Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Ilmu Tafsir Al-Quran – Pengenalan kepada 16 Istilah – Dakwa Surah

Ilmu Tafsir Al-Quran – Pengenalan kepada 16 Istilah – Dakwa Surah

1284
0
Iklan

Pengenalan kepada 16 Istilah dalam Al-Quran

Untuk kita lebih memahami Ilmu Tafsir Al-Quran, kita hendaklah mahir tentang istilah-istilah kepada surah-surah dalam Al-Quran. Tidak semua ayat-ayat dalam Al-Quran membawa penekanan yang sama. Kefahaman pelajar bergantung kepada sejauh mana kefahaman mereka tentang istilah-istilah ini. Ia akan memudahkan kefahaman kepada tafsir selepas ini.

1. Dakwa / Maksud Asal bagi sesuatu Surah دعوى أو مقصود

‘Dakwa’ adalah ‘Pokok Perbahasan’ sesuatu surah itu. Itulah perkara terpenting yang Allah SWT hendak sampaikan dalam surah itu. Ia paling penting yang kita kena tahu dahulu. Ini adalah kerana kita kena faham maksud ayat yang menjadi Dakwa surah itu. Oleh itu, semasa kita baca ayat-ayat yang lain, jangan lupa Dakwa itu. Sebagai contoh, kita sudah habis belajar Al-Fatihah. Dakwa Al-Fatihah ada dalam ayat “iyyaka na’budu wa iyyaka nastain”.

Untuk menerangkan Dakwa itu, Allah SWT bawa ‘dalil-dalil’ dalam ayat lain. Oleh itu, ayat-ayat lain yang datang selepas Dakwa surah itu adalah sebagai penyempurnaan kepada Dakwa surah untuk menyokong Dakwa surah tersebut.

Dakwa umpama biji untuk satu pokok. Semua bahagian lain pokok itu seperti akar, dahan, batang dan sebagainya tentu ada hubungan dengan biji itu, kerana semua berasal dari biji itu. Oleh itu, semua ayat ada hubungan dengan Dakwa surah itu.

Ada tiga jenis Dakwa Surah: Tauhid/Risalah/Akhirat. Dan memang inilah tiga perkara penting yang disebut dalam Al-Quran.

  1. Tauhid – Allah SWT hendak kita kenal Dia. Kalau baca Al-Quran tetapi tidak kenal Allah SWT, tidak kena kalau begitu. Oleh kerana itu, kebanyakan surah dalam Al-Quran adalah tentang Allah SWT. Hendak kenal Allah SWT mesti dalam fahaman Tauhid. Ia adalah Dakwa yang paling banyak –

– nota: Lebih kurang 80% dari Dakwa adalah Tauhid.

2. Risalah – kerasulan. Cara untuk dapat keredhaan Allah SWT adalah dengan mengikut Rasul. Hanya dengan cara ini sahaja dan selain dari cara ini adalah ditolak dan akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

– nota: Sedikit sahaja Dakwa tentang Risalah. Hal Risalah banyak dihuraikan dalam Hadis. Ini juga penting kerana Hadis adalah Wahyu Kedua. Oleh itu, kena juga belajar Hadis.

3. Akhirat. Allah SWT hendak kita buat persiapan untuk berjumpa dengan-Nya. Allah SWT hanya ingin berjumpa dengan hamba-Nya yang dapat masuk ke dalam syurga, iaitu kita dapat berjumpa dengan Allah SWT dalam keadaan Allah SWT redha kepada kita. Kita belajar ayat-ayat Dakwa tentang Akhirat kerana kita kena yakin bahawa ada satu alam selepas mati. Itulah alam yang akan kekal.

– nota: Ayat-ayat tentang Akhirat lebih banyak dari ayat-ayat tentang Risalah. 1/4 dari Al-Quran menceritakan tentang Akhirat. Dan kebanyakan ayat tentang Akhirat ini duduknya di hujung Al-Quran.

Ada tiga jenis Dakwa dalam Al-Quran:

  1. Tauhid
  2. Risalah
  3. Akhirat

Tiga perkara ini diulang-ulang dalam Al-Quran dengan banyak sekali.

Untuk memahami topik Dakwa, kena tahu ‘lawan’ dia, kerana hendak tahu cerah, kena tahu gelap.

  1. Lawan Tauhid adalah Syirik.
  2. Lawan Risalah adalah Bidaah.
  3. Lawan Akhirat adalah Dunia.

Penting untuk belajar lawan kepada ketiga-tiga perkara itu. Kerana kalau tidak belajar, tidak tahu apa yang tidak boleh dibuat. Macam seorang belajar bawa kereta, tetapi tidak diajar undang-undang jalan raya. Maka tempat “no-entry” pun mereka redah kerana tidak tahu mana yang salah.

Begitulah penjelasan istilah yang pertama – Dakwa. Jadi selepas ini saya akan rujuk kepada sesuatu ayat sebagai ‘Dakwa’, maka harap anda semua faham sedikit sebanyak.

Al-Baqarah Ayat Ke-21

يا أَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa”.

Ini adalah ‘dakwa’ kepada surah Baqarah ini. Ia terletak pada ayat اعْبُدُوا رَبَّكُمُ. Seperti yang kita telah belajar sebentar tadi, Dakwa surah adalah perkara terpenting di dalam sesuatu surah itu. Jadi kita kena tengok betul-betul apakah yang hendak disampaikan.

Ayat pertama hingga ke-20 telah menceritakan tentang golongan-golongan yang ada. Ada yang selamat dan ada yang celaka. Maka ayat seterusnya ini adalah rawatan kepada mereka yang celaka itu. Mereka kena kembali kepada ajaran agama yang sebenar.

Ayat ke-21 dan ke-22 adalah tentang tauhid – iaitu mengajar manusia untuk sembah Allah sahaja.

Kemudian ayat ke-23 dan ke-24 tentang Risalah (Kenabian) kerana untuk kita kenal agama dan selamat dunia akhirat, kita kena ikut ajaran Nabi.

Kalau terima, Allah beritahu dalam ayat ke-25 yang natijah kalau terima keduanya, balasannya adalah syurga.

Nota: Jadi ayat ke-21 hingga ke-25 ini telah sentuh ketiga-tiga perkara utama dalam Al-Quran: tauhid /risalah/akhirat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan