Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Insyirah – Ayat Ke-4 hingga Ke-6

Tafsir Surah Al-Insyirah – Ayat Ke-4 hingga Ke-6

15669
0
Iklan

Dua ayat (pertama dan kedua) yang saling berkaitan, iaitu: kelapangan dan ketiadaan beban, ibarat suatu kesempurnaan. Dalam pandangan lain, ia permulaan surah yang memberi motivasi kepada pembaca untuk usaha, doa berharap agar diberikan Allah SWT “kelapangan dan ketiadaan beban” ini.

Walau bagaimanapun, ada satu perkara lagi jenis “pemberian” Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

(kita katakan kepada Nabi SAW sebagaimana merujuk kepada perbincangan konteks surah terlebih dahulu) iaitu;

 

Tafsir Ayat ke-3:

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

“Dan Kami telah meninggikan bagi mu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? [Ash-Syarh: 4]. 

 

Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar Rahman

 

رَفَع bermaksud ‘meninggikan’ sesuatu.

Ini berlawanan dengan kalimah وَضَع yang disebut dalam ayat ke-dua surah ini. Dalam Al-Quran, kita akan dapati Allah SWT selalu menggunakan kalimah-kalimah yang berlawanan dan ini menambahkan kecantikan dalam ayat ini.

Contoh lain:

  • Dalam cerita penciptaan langit, ada juga perkataan bumi.
  • Perihal Dhuha (siang), ada ayat mengenai malam yang sunyi sepi
  • Kisah hidup dan mati

Dalam surah ini: Satu perihal “meletakkan” (ayat ke-2) dan ada juga perihal “mengangkat” (ayat ke-4).

 

ذِكرَ : diingati / sebutan

Dalam maksud lain, untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad SAW. Bagaimanakah cara Allah SWT meninggikan sebutan nama Nabi?

 

A) Kalimah Syahadah
  • apabila nama Allah SWT disebut, akan disebut bersamanya nama Nabi Muhammad SAW.
B) Khatib yang berkhutbah
  • Pasti beliau agak menyeru supaya berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
C) Azan
  • Sebagaimana bukan sekadar sebutan, bahkan ia adalah laungan yang setidaknya dibuat 5 kali sehari.
D) Tasyahhud
  • Syahadah yang dibaca ketika tahiyyat di dalam solat.

 

Ulasan A hingga D:

Ini secara umum. Tetapi jika melihat lebih dalam, besar ertinya berkaitan dengan perkara “ditinggikan”.

Maksud saya:

  1. Betapa besar Allah SWT kurniaan Allah SWT kepada Baginda SAW.
  2. Bila Allah SWT muliakan seseorang, hingga kiamat pun ia tetap mulia.

Berbanding manusia yang diangkat/diiktiraf sesama manusia. Cukup masa berlalu zamannya, maka perlahan-lahan lenyaplah namanya. Berbeza dengan pengiktirafan Allah SWT.

Maka antara ciri-ciri utama seseorang yang berpandangan jauh hingga akhirat ialah, cita-cita mulia di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT angkat darjatnya di sisi Allah SWT mulia di dunia hingga akhirat.

Selain daripada itu, sekadar tambahan, hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa mutlak untuk menaikkan/menjatuhkan seseorang.

Adapun dinaikkan pangkat oleh bos, itu hanya asbab dan ‘storyline’ sahaja. Hakikat sebenar yang beri “izin” ialah Allah SWT.

 

Rujuk surah [Yunus: 107]:

وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَآدَّ لِفَضْلِهِۦ ۚ يُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Dan jika Allah SWT mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah SWT melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.[Yunus – 107].

 

Hadis Nabi SAW:

Jagalah Allah SWT, pasti Dia menjagamu. Jagalah Allah SWT, Dia senantiasa bersamamu. Jika kamu memohon sesuatu, mohonlah kepada-Nya. jika meminta pertolongan, mintalah tolong kepada-Nya. Ketahuilah seandainya semua umat manusia bersatu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu kecuali yang sudah ditetapkan Allah SWT untukmu. Dan seandainya semua umat manusia bersatu untuk mencelakakanmu, mereka tidak mampu kecuali keburukan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untukmu. Pena sudah diangkat dan tinta sudah kering.” (HR Tirmidzi).

Maksud di sini, adalah tetap berusaha. Allah SWT yang mengizinkan sama ada kita mendapat manfaat/keburukan.

Seterusnya setelah Allah SWT meneguhkan hati Nabi Muhammad SAW (secara umum juga kepada kita) di bahagian awal surah ini, maka turun juga ayat yang lebih khusus membicarakan tentang “susah & senang”.

 

Tafsir Ayat ke-5 dan ke-6:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”.[Ash-Syarh: 5-6]

 

إِنَّ : ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ini adalah satu penekanan

مَعَ : ‘bersama’. Iaitu menyebut tentang dekatnya satu perkara dengan perkara yang lain

العُسرِ : kesusahan atau waktu yang susah

يُسرًا : sesuatu yang mudah, senang

Ayat ini bermaksud, sesungguhnya pasti dengan kesusahan yang dialami, ada kesenangan yang datang bersamanya, dekat dengannya. Dan kesenangan itu lebih banyak dari kesusahan.

Bahkan ada pengulangan ayat yang sama selepas itu. Menunjukkan penekanan sungguh-sungguh Allah SWT kepada hamba-Nya.

 

Secara asas dalam konteks Bahasa Arab:

  • Al U’sr (kesulitan) disebut secara makrifah ( digunakan Alif Lam sebagai maksud : diketahui jenis kesulitan itu).
  • Yusr (kemudahan) pula disebut secara nakirah ( TIDAK digunakan Alif Lam sebagai maksud : tidak diketahui jenis kesulitan itu/LUASnya maksud kemudahan itu).

Contoh, kesusahan yang Nabi tanggung, ada pertolongan selepasnya seperti: kesusahan di Mekah, namun banyak kemudahan di Madinah.

Oleh itu, bersabarlah Allah SWT bersama orang-orang yang sabar, yang “sukar” itu, pasti ada kemanisan selepasnya:

  • Sebagai pengalaman
  • Ilmu baharu
  • Menjadi pedoman untuk akan datang
  • Menguatkan jiwa

dan lain-lain yang akhirnya menjadi “hikmah”/wisdom yang tidak dapat kita belajar dalam kelas dan hanya diri sendiri sahaja merasai hikmah yang Allah SWT kurniakan kepadanya dari kesukaran yang dia pernah lalui.

 

Ibrah dan Kesimpulan:

 

Ayat Ke-4

  1. Martabat Nabi Muhammad SAW telah diangkat oleh Allah SWT dalam pelbagai cara, termasuk dengan kalimah syahadah.
  2. Pangkat dan kedudukan atas dunia sementara, akan tetapi anugerah Allah SWT (pelbagai) kepada orang beriman akan kekal hingga akhirat.
  3. Jagalah Allah SWT dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh, maka Allah SWT akan sentiasa bersama menjaganya.

 

Ayat Ke-5 dan Ke-6

  1. Setiap kesukaran pasti ada kemudahan.
  2. Allah SWT Maha Bijaksana mengatur kehidupan manusia.
  3. Maka sabar dan bersangka baiklah dengan Allah SWT.

(Nabi Yusuf as sukar hidup selepas terpisah dengan bapa, dicampakkan ke dalam perigi, digoda wanita, masuk penjara namun kemanisan yang datang dan nikmat selepas itu ialah baginda as menjadi menteri di Mesir).

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan