Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Pertama hingga Ke-3

Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Pertama hingga Ke-3

3450
0
Iklan

Tafsir Surah At-Tiin

Surah ke: 95 (akan tetapi kronologi penurunan ialah ke-28)

Bilangan ayat: 8

Kategori: Makkiyyah

34 kalimat, 150 huruf

Kaitan antara Surah Asy Syarhu (Al-Insyirah) dan At-Tiin:

1.Di Surah Asy Syarhu, Allah SWT memberikan gambaran (ciri-ciri) manusia yang bersungguh-sungguh dan fokus dalam hidupnya di samping kebergantungan kepada Allah SWT.

2. Maka di Surah At-Tiin ini pula Allah SWT menegaskan lagi kesempurnaan ciptaan manusia (yang Allah SWT telah jadikan).

3. Namun sebagaimana tingginya contoh iman/akhlak manusia beriman dalam Surah Asy-Syarhu, surah ini pula (At-Tiin) akan menerangkan bagaimanakah “kemerosotan” manusia tersebut (yang akan kita bincangkan dalam syarah ayat nanti).

Mukaddimah:

Allah SWT telah memulakan surah ini dengan beberapa sumpahan. Kita telah bincangkan dalam Surah Adh-Dhuha lagi tentang perkara ini.

A) Adakah kesemua sumpahan dalam Al-Quran terletak di awal surah?

Tidak semestinya. Ada juga sumpahan yang terletak di tengah surah.

Contoh – Rujuk [81: 15]

فَلَآ أُقْسِمُ بِٱلْخُنَّسِ

“Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul”; [At-Takwir: 15]

B) Kenapa Allah SWT bersumpah dengan makhluk?

Tiada dalil yang khusus, akan tetapi, ulama tafsir simpulkan:

i) Allah SWT mulakan sesuatu kenyataan dengan dahulukan sumpahan adalah untuk menarik perhatian manusia.

ii) Isyarat dari Allah SWT, untuk menunjukkan perkara yang Allah SWT nyatakan selepas sumpahan adalah perkara yang besar atau penting.

Maka, dengan mengetahui sedikit sebanyak perihal sumpahan ini, maka kita boleh mulakan Surah At-Tiin ini dengan:

Tafsir Ayat Pertama:

وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ

“Demi Tiin dan Zaitun”, [At-Tiin: 1]

Buah Tin adalah buah yang diberkati. Memang ada kelebihan pada buah Tiin sepertimana yang telah pernah disebut oleh Nabi:

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah Tiin. Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda:

”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”

Dari itu kita boleh faham bahawa buah Tin ini memang ada khasiat dan Allah SWT memberi isyarat tentangnya dalam Al-Quran.

AKAN TETAPI (Kena fahami betul-betul).

Soalan: Adakah Allah SWT hendak bercakap tentang buah atau tempat?

Kerana: Dalam masyarakat Arab, mereka juga menggelar sesuatu tempat dengan isyarat kepada apa yang terkenal di tempat itu.

Oleh itu, Mufassir berpendapat bahawa kalimat Tiin dan Zaitun mungkin bermaksud tempat atau kawasan tertentu. “Iaitu tempat di mana buah tin dan buah zaitun banyak”.

Oleh itu: AT TIIN

Ada beberapa tempat yang disenaraikan dalam kitab tafsir:

PERTAMA: Ada Qiil (Tiin bermaksud):

– Masjid di Damaskus

– Buah Tiin (Seperti yang biasa kita faham)

– Gunung di Damaskus

– Mungkin merujuk kepada Palestin, tempat yang banyak buah Tin dan Zaitun.

**Apakah maksud Qiil: Ia bermaksud “ada pendapat”. Namun belum pasti. Tidak sama kuat seperti lafaz Qaala.

KEDUA: Imam Al Qurtubi mengatakan ~

– Masjid Ashabul Kahfi

KETIGA: Ibnu Abbas mengatakan ~

– Masjid Nuh di Bukit Judi

Seterusnya AZ ZAITUN:

Buah Zaitun pula ada disebut dalam Surah [Nur: 35]

الزُّجاجَةُ كَأَنَّها كَوكَبٌ دُرِّيٌّ يوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ زَيتونَةٍ لا شَرقِيَّةٍ وَلا غَربِيَّةٍ يَكادُ زَيتُها يُضيءُ وَلَو لَم تَمسَسهُ نارٌ

“Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.”

Kalimat yang digunakan dalam ayat ini adalah:

شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ زَيتونَةٍ

Yang memberi isyarat: Pokok zaitun itu ada berkat. Dan ia sebagai simbol kesucian.

2 nama buah yang ada keberkatan, kita bukan diseru untuk paranoid/takjub sangat kepada buah-buahan, namun terimalah ia sebagai suatu perkara yang memang Allah SWT dan Nabi SAW telah nyatakan.

Seperti juga dengan buah Tin tadi, ada yang mengatakan ayat dalam Surah At-Tiin ini bukan hendak menceritakan tentang buah Zaitun sahaja, tetapi turut hendak menceritakan tempat.

Oleh itu ada yang mengatakan: AZ ZAITUN

PERTAMA: Qatadah mengatakan ~

Masjid di Baitul Maqdis

KEDUA: Ikrimah mengatakan ~

Buah Zaitun yang diperah (Seperti yang biasa kita faham)

**Boleh jadi juga “minyak” Zaitun

Tafsir Ayat Ke-2:

وَطُورِ سِينِينَ

“Dan Gunung Tursina” [At-Tiin: 2]

Ini adalah nama tempat Nabi Musa a.s bercakap-cakap dengan Allah SWT. Bukit ini terletak di Mesir. Sekali lagi Allah SWT hendak memperkatakan tentang tempat. Cuma kali ini lebih jelas yang dimaksudkan adalah tempat kalau dibandingkan dengan ayat pertama tadi.

Dan bukan sahaja tempat, tetapi merujuk kepada seorang Nabi yang terkait dengannya, iaitu Nabi Musa a.s.

Perkataan “Tursina” sebenarnya adalah asing bagi bangsa Arab. Jadi ini antara mukjizat Al-Quran yang menunjukkan memang Nabi SAW mendapat maklumat dari Allah SWT, jarak yang jauh juga antara Mesir dan Tanah Arab (tempat Nabi saw).

Seperti yang disebut dalam Surah [An Nisaa: 113]

وَأَنزَلَ اللَّهُ عَلَيكَ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَكَ ما لَم تَكُن تَعلَمُ

“Dan Allah SWT telah menurunkan Kitab dan hikmah kepada mu, dan telah mengajarkan kepada mu apa yang belum kamu ketahui”.

Ciri-ciri mengenai Tursina:

Tursina: Gunung/bukit yang subur, dipenuhi dengan tanaman hijau. Sepertimana disebut dalam Surah [Al Mukminun: 20]

وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ تَنبُتُ بِالدُّهنِ وَصِبغٍ لِلآكِلينَ

dan pohon kayu keluar dari Tursina, yang menghasilkan minyak, dan pemakan makanan bagi orang-orang yang makan.

Saya tidak mengkaji secara khusus 3 tempat itu, tetapi secara kasar kita boleh lihat, 3 tempat yang Allah SWT sebut sebelum perihal kejadian manusia:

Damaskus: tempat subur

Palestin: bumi para nabi

Makkah: kiblat dan tumpuan

Tafsir Ayat Ke-3:

وَهَٰذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ

“Serta negeri (Makkah) yang aman ini”, [At-Tiin: 3]

Dan ini pula adalah negeri dari mana datangnya Nabi Muhammad SAW, iaitu Kota Mekah. Walaupun tidak disebut dalam lafaz ayat ini, tetapi ulama sepakat yang ianya merujuk kepada Kota Mekah.

Balad: Negeri

Allah SWT menjadikan Kota Mekah sebagai “Al-Balad” kerana menghormati doa Nabi Ibrahim yang berdoa supaya Mekah itu dijadikan sebagai “Al Balad” seperti yang disebut dalam Surah [Ibrahim: 35]

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ آمِنًا

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman”.

Al Amin: Aman

Kemudian Allah SWT menyebut sifat Mekah itu sebagai “Amin” kerana sesiapa yang pergi ke Mekah akan rasa aman.

Isyarat “perasaan aman” ini boleh kita lihat kepada simbol BAITULLAH.

Baitullah: Bermaksud Rumah Allah SWT

Allah SWT menggunakan perkataan “Rumah”. Ia isyarat memberikan keselesaan kepada “tetamu” atau sesiapa sahaja yang berkunjung, bahkan merasai keamanan itu sendiri.

Contohnya:

1.Ayat orang Melayu: Buatlah seperti rumah sendiri

– Bukan bermakna kita hendak bagi rumah tu kepada si fulan. Tetapi ayat “buatlah rumah sendiri” bererti agar dia boleh selesakan diri sendiri dan merasa aman masuk ke rumah kita.

2. Ke hotel mahal mana pun, (kebiasaan) pasti kita akan rasa selesa rumah sendiri juga.

Sebab tulah (biasanya) orang yang pergi ziarah Baitullah, akan rasa rindu tidak mahu balik, sedih hendak meninggalkan tempat itu.

Itulah nikmat keamanan kepada Negeri Mekah ini, terutama di dalamnya terdapat Baitullah.

Ibrah dan kesimpulan

Pertama:

Ilmu Al-Quran terlalu besar untuk diterokai. Maka teruskan pelajari dan ulang kaji kitab suci ini selalu, agar bertambah pengetahuan mengenai firman-Nya. Contohnya: Kalimah Tiin dan Zaitun bukan sekadar buah.

Kedua:

Tiga tempat yang sinonim dengan sumpahan Allah SWT dalam permulaan surah ini iaitu:

– Damaskus

– Palestin

– Mekah

Ketiga:

Allah SWT menjadikan Mekah sebagai tempat yang aman sentosa, juga nikmat Baitullah kepada semua orang Islam atas dunia untuk merasa menjadi tetamu-Nya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan