Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-2 dan Ke-3

Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-2 dan Ke-3

1381
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-2:

Ini adalah Dalil Wahyi (Rujuk nota lepas apakah maksudnya). Ia untuk memberitahu kepada kita bahawa apa yang disampaikan oleh Allah SWT tentang ‘Tauhid dalam Berdoa’ ini bukanlah rekaan dari Nabi Muhammad SAW tetapi ia adalah titah suruhan dari Allah SWT sendiri.

Dalil Wahyi juga mengajar kita untuk menggunakan dalil dalam berhujah. Kalau kita katakan sesuatu tentang agama, kenalah diberikan dalil dari nas.

تَنزيلُ الكِتابِ مِنَ اللَّهِ العَزيزِ العَليمِ

“Turunnya Al-Quran ini dari Allah SWT Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”;

“Turunnya Kitab (Al-Quran) ini adalah dari Allah SWT”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Al-Quran ini daripada Allah SWT. Bukan dari yang selain daripada Allah SWT. Maka kena belajarlah sampai kita faham apa yang Allah SWT hendak sampaikan. Jangan baca sahaja tetapi tidak faham.

Tidak ada perkataan yang lebih utama selain dari kalam Allah SWT. Maka, kenalah terima Al-Quran ini. Kalau orang lain kata ada lagi Kalam Tuhan selain dari Al-Quran ini, maka kenalah bawakan bukti supaya kita pun boleh tengok dan bandingkan sama-sama sama ada boleh diterima atau tidak.

الْعَزِيزِ

“yang Maha Gagah Perkasa”

Allah SWT memperkenalkan Diri-Nya dalam ayat ini. Al-Aziz bermaksud yang Maha Perkasa, yang tidak boleh dikalahkan. Dia menguasai segala-galanya. Dia boleh buat apa sahaja yang Dia hendak.

الْعَلِيمِ

“dan Maha Mengetahui”.

Allah SWT juga Maha Mengetahui. Hanya Dia sahaja yang mengetahui segala-galanya. Tidak sama ilmu Allah SWT kalau dibandingkan dengan makhluk-Nya. Ilmu Allah SWT lengkap dan merangkumi segala-galanya. Kita pun ada ilmu juga, tetapi ilmu kita amat terhad.

Oleh kerana Al-Quran itu diturunkan dari Allah SWT yang Maha Perkasa dan Ilmu-Nya meliputi segala-galanya, maka berikan keutamaan kepada Al-Quran ini sahaja. Ia bukan buku biasa. Jangan kita buat tidak tahu sahaja. Jangan kita letak sahaja di pejabat dan di rak buku di rumah (Al-Quran is for yourself, not your shelf). Jadikanlah ia sebagai sumber rujukan kehidupan kita.

Ada dua sifat disebut dalam ayat ini. Dua sifat ini adalah kunci kepada sifat-sifat yang lain. Kalau dapat menjiwai dua sifat ini, maka akan mudah untuk menerima sifat-sifat yang lain. Dua sifat ini adalah tentang ‘kuasa’ dan tentang ‘ilmu’.

1.Setiap hari kita ada hajat dan musibah. Kita pun selalu mengadu kepada Allah SWT yang memang tahu pun masalah itu kerana Dia Maha Mengetahui. Allah SWT sahaja yang tahu sama ada ia baik untuk kita atau tidak. Maka, kita serahkan kepada Allah SWT sama ada molek untuk kita atau tidak – Maha Tahu.

2.Allah SWT sahaja yang berkuasa penuh boleh selesaikan masalah itu. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh menunaikan hajat kita. Kalau minta kepada selain daripada Allah SWT, tentu mereka tidak boleh tolong pun kerana mereka tiada kuasa penuh, bukan? – Maha Kuasa.

Jadi dua sifat ini adalah dua sifat utama dalam berdoa. Kena ingat dua sifat ini semasa berdoa. Kalau kita faham dua sifat ini, maka kita tidak ada masalah untuk berdoa hanya kepada Allah SWT kerana kita tahu, Dia lah tempat pengharapan yang paling sesuai kerana dua sifat itu. Tidak payah meminta kepada yang selain daripada Allah SWT.

Malangnya, orang yang ada fahaman syirik dalam diri mereka, mereka rasa macam ada lagi Ilah selain Allah SWT yang ada kuasa dan ada ilmu. Maka, sebab itu mereka seru dan minta doa kepada entiti-entiti itu – sama ada Nabi, wali atau malaikat atau apa sahaja.

Tafsir Ayat Ke-3:

Allah SWT terus memperkenalkan Diri-Nya dalam ayat ini. Ada 3 Sifat jenis Jamaliah dan 1 Sifat jenis Jalaliah. Kalau kenal Sifat-sifat ini, manusia tidak akan lari lagi dari Allah SWT. Mereka akan menerima Allah SWT sebagai yang sepatutnya kerana dari Sifat-sifat ini, kita akan kenal Allah SWT, akan takut dengan Allah SWT.

Takut kepada Allah SWT adalah berbeza dengan takut kepada makhluk kerana kalau takut kepada makhluk, kita akan lari, macam kita lari dari harimau, berlainan kalau dengan Allah SWT. Semakin kita takut kepada Allah SWT, semakin kita akan mendekat dengan Allah SWT.

Sifat Jamaliah: Sifat yang membawa kebaikan kepada hamba. Ini adalah sifat yang dicari oleh setiap hamba.

Sifat Jalaliah: Sifat yang membawa keburukan kepada hamba. Ini adalah sifat yang amat ditakuti oleh makhluk.

Ringkasnya, Sifat Jamal kita suka; sifat Jalal, kita takut.

غافِرِ الذَّنبِ وَقابِلِ التَّوبِ شَديدِ العِقابِ ذِي الطَّولِ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ إِلَيهِ المَصيرُ

“Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azab-Nya; Yang Melimpah-limpah kurnia-Nya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepada-Nyalah tempat kembali”.

غَافِرِ الذَّنبِ

“Yang mengampun dosa”.

Allah SWTlah yang mampu ampunkan dosa makhluk-Nya. Apabila digunakan perkataanغَافِرِ dalam ayat ini dalam bentuk begitu, itu bermaksud yang Allah SWT berterusan ampunkan dosa hamba-Nya. Mungkin hamba itu melakukan dosa, kemudian telah bertaubat. Kemudian hamba itu melakukan lagi dosa yang sama dan bertaubat.

Allah SWT sanggup menerima taubat hamba-Nya itu kerana Allah SWT bersifat al-Ghaafir. Jadi ini adalah Sifat Jamaliah Allah SWT. Sifat Jamaliah ialah sifat indah, lemah lembut, cinta dan mengandungi segala yang baik. Allah SWT boleh menutup segala dosa-dosa yang kita lakukan kalau Dia mahu. Apabila Allah SWT tutup dosa kita, orang lain tidak tahu lagi tentang dosa kita, maka tidaklah kita malu di hadapan manusia dan makhluk yang lain kerana kalau orang lain tahu, tentulah kita malu.

Apabila kita menutup sesuatu, bermakna kita juga menjaganya, bukan? Sebagai contoh, kalau kita tutup kepala kita dengan helmet, bukan sahaja kepala ditutup, tetapi kepala itu juga dilindungi. Begitu juga, apabila Allah SWT tutup dosa kita, Dia melindungi diri kita dari ‘kesan’ dosa itu. Kerana dosa memberi kesan yang tidak elok kepada diri kita sebenarnya. Maka, kita memang mengharap semoga Allah SWT menutup dosa kita dan melindungi kita dari kesan buruk dosa itu kerana kita tidak mahu menerima kesan buruk dari dosa itu.

Perkataan الذَّنبِ bermaksud segala jenis dosa. Sesiapa sahaja yang meminta ampun kepada-Nya, Dia akan mengampunkan segala jenis dosa kita, tidak kira apakah dosa-dosa itu. Seperti yang Allah SWT sebut dalam [Az-Zumar: 53].

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

وَقَابِلِ التَّوْبِ

“Dan Penerima Taubat”.

Ini satu lagi Sifat Jamaliah.

Perkataan التَّوْبِ bermaksud ‘pulang’ dari segi bahasa. Iaitu rujuk balik ke tempat asal. Oleh itu, ‘taubat’ bermaksud pulang dari melakukan maksiat dan kembali kepada mengikut arahan Allah SWT.

Dalam erti kata yang lain, ia boleh diumpamakan seperti kita buat u-turn di jalan raya. Apabila kita sedang memandu dan kita sudah tahu yang kita sudah silap jalan, kita akan u-turn dan kembali kepada jalan yang betul, bukan?

Begitulah dengan bertaubat kepada Allah SWT. Apabila kita sedar yang kita telah melakukan kesilapan dan dosa, maka berhentilah dan ubahlah jalan kita.

Allah SWT menerima taubat hamba-Nya. Walaupun dosa yang dilakukan itu adalah dosa syirik. Syirik adalah dosa yang terbesar. Tetapi dosa sebesar itu pun Allah SWT boleh maafkan dan terima taubat hamba-Nya.

Asalkan taubat itu memenuhi syarat-syaratnya.

  1. Taubat itu mestilah jujur dengan hati yang ikhlas. Dia rasa bersalah dengan kesalahan yang dilakukannya, dan dia rasa menyesal akan kesalahannya itu.
  2. Tinggalkan dosa yang dilakukannya. Janganlah bertaubat, tetapi lepas bertaubat buat lagi. Itu tidak patut dilakukan dan kurang ajar dengan Allah SWT. Maka kita kenalah berusaha untuk meninggalkan perbuatan yang kita pernah buat itu.
  3. Memohon ampun kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Berharap kepada keampunan-Nya. Kerana kalau Allah SWT tidak ampunkan, musnahlah kita.
  4. Berikrar dan tetapkan dalam hati yang kita tidak mahu melakukan kesalahan itu lagi. Kalau dia rasa macam hendak buat lagi, maka itu bermaksud dia tidak rasa menyesal lagi atas kesalahan itu. Ingatlah kalau seseorang itu berikrar tidak mahu melakukan mana-mana kesalahan lagi, Allah SWT akan membantunya. Kadangkala, dia terbuat lagi, tetapi itu perkara lain. Yang penting, masa bertaubat itu, memang dia berniat tidak buat lagi.
  5. Kalau kesalahan itu melibatkan orang lain, dia kena perbaiki kesalahan itu dan sekurang-kurangnya dia kena minta maaf kepada orang itu.
  6. Dilakukan dalam masa yang betul, iaitu sebelum kita mati, sebelum Malaikat Maut datang menjemput. Bila telah mati, sudah tidak diterima taubatnya itu. Dan taubat itu sepatutnya dilakukan sebaik-baik sahaja dia sedar kesalahannya itu.
  7. Kalau kesalahan itu melibatkan hukum Hudud, maka Hudud perlu dijalankan.

Ini bila ada pemerintahan Islam, sekarang belum ada lagi.

Soalan: Bagaimana hukuman hudud dijalankan jika tiada pemerintahan Islam sekarang?

Jawapan: Hukum Hudud memang tidak dapat dijalankan. Bila tidak dijalankan, maknanya akan dijalankan di akhirat kelak. Sebab itu pada zaman Nabi, bila sahabat buat salah, mereka hendak dikenakan dengan hukum hudud supaya selesai di dunia sahaja.

Soalan: Bagi pembuat dosa zaman ini bagaimana pula?

Jawapan: Kita bertaubat, semoga Allah SWT ampunkan kita di akhirat kelak.

شَدِيدِ الْعِقَابِ

“Yang Maha Keras azab-Nya”

Allah SWT bersifat keras bagi sesiapa yang tidak mahu minta ampun dan bertaubat. Ini pula adalah Sifat Jalaliah Allah SWT. Ini adalah sifat yang keras. Sifat Jalal ialah sifat penyiksa, pemusnah, penghukum dan segala yang menakutkan kita dan menggerunkan.

Sebelum ini telah disebut sifat Allah SWT yang Maha Pengampun dan Penerima Taubat. Kalau kita baca dua itu sahaja, kita tentu sudah ada perasaan senang dengan Allah SWT.

Tetapi jangan setakat baca itu sahaja. Jangan kita rasa Allah SWT akan ampunkan sahaja. Dalam masa yang sama, kita kena ingat yang Allah SWT juga keras sifat-Nya. Apabila Allah SWT berikan hukuman kepada mereka yang patut dapat hukuman, azab itu amat keras.

Mereka yang tidak meminta ampun dan taubat, tidak melakukan amalan yang baik, hanya melakukan dosa sahaja – merekalah yang patut menerima azab itu.

Ingatlah jika Allah SWT hendak hukum kita dengan azab-Nya, kita tidak boleh lari ke mana-mana lagi. Maka ini adalah ayat amaran.

Jangan kita sangka yang azab itu diberikan kepada orang kufur sahaja. Sepertimana Allah SWT menerima ampun dan taubat dari semua makhluk-Nya sama ada beriman atau tidak, Allah SWT juga boleh mengenakan azab-Nya yang keras kepada orang kafir dan orang Islam juga. Maka, jangan kita sangka yang kita akan selamat hanya kerana kita telah jadi seorang Muslim kerana jika kita buat salah, kita pun boleh kena azab juga.

ذِي الطَّوْلِ

“Yang mempunyai kurnia yang luas”.

Ini adalah Sifat Jamaliah sekali lagi. Perkataan الطَّوْلِ asalnya bermaksud ‘panjang’. Bermaksud seseorang yang boleh menjangkau jauh. Ditafsirkan dalam ayat ini sebagai ‘mempunyai kurniaan yang banyak’. Bukan sahaja Allah SWT banyak kelebihan, tetapi Dia juga banyak memberi kelebihan dan kurniaan itu kepada manusia. Tidaklah Allah SWT simpan sahaja. Allah SWT amat banyak memberi. Lihatlah sekeliling kita, betapa banyaknya nikmat yang Allah SWT telah berikan kepada makhluk-Nya. Dari kita lahir sampai hujung hayat kita, entah berapa banyak nikmat dan rezeki yang Allah SWT telah berikan.

Nikmat yang amat besar yang Allah SWT telah berikan kepada kita adalah hidayah yang ada dalam Al-Quran ini.

Maka telah dapat nikmat itu, gunakanlah nikmat itu.

Dalam ayat ini disebut empat sifat Tuhan. Tiga sifat lembut mengatasi satu sifat yang keras. Sifat Jalaliah dikepung oleh sifat Jamaliah. Maka, sifat belas kasihan Allah SWT itu mengatasi sifat keras-Nya. Seperti satu hadis riwayat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu,

Ini bersesuaian dengan sabda Nabi:

Rasulullah SAW bersabda, “Tatkala Allah SWT menciptakan para makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.” (HR. Bukhari no. 6855 dan Muslim no. 2751

Oleh itu, wahai hamba Allah SWT, kenapa lari dari Allah SWT? Dekatilah Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُو

“Tiada ilah lagi melainkan Dia”.

Maksud ilah adalah tempat harapan hati hamba, tempat tumpangan hati hamba dalam pengharapan.

Tidak ada pengharapan yang khas melainkan kepada Allah SWT sahaja. Maka jangan jadikan keris, cincin, burung hantu dan lain-lain sebagai ilah. Selalunya, orang kita hanya sangka berhala musyrikin Mekah itu sahaja ilah tetapi ilah itu boleh juga dalam bentuk tok guru, tok wali, malaikat, Nabi dan sebagainya.

Dan oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam Doa, maka Tauhid yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Tauhid dalam Doa. Doa tidak boleh ditujukan kepada selain Allah SWT kerana doa (terutama dalam perkara luar asbab), hanya boleh diminta kepada Allah SWT sahaja.

Sebagai contoh, dalam meminta berkat, hanya boleh minta kepada Allah SWT sahaja, kerana berkat adalah perkara luar asbab. Dan kerana berkat itu milik Allah SWT sahaja. Dia yang membahagikan berkat kepada makhluk-Nya.

Oleh itu, jangan peluk ustaz, ustaz tidak ada berkat.

Hanya ikhtiar sahaja yang boleh dikira perkara dalam asbab, tetapi itu pun tidak boleh bergantung harap kepada asbab itu. Sebagai contoh, kita boleh minta doktor tolong sembuhkan penyakit kita, tetapi kita tidak boleh berharap kepada doktor itu, kerana dia hanya boleh usaha sahaja, sedangkan kesembuhan datangnya dari Allah SWT.

إِلَيْهِ الْمَصِيرُ

“Kepada Dialah kamu dikembalikan”.

Sama ada kamu puja Allah SWT atau tidak, sama ada sembah atau tidak, sama ada minta ampun kepada-Nya ataupun tidak, semua kita akan kembali kepada-Nya nanti. Maknanya, kita tidak boleh lari ke mana selepas kita mati, pasti akan bertemu dengan Allah SWT dan mengadap Allah SWT sahaja.

Hanya kepada-Nya sahaja kita akan kembali. Kita tidak bertemu dengan tuhan-tuhan atau ilah-ilah yang lain. Orang kafir sangka, apabila mereka mati nanti, mereka akan dibawa bertemu dengan tuhan mereka – Buddha, Siva, Jesus dan sebagainya. Mereka sangka sembahan mereka itu akan mempertahankan mereka, jadi peguam untuk mereka. Tidak sama sekali. Kita semua akan dikembalikan terus kepada Allah SWT.

Golongan sesat pula, ada yang sangka pujaan mereka seperti Imam Husein, Syeikh Abdul Qadir Jalani dan sebagainya akan suruh mereka duduk belakang mereka dan mereka akan memberi syafaat kepada mereka, tetapi tidak sama sekali. Semua kita akan mengadap Allah SWT dan kena jawab atas segala perbuatan kita.

Kalau di akhirat nanti, kita akan dikembalikan kepada Allah SWT, maka dalam dunia ini, kenalah kita selalu merujuk kepada Allah SWT. Kalau kita ada persoalan dalam hal agama, lihatlah apa yang Allah SWT telah sebut dalam Al-Quran dan apa yang Nabi telah terangkan dalam hadis yang sahih.

Jika kita hendak buat keputusan, mintalah pertolongan Allah SWT untuk menolong kita di dalam buat keputusan. Kalau kita ada masalah, maka mohonlah pertolongan kepada Allah SWT. Hadapkan wajahmu kepada Allah SWT. Maknanya, bukan di akhirat sahaja kita pergi kepada Allah SWT, di dunia lagi pun kita kena rujuk kepada Allah SWT.

 

Allahu’alam.

Komen dan Soalan