Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-138 hingga Ke-142

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-138 hingga Ke-142

634
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-138

هٰذا بَيانٌ لِّلنّاسِ وَهُدًى وَمَوعِظَةٌ لِّلمُتَّقينَ

(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

هٰذا بَيانٌ لِّلنّاسِ وَهُدًى

(Al-Qur’an) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk

Al-Qur’an yang berada di hadapan kita ini adalah penjelasan yang sudah cukup sempurna kepada semua manusia. Sudah cukup lengkap disampaikan sebagai panduan hidup bagi kita. Yang tidak tahu adalah mereka yang tidak belajar sahaja.

Malangnya ramai yang tidak teringin pun hendak belajar tafsir Al-Qur’an ini. Mereka belum lagi mendapat kemanisan membaca Al-Qur’an sambil memahami apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Begitu ramai dalam kalangan masyarakat kita yang suka membaca Al-Qur’an setiap hari, tetapi tidak teringin untuk mengetahui apa yang mereka baca itu.

Oleh kerana mereka tidak tahu, mereka tidak dapat mengambil hidayah daripada Al-Qur’an. Mereka mungkin ada ambil ilmu dari tempat lain. Antaranya dari kitab-kitab karangan manusia, dan mungkin daripada ustaz-ustaz yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an pun. Kalau tidak percaya, tanyalah ustaz-ustaz yang mengajar anda, sama ada mereka sudah belajar habis tafsir Al-Qur’an atau belum?

Kalau mereka sudah belajar, mereka belajar dengan siapa? Kalau mereka sudah belajar, kenapa mereka tidak ajar tafsir Al-Qur’an kepada anda, kerana ia adalah sumber utama agama. Tidak kira siapa anda, ustaz atau tidak, yang penting, kita kena pentingkan pembelajaran tafsir ini. Habiskan dahulu belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk ini dan kemudian barulah ambil ilmu yang lain.

وَمَوعِظَةٌ لِّلمُتَّقينَ

serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Al-Qur’an juga menjadi nasihat untuk diamalkan. مَوعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang masuk ke dalam hati. Selalu kita dengar nasihat, bukan? Namun tidak semua nasihat dapat masuk ke dalam hati kita. Ada nasihat yang kita dengar tidak dengar sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Itu bukan dinamakan مَوعِظَةٌ.

Banyak sekali nasihat yang penuh hikmah ada dalam Al-Qur’an kerana nasihat ini datang sendiri daripada Allah ‎ﷻ, Tuhan yang mencipta kita. Oleh kerana Dia yang cipta kita, maka Dia tahu apa yang kita perlukan. Namun kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimana hendak mengambil nasihat yang ada dalam Al-Qur’an ini?

Tafssir Ayat Ke-139

Ini adalah adat dalam peperangan dan dalam kehidupan kita.

وَلا تَهِنوا وَلا تَحزَنوا وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

وَلا تَهِنوا

Dan janganlah kamu merasa lemah

Lafaz تَهِنوا daripada وهن yang bermaksud sesuatu yang sepatutnya kuat dan keras, tetapi jadi lemah. Sebagai contoh, tulang itu sepatutnya keras, tetapi kalau sudah tua, tulang menjadi reput, bukan? Allah ‎ﷻ memberi isyarat dalam ayat ini bahawa orang Islam kena kuat, bukan lemah. Ini bukan sifat seorang mukmin.

وَلا تَحزَنوا

dan janganlah kamu berdukacita

Dan jangan bersedih dengan apa yang terjadi. Ayat ini diturunkan selepas Perang Uhud. Ramai sahabat yang terbunuh dalam peperangan itu. Oleh kerana itu, ramai yang menangis kesedihan yang amat sangat. Nabi Muhammad ﷺ turut bersedih kerana bapa saudaranya Hamzah telah terbunuh.

وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

padahal kamulah orang-orang yang lebih tinggi jika kamu orang-orang yang beriman.

Umat Islam akan sentiasa dikira tinggi dibandingkan dengan orang lain kalau kita menjadi mukmin sebenar. Kita diingatkan dalam ayat ini yang iman yang lebih penting, bukan kalah atau menang dalam perang. Kalau kita mukmin, kita akan tetap berada di atas berbanding orang-orang kafir.

Walaupun kita mungkin lemah di dunia dengan keadaan umat Islam berpecah belah dan kita diperkotak katikkan oleh orang kafir, ayat ini memberi ketenangan kepada kita. Di akhirat, kita akan berada di atas, kalau kita benar-benar seorang mukmin. Bukankah yang lebih penting adalah nasib kita di akhirat, bukan di dunia ini?

Tafsir Ayat Ke-140

Allah ‎ﷻ timpakan kekalahan kepada orang Islam sebagai pengajaran. Allah ‎ﷻ menggunakan para sahabat sebagai contoh, apa yang akan terjadi kalau orang Islam sendiri melakukan kesilapan. Memang ada antara para sahabat yang telah melakukan kesilapan semasa Perang Uhud itu.

Namun kita kena ingat, Allah ‎ﷻ sudah memaafkan mereka. Namun kalau orang seterusnya juga buat perkara yang sama, akan tetap berdosa. Kita kena ambil pengajaran dari apa yang telah dilalui oleh para sahabat.

Begitulah istimewanya mereka, kerana Allah ‎ﷻ takdirkan mereka melakukan kesilapan, kemudian Allah ‎ﷻ maafkan mereka. Ini kerana kalau mereka tidak buat kesilapan, kita tidak tahu mana perbuatan yang salah supaya kita tidak buat.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ ۚ وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ

Jika kamu mendapat luka (tercedera),

Semua itu adalah salah satu perkara yang telah berlaku. Kalau berlaku kecederaan atau kekalahan dalam Uhud, ada hikmahnya yang tersirat, yang Allah ‎ﷻ gunakan para sahabat untuk ajar orang lain.

Memang para sahabat telah banyak mendapat kecederaan, malah ada 70 orang daripada mereka yang mati.

فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ

sesungguhnya kaum (musyrik) itu telah mendapat luka yang sama

Allah ‎ﷻ mengingatkan para sahabat bahawa kekalahan seperti ini telah berlaku kepada orang Kafir Mekah pada tahun sebelumnya. Tahun ini orang Islam pula yang kena.

وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ

Dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan antara sesama manusia

Hari-hari yang menang dan kalah itu Allah‎ ﷻ gilirkan antara manusia untuk menguji manusia. Tidaklah orang Islam sentiasa sahaja menang. Kadang-kadang orang Islam menang, kadang-kadang kalah. Ini perkara biasa. Seperti kata pepatah: hidup umpama roda, kadangkala duduk di atas, kadangkala duduk di bawah.

وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

dan supaya nyata bagi Allah, siapa yang sebenarnya beriman

Tujuannya, untuk Allah ‎ﷻ bezakan siapa yang betul-betul beriman dan teguh menjaga hukum. Allah ‎ﷻ memang sudah tahu siapa beriman dan tidak, tetapi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kepada manusia.

Jangan kita salah faham dengan ayat ini, dengan mengatakan Allah ‎ﷻ buat begitu untuk Allah ‎ﷻ tahu siapa yang beriman. Ini kerana Allah ‎ﷻ sudah tahu siapa yang beriman dan tidak. Cuma Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada manusia yang lain. Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada orang mukmin, siapakah di antara orang yang mengaku Muslim itu yang benar-benar mukmin atau munafik.

وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ

dan juga supaya Allah mengambil sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid.

Dengan mati itulah baru Allah‎ ﷻ boleh jadikan ada Muslim yang mati syahid. Kalau tidak mati-mati, pergi perang asyik menang sahaja, nanti tidak ada yang mati syahid pula, bukan?

Mati syahid sepatutnya menjadi cita-cita setiap orang Islam kerana ia adalah pengakhiran kehidupan yang amat hebat. Orang yang mati syahid, boleh terus masuk ke syurga. Mereka tidak perlu tunggu di Mahsyar sebagaimana orang-orang yang biasa. Tunggu di Mahsyar itu pun sudah satu azab juga sebenarnya, kerana menunggu dalam keadaan yang tidak selesa dan entah berapa lama.

Sedangkan kalau mati syahid, terus masuk syurga dan menikmati nikmat dalam syurga itu. Orang lain sedang tunggu di Mahsyar, para syuhada’ sedang sedap-sedap di syurga. Apabila mahkamah pengadilan Allah ‎ﷻ ditegakkan setelah entah berapa puluh ribu tahu di Mahsyar, barulah dikeluarkan sekejap para syuhada’ itu untuk dibacakan amalan mereka. Kemudian akan dimasukkan semula ke dalam syurga. Bukankah ini yang sepatutnya kita inginkan?

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ tidak suka golongan zalim. Orang kafir adalah orang yang melakukan kezaliman yang paling tinggi, iaitu mereka syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mana lagi berat dari tidak meletakkan Allah ‎ﷻ di tempat yang tertinggi dalam kehidupan kita?

Allah ‎ﷻ memang tidak suka kepada orang yang zalim. Bukanlah Allah ‎ﷻ beri kemenangan kepada golongan kuffar itu kerana Allah ‎ﷻ suka kepada mereka, tidak langsung. Jadi Allah ‎ﷻ tidak mahu kita salah anggap. Allah ‎ﷻ tetap sayang dan kasih kepada orang mukmin dan orang Islam. Namun Allah ‎ﷻ jadikan Muslim kadangkala menang dan kadangkala kalah kerana sebab-sebab yang telah disebut di atas dan selepas ini.

Tafsir Ayat Ke-141

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang yang kafir.

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman

Tujuan kekalahan dalam peperangan juga adalah untuk Allah ‎ﷻ bersihkan orang Mukmin daripada orang munafik. Bila ada ujian berat seperti ini, barulah nampak siapa beriman dan siapa yang munafik. Orang munafik yang sebelum ini menyembunyikan kekafiran mereka, sampaikan sahabat tidak tahu siapakah yang munafik.

Oleh kerana tidak tahu, maka sahabat yang mukmin bercampur gaul dengan golongan munafik itu kerana sangka orang-orang munafik itu beriman juga. Maka Allah ‎ﷻ jadikan apa yang terjadi dalam peperangan Uhud itu supaya umat Islam yang mukmin nampak siapakah yang munafik.

Makna ayat ini akan lebih jelas dalam Surah Ar-Ra’d. Konsep ini dipanggil tamhis – untuk membersihkan orang beriman.

وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

dan membinasakan orang-orang yang kafir.

Allah ‎ﷻ jadikan ujian ini untuk menghancurkan orang kafir dengan cara melemahkan mereka. Walaupun mereka nampak menang dari segi fizikal, tetapi mereka sebenarnya menuju kehancuran. Mungkin mereka tidak terus hancur, tetapi lama kelamaan mereka akan dihancurkan oleh Allah ﷻ kerana mereka telah menentang umat Islam secara berdepan.

Tafsir Ayat Ke-142

Allah ﷻ ingatkan kita supaya jangan mudah mengalah dan berhenti daripada berjihad kalau sekali sekala kalah. Jihad ini adalah syari’at yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Kita kena sedar pentingnya untuk jihad fisabillah dijalankan, untuk agama dikenali dan diikuti oleh manusia. Kalau tidak ada jihad, orang Islam tidak jadi kuat. Orang luar Islam juga mungkin tidak akan masuk agama Islam.

Jadi jihad adalah proses berterusan yang harus dijalankan. Kalau tidak dijalankan, orang Islam akan lemah dan orang kafir pula yang menjadi kuat. Jangan jadikan sebab kekalahan itu untuk berhenti berjihad. Oleh itu, Allah ‎ﷻ berikan teguran kepada mereka yang hendak berhenti berjihad.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga

Adakah kamu sangka kamu boleh masuk syurga dengan mudah, tanpa jihad? Tanpa susah payah? Penghuni syurga sebenarnya adalah mereka yang bersusah payah dan berkorban dalam menegakkan dan mengamalkan agama. Syurga itu sebenarnya untuk pejuang. Kalau bukan pejuang, tidak akan masuk syurga kerana harga syurga itu mahal sebenarnya. Tidak ada yang masuk syurga dengan percuma. Ia dibayar dengan perjuangan yang bukan senang.

وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم

padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu

Sedangkan belum nyata kepada Allah ‎ﷻ golongan pejuang dalam kalangan kamu. Allah ‎ﷻ hendak menyatakan siapakah golongan pejuang. Allah ‎ﷻ sudah tahu siapakah yang berjiwa pejuang. Jangan sangka Allah ‎ﷻ buat peperangan dan ujian sebab Allah ‎ﷻ hendak tahu, kerana Allah ‎ﷻ sudah sedia tahu tetapi Allah ‎ﷻ hendak berikan ujian kepada mereka.

وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar

Dan supaya Allah ‎ﷻ boleh nyatakan siapakah yang bersabar dalam berjihad sampai ke akhir hayat kerana dalam berjihad memerlukan kesabaran.

Cuma sekarang kita sedang belajar tentang jihad qital (jihad perang). Zaman sekarang sedang tidak ada jihad perang lagi, maka nanti ada ayat-ayat tentang jihad lisan (jihad dakwah menggunakan mulut). Maknanya, tetap juga ada jihad, cuma cara berbeza.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan