksudnya, Allah SWT boleh sahaja hendak hukum terus mereka.

Tetapi Allah SWT tidak berbuat begitu kepada mereka. Allah SWT biarkan sahaja mereka duduk dalam keadaan munafik mereka.

Kelak, segala kesalahan yang mereka lakukan akan menjadi hujah di akhirat. Mereka telah dapat segalanya yang diperlukan untuk beriman. Mereka tidak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dahulu tidak dengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan kepada mereka, kerana Allah SWT telah beri pancaindera, telah ada Al-Quran dibacakan kepada mereka, telah ada orang yang memberi nasihat dan ajar mereka. Apa lagi alasan mereka? Tiada.

Allah SWT juga tidak terus beri azab di dunia supaya mereka ada peluang untuk beriman.

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Sesungguhnya Allah SWT atas segala sesuatu itu berkuasa sungguh”.

Walaupun Allah SWT tidak buat, tetapi Allah SWT sebut dalam ayat ini kerana hendak memberitahu yang Dia boleh buat إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ Dia Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Dia tidak buat bukanlah kerana Dia tidak boleh buat.

Maka, janganlah kerana Allah SWT tidak buat, kita sangka Allah SWT tidak akan buat. Rahmat Allah SWT telah memberi kita peluang menyebabkan kita masih selamat lagi, kerana jika diikutkan dosa, entah berapa kali kita akan diazab.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan