Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur IstilahTafsir Al-Quran – Dalil

IstilahTafsir Al-Quran – Dalil

706
0
Iklan

Istilah Ke-2: Dalil

Setiap dakwa mesti ada dalil. Dalil adalah suatu bukti yang dikemukakan bagi menyokong dakwa. Sepertimana kita dakwa sesuatu di mahkamah kenalah bawa bukti, bukan?

Begitulah juga di dalam Al-Quran, selepas Allah SWT beritahu sesuatu perkara yang kita kena ikut, Allah SWT akan beritahu mengapa kita perlu ikut secara satu persatu.

Ini adalah rahmat yang besar, kerana sepatutnya Allah SWT tidak pun perlu beri dalil. Dia telah perintahkan kita untuk ikut maka hendaklah diikuti. Namun, Allah SWT jelaskan mengapa kita perlu ikut.

Sebagai contoh, kalau ayah kita beri arahan, kita kena ikut, bukan? Ayah yang baik akan beritahu kenapa perlu ikut cakap dia.

Biasanya, di mana sahaja ada dakwa, di situ akan ada dalilnya. Kebiasaannya, dalil akan datang menelusuri Dakwa. Ayat-ayat dalil terbahagi kepada tiga jenis: Aqli, Naqli dan Wahyi.

1. Dalil Aqli – عقلي

Dalil Aqli (akal) ialah sejenis dalil yang dapat diterima oleh setiap yang berakal (tidak gila) atau boleh diterima oleh setiap yang memiliki naluri fitrah yang Allah SWT berikan kepada semua manusia.

Maknanya, tidak susah untuk terima, senang sahaja akal untuk terima. Allah SWT berikan naluri fitrah ini sama rata, setiap orang akan dapat, tidak kira kalau lahir dalam keluarga Islam atau kafir. Sebaik sahaja lahir memang telah ada, tetapi jika degil juga memang akan tetap degil.

Oleh itu, sekiranya manusia tidak dikuasai oleh hawa nafsu jahat atau suasana sekeliling yang buruk yang boleh merosakkannya (contohnya ajaran agama yang kafir dan sesat), nescaya dengan akal dan fitrah yang sedia ada, mereka dapat memahami setiap tuntutan dalil dan seterusnya penerimaan dalil akan membawa kepada penerimaan dakwa.

Dalil Aqli ini ada tiga jenis:

  1. Kadang-kadang Allah suruh lihat pada diri kita sendiri.
  2. Kadang-kadang Allah suruh lihat kepada alam.
  3. Kadang-kadang Allah tanya kita balik – contohnya, kita telah terima Dia sebagai Tuhan, kenapa tidak boleh terima Tauhid? Iaitu sembah kepada Dia sahaja.

2. Dalil Naqli – نقلي

Sejenis dalil berbentuk maklumat daripada kisah-kisah atau nukilan berbentuk perkataan. Ia boleh jadi perkataan makhluk, jin, malaikat dan perkataan haiwan juga. Semua itu adalah Dalil Naqli. Untuk memberitahu bahawa bukan Nabi sahaja berfahaman tauhid tetapi untuk semua makhluk.

Dalil Naqli ini menjadi bahan bukti kedua selepas dalil Aqli. Dalil ini Allah SWT yang beritahu kepada kita, jika tidak, kita tahu. Ada banyak jenis dalil Naqli ini. Ada dari kisah Nabi dan Rasul, ada kisah dari malaikat, ada kisah jin, kisah haiwan dan berbagai-bagai lagi.

3.  Dalil Wahyi – وحي

Ianya adalah ‘titah khas’ yang ditujukan kepada Nabi untuk disampaikan kepada manusia tentang tuntutan mentauhidkan Allah SWT. Semua ayat-ayat lain adalah wahyu yang perlu disampaikan kepada umat, tetapi ada ayat-ayat yang mempunyai titah yang khas.

Ia disebut dengan lafaz yang khusus supaya baginda sampaikan tuntutan tauhid dalam ibadat atau adat.

Ia menghilangkan salah anggap manusia, kerana ada yang kata bahawa Nabi mereka-reka sahaja dalam memberitahu sesuatu perkara. Dahulu orang tohmah kepada Nabi, sekarang manusia kata kepada kita pula yang menyampaikan ayat-ayat Al-Quran ini. Termasuk orang kafir yang tidak menerima Nabi Muhammad SAW. Maka, kepada mereka kita katakan, kita kena sampaikan kerana telah ada arahan khusus dari Allah untuk sampaikan ajaran itu kepada manusia.

Orang Mekah dan orang kufur sebenarnya tidak peduli jika Nabi Muhammad SAW berpegang pada fahaman dia, cuma mereka marah apabila baginda mengajak orang lain. Oleh itu, Allah SWT turunkan ayat kepada Nabi beritahu yang maklumat tauhid itu hendaklah disampaikan atas arahan khusus kepada manusia.

Kita yang sedang sampaikan ajaran tauhid dari Al-Quran ini adalah disebabkan dalil wahyu tersebut. Sebagaimana Nabi diarahkan untuk menyampaikan ajaran tauhid, begitu jugalah dengan kita. Maka, terpulang kepada mereka sama ada mereka hendak terima atau tidak. Seperti mana ubat ada yang pahit dan susah untuk ditelan. Apa pun kita mesti bersikap tegas dalam menyampaikannya.

Dakwa dan Dalil ada 16 jenis semuanya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan