Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Bayyinah (Pengenalan dan Ayat Pertama)

Tafsir Surah Al-Bayyinah (Pengenalan dan Ayat Pertama)

14024
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Bayyinah

Maksud: Bukti Yang Nyata

Surah ke: 98 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 100 )

Bilangan ayat: 8

Kategori: Madaniyyah

35 kalimat, 149 huruf

Antara kandungan dan kaitan antara Surah Al-Bayyinah dan Al-Qadr :

1. Dalam dua surah sebelum ini, kita telah mempelajari / mengenali Al-Quran serta sejarah berkenaan.

Surah Al Bayyinah pula menerangkan intipati ajaran di dalam Al-Quran dan kesan kepada masyarakat tersebut, dan kesan sepanjang zaman.

2. Surah ini juga mengandungi pelajaran agama yang amat penting tetapi diterangkan dengan “ringkas”.

Maksudnya: Walaupun ayat ini hanya 8 ayat, tetapi ia mempunyai nilai pengajaran yang besar.

  1. Salah satu dari surah yang susah untuk ditafsirkan.
  2. Surah ini juga menjelaskan kepada kita bagaimana sifat orang yang degil dengan tidak mahu menerima Al-Quran.

Muqaddimah:

Mufassir berselisih pendapat berkaitan tempat surah ini diturunkan.

Boleh dikatakan, sama seimbang yang mengatakan surah ini diturunkan di Mekah dan ada yang mengatakan ia diturunkan di Madinah.

Ada riwayat dari Ibn Abbas mengatakan ianya kategori Makkiyah dan ada pula riwayat dari Aisyah r.a yang mengatakan ianya adalah Madaniyyah.

Namun ada pendapat yang lebih mengatakan ianya adalah Madaniyyah “kerana” terdapat kisah mengenai Ahli Kitab yang selalunya memberi isyarat ianya Madaniyyah.

Nanti kita akan bincangkan di penghujung ayat pertama, tetapi sebagai gambaran jawapan.

Beberapa ayat ini agak kontradik dengan situasi sebenar yang berlaku.

“Ayat pertama ni jelaskan seolah-olah mereka ( ahli Kitab dan Musyrikin ) akan beriman setelah Nabi SAW bawakan bukti yang nyata. Namun hakikatnya kita dapati, ayat ini seolah-olah berbeza dengan keadaan sebenar ( iaitu mereka tidak beriman pun ).”

Maksud Makkiyah / Madaniyyah :

Ada beberapa pendapat dan pelajaran “di luar” sana.

1.Yang biasa kita dengar / belajar:

– iaitu TEMPAT TURUN wahyu tersebut.

– Makkiyah : bermaksud turun wahyu itu di Makkah.

– Madaniyyah : bermaksud turun wahyu itu di Madinah.

2. Ada juga dimaksudkan:

– Berkaitan dengan MASA

– Makkiyah : SEBELUM Hijrah

– Madaniyyah : SELEPAS Hijrah

Saya lebih cenderung “maksud” yang kedua : berkaitan masa / zaman.

Kerana:

– Ada wahyu yang turun bukan dari tanah Makkah / Madinah.

– Ada wahyu yang turun di Makkah ( lebih tepat lagi di Mina ), tetapi Mufassir kategorikan sebagai Madaniyyah.

– Sebab surah itu turun selepas Hijrah ( rujuk surah [110: An-Nasr ]

Tafsir Ayat Pertama:

لَم يَكُنِ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتابِ وَالمُشرِكينَ مُنفَكّينَ حَتّىٰ تَأتِيَهُمُ البَيِّنَةُ

“Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata”,

Ayat ini memberitahu kita bahawa Ahli Kitab dan Musyrikin tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman mereka, selagi tidak sampai kebenaran ( bukti yang nyata ) kepada mereka.

Sebelum kita membincangkan ayat ini, elok sebenarnya kita faham terlebih dahulu beberapa golongan yang terdapat dalam ayat pertama ini.

Pertama:

كَفَروا

“Orang-orang kafir…”

Kafir: Orang yang melakukan.

Kufur: Perbuatan yang mereka lakukan.

Kafir adalah sebuah istilah dalam Islam yang digunakan untuk menyebut manusia yang mengingkari apa yang dibawa oleh Rasul.

Konteks hari ini: ingkari apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Soalan : Apakah yang dibawa oleh Rasulullah SAW?

Kedua:

أَهلِ الكِتابِ

“ahli Kitab…”

Soalan : Siapakah Ahli Kitab?

Jawapan:

Dalam Islam, para mufassir sentiasa berpendapat bahawa istilah Ahlul Kitab merujuk kepada: Yahudi dan Nasrani.

Namun pecahan yang lebih khusus “siapakah” ahli Kitab ~

At-Tobari, Al-Qurtubi dan Ibnu Katsir : Yahudi dan Nasrani

Imam Asy-Syafi’i : Yahudi dan Nasrani DARI Bani Israil

Ada yang beriman dan

Ada yang kafir (tidak beriman) Captain

Ketiga:

المُشرِكينَ

“orang-orang musyrik…”

Musyrik : Orang yang melakukan.

Syirik : Perbuatan yang mereka lakukan.

Syirik bermaksud menyekutukan Allah SWT. Yakni berlawanan dengan kalimah Tauhid / Syahadah kita yang bersaksi tiada “ilaah” selain Allah SWT.

Dosa perbuatan Syirik sangat besar, sehingga diumpamakan lebih dahsyat dari membunuh.

Firman Allah SWT dalam [Al-Baqarah: 191]

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ ۚ

“fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…”

Mufassir menjelaskan maksud Fitnah di sini ialah perbuatan “Syirik” ( bukan seperti yang difahami dalam bahasa Melayu yang kita fahami).

**Info tambahan: Tiada satu kalimah “fitnah” di dalam Al-Quran bermaksud tuduhan seperti yang difahami dalam Bahasa Melayu.

Selain itu, syirik itu juga adalah satu kezaliman yang sangat besar!

Firman Allah SWT dalam [Luqman: 13]

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

 

Soalan : Bagaimanakah amalan Musyrik di sisi Allah?

Kita renungi satu Firman Allah:

Firman Allah SWT dalam [Az Zumar: 65]

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”.

Allah jelaskan dengan tegas!

لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ

“tentulah akan gugur amalmu!”

Pada perbahasan awal ini, kita pelajari / ulangkaji terlebih dahulu definisi 3 golongan di atas. Ini kerana syarah ayat yang seterusnya akan berkaitan dengan golongan yang kita sebuntukan tersebut.

Walau bagaimana pun, sedikit makna umum yang kita boleh fahami dahulu dari ayat pertama ini:

لَم يَكُنِ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتابِ وَالمُشرِكينَ مُنفَكّينَ حَتّىٰ تَأتِيَهُمُ البَيِّنَةُ

“Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata”,

Bermaksud:

Mereka (Musyrikin dan Ahli Kitab) tidak akan meninggalkan kekafiran sehinggalah sampai wahyu yang benar kepada mereka.

Walau bagaimana pun golongan Ahli Kitab dan Musyrikin itu tetap berada dalam kekafiran mereka, walaupun telah sampai dalil yang benar.

Namun boleh jadi hari ni, Ahli Kitab termasuk sifat musyrikin “kerana” mereka tidak lagi bertauhid Allah itu Esa

Nasrani: Mengatakan Nabi Isa as itu anak Allah SWT.

Yahudi: Mengatakan Uzair itu anak Allah SWT.

Ayat pertama ini jelaskan seolah-olah mereka ( ahli Kitab dan Musyrikin ) akan beriman setelah Nabi SAW bawakan bukti yang nyata.

Namun hakikatnya kita dapati, ayat ini seolah-olah berbeza dengan keadaan sebenar ( iaitu mereka tidak beriman pun ).

Perihal ini menyebabkan para mufassir menghuraikan banyak perkara. Inilah yang kita akan perhalusi dan bincangkan dalam siri kuliah yang seterusnya.

Ibrah dan kesimpulan:

1. Iktibar dari surah ini, kita sepatutnya sentiasa bersyukur dan bertambah Iman terhadap hakikat sifat Pemurah Allah serta keadilan-Nya iaitu bukan sahaja memberikan perintah beriman. TETAPI turut menurunkan “Bukti Yang Nyata” ( surah Al-Bayyinah ).

2. Sungguh besar kecelakaan bagi mereka yang telah jelas kebenaran ajaran Al-Quran, tetapi menolak untuk beriman dan menurut apa Allah SWT telah firmankan.

3. Sebagai seorang Muslim yang tekun meneladani Al-Quran, hendaklah sentiasa mengulang kaji atau terus belajar istilah-istilah asas / makna perkataan dalam Al-Quran agar lebih memahami dan mampu membuka minda agar lebih luas untuk berfikir.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan