Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-3 hingga Ke-5

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-3 hingga Ke-5

1993
0
Iklan

Tafsir Al-Baqarah: Ayat Ke-3 hingga Ke-5

Tafsir Ayat Ke-3

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang Al-Quran itu adalah hidayah kepada orang yang bertaqwa. Siapakah orang bertaqwa itu? Mungkin ada orang yang kata dia pun bertaqwa juga, tetapi benarkah? Dalam ayat ini disebutkan ciri-cirinya. Inilah contoh tafsir Al-Quran dengan ayat Al-Quran sendiri:

‎الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”.

‎الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ

“Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib”.

Jadi, ciri pertama mereka yang bertaqwa adalah manusia yang percaya kepada yang ghaib, dan yang pertama sekali adalah Allah SWT. Orang bertaqwa percaya adanya Allah SWT walaupun dia tidak nampak Allah SWT. Allah SWT itu ghaib dari penglihatan dan juga pendengaran. Walaupun tidak nampak dan dengar Allah SWT, tetapi orang yang bertaqwa itu percaya benar yang Allah SWT itu ada. Inilah ciri taqwa yang pertama – percaya (beriman).

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ghaib’? Ia adalah perkara yang kita tidak nampak. Contohnya Allah SWT dan malaikat kita tidak nampak. Tetapi bukan itu sahaja. Ada lagi yang kita tidak nampak, tetapi sebagai orang Islam, kita percaya kewujudannya. Contohnya, syurga adalah alam zahir, tetapi kita tidak nampak sebab jauh. Macam juga tempat jauh macam Kelantan, New York dan sebagainya. Maknanya yang jauh juga dikira ghaib, atau yang kita tidak dapat tengok, macam malaikat kerana mereka berada di alam lain.

Satu lagi adalah peristiwa yang akan datang. Tidak ada makhluk yang tahu apa yang akan berlaku. Diberitahu hanya sedikit kepada nabi-nabi. Bukan semua mereka tahu pun. Itu pun Allah SWT yang beritahu kepada mereka perkara yang mereka perlu tahu sahaja. Kalau tidak diberitahu, mereka pun tidak tahu.

Ada banyak perkara ghaib dan ada beberapa perkara ghaib yang kita hendaklah faham dengan kemas. Iaitu Rukun Iman. Dalam rukun iman yang enam, lima darinya adalah ghaib bagi kita. – Allah SWT ghaib. – Akhirat juga ghaib. – Nabi ghaib bagi kita sekarang. Kerana ianya adalah masa silam. – Malaikat juga ghaib. – Takdir pun ghaib.

Akhir sekali adalah percaya kepada Al-Quran. Hanya Al-Quran sahaja yang tidak ghaib. Maka dengan Al-Quran inilah yang kita boleh dapat ilmu tentang lima perkara ghaib yang di atas. Yang lima perkara lain kita tidak dapat hendak lihat dan tunjuk kepada orang lain. Maka kita hendaklah rapat dengan Al-Quran. Kerana hendak percaya kepada perkara ghaib, kita dapat tahu dengan Al-Quran inilah. Maka kita hendaklah faham dan hayati Al-Quran itu, bukan setakat baca sahaja.

‎وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ

“Dan mereka mendirikan sembahyang”;

Tidak ada amalan ibadat yang lebih tinggi dari solat. Maka ia disebut di sini sebagai wakil kepada segala ibadat lain. Ia mewakili amal Ibadat hablumminallah (hubungan dengan Allah SWT). Maknanya, orang bertaqwa tidaklah solat sahaja. Hendaklah jaga amal Ibadat yang lain juga cuma disebut solat sahaja di sini sebagai wakil.

Allah SWT kata ‘diri’kan solat. Bukan ‘buat’ solat itu. Maksudnya hendaklah solat macam Nabi dan sahabat buat. Semua ini adalah amalan fizikal yang perlu ditunjukkan berhadapan. Semoga dapat belajar sendiri dari sumber yang sahih bagaimana cara hendak buat semua itu. Kebanyakan orang kita hanya belajar perkara itu semasa sekolah rendah sahaja dan tidak diperbaiki ilmu itu. Ilmu lain belajar sampai universiti tetapi amal ibadat yang hendaklah dilakukan setiap hari tidak belajar pun lagi.

Apakah lagi yang dimaksudkan dengan ‘mendirikan’ sembahyang? Maksudnya banyak benda kita buat setiap hari – kerja, belajar, luang masa dengan keluarga dan bermacam lagi. Semua itu hendaklah duduk di sisi solat. Bermakna hendaklah diraikan solat terlebih dahulu walau macam mana pun. Perkara lain hendaklah duduk di samping. Bukannya kita dahulukan perkara lain dan bila ada masa baru hendak solat. Malangnya ramai yang buat begini.

‎وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

“Dan daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya, mereka infaqkan”.

Infaq maksudnya ‘keluarkan’ (spend). Kita digalakkan untuk infaqkan harta kepada yang memerlukan seperti orang miskin, untuk dakwah, kepada orang yang putus bekalan dalam musafir, orang yang menghadapi bala, ahli keluarga kita dan macam-macam lagi. Kita akan belajar ayat-ayat infaq dengan banyak sekali dalam surah ini nanti dan surah-surah lain.

Infaq harta adalah wakil kepada amalan yang menjaga hubungan manusia dengan manusia lain. Itulah yang dinamakan berbuat baik dengan orang lain. Paling kurang, kita jangan buat jahat dengan orang lain. Dan perbuatan yang paling baik adalah dengan infaq kepada orang lain. Kita bukan sahaja dapat pahala infaq itu, tetapi dapat eratkan hubungan sesama manusia sekali.

Bukan sahaja kita boleh infaq dalam bentuk harta sahaja tetapi dalam bentuk ilmu juga. Itu dinamakan ‘infaq ilmu’. Iaitu ilmu yang Allah SWT berikan kepada kita, kita beri kepada orang lain. Jangan simpan sahaja ilmu yang kita ada, hendaklah kita sampaikan kepada orang lain. Orang lain memang memerlukan ilmu agama dan kalau kita simpan pada diri kita sahaja, ini amatlah merugikan. Kalau kita tahu satu ayat Al-Quran, kita sampaikan satu ayat Al-Quran. Janganlah pula halang orang dari sampaikan ilmu. Ada orang bukan sibuk hendak sampaikan ilmu, tetapi hendak halang orang dari sampaikan ilmu. Ini pelik sungguh.

Allah SWT hendak beritahu bahawa apa sahaja yang kita infaqkan untuk agama, bukanlah dari wang kita sendiri, tetapi Allah SWT juga yang beri. Begitu juga dengan ilmu, ilmu itu semua dari Allah SWT, bukannya kita dapat sendiri. Allah SWT beri kepada kita supaya selain dari kita pakai untuk diri kita, kita hendaklah beri kepada orang lain.

Kalau kita tengok susunan kriteria orang yang bertaqwa itu adalah begini:

  1. Percaya kepada ghaib.
  2. Mendirikan solat.
  3. Infaq harta.

Dari susunan itu, kita boleh tahu bahawa orang yang percaya kepada yang ghaib, akan senang untuk solat.

Dan orang yang solat akan senang untuk menafkahkan hartanya (atau ilmunya).

Itulah tiga sifat-sifat orang yang bertaqwa.

Tafsir Ayat Ke-4

‎وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

“Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)”.

‎وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ

“Dan juga orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad)”,

Yang ‘diturunkan’ kepada Nabi Muhammad adalah Al-Quran.

Mereka yang bertaqwa tentunya beriman dengan Al-Quran. Beriman dengan Al-Quran bukan sahaja bermakna percaya yang ia diturunkan dari Allah SWT, tetapi yang penting, hendaklah mengambil pengajaran darinya, beramal dengannya dan menyebarkannya kepada orang lain kerana kita telah belajar dalam ayat ke-2 yang ia adalah sumber hidayah kepada orang bertaqwa.

Maka, jika tidak belajar tafsir Al-Quran, bagaimana hendak beramal dan menyebarkan Al-Quran ini kepada orang lain? Tidaklah cukup dengan membaca sahaja tanpa faham. Ia seperti kita ada makanan yang sangat sedap, tetapi kita rasa cukup dengan melihat sahaja tentulah tidak masuk akal kalau begitu, bukan?

‎وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ

“dan dengan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum ini”;

Kita juga hendaklah beriman dan percaya bahawa Allah SWT ada menurunkan kitab-kitab lain sebelum Al-Quran. Ada lagi kitab-kitab wahyu yang lain. Seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil. Memang kitab yang ada sekarang ini telah diubah oleh Yahudi dan Kristian. Tetapi masih ada lagi serba sedikit yang asal. Maka kita tidak boleh menolak semuanya. Ia masih lagi Kalam Allah SWT. Cuma kita tidak dapat pastikan bahagian yang mana telah diubah dan bahagian mana yang asli.

Bukanlah maksudnya kita kena belajar kitab-kitab itu. Ini tidak perlu kerana segala ajaran dari kitab-kitab itu telah Allah SWT masukkan dalam Al-Quran. Jadi, kita hendaklah baca dan belajar maksud Al-Quran sahaja. Pernah Saidina Umar r.a. dapat kitab Taurat dan beliau hendak membaca kitab itu, tetapi telah dimarahi oleh Nabi Muhammad SAW. Nabi SAW kata, tidak cukupkah dengan Al-Quran yang sudah ada?

Lainlah pengkaji seperti Dr. Zakir Naik yang telah mengkaji Bible dan juga Kitab Veda sebagai usaha perbandingan agama.

Ayat ini juga adalah berkenaan dengan sahabat-sahabat Nabi SAW yang dulunya beragama Yahudi dan Kristian dan mereka telah beriman dengan kitab-kitab lain sebelum ini. Jadi, apabila mereka beriman dengan Al-Quran dan Islam, mereka telah mendapat dua kelebihan – beriman dengan kitab mereka dan beriman dengan Al-Quran. Jadi, ini memang kelebihan mereka, di mana mereka akan dapat dua kali ganda pahala. Oleh itu, kalau kita ada kawan yang dari agama Yahudi dan Kristian masuk Islam, mereka dapat pahala dua kali ganda. Kelebihan ini tidak ada pada kita kerana kita lahir-lahir sahaja sudah beragama Islam.

Ini berdasarkan hadis:

‎«ثَلَاثَةٌ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُمْ مَرَّتَيْنِ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمَنَ بِي وَرَجُلٌ مَمْلُوكٌ أَدَّى حَقَّ اللَّهِ وَحَقَّ مَوَالِيهِ وَرَجُلٌ أَدَّبَ جَارِيَتَهُ فَأَحْسَنَ تَأْدِيبَهَا ثُمَّ أَعْتَقَهَا وَتَزَوَّجَهَا»

“Ada tiga macam orang, mereka diberi pahala dua kali, iaitu: Seorang lelaki dari kalangan ahli kitab yang beriman kepada nabinya, kemudian beriman kepadaku; seorang lelaki yang dimiliki (budak) yang menunaikan hak Allah SWT dan hak tuannya; dan seorang lelaki yang mendidik budak perempuannya dengan pendidikan yang baik, setelah itu dia memerdekakannya dan mengahwininya”. [Sahih Bukhari].

‎وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

“Dan mereka yakin dengan hari akhirat”

Orang yang bertaqwa juga beriman dengan hari akhirat. Mereka percaya bahawa itulah hari yang kita akan ditanya tentang segala amalan kita dan kita akan dibalas dengan syurga atau dengan neraka.

Dalam perkara lain, disebut ‘beriman’ dengan Al-Quran ’beriman’ dengan kitab sebelumnya ‘beriman’ dengan perkara ghaib tetapi apabila disebut dengan ‘akhirat’ digunakan perkataan ‘yakin’.

Kerana segala perkara yang kita lakukan hanyalah akan menjadi kalau kita ‘yakin’ dengan hari akhirat. Kalau ‘rasa’ macam ada sahaja, itu tidak akan memberi bekas kepada amalan kita.

Jika telah yakin adanya hari kiamat, kebangkitan semula di akhirat, barulah kita akan sanggup hendak buat perkara-perkara baik dan tinggalkan perkara-perkara yang dilarang. Dan ini bukanlah senang kerana ia adalah perkara ‘ghaib’ dan kita telah belajar mereka yang bertaqwa percaya kepada perkara-perkara ghaib yang mereka tidak nampak pun.

Janganlah kita hidup macam orang tidak percaya hari akhirat pula. Ramai yang kata mereka percaya kepada kiamat, tetapi hidup macam tidak percaya pun ada. Tidak nampak takut pun, buat sesuka hati sahaja dengan apa yang mereka hendak buat.

Kepercayaan yang tinggi kepada perkara ghaib akan semakin mantap apabila kita semakin mempelajari ayat-ayat Al-Quran, kerana dalil-dalil akan diberikan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran.

Tafsir Ayat ke-5:

‎أُولَٰئِكَ

“Orang-orang yang bersifat seperti ini”

Iaitu dengan sifat-sifat yang telah disebutkan sebelum ini.

‎عَلَىٰ هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ

“di atas petunjuk dari Tuhan mereka”;

Apabila sudah ada lima sifat itu (beriman dengan yang ghaib, mendirikan solat, infaq, beriman dengan kitab Al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya dan beriman dengan Hari Akhirat), seseorang itu sudah berada dalam hidayah dan tidak akan sesat semasa di dunia.

‎وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan orang-orang yang bersifat seperti inilah yang berjaya”

Apabila mati, mereka akan mendapat kejayaan. Mereka lulus dalam ujian di dunia. Begitulah penjelasan Allah SWT tentang sifat mereka yang diberikan nikmat oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT masukkan kita ke dalam golongan itu.

Perkataan ‘الْمُفْلِحُونَ’ itu diambil dari perkataan ‘فلح’ yang juga digunakan untuk petani. Apakah sifat petani? Mereka menuai hasil tanaman mereka selepas mereka berusaha berbudi kepada tanah.

Begitu juga, kalau kita hendak dimasukkan ke dalam golongan yang berjaya seperti yang dimaksudkan dalam ayat ini, kita juga perlu berusaha. Bukan senang cakap beriman tetapi tidak ada usaha yang kita lakukan. Pertama, hendaklah belajar apa yang patut buat, dan seterusnya buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan