Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Insyirah Ayat Ke-2 dan Ke-3

Tafsir Surah Al-Insyirah Ayat Ke-2 dan Ke-3

1404
0
Iklan

Tafsir Al-Insyirah Ayat Ke-2 dan Ke-3

Ayat Pertama: Allah SWT telah memulakan surah ini dengan kenyataan bahawa Dia telah melapangkan dada Nabi Muhammad SAW dengan AGAMA.

Maka kita akan melihat ayat ke-2, kenyataan Allah SWT bahawa Dia juga telah “menghilangkan” beban Nabi Muhammad SAW.

Dua ayat (pertama dan kedua) yang saling berkaitan.

Iaitu: Kelapangan dan ketiadaan beban. Ibarat suatu kesempurnaan nikmat.

Dalam isyarat Allah SWT yang lain, ia berada di permulaan surah agar memberi motivasi kepada pembaca untuk berusaha, berdoa dan berharap agar diberikan oleh Allah SWT “kelapangan dan ketiadaan beban” ini.

Semoga Allah SWT kurniakan kita kelapangan dalam hidup dan dihapuskan beban-beban yang menyukarkan.

Tafsir Ayat Ke-2

وَوَضَعنا عَنكَ وِزرَكَ

“dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu”

وَضَع

Pertama: Maknanya mengangkat sesuatu dan meletakkannya ke bawah.

Contoh: angkat bagpack dari belakang dan letak ke bawah.

Kedua: Juga digunakan kalau ibu mengandung anaknya dalam kandungan, dan kemudian melahirkannya.

Rujuk [Ali Imran: 36].

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ

“Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki)”

وِزرَ

“Beban (yang sangat berat)”

beberapa maksud “beban” pada ayat ini:

  1. A) Ibnu Abbas: Kami telah lenyapkan darimu dosa.
  2. B) Ramai juga mufassir yang mengatakan maksud “hilang beban” di sini ialah, datangnya agama (melalui wahyu) bagi memberikan Nabi SAW petunjuk untuk hidup di dunia ini.
  3. C) Ada juga (Qil) pendapat: Allah SWT telah menghilangkan beban (Kegusaran/Kebimbangan) Nabi SAW yang tidak menerima wahyu dalam beberapa masa (sila rujuk nota Surah Adh-Dhuha)

Atau dalam maksud mudah ~ beban:

a) Dosa

b) Tiada petunjuk

c) Perasaan “macam-macam” ketika wahyu terhenti (rujuk surah Dhuha)

  1. Dosa di sini ialah kesalahan Nabi di luar kawalan sebagai manusia biasa (seperti Nabi bermuka masam)

Maka Allah SWT beri wahyu berupa teguran/agama bagi membimbing Nabi SAW.

  1. Nabi SAW ada “sangka-sangka” atau tidak dapat tahan perasaan sewaktu wahyu terhenti seketika.

Tafsir Ayat ke-3

الَّذي أَنقَضَ ظَهرَكَ

“Yang memberatkan belakangmu”

ظَهرَ

“belakang badan”

**Kalau contoh kita pernah dengar bab Zihar: berkaitan dengan pernikahan dalam ajaran Islam merupakan menyerupakan atau menyamakan isteri baik sebahagian tubuhnya atau seluruh tubuhnya dengan orang lain yang haram untuk dinikahi atau bukan mahramnya, selamanya.

⁉️ Apakah ‘beban’ yang ada di “belakang” Nabi SAW tu? Ada beberapa pendapat seperti di bawah ini:

~ ini adalah lanjutan dari perbincangan “bebanan” Nabi terhadap konteks ayat.

a)  Perasaan Nabi SAW dalam mencari petunjuk Allah SWT

Usaha untuk memanjat Jabal Nur (Gua Hira’) bukan mudah, tetapi Nabi SAW kerap naik ke sana untuk bermunajat agar Allah SWT “membimbing” baginda / beri petunjuk.

b) Pendapat kedua yang dikatakan sebagai beban itu adalah keadaan masyarakat baginda waktu itu.

Bukan soal untuk makan/hidup, tetapi kerana berlaku banyak kemungkaran.

c) Beban ketiga yang dikatakan oleh Mufassir adalah: beratnya hati Nabi apabila berhentinya wahyu buat seketika. Ini adalah satu jangka masa yang dinamakan fatratil wahyi. (rujuk kepada surah Ad-Dhuha seperti dalam perbincangan sebelum ini).

d) Beban tekanan kerana menjadi Rasul dan Nabi terakhir.

Nabi membawa risalah yang sama sejak Adam as. Contohnya perihal kiamat, boleh jadi orang yang Nabi SAW seru lebih “tahu” tentang kiamat kerana mereka juga pernah dengar dalam Taurat/Injil/ Zabur.

Bagi point “d” ini, kerana itu kita dapat melihat ayat Al-Quran, kerap orang yang ingkar bertanya semula kepada Nabi SAW mengenai seruan Baginda itu:

Rujuk [Al Mulk: 25 – 26]

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ

“Dan orang-orang yang ingkar itu berkata: Bilalah akan datang janji itu (yakni kiamat)”?

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

“Sekiranya kamu kalangan orang-orang yang benar”!

Antara sebab mereka tanya: Sebab manusia telah dengar seruan tu sejak Adam, tetapi tidak kiamat juga.

Namun, Allah SWT ajar kepada Nabi SAW (dan kepada penyampai/pendakwah) semua:

قُلْ

“Katakanlah”

إِنَّمَا الْعِلْمُ عِنْدَ اللَّهِ

“Sesungguhnya ilmu tentang kiamat itu adalah hanya di sisi Allah SWT”

وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُبِينٌ

“Dan sesungguhnya aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan yang terang nyata”

Apa yang ingin kita bahas tentang perkara ini;

“Tugas menyampaikan agama bukannya mudah, dan ia memang tugas berat. Namun sebagai Allah SWT nasihat kepada pendakwah, tugas kita hanya menyampaikan sahaja. Allah SWT jualah yang memberikan hidayah.

Soalannya yang patut kita fikirkan sama ada kita telah sampaikan dengan jelas/terbaik atau pun tidak.

Contohnya, rezeki duit, ada yang mampu sara hidup diri sendiri dan keluarga, tetapi ada yang dapat rezeki lebih untuk berkongsi dengan orang lain (rezeki lebih itu Allah SWT yang beri/termasuk hendak buat dakwah lebih)

Ibrah dan Kesimpulan:

Pertama:

Antara kesempurnaan nikmat bukan sekadar kelapangan, tetapi ketiadaan beban yang menyebabkan hati/perasaan menjadi berat.

Kedua:

Antara perkara yang menjadi beban manusia ialah dosa. Oleh itu, jauhilah dosa. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian merana diri.

Baik sebesar zarah, jangan tinggalkan. Buruk sebesar zarah, jangan dilakukan.

Ketiga:

Dalam bebanan yang kita pikul hari ni, tugas kita hanya mampu buat yang terbaik dan menyemak sama ada apa yang kita buat mengikut ciri orang yang diredhai Allah SWT atau tidak. Soal natijah, Allah SWT telah tentukan yang terbaik kepada setiap orang yang berusaha menjadi hamba-Nya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan