Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Istilah Tafsir Al-Quran – Tabshir

Istilah Tafsir Al-Quran – Tabshir

1170
0
Iklan

Istilah Tafsir Al-Quran – Tabshir

Kita telah belajar 2 istilah tafsir sebelum ini:

  1. Dakwa – pertama utama dalam sesuatu surah.
  2. Dalil – hujah yang Allah SWT berikan untuk sokong Dakwa.
  3. Takhwif Ukhrawi – Penakutan dengan peristiwa di akhirat.
  4. Takhwif Duniawi – Penakutan dengan peristiwa di dunia.

Sekarang kita masuk kepada istilah yang seterusnya. Selepas diberi ‘takut’, diberi pula ‘gembira’.

5. Tabshir Ukhrawi – تبشير أخروي

Khabar Gembira tentang Akhirat. Ia adalah ayat-ayat tentang berita gembira dengan keadaan di akhirat bagi yang menerima Dakwa. Mereka yang menerima Dakwa dan tuntutan wahyu dijanjikan akan diberikan dengan nikmat akhirat yang tidak terhingga. Kadang-kadang mereka terpaksa bercanggah dengan kebanyakan manusia. Contohnya, kadang-kadang diperli kalau hendak mengamalkan sunnah. Kalau jadi begitu, maka abaikanlah apa kesusahan kita di dunia ini kerana kita akan dibalas dengan kesusahan kita itu. Ayat-ayat sebegini memberi semangat kepada kita yang menerima Dakwa itu.

Contoh tabshir ukhrawi adalah ayat:

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah)”. [Kahf: 107]

6.  Tabshir Duniawi – تبشير دنيوي

Khabar gembira dalam kehidupan dunia. Ia adalah ayat-ayat tentang berita gembira berhubung dengan perkara yang boleh diterima semasa di dunia lagi kepada mereka yang menerima Dakwa.

Ia menceritakan tentang kepuasan hidup yang akan dimiliki oleh orang yang menerima Dakwa, seperti yang diberikan kepada para Nabi yang dikenali sebagai hayyatan thoyyibah. Ia merupakan kepuasan yang tidak dapat dirasai oleh orang kafir. Kalau sesuatu perkara itu orang kafir pun boleh dapat, maka itu bukanlah tabshir duniawi yang dimaksudkan.

Ia bukanlah kekayaan kerana ramai orang kaya tetapi ada yang bunuh diri mereka. Tabshir Duniawi ini adalah kepuasan hidup yang diberikan kepada mereka yang menerima Dakwa dari Al-Quran. Lihatlah bagaimana Nabi-nabi miskin belaka tetapi mereka puas dengan kehidupan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi SAW sengaja tolak kekayaan dari hidup baginda walaupun baginda boleh dapat perkara itu. Jadi takkan Nabi SAW tidak dapat tabshir ini? Nabi SAW bersyukur kerana Nabi SAW sudah dapat kepuasan. Kepuasan hidup Nabi SAW adalah menderita kerana Allah. Inilah kenikmatan sebenar.

Ini bukanlah menyuruh kita menolak nikmat zahir, tetapi ia memberitahu kita bahawa bukan nikmat zahir sahaja yang kita mahu. Nikmat zahir itu pun tidak ada harga sebenarnya. Lihatlah bagaimana, apabila para isteri Nabi SAW teringin lebih sikit dari kenikmatan dunia dan bila Nabi SAW dengar sahaja, terus baginda terasa. Mereka boleh dapat semua itu, tetapi kalau mereka hendakkan kenikmatan dunia, mereka tidak layak duduk dengan Nabi SAW. Nabi SAW sedih kerana mereka tidak faham sedangkan mereka duduk dengan baginda. Pada baginda, kalau isteri-isteri yang duduk dengan baginda pun tidak faham, orang lain macam mana pula keadaannya? Oleh kerana baginda amat terkesan dengan peristiwa itu, Nabi SAW tidak bercakap dengan mereka selama sebulan. Waktu itu, Saidina Umar terus pergi berjumpa Nabi SAW untuk bertanyakan sama ada baginda telah menceraikan isteri-isteri baginda kerana dia takut kalau Nabi SAW ceraikan anaknya Habsah kerana anaknya adalah salah seorang isteri Nabi SAW. Waktu itulah dia melihat keadaan rumah Nabi SAW. Baginda tidak ada tilam, tetapi beralaskan pelepah tamar sampaikan belakang baginda berbekas.

Beliau sedih dengan keadaan itu dan telah menyuruh baginda berdoa supaya diberikan lebih lagi dari hal dunia. “Apa yang menyebabkan engkau menangis, wahai Umar?” tanya Nabi SAW.

“Aku melihat Kisra serta raja-raja lain menikmati tidur di atas ranjang mewah beralaskan sutera. Tetapi di sini aku melihat engkau tidur beralaskan tikar semacam ini.”

Dengan lembut, Nabi SAW balas dengan nasihat.

“Wahai Umar, tidakkah engkau sependapat denganku. Kita lebih suka memilih kebahagiaan akhirat sedangkan mereka memilih dunia.”

Ini mengajar kita, semakin kita menderita, semakin tinggi kedudukan di akhirat.

Sedikit sahaja disebut tabshir duniawi dalam Al-Quran kalau dibandingkan dengan tabshir ukhrawi, kerana segala kenikmatan dunia ini akan ditinggalkan jua akhirnya. Oleh kerana ianya tidak kekal, maka cukuplah disebut sedikit sahaja.

Contoh tabshir duniawi adalah ayat:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah)”. [An-Nasr: 1]

Orang yang zuhud adalah orang yang mendapat tabshir duniawi.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan