Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Ayat Ke-16 hingga Ke-18

Tafsir Surah Al-Baqarah – Ayat Ke-16 hingga Ke-18

2118
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-16

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلالَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِجارَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ

“Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah”.

أُولَٰئِكَ

“Orang-orang yang bersifat begini”,

Iaitu mereka yang bersifat munafik seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ni,

الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ

“adalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan jual petunjuk”;

Ini adalah kerana mereka menukar hidayah dengan kesesatan. Bayangkan mereka ini telah jumpa Nabi (nikmat amat besar). Mereka dengar sendiri wahyu Allah SWT dibacakan kepada mereka oleh mulut Nabi sendiri namun, mereka masih lagi tidak beriman. Pelik benar kesesatan mereka. Mereka ada peluang yang amat baik sekali kerana mereka bersama Nabi tapi mereka tidak mahu mengambil peluang itu. Mereka buang peluang keemasan mereka yang dapat duduk dengan Nabi dan para sahabat yang lain.

Ayat ini kata, mereka ‘beli’ kesesatan dengan ‘jual’ hidayah. Bukanlah ia maksudnya mereka telah mendapat hidayah tetapi tukarkan hidayah itu dengan kesesatan. Tapi sebenarnya yang dimaksudkan adalah mereka tukar peluang, tidak mengambil peluang yang tersedia. Mereka tidak pernah ada hidayah sebenarnya.

فَمَا رَبِحَتْ تِجَارَتُهُمْ

“Tidaklah untung perniagaan mereka”

Jika perniagaan jual beli, tentu kita hendakkan keuntungan, bukan? Tetapi perniagaan jual beli mereka ini tidak menguntungkan malah merugikan mereka. Mereka tidak beroleh keuntungan sampai bila-bila. Semoga Allah SWT selamatkan kita dari menjadi seperti mereka.

‎وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ

“Dan tidaklah mereka terpimpin”

Mereka sangka mereka terpimpin, dapat hidayah, sudah baik, tetapi Allah SWT menafikan hal itu. Mereka tidak terpimpin langsung. Banyak ayat-ayat sebegini dalam Al-Quran. Tentang mereka yang rasa mereka sudah pandai, sudah terpimpin, sudah beriman, tetapi tidak sebenarnya. Semua kena diperiksa semula dengan ayat-ayat Al-Quran. Selagi tidak belajar tafsir, tidak akan tahu mana yang salah. Kadangkala kita sahaja yang perasan kita telah ‘OK’, tetapi sebenarnya tidak sama sekali.

Bayangkan, amat rugi sekali golongan munafik itu, dapat peluang belajar sendiri dengan Nabi, duduk melihat Nabi dan berkhidmat dengan Nabi, tetapi mereka lepaskan peluang keemasan itu. Tidak ada lagi peluang itu sekarang dan sampai bila-bila pun kerana tidak akan ada Nabi lagi di dunia selepas ini.

Kita pun janganlah lepaskan peluang apa-apa sahaja yang kita ada untuk belajar Al-Quran. Belajar tafsir Al-Quran ini adalah kewajipan dan kita kena ambil peluang untuk belajar. Kalau tidak ada guru di tempat kita, maka wajib untuk kita pergi mengembara ke tempat yang lain untuk belajar. Kadang-kadang guru sudah datang ke tempat kita, sudah dekat dengan kita, ada juga yang tidak mahu belajar.

Zaman sekarang, kita dimudahkan oleh Allah SWT dalam menuntut ilmu. Boleh belajar dengan macam-macam media, antaranya boleh belajar di hujung jari sahaja, dalam Whatsapp/Telegram ini. Tinggal hendak baca dan terlibat secara aktif sahaja. Ambillah peluang yang ada. Tidak susah, bukan? Sambil duduk-duduk boleh belajar. Boleh baca bila ada masa lapang.

Namun begitu, tetap belajar secara talaqqi (tadah kitab di hadapan guru) lebih baik lagi dari belajar dengan media ini. Carilah pengajian yang ada. Jangan bergantung terus kepada media sosial ini. Saya setuju ajar ini kerana saya berharap akan dapat menaikkan minat anda semua untuk belajar tafsir Al-Quran dengan lebih mendalam. Oleh itu hendaklah belajar dan menuntut di hadapan guru. Jadikan media sosial ini sebagai pemangkin untuk belajar; dan kepada yang telah belajar, ia menjadi tempat untuk muzakarah, ingatkan kembali ayat-ayat yang telah belajar.

Kenanglah bagaimana orang-orang terdahulu dari kita terpaksa mengembara beribu-ribu batu untuk belajar seperti Imam Bukhari dan banyak lagi ulama-ulama lain. Mereka pula belajar dalam keadaan susah dan payah. Ada perawi Sahih Bukhari yang kerana tidak ada wang, terpaksa menjual baju yang dipakainya, Allahu Akbar! Membaca kisah-kisah mereka, saya kadang-kadang termangu sendirian.

Tiada bayaran dikenakan, percuma sahaja. Sesungguhnya, pengajaran yang berteraskan sunnah adalah percuma. Mereka yang telah tahu, wajib mengajar sampaikan ilmu, dan yang tidak tahu pula, wajib belajar. Jika pembelajaran itu kena bayar, bagaimana pula dengan mereka yang tidak ada duit? Tentunya itu menyekat pembelajaran seseorang. Takkanlah agama Islam membenarkan orang miskin tidak belajar? Bukankah agama Allah SWT ini adil? Takkan yang kaya sahaja boleh belajar yang miskin terus berada dalam kejahilan?

Kita jangan malu dalam menuntut ilmu. Jangan malu untuk bertanya. Dalam Sahih Bukhari, Kitab Ilmu, Bab ‘Malu Dalam Menuntut Ilmu’, Imam Bukhari membawakan satu hadis tentang wanita Ansar.

‎127 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ أُمِّ سَلَمَةَ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنْ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ فَغَطَّتْ أُمُّ سَلَمَةَ تَعْنِي وَجْهَهَا وَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوَتَحْتَلِمُ الْمَرْأَةُ قَالَ نَعَمْ تَرِبَتْ يَمِينُكِ فَبِمَ يُشْبِهُهَا وَلَدُهَا

  1. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Salam berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Abu Mu’awiyah berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari Zainab puteri Ummu Salamah, dari Ummu Salamah ia berkata, “Ummu Sulaim datang menemui Rasulullah shallAllah SWTu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT tidak malu menyatakan perkara benar. Apakah bagi wanita wajib mandi jika ia bermimpi (bermimpi melakukan hubungan seks)?” Nabi shallAllah SWTu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya, jika dia melihat air (terkeluar air mani dari farajnya).” Ummu Salamah lalu menutupi wajahnya seraya bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita juga bermimpi?” Beliau menjawab: “Ya. Ah! Teruklah engkau, jika tidak, bagaimana anaknya menyerupainya??”

Lihat bagaimana Islam tidak menganjurkan malu dalam menuntut ilmu. Malu memang molek, tapi bukan malu dalam menuntut ilmu. Kerana kalau malu, terus jadi jahil. Jadi jangan malu untuk bertanya.

Maka, teruskan belajar, jangan putus ada. Kena bersabar dalam belajar, dan kena tahan kerana kita belajar ayat-ayat Allah SWT. Ianya mengandungi banyak teguran dan peringatan. Memang ada ayat-ayat yang menegur perbuatan salah kita. Kadang-kadang kita akan jumpa ayat yang terkena batang hidung kita. Seolah-olah ayat itu ditujukan khas kepada kita sahaja. Dalam keadaan begitu, ingatlah bahawa itu adalah nasihat dan teguran dari Allah SWT. Janganlah lawan dan marah pula. Ambillah teguran itu sebagai teguran membina, untuk membetulkan fahaman kita.

Tafsir Ayat Ke-17

Sekarang kita akan lihat satu perumpamaan. Allah SWT beri ayat-ayat bandingan atau perumpamaan supaya lebih jelas apa yang hendak disampaikan. Ini dipanggil ‘Ilmu Bayan’ supaya jelas kepada manusia yang membaca dan belajar Al-Quran. Manusia memang mudah faham kalau ada perbandingan dan Allah SWT gunakan banyak sekali perbandingan dalam Al-Quran.

Ayat 17-18 adalah ayat bandingan tentang orang Musyrikin dan Yahudi iaitu mereka yang jenis ‘kafir degil’.

Dan ayat 19-20 pula adalah ayat bandingan untuk mereka yang ‘kafir jahil’ iaitu Munafikin dan Nasara.

Pengelasan ini adalah hasil dari penelitian ulama tafsir setelah mengkaji ayat-ayat Al-Quran. Cuma tidaklah ada kesepakatan antara ulama tentang siapakah yang dimaksudkan kerana pemahaman ulama pun berbeza-beza. Alhamdulillah dengan hasil usaha mereka, kita dapat faham Al-Quran ini, asalkan kita mahu belajar sahaja.

‎مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لَّا يُبْصِرُونَ

“Perbandingan hal mereka samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah SWT hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun)”.

‎مَثَلُهُمْ

“Bandingan mereka itu”

Iaitu contoh orang yang Kafir Degil ini,

‎كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا

Seperti satu orang yang menyalakan api;

Ayat ini adalah dalam bentuk perumpamaan. Jadi kena bayangkan situasi ini dengan menggunakan imaginasi. Bayangkan ada seorang lelaki yang menyalakan unggun api. ‘Orang’ yang menyalakan api itu adalah isyarat kepada Nabi Muhammad SAW.

Lafaz نارًا – ‘Api’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ayat-ayat Al-Quran’ kerana sebagaimana api menerangi kegelapan, cahaya Al-Quran juga menerangi kegelapan syirik. Dengan ayat-ayat Al-Quran dapat mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik. Seperti firman Allah SWT dalam Ibrahim:1

‎الر ۚ كِتابٌ أَنزَلناهُ إِلَيكَ لِتُخرِجَ النّاسَ مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ بِإِذنِ رَبِّهِم إِلىٰ صِراطِ العَزيزِ الحَميدِ

“Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepada mu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”.

‎فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ

“apabila ia menerangi yang di sekelilingnya”

Allah SWT memberikan perumpamaan dalam bentuk visual. Bayangkan satu keadaan di mana seorang lelaki menyalakan unggun api di malam hari dan di sekelilingnya ada beberapa orang lelaki. Disebabkan ada unggun api itu, maka keadaan jadi terang benderang.

‘Lelaki-lelaki’ yang dimaksudkan itu adalah mereka yang jenis ‘kafir degil’, iaitu musyrikin Arab Mekah. Memandangkan surah Al-Baqarah ini adalah surah Madaniyyah, maka ia juga merujuk kepada golongan kafir degil yang satu lagi yang berada di Madinah: Golongan Yahudi.

Maka, ia boleh jadi kedua-dua golongan itu dan mereka yang berperangai seperti mereka. Ada ramai dari kalangan masyarakat kita yang setelah dibacakan tafsir Al-Quran masih juga menolak kerana degil. Serupalah keadaan mereka itu.

‎ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ

“Allah SWT tarik dan hilangkan cahaya dari mereka”

Allah SWT tarik cahaya itu dari mereka. Sepatutnya mereka dapat cahaya itu, tetapi Allah SWT telah tarik dari mereka disebabkan oleh kedegilan mereka, hati mereka menolaknya. Peluang telah diberi tetapi mereka tinggalkan sahaja.

Beginilah perbandingan yang diberikan oleh Allah SWT supaya kita boleh faham. Kerana ada orang yang akan faham apabila diberikan penerangan dalam bentuk perbandingan. Inilah cara Al-Quran menjelaskan agama kepada manusia.

‎وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ

“Dan Allah SWT membiarkan mereka dalam kegelapan”;

Apabila Allah SWT tarik cahaya wahyu itu dari mereka, kesan kepada mereka adalah mereka terbiar dalam kegelapan. Kegelapan itu adalah syirik kufur.

‎لَا يُبْصِرُونَ

“Dan mereka tidak dapat melihat”;

Mereka tidak dapat melihat bahawasanya mereka sedang duduk dalam syirik kufur. Bila kita cerita kepada mereka tentang syirik kufur, mereka tidak faham, mereka tidak dapat melihat kebenaran lagi. Allah SWT telah tutup cahaya dari mereka. Dan bukankah untuk melihat, kita memerlukan cahaya?

Tafsir Ayat Ke-18:

Bagaimanakah keadaan mereka?

‎صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

“Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran)”.

‎صُمٌّ

Pekak

Telinga mereka masih boleh lagi mendengar, tetapi mereka tidak boleh ‘mendengar’ kebenaran. Kalau orang cerita tentang agama, mereka tidak suka dengar, tidak faham apa yang diperkatakan. Ada kan kita jumpa orang seperti ini, kita cakap tetapi dia macam tidak dengar sahaja. Muka ‘blur’ sahaja.

‎بُكْمٌ

Bisu

Mereka ada mulut dan boleh bercakap tapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran.

Mereka hendak minta diberi kefahaman pun sudah tidak boleh lagi kerana mereka telah jadi ‘bisu’. Mereka buat senyap sahaja. Mereka tidak faham tentang agama, tetapi mereka tidak mahu bertanya kepada orang yang lebih tahu – berat mulut.

‎عُمْيٌ

Buta;

Mata mereka masih boleh nampak lagi dari segi fizikal, tapi mereka tidak boleh nampak kebenaran.

Ketiga-tiga perkara di atas adalah cara untuk mendapatkan ilmu agama (dengar, tanya, lihat). Oleh itu, ketiga-tiga cara untuk mendapat ilmu telah dihilangkan dari mereka. Kalau hilang satu atau dua, sekurang-kurangnya mereka ada lagi deria untuk mendapat maklumat. Tetapi apabila Allah SWT telah hilangkan ketiga-tiganya, mereka tidak ada harapan lagi.

Begitulah perumpamaan kepada mereka yang kafir degil. Mereka tidak akan dapat menerima kebenaran lagi. Hati mereka telah ‘dikunci mati’ dari terima kebenaran agama. Peluang untuk mendapat hidayah telah ditarik dari mereka.

‎فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ

“Dan mereka sekali-kali tidak dapat kembali”;

Mereka tidak akan dapat kembali kepada jalan tauhid, kerana telah kehilangan tiga-tiga pancaindera maka tidak peluang lagi untuk mereka. Tidak ada cara untuk meminta tolong. Mereka tidak dapat kembali ke jalan tauhid yang dibawa oleh Nabi. Mulanya mereka ada peluang kerana Nabi ada bersama-sama mereka, tetapi apabila mereka telah tenggelam dalam lembah menolak kebenaran, maka tiada lagi peluang

Mereka hilang peluang itu kerana mereka telah sampai kepada tahap kafir ‘Peringkat Keempat’. Iaitu apabila Allah SWT sudah kunci mati hati mereka dari kebenaran.

Justeru, kita hendaklah ingat akan perkara ini kerana jika tidak, kita akan salahkan Allah SWT atas kesesatan orang itu. Padahal bukanlah Allah SWT terus kunci mati hatinya melainkan telah diberikan peluang berkali-kali.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan