Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 11 Kelas Tafsir AlFatihah – Ayat ke 5

Nota 11 Kelas Tafsir AlFatihah – Ayat ke 5

915
0
Iklan

Kuliah Tafsir Al-Fatihah – Ayat ke 5 – Iyyaka na’budu

Ini adalah intisari surah Fatihah ini. Atau dinamakan ‘Dakwa’ surah ini. Maknanya, ia adalah ayat yang terpenting di dalam surah Fatihah. Ada ulama yang tulis satu kitab untuk membicarakannya, maka kita cuba untuk meringkaskan pembelajarannya.

Hanya kepada Kamu sahaja yang kami sembah – Tafsir ayat ini adalah keseluruhan surah Zumar (surah ke 39). Ringkasannya: Kepada Allahlah sahaja tempat kita sembah dan menghambakan diri. Tidak kepada yang lain. Inilah intisari keseluruhan Quran. Iaitu ibadat hanya kepada Allah dan minta tolong hanya kepada Allah.

Allah sebut dalam Dzaariyat:56
وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepadaKu.

Maka tujuan kita dijadikan, dibawa ke dalam dunia ini adalah untuk jadi hamba kepada Allah. Dan apabila kita jadi hamba, kita kena sembah kepadaNya ‘sahaja’. Kena tambah perkataan ‘sahaja’ kerana ada juga benda lain yang orang kita sembah seperti kubur, sultan dan sebagainya. Maknanya, kalau sembah sultan, itu adalah syirik. Begitu juga ada yang sembah kubur, sembah orang lain, sembah keris dan sebagainya. Walaupun mereka mengaku muslim, tapi mereka ada buat perkara yang dilarang dalam agama.

Ramai yang keliru dengan maksud ‘sembah’, mereka sangka ianya hanya dalam bentuk sujud sahaja. Padahal maksud ‘sembah’ adalah lebih luas lagi. Secara ringkasnya, ia bermaksud melakukan ibadat. Jadi, perbuatan yang dilakukan oleh golongan Habib yang buat ibadat di kubur, adalah sesuatu yang syirik. Kerana mereka duduk duduk di sekeliling kubur, buat amalan tertentu. Kemudian minta tolong kepada orang dalam kubur. Jadi sebenarnya mereka telah menyembah kubur dan tuan kubur itu.

Daripada penggunaan bahasa, penggunaan kalimah إِيَّاكَ sebelum نَعْبُدُ menunjukkan bahawa *hanya* kepada Allah sahaja kita sembah. Ini bermaksud eksklusif. Ini kerana kalimah إِيَّاكَ itu ditakdimkan (diamalkan). Dalam bahasa Arab, boleh juga diletakkan perkataan إِيَّاكَ selepas نَعْبُدُ tapi itu tidak bermakna ekslusif (takhsis). Maknanya, kalau ayat macam itu, boleh lagi dikatakan menyembah entiti yang lain. Tetapi makna ayat dalam surah Fatihah ini, cara susunannya, menunjukkan kita tidak akan sembah entiti lain. Tidak ada tuhan selain Allah.

Dalam ayat ini, terjadi perubahan bentuk dari ghaibah (orang ketiga) kepada mukhathab (orang kedua, lawan bicara) seperti kita sedang bercakap dengan orang di hadapan kita. Ini adalah kerana ketika seorang hamba memuji kepada Allah, maka seolah-olah dia merasa dekat dan hadir di hadapanNya.

Dalilnya hadis riwayat Bukhari ini:
390 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلَاتِهِ فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ فَلَا يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ فَقَالَ أَوْ يَفْعَلُ هَكَذَا
390. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ja’far dari Humaid dari Anas bin Malik bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ternampak kahak di dinding sebelah kiblat, baginda sangat tidak senang hati dengannya sehingga ia kelihatan pada wajahnya. Kemudian beliau terus bangkit dan menanggalnya dengan tangannya seraya bersabda: “Apabila seseorang dari kalian berdiri solat sesungguhnya dia sedang berbicara dengan Rabbnya, atau sesungguhnya Rabbnya sedang berada antara dia dan kiblat, maka janganlah sekali-sekali seseorang dari kamu meludah ke arah kiblat, tetapi lakukanlah ke arah kirinya atau ke bawah tapak kaki.” Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil hujung kainnya dan meludah di dalamnya, setelah itu beliau melipatnya lalu berkata: “atau hendaklah dia melakukan seperti ini.”

Ini merubah cara kita membaca ayat ini, apabila kita sedar yang kita sekarang bercakap terus dengan Allah. Memang ini adalah salah satu dari ciri-ciri bahasa Quran yang indah. Ianya dipanggil iltifat (perubahan percakapan). Salah satu kelebihannya, ayat-ayat Quran tidaklah monotony – ianya sentiasa berubah-ubah dari segi bahasa yang menyebabkan mereka yang tahu bahasa Arab akan terasa bagaimana bahasa Quran itu hidup.

Iyyaka na’budu didahulukan dari iyyaka nastain kerana ibadah kepadaNya merupakan tujuan yang penting, sedangkan permohonan pertolongan merupakan salah satu cara untuk beribadah. Yang lebih penting didahulukan dari yang kurang penting. Satu lagi, disebut iyyaka na’budu dahulu kerana ibadat dalam bentuk umum disebut dahulu, kemudian diberikan ibadat yang khusus, iaitu doa. Kerana doa adalah ibadat yang terpenting. Semua ibadat termasuk solat, akan ada elemen doa di dalamnya, bukan?

Mari kita lihat kaitan ayat dari mula: Dalam ayat pertama, kita memuji-muji Allah dengan menyebut sifat-sifatNya. Kita juga dalam tiga ayat pertama itu sudah mengenal siapakah Allah. Selepas kita mengenal Allah, kita mahu menjadi lebih rapat denganNya. Itu adalah salah satu kesan selepas mengenali seseorang. Pepatah Melayu ada mengatakan: ‘tidak kenal, maka tak cinta’. Begitu juga kita dengan Allah. Tapi, dengan Allah, malah lebih lagi kita kena rapatkan diri kita. Selepas kita mengenaliNya dan mengetahui segala kehebatan Allah yang tidak ada tolok bandingnya, kita tentunya dan sepatutnya, MAHU menjadi dekat kepadaNya. Keinginan untuk menyembahNya sepatutnya semakin meningkat. Ini sepatutnya yang terjadi dengan semulajadi. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi. Harap antum semua dapat nampak progresif dari ayat pertama sampai ayat ini. Supaya kita nampak kesinambungan ayat. Allah dah susun cantik dah.

Dari segi bahasa, kita boleh lihat penggunakan perkataan ‘Kami’ dalam ayat ini. Kenapakah ayat ini menggunakan perkataan ‘kami’, sedangkan yang mengucapkannya adalah seorang sahaja (diri kita)? Ini adalah kerana kita semua adalah hambaNya dan kita adalah salah seorang dari mereka yang sedang melakukan ibadat kepadaNya. Tambahan pula jikalau kita melakukannya secara berjemaah seperti solat berjemaah contohnya.

Ada dua makna perkataan ‘na’budu’ itu. Ia dari عبد yang bermaksud ‘hamba’. Jadi kalimah نَعبُدُ ada dua maksud:

1. kami menyembah

2. kami menghambakan diri

Malangnya, ada orang yang memang menyembah Allah, tapi mereka tidak bertindak sebagai ‘hamba kepada Allah’. Seorang hamba mestilah menerima kata-kata tuannya. Begitu jugalah kita dengan Allah. Kena taat dengan segala arahanNya. Tapi kita kadang-kadang buat tak kisah kepada ajaran dan hukum yang Allah sampaikan dalam Quran. Ada yang kita tidak terima bulat-bulat. Sepatutnya sebagai hamba, kita kena fahamkan arahan dan kena terima dan lakukan. Jadi, ayat ini adalah sebagai satu penyaksian dari kita bahawa kita ini adalah ‘hamba’ kepada Allah. Barulah kita boleh melepaskan diri dari segala macam pengabdian kepada yang lain: seperti budaya, kawan-kawan yang kita ikut sahaja, fesyen dan sebagainya.

Kerana tidak faham tentang maksud ‘pengabdian’lah, ada orang yang beribadat kepada Allah, solat tak pernah tinggal, pergi haji dan umrah sudah berkali-kali, tapi dalam masa yang sama, mereka menipu orang, buat zalim kepada orang dan macam-macam lagi. Mereka tak rasa bersalah pun kerana mereka sangka mereka telah lepas dari tanggungjawab kerana telah ‘sembah’ Allah dah. Tapi, kalau kita lihat di sini, ianya tidak lengkap lagi.

Ayat ini juga mengajar kita bagaimana cara berdoa. Hendaklah kita memujiNya sebelum kita memohon sesuatu kepadaNya. Apabila kita menyebut kita hendak beribadat kepadaNya, maka itu akan menyebabkan Allah akan memakbulkan doa kita, in sha Allah. Oleh itu, dalam berdoa, hendaklah kita memulakan doa itu dengan memuji-mujiNya dahulu. Banyak hadis dari Nabi yang menunjukkan sebelum baginda memulakan doa dan memulakan bercakap sesuatu, baginda akan memuji-muji Allah.
Jadi, dalam doa-doa kita selepas ini, banyakkan memuji Allah dahulu. Dengan menyebut asma’Nya..

Kembali kepada perbincangan tentang ‘ibadah’. Ibadah adalah tujuan hidup kita. Kita mengaku perkara itu dalam ayat ini apabila kita mengatakan iyyaka na’budu. Jadi semasa baca ayat itu, terutama dalam solat, sedar lah yang kita waktu itu sedang memperbaharui ‘akurjanji’ kita dengan Allah. Jadi ini bukan perkara main-main. Adakah setiap kali solat, kita mengaku depan Allah, tapi di luar, kita sembah dan taat kepada selain dariNya? Nauzubillahi min dzaalik.

Taat kepada Allah adalah satu-satunya tujuan hidup kita. Itulah tujuan kita dihidupkan seperti yang disebut dalam Surah Dzaariyat. Semasa kita membaca ayat ini, kita mengakuinya dengan rela. Inilah yang sepatutnya terjadi, tapi ada yang konflik dengan hal ini. Ada yang sembah Allah tapi dalam masa yang sama, mereka juga mahu kenikmatan dunia yang dilarang. Dan kadang-kadang kita buat sesuatu yang Allah tak suka. Memang manusia begitu keadaannya, manusia sentiasa melakukan kesalahan. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa memohon ampun atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan setiap hari, samada kita sedar atau tidak. Dan minta Allah beri taufik kepada kita untuk kuat mengamalkan suruhan Allah (ini dalam ayat seterusnya nanti akan disentuh).

Ibadah itu adalah menyerah diri sebagai hamba. Serah diri dan taat seluruhnya kepada Allah. Dilakukan dengan hati yang ikhlas. Iaitu ada keinginan dalam hati kita untuk berkhidmat kepada Allah. Kalau tidak ada keinginan itu, ianya bukanlah ibadah. Contohnya, seseorang itu nampak macam buat ibadah, tapi dia buat kerana malu dengan orang lain yang buat, jadi terpaksalah dia buat juga. Sebagai contoh, orang lain ramai-ramai solat Terawih dalam bulan Puasa, mereka pun oleh kerana malu, ikutlah juga. Tapi sebenarnya, mereka tidak ada keinginan untuk beribadah pun. Kalau ibadah yang macam itu, tidak dikira kerana tidak ikhlas.

Oleh itu kena ada cinta kepada Allah. Kena ibadah dalam cinta kepada Allah. Dua-dua kena ada – cinta dan ibadah – Kalau cinta tanpa taat pun tidak cukup. Kerana ada yang kata dan mengaku mereka cinta kepada Allah, tapi tak nampak pun mereka buat ibadat. Sebagai contoh, mereka kata mereka beriman, tapi mereka tak pakai tudung pun. Itu bermaksud mereka tidak taat kepada Allah.

Wallahu a’laam.

Komen dan Soalan