Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-67 hingga ke-70

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-67 hingga ke-70

417
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-67

Ini adalah bahagian kedua daripada Surah Maidah sehinggalah kepada ayat ke-120. Ia mengandungi perbahasan dari segi akidah. Ia dimulakan penafian iktikadi (pegangan dan pemahaman) dahulu dan akhir nanti akan disebut penafian dari segi syirik amali (perbuatan).

يَـٰٓأَيُّہَا الرَّسولُ بَلِّغ ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّم تَفعَل فَما بَلَّغتَ رِسالَتَهُ ۚ وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ ٱلكَـٰفِرِينَ

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya. Dan Allah akan memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

يَـٰٓأَيُّہَا الرَّسولُ بَلِّغ ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu.

Rasul mesti menyampaikan wahyu yang telah diberikan kepada baginda. Walaupun dalam ayat ini, hanya diseru Rasulullah ﷺ, akan tetapi termasuk juga seruan itu kepada kita sebagai umat baginda. Kita mestilah meneruskan dakwah Nabi ﷺ dan sampaikan wahyu ini kepada manusia.

Persoalannya sekarang, adakah kita telah melakukan tugas itu? Apabila difikirkan amat sedikit sekali usaha kita, takut sekali yang kita tidak menjalankan seruan dalam ayat ini. Takut kita akan ditanya tentang tanggungjawab ini.

وَإِن لَّم تَفعَل فَما بَلَّغتَ رِسالَتَهُ

Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya.

Nabi ﷺ diingatkan dan diarahkan dalam ayat ini, hendaklah tabligh (sampaikan) apa sahaja yang diturunkan kepada baginda, jangan tinggal satu ayat pun. Dan kalau baginda simpan satu ayat pun sudah tidak dikira sebagai tabligh. Oleh itu, kita jangan ajar ayat Al-Qur’an tidak cukup. Dan maksud tabligh kena sampaikan semua sekali ayat-ayat Al-Qur’an.

Jangan sembunyikan satu ayat pun walaupun ia ayat yang kita rasa berat bagi kita kerana mungkin kita ada terasa ngeri untuk sampaikan mana-mana ayat disebabkan takut masyarakat susah untuk terima. Tetapi ini tidak boleh, kita tetap kena sampaikan.

Dan kita kena terus sampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini kepada manusia. Ramai yang rasa senang diri sahaja selepas belajar, mereka simpan sendiri dan tidak beritahu kepada orang lain. Ini amat bahaya kerana Allah‎ ﷻ sudah suruh kita sampaikan dan kalau kita tidak sampaikan, kita telah menolak satu ayat Allah ‎ﷻ.

Maka kita tidak boleh berhenti daripada menyampaikan kepada manusia. Dakwah hendaklah dijalankan kepada non-muslim dan juga kepada golongan Muslim juga. Ini kerana ramai juga Muslim yang tidak kenal wahyu.

Dan dengan pastinya kita kena yakin yang Nabi Muhammad ﷺ telah menjalankan amanah yang diletakkan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu kepada manusia, tidak satu pun yang ditinggalkan. Lihatlah hadith ini:

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini, bahawa telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Yusuf, telah menceritakan kepada kami Sufyan, daripada Ismail, daripada Asy-Sya’bi, daripada Masruq, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang mengatakan, “Barang siapa yang mengatakan bahawa Muhammad ﷺ menyembunyikan sesuatu daripada apa yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ kepadanya, sesungguhnya dia telah berdusta,” seraya membacakan firman-Nya: Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. [ Al-Maidah:67 ] hingga akhir ayat.

Di dalam kitab Sahihain, daripada Aisyah رضي الله عنها disebutkan bahawa beliau pernah mengatakan,

لَوْ كَانَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَاتِمًا مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا لَكَتَمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَاهُ}
“Seandainya Muhammad ﷺ menyembunyikan sesuatu daripada Al-Qur’an, nescaya dia akan menyembunyikan ayat ini,” iaitu firman-Nya: sedangkan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti [ Al Ahzab:37 ]

Maksud hadith ini, Nabi Muhammad ﷺ tidak menyembunyikan langsung wahyu. Baginda sampaikan walaupun mungkin hati baginda berat untuk menyampaikannya.

Oleh itu, amat pelik dan jahil sekali puak sufi dan tarekat yang mengatakan, ada ilmu rahsia yang Nabi ﷺ tidak sampaikan kepada semua umat tetapi diberikan kepada pihak tertentu sahaja. Ini adalah berlawanan dengan maksud ayat Al-Qur’an ini dan hadith yang sahih dan juga akal yang waras.

Mereka kata ada ilmu yang Nabi ﷺ beri kepada orang tertentu sahaja seperti Saidina Ali رضي الله عنه, iaitu ilmu-ilmu rahsia yang baginda rasa sahabat-sahabat lain tidak mampu untuk memahaminya. Memang kalau hendak masuk tarekat, kena tinggalkan akal yang waras, baru boleh terima kata-kata guru mereka. Bayangkan, mereka hina dan tuduh Nabi ﷺ sembunyikan ilmu!

Dan mereka perasan mereka lebih hebat daripada hampir keseluruhan para sahabat. Bayangkan, mereka kata ada ilmu yang para sahabat tidak mampu untuk faham, tidak mampu dibawa. Akan tetapi, tiba-tiba mereka puak-puak tarekat itu pula mampu bawa! Jadi mereka hendak kata mereka lebih hebat daripada para sahabat yang ramai-ramai itulah! Ini amatlah menggelikan hati.

Daripada Harun ibnu Antrah, daripada ayahnya yang menceritakan bahawa ketika dia berada di hadapan Ibnu Abbas رضي الله عنهما, tiba-tiba datanglah seorang lelaki. Kemudian lelaki itu berkata, “Sesungguhnya banyak orang yang datang kepada kami. Mereka menceritakan kepada kami bahawa pada kalian terdapat sesuatu yang belum pernah Rasulullah ﷺ jelaskan kepada orang lain.” Maka Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, “Bukankah kamu ketahui bahawa Allah ‎ﷻ telah berfirman: Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. (Al-Maidah: 67) Demi Allah, Rasulullah ﷺ tidak mewariskan kepada kami (ahlul bait) sesuatu hal yang disembunyikan.” Sanad atsar ini berpredikat jayyid.

Golongan tarekat mengatakan ada perkara yang Rasulullah ﷺ hanya sampaikan kepada orang tertentu sahaja seperti Saidina Ali رضي الله عنه. Kemudian Saidina Ali رضي الله عنه pun hanya ajarkan kepada orang tertentu sahaja kerana ilmu itu rahsia dan takut ada yang tidak faham kalau disampaikan kepada mereka. Ini juga adalah tohmahan. Mana mungkin Saidina Ali رضي الله عنه menyembunyikan ilmu agama.

Hal ini disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari melalui Riwayat Abu Juhaifah, iaitu Wahb ibnu Abdullah As-Sawa-i, yang menceritakan bahawa dia pernah bertanya kepada Khalifah Ali ibnu Abu Talib رضي الله عنه;

“Apakah dalam kalangan kalian (ahlul bait) terdapat sesuatu daripada wahyu yang tidak terdapat di dalam Al-Qur’an?” Maka Khalifah Ali رضي الله عنه menjawab, “Tidak, demi Tuhan yang menumbuhkan biji-bijian dan yang menciptakan manusia, kecuali hanya pemahaman yang diberi­kan oleh Allah kepada seseorang mengenai Al-Qur’an dan apa yang terdapat di dalam lembaran ini.” Aku bertanya, “Apakah yang terdapat di dalam lembaran ini?” Khalifah Ali ibnu Abu Talib رضي الله عنه menjawab, “Masalah aql (diat), mem­bebaskan tawanan, dan seorang muslim tidak boleh dihukum mati kerana membunuh seorang kafir.”

Lihatlah yang pada zaman Saidina Ali رضي الله عنه pun sudah ada orang yang pusing kata ada ilmu rahsia. Tidak selesai lagi pemahaman itu dalam masyarakat kita. Menariknya, puak tarekat semua kata ilmu mereka dapat dari jaluran Saidina Ali رضي الله عنه. Lihatlah dalam hadith ini, Saidini Ali رضي الله عنه sendiri kata tidak ada ilmu rahsia. Kalaulah sesuatu ilmu itu penting, kenapa perlu dirahsiakan? Bukankah kalau penting perlu disampaikan kepada semua?

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan daripada Jabir ibnu Abdullah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda dalam khutbah Haji Wada’nya:

“أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَسْئُولُونَ عَنِّي، فَمَا أَنْتُمْ قَائِلُونَ؟ ” قَالُوا: نَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلّغت وأدّيتَ وَنَصَحْتَ. فَجَعَلَ يَرْفَعُ إِصْبَعَهُ إِلَى السَّمَاءِ ويَقلبها إِلَيْهِمْ وَيَقُولُ: “اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ، اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ”.
Hai manusia, sesungguhnya kalian akan ditanyai mengenai diriku, maka apakah yang akan kalian katakan? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa engkau telah menunaikan risalah dan menyampaikan amanat serta menasihati umat.” Maka Rasulullah ﷺ mengangkat jari telunjuknya ke langit, lalu menun­jukkannya kepada mereka seraya bersabda: Ya Allah apakah aku telah menyampaikan?

Di akhirat nanti, apa agaknya jawapan puak-puak tarekat tentang Nabi Muhammad ﷺ? Adakah mereka akan sanggup mengatakan ada perkara tentang agama yang Nabi ﷺ hanya sampaikan kepada orang-orang tertentu sahaja?

وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ

Dan Allah akan memelihara engkau daripada manusia.

Allah ‎ﷻ akan melindungi Rasulullah ﷺ daripada kejahatan manusia jika baginda sampaikan kebenaran. Jadi baginda tidak perlu takut. Ini adalah janji yang penting kerana kalau kita sampaikan semua wahyu, akan ada yang tidak suka dan marah kita. Dan mungkin buat sesuatu yang buruk kepada kita. Allah‎ ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Dia akan melindungi kita daripada manusia lain.

Semasa awal Islam, semasa Nabi ﷺ menyampaikan dakwah kepada manusia, Nabi ﷺ ada empat orang sahabat yang mengiringi baginda. Mereka duduk di kiri, kanan, depan dan belakang belakang baginda untuk mengawal dan jaga baginda kalau-kalau ada yang hendak buat perkara tidak elok kepada baginda.

Namun selepas ayat ini turun, Nabi ﷺ terus tidak perlukan pengawal lagi. Nabi ﷺ suruh mereka pergi kerana baginda yakin yang Allah ‎ﷻ akan jaga baginda. Memang Nabi ﷺ dulunya takut juga kalau-kalau baginda diapa-apakan oleh manusia yang jahat. Seperti yang disebutkan oleh Imam Ahmad رحمه الله:

كَمَا قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ:حَدَّثَنَا يَزِيدُ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ يُحَدِّثُ: أَنَّ عَائِشَةَ كَانَتْ تُحَدِّثُ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَهِر ذَاتَ لَيْلَةٍ، وَهِيَ إِلَى جَنْبِهِ، قَالَتْ: فقلتُ: مَا شَأْنُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “لَيْتَ رَجُلًا صَالِحًا مِنْ أَصْحَابِي يَحْرُسُنِي اللَّيْلَةَ؟ ” قَالَتْ: فَبَيْنَا أَنَا عَلَى ذَلِكَ إِذْ سَمِعْتُ صَوْتَ السِّلَاحِ فَقَالَ: “مَنْ هَذَا؟ ” فَقَالَ: أَنَا سَعْدُ بْنُ مَالِكٍ. فَقَالَ: “مَا جَاءَ بِكَ؟ ” قَالَ: جِئْتُ لِأَحْرُسَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَتْ: فَسَمِعْتُ غَطِيطَ رسول الله صلى الله عليه وسلم في نَوْمِهِ.
Telah menceritakan kepada kami Yazid, telah menceritakan kepada kami Yahya yang mengatakan bahawa ia pernah mendengar Abdullah ibnu Amir ibnu Rabi’ah menceritakan, “Siti Aisyah رضي الله عنها pernah bercerita bahawa di suatu malam Rasulullah ﷺ berjaga, sedangkan Siti Aisyah رضي الله عنها berada di sisinya. Siti Aisyah رضي الله عنها bertanya, ‘Apakah gerangan yang membuatmu gelisah, wahai Rasulullah ﷺ?’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Mudah-mudahan ada seorang lelaki saleh daripada sahabatku yang mahu menjagaku malam ini’.” Siti Aisyah رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, “Ketika kami berdua dalam keadaan demikian, tiba-tiba aku (Aisyah) mendengar suara senjata, maka Rasulullah ﷺ bertanya, ‘Siapakah ini?’ Seseorang menjawab, ‘Saya Sa’d ibdu Malik.’ Rasulullah ﷺ bertanya, ‘Apa yang sedang kamu lakukan?’ Sa’d menjawab, ‘Aku datang untuk menjagamu, wahai Rasulullah’.” Siti Aisyah رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, “Tidak lama kemudian aku mendengar suara tidur Rasulullah ﷺ.” Imam Bukhari رحمه الله dan Imam Muslim رحمه الله mengetengahkannya melalui jalur Yahya ibnu Sa’id Al-Ansari dengan lafaz yang sama.

Dengan turunnya ayat daripada Surah Maidah ini, maka baginda tidak lagi berasa takut dan tidak memerlukan pengawal lagi. Ini disebut di dalam satu hadith:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مَرْزُوقٍ الْبَصْرِيُّ نَزِيلُ مِصْرَ، حَدَّثَنَا مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا الْحَارِثُ بْنُ عُبَيد -يَعْنِي أَبَا قُدَامَةَ-عَنِ الجُرَيري، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيق، عَنْ عَائِشَةَ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا] قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحْرَس حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ} قَالَتْ: فَأَخْرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رأسه من القُبَّة، وقال: “يأيها النَّاسُ، انْصَرِفُوا فَقَدْ عَصَمَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ”.
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Marzuq Al-Basri yang tinggal di Mesir, telah menceritakan kepada kami Muslim ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Al-Haris ibnu Ubaid (yakni Abu Qudamah), daripada Al- Jariri, daripada Abdullah ibnu Syaqiq, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan bahawa Nabi ﷺ selalu dikawal dan dijaga sebelum ayat ini diturunkan, iaitu firman-Nya: Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia [ Al-Maidah: 67 ]. Siti Aisyah رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, “Setelah itu Rasulullah ﷺ mengeluarkan kepala dari khemahnya dan bersabda: Hai manusia, bubarlah kalian, sesungguhnya Allah ‎ﷻ telah menjaga diri kami.”

Banyak kisah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ diselamatkan daripada rancangan manusia untuk membunuh baginda. Orang Yahudi pernah melancarkan tipu muslihat terhadap diri Nabi ﷺ melalui sihir, tetapi Allah ‎ﷻ memelihara diri Nabi ﷺ daripada keja­hatan sihir mereka, dan diturunkan-Nya kepada Nabi ﷺ dua surah mu’awwizah sebagai ubat untuk menangkal penyakit itu.

Dan ketika seorang Yahudi meracuni masakan kaki kambing yang mereka kirimkan kepadanya di Khaibar, Allah ‎ﷻ memberitahukan hal itu kepada Nabi ﷺ dan memelihara diri Nabi ﷺ daripada racun tersebut. Oleh itu, dengan amalan tabligh, Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita daripada gangguan manusia.

إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ ٱلكَـٰفِرِينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

Malangnya, bagi golongan yang menentang kebenaran, mereka tidak akan mendapat pentunjuk hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita dakwah kepada mereka pun, mereka tidak dapat hendak terima kerana hati mereka telah ditutup. Tetapi ini bukanlah masalah kita, kerana kita hanya sampaikan sahaja. Maka jangan kita terkesan sangat kalau ada yang tidak mahu terima dakwah kita kerana hidayah itu milik Allah ‎ﷻ dan diberikan-Nya kepada sesiapa yang layak dan mahu sahaja.

 

Tafsir Ayat Ke-68

Apabila diberitahu semua wahyu kita kena sebar dan sampaikan kepada manusia, bagaimana pula kalau kita sembunyikan? Bagaimana kalau tidak diamalkan? Maka ayat ini tentang mengamalkan ajaran wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Tidak dikira beragama kalau tidak menegakkan agama dengan sepenuhnya. Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasara, mereka bukan tidak sebar langsung ajaran agama mereka, tetapi mereka sebar sebahagian sahaja dan yang sebahagian lagi mereka sorok. Allah ‎ﷻ kata mereka tidak termasuk dalam apa-apa agama pun, kerana syarat beragama itu adalah kena sebar semua sekali.

Bagaimana kalau orang Islam pun buat begitu juga? Apakah tidak dikenakan dengan kriteria yang sama dengan mereka?

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لَستُم عَلىٰ شَيءٍ حَتّىٰ تُقيمُوا التَّورٰةَ وَالإِنجيلَ وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم ۗ وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم مّا أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا ۖ فَلا تَأسَ عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil, dan Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu”. Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) daripada Tuhanmu akan menambah kederhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan daripada mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لَستُم عَلىٰ شَيءٍ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun

Seperti yang kita tahu, golongan Ahli Kitab sudah dapat kitab wahyu sebelum kita lagi. Mereka telah lama ada agama dan mereka juga telah banyak dibangkitkan dengan para Nabi silih berganti. Tetapi mereka tidak dikira beragama sehinggalah mereka menegakkannya. Kalau dapat kitab wahyu sahaja, belumlah cukup lagi melainkan kalau ia diamalkan dan disebarkan.

حَتّىٰ تُقيمُوا التَّورٰةَ وَالإِنجيلَ

hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil,

Mereka tidak dikira berada di atas amalan agama atau akidah pun sehingga mereka dapat menegakkan hukum dalam Taurat dan Injil semua sekali. Ini bukan bermaksud tegak biasa sahaja, tetapi kena sempurnakan semua sekali apa sahaja tuntutan dalam amalan dan dalam iktikad.

Kalau mereka tidak menegakkan apa yang telah disuruh dalam kitab wahyu mereka, maka mereka tidak ada asas, tidak ada harga dan tidak layak pun untuk hidup. Begitulah maksudnya lebih kurang iaitu mereka itu hidup sahaja, tetapi tiada harga.

وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم

dan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu

Jika tadi tentang Kitab Wahyu mereka, sekarang tentang Al-Qur’an pula. Apabila Al-Qur’an telah diturunkan, mereka juga kena tegakkan wahyu Allah ‎ﷻ yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam bentuk Al-Qur’an dan hadith Nabi ﷺ. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an.

Jadi, bukanlah orang Yahudi kena menggunakan Taurat dan orang Kristian kena menggunakan Injil pula. Ini kerana dua kitab itu sudah mansukh. Mereka kena masuk Islam dan beramal dengan syariat Islam. Ini kena disebut kerana ada juga yang berfahaman, kitab Taurat dan Injil masih boleh dipakai lagi. Bila ditanya bagaimana hendak menggunakannya sebab kitab-kitab itu sudah diubah. Mereka jawab: “Itu mereka kena cari sendiri.”

Sudah jadi satu kerja pula untuk cari kitab asal mereka. Bukankah senang jika menggunakan sahaja kitab Al-Qur’an ini? Inilah jalannya kerana kalau kita mengamalkan syariat dan ajaran dalam Al-Qur’an, memang sudah diamalkan apa yang ada di dalam Taurat dan Injil. Ini kerana apa sahaja yang masih menjadi syariat di dalam Taurat dan Injil, sudah ada dalam Al-Qur’an. Maka kita amalkan tiga-tiga sekali iaitu Taurat, Injil dan juga Al-Qur’an.

Maka syariat mestilah diikuti. Ini juga ada nasihat kepada golongan sufi tarekat yang seperti tidak menghiraukan syariat lagi. Pada mereka, ada yang beranggapan sufi itu lebih tinggi daripafa syariat dan kerana itu ada perkara yang dilakukan sudah tidak ikut syariat. Sebab itu bahaya kalau belajar tarekat tanpa ilmu syariat. Sentiasa sahaja ditipu.

Perbincangan dari segi bahasa: Bila disebut Taurat dan Injil, Allah ‎ﷻ menggunakan nama Kitab itu terus. Namun bila disebut tentang Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sebut secara kiasan: وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم. Kenapa tidak disebut terus nama Al-Qur’an seperti disebut Taurat dan Injil?

Ini kerana apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ bukan hanya Al-Qur’an, tetapi pemahaman wahyu yang lain. Sebab itu kita tidak menggunakan Al-Qur’an sahaja sebagai syariat. Kita kena juga belajar Sunnah daripada Rasulullah ﷺ. Ini kerana ia juga wahyu dan sebahagian daripada syariat. Salah faham tentang hal inilah yang menyebabkan ada golongan Qur’aniyyun, Quranist, Anti-Hadith atau apa-apa sahaja nama yang mereka gunakan.

Mereka kononnya sangka Al-Qur’an sahaja sudah cukup. Tidak benar begitu kerana penjelasan tentang Al-Qur’an adalah daripada apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam bentuk Sunnah. Jadi jika di tolak Sunnah, maka itu sudah sesat dan menyesatkan. Nabi ﷺ sudah mengingatkan tentang golongan ini:

عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال ألا إني أوتيت الكتاب ومثله معه ألا يوشك رجل شبعان على أريكته يقول عليكم بهذا القرآن فما وجدتم فيه من حلال فأحلوه وما وجدتم فيه من حرام فحرموه ألا لا يحل لكم لحم الحمار الأهلي ولا كل ذي ناب من السبع ولا لقطة معاهد إلا أن يستغني عنها صاحبها ومن نزل بقوم فعليهم أن يقروه فإن لم يقروه فله أن يعقبهم بمثل قراه
Daripada Al Miqdam bin Ma’di Karib daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Ketahuilah, sesungguhnya aku diberi Al -Qur’an dan yang semisal bersamanya (As Sunnah). Ditakuti ada seorang laki-laki yang dalam keadaan kekenyangan duduk di atas kursinya berkata, “Hendaklah kalian berpegang teguh dengan Al-Qur’an! Apa yang kalian dapatkan dalam Al-Qur’an daripada perkara halal maka halalkanlah. Dan apa yang kalian dapatkan dalam Al-Qur’an daripada perkara haram maka haramkanlah. Ketahuilah! Tidak dihalalkan bagi kalian daging himar jinak, daging binatang buas yang bertaring dan barang temuan milik orang kafir mu’ahid (kafir dalam janji perlindungan penguasa Islam, dan barang temuan milik Muslim lebih utama) kecuali pemiliknya tidak memerlukannya. Dan barangsiapa singgah pada suatu kaum hendaklah mereka menyediakan tempat, jika tidak memberikan tempat hendaklah memberikan perlakukan sesuai dengan sikap jamuan mereka.”
(Sunan Abu Daud (3988)) Status Sahih.

Syarah: daripada hadith ini kita diajar yang Sunnah Nabi ﷺ pun perlu diambil kira. Jangan hanya rujuk Al-Qur’an sahaja kerana ada juga penerangan tentang syariat daripafa kata-kata Rasulullah ﷺ yang dipanggil hadith.

وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم مّا أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا

Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) daripada Tuhanmu akan menambah kederhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan daripada mereka;

Namun begiu, tidaklah akan bersurut kedegilan mereka. Malah akan bertambah kedegilan mereka dengan sebab turunnya wahyu itu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan menjadi semakin derhaka dan kufur.

Jika dahulu, mereka tolak wahyu dalam kitab mereka sahaja, sekarang, mereka tolak sekali wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ sekali. Sebab itu dikatakan bertambah kederhakaan mereka dan kekafiran mereka itu.

فَلا تَأسَ عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.

Ini adalah ayat tasliah (pujukan) keada Rasulullah ﷺ. Apabila mereka tolak apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ, tentu Nabi ﷺ sedih. Kita pun tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu seorang yang lembut hatinya dan amat prihatin kepada manusia.

Baginda terlalu amat menginginkan kebaikan untuk semua orang, jadi jika kebenaran itu ditolak oleh manusia, baginda amat sedih sekali. Sampaikan Allah ‎ﷻ kena nasihati baginda tentang perkara itu. Allah ‎ﷻ kata jangan sedih atas kaum yang kafir itu.

Itu adalah sunnatullah (ketetapan daripada Allah ‎ﷻ yang berlaku zaman berzaman) yang Allah‎ ﷻ telah tetapkan iaitu memang akan ada yang akan tolak kebenaran. Jangan hiraukan mereka, jangan risaukan tentang mereka. Jangan bersedih, tetapi jalankan tugas kamu, wahai Nabi ﷺ .

Inilah juga pujukan dan nasihat kepada kita yang meneruskan kerja dakwah Nabi ﷺ ini. Memang akan ada yang menolak dan menentang. Maka jangan hiraukan sangat kata-kata penolakan daripada mereka. Itu perkara biasa sahaja kerana kalau kita sedih sangat, hendak buat kerja pun tidak boleh, bukan? Maka kita pun begitulah juga. Anggapkan seperti air sungai yang mengalir – biarkan berlalu. Memang telah disebut pun dalam Al-Qur’an yang akan ada yang menentang, jadi kenapa hendak dihairankan sangat?

 

Tafsir Ayat Ke-69

Ini adalah jenis ayat tabshir (berita gembira). Juga mengingatkan kita bahawa agama Islam bukan untuk kaum tertentu sahaja, bukan untuk bangsa Arab atau untuk bangsa Ajam (non-Arab) sahaja. Semua bangsa terbuka untuk menerima agama Islam. Ayat ini ada persamaan dengan [ Baqarah: 62 ].

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَالصّٰبِئونَ وَالنَّصٰرىٰ مَن ءآمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sesungguhnya orang-orang beriman, orang-orang Yahudi, Shabi’in dan orang-orang Nasrani, siapa saja (di antara mereka) yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan beramal dengan amalan soleh, maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang beriman,

Yang dimaksudkan ada orang-orang yang beriman dalam kalangan umat Nabi Muhammad ﷺ (Umat Islam).

Dan iman itu mestilah iman yang sebenar. Apakah iman sebenar itu? Itulah iman tanpa syirik. Ini kita kena tekankan, kerana ramai yang tidak faham. Ramai sebenarnya yang ada iman, tahu apa yang mereka perlu imani. Akan tetapi satu perkara mereka lupa: tolak fahaman dan amalan syirik.

Ramai yang tidak mahir bab syirik kerana sebenarnya ia tidak ditekankan dalam pembelajaran di negara kita. Maka kerana itu kita boleh lihat ramai yang ada fahaman syirik kerana ia tidak banyak diajar. Perumpamaannya seperti diajar seseorang cara membawa kereta, tetapi tidak diajar kepadanya adanya jalan-jalan “no-entry”. Maka semua jalan akan dilanggarnya. Maka begitulah yang terjadi kalau tidak belajar dengan baik apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu.

وَالَّذينَ هادوا وَالصّٰبِئونَ وَالنَّصٰرىٰ

dan orang-orang Yahudi, Shabi’in dan orang-orang Nasrani,

Ada tiga golongan yang disebut dalam potongan ayat ini:

1 Orang Yahudi,
2 Golongan Sabi’in adalah mereka yang mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام,
3 Nasara adalah mereka yang ikut ajaran Nabi Isa عليه السلام,

Nota: Ada lagi beberapa pendapat tentang siapakah Sabi’in ini:

Kaum Sabi-in ialah segolongan orang dalam kalangan umat Nasrani dan orang-orang Majusi yang tidak mempunyai agama. Demikianlah menurut Mujahid; dan daripada Mujahid disebutkan bahawa mereka adalah segolongan daripada orang-orang Yahudi dan orang-orang Majusi.

Sa’id ibnu Jubair mengatakan, mereka adalah segolongan orang daripada kaum Yahudi dan Nasrani. Menurut Al-Hasan dan Al-Hakam, mereka sama dengan orang-orang Majusi.

Menurut Qatadah, mereka adalah suatu kaum yang menyembah malaikat dan salat dengan menghadap ke arah selain kiblat serta membaca kitab Zabur. Maka ini mewakili satu lagi kitab wahyu, iaitu Zabur. Kerana telah disebut Taurat, Injil dan Al-Qur’an sebelum ini.

Wahb ibnu Munabbih mengatakan, mereka adalah suatu kaum yang mengenal Allah ‎ﷻ semata-mata, tetapi tidak mempunyai syariat yang mereka amalkan, dan mereka tidak melakukan suatu kekufuran pun.

Ibnu Wahb mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abuz Zanad, daripada ayahnya yang mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang tinggal di daerah yang berjiran dengan negeri Iraq, tepatnya di Kausa. Mereka beriman kepada semua nabi, puasa setiap tahunnya selama tiga puluh hari, dan mengerjakan salat menghadap ke negeri Yaman setiap harinya sebanyak lima kali. Pendapat yang lain mengatakan selain itu.

Allahu a’lam siapakah mereka ini. Mungkin ada lagi tetapi mereka itu tidak ramai jadi tidak dikenali sangat keadaan mereka dan akidah mereka.

مَن ءآمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat

Islam tidak memandang daripada keturunan mana, asalkan mereka itu benar-benar beriman. Dalam ayat ini, disebut dua jenis iman, iaitu beriman kepada Allah ‎ﷻ dan hari akhirat. Bukanlah dua ini sahaja yang perlu diimani tetapi banyak lagi perkara yang perlu diimani berdasarkan daripada wahyu-wahyu yang lain. Namun disebut dua sahaja dalam ayat ini sebagai mewakili perkara-perkara yang lain. Tidaklah hendak disebut satu persatu pula, jadi panjang pula. Kenalah rujuk ayat-ayat yang lain.

Namun ramai yang ‘tebuk’ satu-satu ayat sahaja. Mereka tidak rujuk keseluruhan Al-Qur’an tetapi kelam kabut apabila melihat satu-satu ayat yang agak pelik bagi mereka (kerana tidak belajar). Disebabkn jahil tentang perkara ini, ramai juga yang menggunakan ayat ini untuk mengatakan lihatlah bagaimana tidak disebut kena beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini. Ini adalah satu kejahilan yang besar. Bagaimana dengan ayat-ayat yang lain, hendak letak di mana?

Maka diingatkan yang ayat-ayat Al-Qur’an kenalah dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Walaupun tidak disebut tentang Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini, tetapi terdapat dalam banyak ayat-ayat lain. Kalau main pilih-pilih satu-satu ayat dan dijadikan dalil, itu amat jahil sekali. Sebab itu kena belajar seluruh Kitab Al-Qur’an ini, jangan ditinggal satu pun.

وَعَمِلَ صٰلِحًا

dan beramal dengan amalan soleh,

Mereka bukan sahaja beriman, tetapi iman itu perlulah ditunjukkan dengan melakukan amal soleh. Dan kita telah sebut banyak kali dalam penulisan ini, amalan yang soleh adalah amalan yang mengikut sunnah. Jangan amalkan amalan dan fahaman bid’ah. Kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah itu.

Ini penting untuk menjaga kesucian agama kita. Agama lain (seperti Yahudi dan Nasrani) sudah banyak mengubah amalan-amalan yang diajar oleh Nabi-nabi mereka, dan umat Islam pun nampaknya ke arah begitulah juga. Itu adalah salah sama sekali. Kalau dibiarkan boleh menambah-nambah dalam agama, maka agama suci kita ini akan jadi seperti agama Yahudi dan Nasrani lah nanti. Tidakkah anda takut kalau itu terjadi?

فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Tidak kira keturunan mana, bangsa mana, sama sahaja, kalau beriman dan beramal soleh, tidak perlu takut untuk hadapi akhirat dan jangan sedih tinggalkan dunia.

Tidak perlu takut untuk hadapi akhirat kerana kehidupan yang baik sedang menunggu. Tidak perlu sedih kerana meninggalkan dunia kerana ada yang ada di hadapan dalam akhirat itu lebih baik daripada dunia.

Nota: Dalam ayat ini disebut tentang golongan Yahudi, Nasara dan Sabi’un yang beriman dan mereka mendapat nikmat daripada Allah ‎ﷻ. Itu bukanlah bermakna golongan itu ‘sekarang’ akan mendapat kedudukan yang sama. Mereka itu tidak lagi mendapat kedudukan itu apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah diutus menjadi Rasul. Apabila Nabi menjadi Rasulullah, hanya ada satu syariat sahaja.

Komen dan Soalan